lightning-solid
Berita :

Artikel "Bencana" Terkini

Mangsa di PPS SK Atas Tol Terima Bantuan Makanan
Mangsa di PPS SK Atas Tol Terima Bantuan Makanan
KUALA TERENGGANU, 3 Disember - Walaupun langit kembali cerah, mangsa banjir di sekitar Kampung Atas Tol masih kekal di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Atas Tol kerana Paras air yang belum surut sepenuhnya serta berkemungkinan akan menghadapi air pasang besar pada malam ini. Pasukan Ameerah dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong berusaha menceriakan kanak-kanak yang terkesan akibat bencana ini, dan telah hadir menyampaikan bantuan makanan. "Bantuan ini bukan sahaja bertujuan untuk memenuhi keperluan asas, tetapi juga sebagai sokongan moral kepada mangsa yang masih bergelut dengan situasi semasa. “Adik, dapat ni makan sama-sama dengan adik-beradik lain jugok deh. Sama-sama kongsi,” ujar salah seorang sukarelawan kepada seorang kanak-kanak ketika menyerahkan bungkusan makanan. Menurnutnya bagi orang dewasa mungkin tekanan akibat bencana banjir ini dapat dihadapi kerana ia tidak dapat dielakkan. "Namun ia akan lebih dirasakan oleh kanak-kanak yang terpaksa menyesuaikan diri dengan keadaan baru di PPS. "Semoga usaha ini dapat membantu menceriakan suasana dan memberikan sedikit keceriaan kepada mereka. "Sekali gus dapat meringankan beban mereka yang terjejas, sementara doa terus dipanjatkan agar keadaan kembali pulih dan mangsa banjir dapat kembali ke kediaman masing-masing dengan selamat,"ujarnya.
03 Dec 24
188
PPS SMK Seri Payong Ditutup
PPS SMK Seri Payong Ditutup
MARANG, 3 Disember - Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Payong secara rasminya ditutup pada petang ini setelah penghantaran pulang mangsa banjir terakhir selesai dilakukan. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong, Dato' Mohd Nor Hamzah berkata  operasi pemindahan terakhir itu dilaksanakan dengan kerjasama pihak berkuasa seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan beberapa agensi lain yang terlibat dalam membantu mangsa banjir. “Alhamdulillah, bantuan penghantaran balik mangsa banjir yang terakhir di PPS SMK Seri Payong sebentar tadi. Secara rasminya petang ini PPS SMK Seri Payong ditutup,” kata beliau dalam suatu kenyataan, di sini, hari ini. Mengulas lebih lanjut, Mohd Nor berkata dengan Penutupan PPS berkenaan menandakan situasi banjir di kawasan tersebut semakin pulih serta membolehkan mangsa kembali ke kediaman masing-masing. Mohd Nor turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam memastikan kelancaran operasi ini. "Terima kasih kepada usaha dan pengorbanan pelbagai pihak, mangsa banjir kini dapat memulakan langkah pemulihan selepas menghadapi bencana tersebut," ujarnya.
03 Dec 24
227
Fenomena Luruan Monsun, Penumpuan Angin Dijangka Landa Pantai Timur
Fenomena Luruan Monsun, Penumpuan Angin Dijangka Landa Pantai Timur
KUALA TERENGGANU, 3 Disember - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan cuaca aktif bakal melanda kawasan Pantai Timur, khususnya di Kelantan dan Terengganu, bermula petang 3 Disember hingga awal pagi 4 Disember.  Fenomena penumpuan angin di kawasan ini dijangka membawa hujan lebat berserta ribut petir. Menurut hantaran di Facebook rasmi MetMalaysia pada 2 Disember, fenomena luruan monsun pula dijangka berlaku antara 8 hingga 14 Disember 2024.  Keadaan ini berpotensi menyebabkan hujan berterusan di kawasan timur Semenanjung, yang boleh meningkatkan risiko banjir di beberapa lokasi. Sebagai makluman, luruan monsun sering berlaku pada bulan November, Disember, dan Januari, fenomena ini terjadi apabila kawasan tekanan rendah dan pusaran terbentuk berhampiran rantau negara.  Pada masa yang sama, udara sejuk dari Siberia meluru ke arah Malaysia akibat letusan udara bertekanan tinggi di kawasan tersebut.  Apabila luruan udara sejuk dari Siberia bertembung dengan angin timuran dari Pasifik, ia bergerak ke rantau kita, mencetuskan hujan lebat, angin kencang, dan ombak besar, terutamanya di kawasan Pantai Timur Semenanjung. Orang ramai disarankan agar sentiasa peka dengan keadaan cuaca dan merancang aktiviti harian dengan teliti, terutama bagi mereka yang tinggal di kawasan rendah atau mudah terjejas.  Pastikan anda mendapatkan maklumat yang sahih melalui laman web rasmi MetMalaysia di www.met.gov.my, aplikasi myCuaca, atau media sosial rasmi MetMalaysia. Peringatan ini dikeluarkan untuk memastikan semua pihak bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.  Kekal tenang, utamakan keselamatan keluarga dan komuniti, serta ikuti arahan pihak berkuasa jika diperlukan.
03 Dec 24
602
Tiada Keperluan Isytihar Darurat Banjir
Tiada Keperluan Isytihar Darurat Banjir
SETIU, 1 Disember – Pengisytiharan darurat bencana banjir tidak diperlukan buat masa ini, meskipun lebih 150,000 mangsa terjejas di 10 negeri. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan situasi banjir masih berada dalam kawalan dengan seluruh agensi keselamatan dan jentera kerajaan berfungsi dengan baik. “Berdasarkan laporan Pasukan Keselamatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), darurat tidak perlu diisytiharkan.  “Jentera keselamatan, termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), serta agensi kerajaan Persekutuan, Negeri, dan Daerah, berjaya menguruskan situasi dengan cekap,” jelas beliau. Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas lawatan dan santuni mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Telaga Papan di sini hari ini. Turut mengiringi beliau Menteri Besar Terengganu; Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat dan Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir Anwar turut memuji keberkesanan operasi pasukan keselamatan yang telah bertungkus-lumus memastikan keselamatan mangsa banjir dan kelancaran proses pemindahan. “Semua pihak telah menunjukkan kerjasama luar biasa.  “Kesungguhan dan komitmen mereka jelas membantu mengawal situasi tanpa memerlukan pengisytiharan darurat,” tambahnya.
01 Dec 24
252
Bot Hanyut, Nelayan Rugi Hampir RM1 Juta
Bot Hanyut, Nelayan Rugi Hampir RM1 Juta
SETIU, 1 Disember – Kampung Telaga Papan dilanda tragedi meruntun hati apabila beberapa bot termasuk bot gentian kaca milik nelayan tempatan dihanyutkan ombak besar hingga mengakibatkan kerugian hampir RM1 juta. Seorang pemilik bot yang terkesan dengan kejadian itu, Jamaludin Mohamad, 57, berkata tragedi itu dipercayai berpunca daripada tekanan air banjir dan ombak besar yang menyebabkan tebing pecah pada tengah malam tadi. “Saya hanya tahu tentang musibah ini pada awal pagi tadi selepas dimaklumkan oleh adik saya, yang juga tekong bot.  “Beliau menyedari kejadian itu sekitar jam 6 pagi ketika rutin harian untuk memeriksa bot,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di pesisir pantai Kg Telaga Papan, di sini hari ini. Tambah Jamaludin, sebaik tiba di jeti yang terletak kira-kira 500 meter dari pantai, dia terkejut dan sedih apabila melihat semua bot milik nelayan kampung telah hilang.  “Tali pengikat bot-bot itu putus, menyebabkan semuanya dihanyutkan ombak.  “Saya terus ke pantai, dan apa yang saya lihat amat memilukan, bot-bot bersepah-sepah seperti sampah yang dibawa arus,” katanya. Jamaludin, yang memiliki dua bot kelas A, satu bot kelas B, dan beberapa bot gentian kaca, menganggarkan kerugiannya lebih daripada RM200,000. Meskipun begitu, dia merasa sedikit lega kerana kesemua bot yang hanyut berjaya diselamatkan.  “Semua bot dapat diselamatkan, tetapi kebanyakan daripadanya perlu dibaiki.  “Apabila bot keluar dari muka kuala, ia berlanggar dengan ombak besar yang menyebabkan bahagian bot banyak yang pecah dan rekahan berlaku.  “Mungkin, proses membaikinya akan memakan masa hampir setahun, kos membaikinya sangat tinggi dan memerlukan kerja yang amat memakan masa,” jelas beliau dengan kesedihan terbayang di wajahnya. Seorang lagi mangsa, Khairul Hassan Mohamad, 54, turut berkongsi kisahnya dengan penuh kesedihan.  “Air malam tadi sangat besar, dengan ombak setinggi 2.7 meter.  “Bot-bot yang berjaya diselamatkan selepas tersadai di pantai pun banyak yang rosak teruk, terutama pada badan dan enjin.  “Sebuah bot saya hancur sepenuhnya, dan kos untuk membaikinya sangat tinggi. Ia akan mengambil masa yang panjang untuk dibaiki,” luahnya.  
01 Dec 24
258
Banjir : Peruntukan Tambahan RM25 juta untuk Terengganu, Kelantan
Banjir : Peruntukan Tambahan RM25 juta untuk Terengganu, Kelantan
SETIU, 1 Disember – Kerajaan Persekutuan mengumumkan peruntukan tambahan segera sebanyak RM25 juta, bagi bencana banjir untuk Terengganu dan Kelantan. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata jumlah itu adalah tambahan kepada RM50 juta yang telah diluluskan sebelum ini melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA). “Kita akan beri kerjasama penuh dan bantuan menyeluruh untuk Kelantan dan Terengganu. “Seperti yang telah diumumkan sebelum ini, RM50 juta telah diluluskan. Namun, selepas menilai keperluan terkini dan mendapati jumlah mangsa terjejas lebih besar daripada jangkaan awal,” katanya. Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas lawatan dan santuni mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Telaga Papan di sini hari ini. Turut mengiringi beliau Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat. Menurut Menteri Kewangan itu, peruntukan berkenaan akan digunakan untuk membaiki infrastruktur asas seperti jalan raya, pembentung dan menaikkan aras jalan di kawasan Hulu Besut yang terjejas teruk akibat banjir.  “Selain itu, kerja-kerja pembersihan, termasuk tandas-tandas sekolah, turut dimasukkan dalam peruntukan tambahan. “Kerja-kerja pembersihan ini penting supaya sekolah dapat beroperasi semula tanpa gangguan,” tambah beliau. Perdana Menteri turut memberi jaminan bahawa negeri-negeri lain yang terjejas akibat banjir akan menerima bantuan berdasarkan keperluan masing-masing. “Kita sedang pantau keadaan di negeri-negeri lain.  “Saya jangka keseluruhan bantuan banjir di seluruh negara kali ini hampir mencecah RM1 bilion,” ujarnya.
01 Dec 24
249
Dapur Rakyat PKM Sura Bantu Mangsa Banjir
Dapur Rakyat PKM Sura Bantu Mangsa Banjir
DUNGUN, 1 Disember - Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura mengambil inisiatif mewujudkan Dapur Rakyat sebagai usaha membantu mangsa banjir yang terjejas akibat hujan lebat yang melanda kawasan tersebut. Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin Tg Md Fauzi, usaha itu dilaksanakan berikutan jumlah mangsa banjir di kawasan DUN Sura yang meningkat secara mendadak dengan banyak kawasan yang sebelum ini tidak pernah dinaiki air, kini terperangkap dalam banjir. Menurutnya, Dapur Rakyat berfungsi menyediakan makanan dan keperluan asas kepada mereka yang terjejas dan dijalankan secara bergotong-royong, di mana sukarelawan dan anggota masyarakat bersama-sama menyediakan makanan untuk mangsa banjir. "Kita menghadapi situasi yang luar biasa ketika ini. Banyak kawasan yang tidak dijangka akan tenggelam, kini telah terjejas teruk. "Kami berterima kasih kepada semua sukarelawan dan dermawan yang telah menunjukkan semangat kebersamaan ini. Bantuan seperti ini sangat penting bagi memastikan tiada yang tertinggal dalam proses pemulihan pasca banjir. "Kami juga amat mengalu-alukan bantuan daripada semua pihak. Bagi mereka yang ingin menyumbang, sama ada dalam bentuk barang keperluan memasak atau sumbangan wang ringgit, anda boleh menyertai kami dalam meringankan penderitaan mangsa banjir ini," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), hari ini. Tambahnya, selain menyediakan makanan, PKM Sura juga berusaha memastikan bahawa bantuan terus sampai kepada mangsa yang memerlukan, terutama mereka yang terperangkap di kawasan-kawasan yang sukar diakses. Dr. Fakhruddin berharap, inisiatif kecil yang diusahakan untuk sama-sama 'merasai' keperitan mangsa banjir, dapat memberi sedikit kelegaan dalam menghadapi ujian besar ini.
01 Dec 24
293
Tiga PPS di buka di DUN Sura
Tiga PPS di buka di DUN Sura
DUNGUN, 28 November – Dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura setelah hujan lebat yang berterusan sejak awal pagi menyebabkan banyak kawasan dinaiki air. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin, berkata banjir yang melanda kawasan tersebut disebabkan oleh hujan yang tidak henti-henti turun, menyebabkan saliran longkang tidak mampu menampung jumlah air yang masuk. Keadaan ini menyebabkan limpahan air di beberapa kawasan sekitar Dun Sura. "Dua PPS iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Pusat Dungun dan Sekolah Kebangsaan Sura menempatkan penduduk yang terjejas. Setakat ini, lebih 100 orang telah dipindahkan ke PPS berkenaan melibatkan penduduk," katanya sewaktu membuat tinjauan di PPS berkenaan. Beliau turut menambah bahawa pihaknya bekerjasama rapat dengan agensi-agensi penyelamat termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), dan Majlis Daerah Dungun bagi memastikan keselamatan dan kebajikan mangsa banjir terjaga. Menurut Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin lagi, pihak berkuasa akan terus memantau keadaan cuaca dan paras air di kawasan terjejas, dan mengingatkan penduduk untuk sentiasa berwaspada serta mengikuti arahan pihak berkuasa. "Keadaan cuaca yang tidak menentu ini turut memberi cabaran besar kepada pihak berkuasa tempatan dalam menguruskan bantuan dan memastikan keselamatan orang ramai. "Saya harap semua penduduk dapat mengutamakan keselamatan diri dan keluarga. Elakkan daripada mendekati kawasan yang dinaiki air bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku," katanya.
29 Nov 24
140
Banjir Landa DUN Ajil, Tiga PPS Dibuka Untuk Mangsa
Banjir Landa DUN Ajil, Tiga PPS Dibuka Untuk Mangsa
HULU TERENGGANU, 20 November - Hujan lebat yang berterusan sejak semalam telah menyebabkan beberapa kawasan di Negeri Terengganu, termasuk di DUN Ajil, dilanda banjir.  Keadaan ini memaksa tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan mangsa yang terjejas. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim, yang juga merangkap ADUN Ajil, memaklumkan bahawa pihaknya segera turun padang bagi meninjau keadaan semasa dan memberikan sokongan moral kepada mangsa banjir. “Tiga PPS yang telah dibuka ialah PPS Surau Kolam yang menempatkan 6 keluarga, PPS Masjid Hadhari dengan 5 keluarga, dan PPS Masjid Tok Gebok yang menempatkan 3 keluarga,” ujar Maliaman menerusi hantaran di Facebook, semalam. Beliau turut memberi jaminan bahawa Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Ajil akan terus memantau keadaan dan memastikan bantuan segera diberikan kepada semua yang memerlukan. Maliaman turut menyeru orang ramai untuk berdoa agar keadaan kembali pulih dan banjir cepat surut.  “Semoga semua mangsa diberi kekuatan menghadapi ujian ini,” ujarnya dengan penuh simpati. Keadaan banjir yang melanda ini mencetuskan kebimbangan penduduk setempat, khususnya bagi mereka yang terpaksa meninggalkan rumah demi keselamatan.  Penduduk dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dan mengikut arahan pihak berkuasa dari masa ke semasa.
20 Nov 24
136
Monsun Timur Laut Dijangka Bermula Selasa
Monsun Timur Laut Dijangka Bermula Selasa
DUNGUN, 3 November - Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh dijangka bermula pada 5 November ini dan berterusan sehingga Mac 2025. Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip menerusi kenyataan dikeluarkan berkata, sepanjang tempoh lima hingga tujuh episod hujan lebat dijangka berlaku. Jelasnya, episod hujan lebat akan berlaku di Kelantan, Terengganu dan Pahang, dari November hingga Disember ini. Berikutan itu, Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli mengingatkan seluruh warga Dungun untuk bersedia menghadapi musim tengkujuh yang bakal tiba nanti. "Dalam fasa awal dari November hingga Disember, daerah kita berisiko mengalami hujan lebat yang berpanjangan. Keadaan ini boleh mengakibatkan situasi banjir di kawasan rendah dan berhampiran sungai. "Risiko ini akan bertambah sekiranya hujan lebat berlaku serentak dengan fenomena air pasang besar dan angin ribut. "Oleh itu, warga Dungun yang tinggal di kawasan-kawasan rendah digesa agar sentiasa bersedia dengan sebarang langkah keselamatan," katanya. Beliau yang juga Incident Commander Khidmat Malaysia Dungun (KHIDMAT), berkata demikian ketika berucap di Majlis Himpunan Sukarelawan Banjir PAS Dungun, yang berlangsung di Dewan KAFA, Masjid Lama Kg Sura, Dungun, semalam. Beliau turut berpesan kepada komuniti nelayan dan mereka yang bekerja di perairan supaya cakna terhadap perubahan angin kencang dan laut bergelora yang diramalkan berlaku sepanjang musim tengkujuh. "Risiko kenaikan paras laut dan ombak besar boleh mengancam keselamatan. Pastikan sentiasa mengikuti perkembangan cuaca sebelum ke laut." "Oleh itu, saya mengajak seluruh masyarakat untuk bersatu hati dan bersedia menghadapi cabaran Monsun Timur Laut ini. Jaga keselamatan diri, keluarga, dan komuniti kita. Sama-samalah kita berdoa agar segala ujian ini dipermudahkan oleh Allah SWT," katanya.
01 Nov 24
181