Artikel "Agama" Terkini
TIS Jadi Medan Penyatuan Umat Islam
KUALA TERENGGANU, 23 November - Terengganu International Summit (TIS) mampu menjadi medan suara penyatuan umat Islam serantau dan dunia.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, bertemakan 'Kesatuan Ummah Ke Arah Kemampanan Daya Tahan dan Kemakmuran Bersama' ia berperanan besar menyatu umat sekali gus memberi tanda positif untuk pembebasan Palestin.
"Juga turut membincangkan penyatuan ummah di Nusantara dan meletakkan tiga objektif utama, pertamanya membina jaringan memupuk pengaruh dalam pelbagai bidang kepakaran di peringkat antarabangsa dan dunia Islam.
"Kedua, mengemukakan resolusi bagi berkongsi cadangan dan idea yang rasional dan praktikal untuk dilaksanakan di semua peringkat.
"Ketiga, memperkasa agenda penyatuan ummah di peringkat pimpinan sehingga ke akar umbi dan merancang berdasarkan pembangunan Gaza dan Palestin sebagai wilayah solidariti ummah," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa sidang media TIS 2024, di Duyong Marina Resort, di sini, hari ini.
Turut hadir, Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Ahli Parlimen Marang yang juga Mantan Naib Pengerusi Kesatuan Ulama Islam Dunia, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
Dalam pada itu, Dr. Muhammad Khalil berkata TIS pada kali ini mengemukakan lima pembentang utama dari luar negara iaitu Oman, Syeikh Ahmed Saudi Al-Siyabi ; Rusia, Anuar Birgalin Azamatovich ; Turkiye. Ustaz Atid Agdag; Indonesi, Dr. Hurriyah El Islamy.
Katanya, resolusi perbincangan dari TIS itu akan dapat dicapai setelah Sidang Meja Bulat 1 yang melibatkan dua kumpulan.
"Kumpulan pertama akan membicarkan mengenai Penyatuan Ummah Dalam Konteks Negara Dan Global iaitu : Peranan dan Hala Tuju Ulama & Umara serta Perananan & Hala Tuju Masyarakat Sivil & Kumpulan Belia.
"Manakala pada Sidang Meja Bulat Sesi 2 pula ialahkumpulan satu membincangkan tentang Langkah Strategik Dalam Memperkukuhkan Kekuatan dan Sumber Organisasi Pimpinan Muslim.
"Kumpulan kedua pula membincangkan tentang Langkah Strategik Dalam Memperkukuhkan Kekuatan dan Sumber Kerajaan Pimpinan Muslim," jelasnya.
23 Nov 24
144
Amerika Melampaui Batas Kemanusiaan Lindungi Israel
KUALA TERENGGANU, 23 November - Tindakan Amerika menggunakan kuasa veto bagi melindungi pembunuhan yang dilakukan Israel adalah di luar batas kemanusiaan serta dianggap tidak berhati perut.
Mantan Naib Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, di saat masyarakat di Eropah telah bersetuju untuk mengheret Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa, Amerika pula ambil keputusan bertentangan atas dasar kepentingan.
"Keputusan itu (heret Israel) diterima oleh masyarakat negara eropah malangnya Amerika pula guna kuasa veto untuk menyekat, tindakan Amerika luar biasa dari kemanusiaan.
"Kerana siapa hendak menang presiden Amerika mestilah orang yang paling kuat sokong zionis baru akan menang menjadi presiden," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media semasa sidang medianya di Terengganu International Summit (TIS), Duyong Marina, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, mengenai dakwaan yang menyatakan Israel berhak mempertahankanya dirinya, Abdul Hadi menegaskan ia adalah tidak wajar serta tiada asas.
"Apa hak dia? Palestin itu saya sebut dalam ucapan saya tadi, Nabi Ibrahim berkata orang yang zalim tidak berhak menerima wasiat, hanya orang yang adil sahaja boleh menerima," ujarnya.
23 Nov 24
98
'Israel Tiada Hak Untuk Dipertahankan'
KUALA TERENGGANU, 23 November - Telah terang lagi bersuluh Israel merupakan negara haram yang tidak perlu diiktiraf dan dipertahankan serta kewujudannya telah mengakibatkan umat Islam di Palestin sengsara atas penindasan yang dilakukan.
Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kerana itu sejak dari dahulu tidak pernah berlaku dalam sejarah negara Malaysia mengiktiraf Israel malah tidak mempunyai sebarang hubungan.
"Sekiranya dia mendakwa atas keselamatan, maka dia berhak untuk dipertahankan (sepatutnya) dia juga berhak menerima bahawa orang Islam di Gaza lebih mempunyai hak untuk selamatkan diri mereka.
"Tetapi yang berlaku hari ini yang menyerang ialah Israel bukannya orang Islam yang menyerang Israel," ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa sidang medianya di Terengganu International Summit (TIS) 2024, di Duyong Marina Resort, di sini, hari ini.
Turut hadir, bekas Naib Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Dalam pada itu, Tun Mahathir menyatakan Benjamin Netanhayu wajar diheret ke mahkamah dunia dan menerima hukuman yang setimpal kerana telah membunuh puluhan ribu nyawa umat Islam yang tidak berdosa.
"Dia (Benjamin Netanhayu) penjenayah melakukan pembunuhan terhadap manusia, (jika) membunuh satu orang pun merupakan satu jenayah, ini dia bunuh 44,000 orang Islam ini merupakan penjenayah yang besar dan perlu dikenakan hukuman gantung," ujarnya.
Jelasnya, mengenai tindakan Amerika yang melindungi Israel katanya itu telah menjadi dasar negara terbabit.
"Walaupun mereka tahu apa yang dilakukan oleh Israel itu adalah satu jenayah besar tetapi Amerika masih lagi menyokong negara terbabit dengan mengenakan veto terhadap segala usaha (negara Islam) untuk menghentikan peperangan," ujarnya.
Dalam pada itu katanya, bagi membebaskan negara Palestin dariada terus dizalimi resepinya adalah melalui kesatuan umat Islam dan perlu menghindari perpecahan yang membawa kepada kepincangan.
"Orang Islam di dunia ini seramai 1.4 bilion orang tetapi kerana kita berpecah lawan sesama sendiri kita jadi lemah dan kita tidak mampu untuk menyelamatkan negara yang dihuni oleh umat Islam," katanya.
23 Nov 24
131
Terengganu Tidak Berganjak, Hukuman Sebat Tetap Diteruskan
KUALA TERENGGANU, 21 November - Kerajaan negeri tidak berganjak dan akan tetap meneruskan hukuman enam sebatan di khalayak ramai walaupun telah ada suara-suara dari golongan tertentu yang tidak mahu ia dilaksanakan sehingga melabelkan Terengganu sebagai negeri taliban.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata Kerajaan Terengganu tidak sesekali berganjak ke belakang dari tidak melaksanakan hukuman itu semata-mata dengan suara-suara yang tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut.
Menurutnya, hukuman itu adalah selari dengan tuntutan agama Islam dan ia selari dengan polisi kerajaan negeri yang menetapkan agenda pemerkasaan sebagai satu agenda utama.
"Dalam konteks ini kita akan 'move forward' tidak akan undur ke belakang untuk terus memperkasakan syariah di negeri Terengganu ini.
"Jadi kita akan terus melangkah ke hadapan dan tidak akan undur ke belakang, hasrat kita yang paling utama dalam pelaksanaan sebatan di khalayak ini adalah hendak memperkenalkan kepada masyarakat bahawa hukuman ini berbeza dengan undang-undang sivil untuk lebih mendidik bukannya untuk mencederakan," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media semasa menghadiri Dialog EXCO Peringkat Daerah Kuala Terengganu di Dewan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran, di sini, semalam.
Mengulas lebih lanjut katanya, hukuman sebat yang bakal dilaksanakan itu adalah kepada pesalah jenayah syariah yang melakukannya berulang kali.
"Jadi hakim (Mahkamah Syariah) boleh menentukan hukuman sebat ini di khalayak ramai mengikut bidang kuasa yang ada.
"Manakala agensi-agensi yang terlibat nanti akamn menjadi pelaksana dan setakat ini kita telah berbincang dan jawapannya sangat positif untuk memberikan kerjasama kepada kita," ujarnya.
21 Nov 24
1007
Paya Bunga Hotel Sumbang RM50 Ribu Buat Palestin
KUALA TERENGGANU, 12 November - Paya Bunga Hotel Terengganu menghulurkan sumbangan bernilai RM50,000 bagi membantu keperluan rakyat Palestin yang sedang berjuang mempertahankan tanah air mereka.
Pengerusi Ahli Lembaga Pengarahnya, Ahmad Shah Muhamed berkata inisiatif dengan kerjasama Iman Care dan Cinta Gaza Malaysia itu adalah bukti sokongan pihak hotel terhadap usaha kemanusiaan global.
Selain sumbangan yang diberikan, konsert amal 'Kubah Hayat Untukmu Palestin' yang diadakan pada Sabtu lalu turut mengumpulkan dana dan melancarkan tabung kutipan sebagai usaha memperkukuhkan komitmen jangka panjang dalam misi membebaskan Palestin.
"Konsert ini bukan sekadar hiburan, tetapi satu manifestasi solidariti dan tanggungjawab bersama dalam membantu saudara-saudara kita di Palestin. Ia membuktikan bahawa melalui seni serta perpaduan, kita mampu menyuarakan sokongan sekali gus menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan," katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan pihak Paya Bunga Hotel sempena konsert berkenaan.
Sumbangan tersebut diserahkan kepada Pengasas Cinta Gaza Malaysia, Nadir Al-Nuri yang turut hadir menyaksikan penampilan istimewa artis terkenal tanah air, Ramli Sarip dan Tokoh Puisi Kebangsaan 2024, Marzuki Ali.
12 Nov 24
121
Berkat Pelajari Seni Khat Daripada Suami, Isteri Muncul Juara
KUALA TERENGGANU, 6 November - Dengan minat yang mendalam melalui bakat yang diasah sejak kecil dan menerima tunjuk ajar daripada suami, Mohd Hisyamuddin Ramli yang merupakan penulis khat, Nurul Hidayah Jusof muncul johan kategori batik.
Katanya, itu merupakan percubaan pertamanya dalam kategori tersebut dan tidak menyangka akan muncul sebagai juara walaupun sebelum ini banyak kali menyertainya dalam kategori lain.
"Saya tidak menyangka percubaan pertama dalam kategori batik ini membawa kemenangan besar, sebelum ini saya hanya pernah mencuba menulis khat di atas kanvas dan sekadar mendapat hadiah saguhati dalam pertandingan yang disertai sebelum ini.
"Kali ini saya cuba sesuatu yang baru dan Alhamdulillah ada rezeki," ujar anak kelahiran Kuala Terengganu itu ketika ditemui di Festival Kaligrafi Islam Terengganu Peringkat Kebangsaan 2024, di Taman Tamadun Islam (TTI), di sini, semalam.
Tambahnya, minat yang berputik di sekolah terhadap seni khat itu tidak pernah terhenti sehingga bekerja di Yayasan Restu malah bertemu jodoh pula dengan suami yang cukup berkemahiran dalam seni khat secara tidak langsung telah membimbingnya selama ini.
"Suami saya yang telah banyak mengajar saya dan menjadi pendorong utama dan menjadi sumber inspirasi untuk terus berusaha dalam bidang yang diminati ini," katanya.
Dalam pada itu, suaminya pula mengharapkan agar kerajaan negeri akan terus menganjurkan program seumpama itu kerana ia merupakan salah satu usaha penting dalam memastikan seni itu terus berkembang.
"Jika lebih banyak acara seperti ini dianjurkan anak-anak muda akan lebih mudah mengenali dan menghargai seni khat walaupun dalam era media sosial di zaman adanya TikTok kerana seni ini memerlukan pendedahan yang lebih luas dan melalui festival ini ia menjadi peluang yang terbaik bagi mempamerkan bakat," jelasnya.
Manakala Johan Kategori Terbuka Spontan, Muin Afnawi Zamri Solihin melahirkan rasa syukur kerana berpeluang menyertai pertandingan di festival yang diadakan oleh kerajaan Terengganu.
"Bila kerajaan negeri mengambil inisiatif untuk memartabatkan seni ini, ia memberi semangat kepada kami untuk terus berkarya," katanya.
Menurut peserta dari Kedah itu bagi menghasilkan tulisan khat yang cantik ia memerlukan kesabaran dan kegigihan yang tinggi.
"Setiap huruf perlu ditulis dengan teliti dan penuh kesabaran. Saya rasa cabaran paling besar dalam bidang ini ialah kesabaran untuk menguasai setiap gerakan.
"Ramai yang mula belajar tetapi putus asa di tengah jalan kerana memerlukan latihan yang berterusan,"katanya.
06 Nov 24
248
Pelihara Seni Khat Selari Hasrat Kerajaan Terengganu
KUALA TERENGGANU, 5 November - Usaha memartabatkan kesenian Islam melalui Festival Kaligrafi Islam adalah selari dengan hasrat kerajaan Terengganu yang serius memastikan negeri ini mencapai kemajuan mengikut acuan Islam dari pelbagai sudut.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat berkata adalah menjadi matlamat bagi memelihara kesenian Islam itu dan mendorong minat generasi muda hari ini mempelajari warisan khat melalui penganjuran program yang diadakan.
"Sebenarnya memupuk minat generasi muda terhadap seni khat ini terutama daripada kalangan pelajar ini merupakkan suatu kebanggaan kita. Kerana mereka ini bakal meneruskan kecemerlangan Tamadun Islam, yang boleh kita panggil (istilahkan) bangkit kembali di Terengganu.
"Seiring dengan tema kerajaan negeri itu sendiri dan juga dengan seni budaya jawi yang juga menjadi lambang tamadun Terengganu dengan penemuan batu bersurat dan sebagainya kita harap ia dapat diteruskan.
"Kerana penuliasan al-Quran itu sendiri dengan nilai seni tersendiri menunjukkan banyak sumber-sumber yang mengambarkan tamadun warisan Islam yang tinggi untuk diterus serta diperkayakan pada masa-masa akan datang dengan melahirkan semula tokoh-tokoh khat yang dahulunya agak terkenal di negeri ini,"ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pihak media selepas hadir menyempurnakan perasmian penutupan Festival Kaligrafi Islam Terengganu Peringkat Kebangsaan 2024, di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam, di sini, semalam.
Dalam pada itu, Satiful merakamkan ucapan tahniah kepada Jabatan Hal Ehwal Islam Terengganu dan Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JAPINT) atas kejayaan menganjurkan acara berprestij itu yang disertai oleh 250 perserta dari seluruh Malaysia.
"Tahniah kerana berjaya mengamit kehadiran peserta yang secara keseluruhan memenuhi segenap ruang malah peserta dari luar Terengganu pun turut hadir bagi sama-sama memeriahkan festival pada kali ini," ucap beliau.
05 Nov 24
96
SG4 Perkasa Dakwah, Bukan Hanya Berorientasi Pelaburan
KOTA BHARU, 11 Oktober - Kerjasama yang terjalin antara negeri membentuk 'State Government 4' (SG4) bukan hanya berorientasi pelaburan bagi memperkukuhkan ekonomi tetapi turut mencakupi aspek yang lain termasuk memperkasakan dakwah.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis akan mengeratkan lagi kerjasama dalam memastikan agenda dakwah menjadi keutamaan bersama.
"Insya-Allah kita akan bekerjasama dengan lebih erat dalam aspek yang berkait dengan portfolio khususnya dalam bidang dakwah.
"Dengan mengambil semangat 'SG4' bukan sahaja dalam bidang pelaburan dan pembangunan insan bahkan juga dalam bidang dakwah ini.
"Antara benda menarik yang kita boleh dapat hasil daripada pertemuan ini ialah pengalaman Kelantan berkenaan dengan cara berdakwah kepada masyarakat bukan Islam untuk dibawa balik ke negeri Terengganu," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika mengadakan lawatan kerja ke Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim, di sini, semalam.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri Kelantan, Mohd Asri Mat Daud berkata, pertemuan itu sangat bermakna khususnya dalam berkongsi pengalaman dalam memperkasakan syariat Islam.
"Apabila kita berbincang tadi ada beberapa perkara yang perlu diselaraskan bagi memperkasakan dakwah kepada kelompok sasaran serta bukan Islam dan segmen syariah.
"Melalui jabatan-jabatan tertentu seperti Jabatan Agama, Jabatan Kehakiman Syariah, Jabatan Pendakwaan Syariah dan juga rakan-rakan strategik yang lain.
"Apa yang penting kita ingin mencapai objektif melalui beberapa penyelarasan program dengan kita saling mempelajari dari apa yang dilalui oleh Terengganu di bawa ke Kelantan dan pengalaman di Kelantan di bawa ke Terengganu untuk manfaat seluruh rakyat," katanya.
11 Oct 24
136
Sensitiviti Agama Perlu Dijaga - Maliaman
KUALA TERENGGANU, 29 September - Umat Islam di negeri ini hidup aman sentosa sejak sekian lama, segala sesuatu yang boleh menimbulkan kekeliruan dan kemarahan dalam kalangan umat Islam perlu dielakkan.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim bersetuju dengan tindakan Dewan Pemuda PAS Kemaman (DPPKK) yang telah membuat laporan Polis berhubung komen dalam facebook oleh individu yang menggunakan nama Lau Peter Lau kerana didakwa menyentuh sensitiviti agama Islam.
“Laporan Polis oleh DPPKK saya sangat sokong supaya perkara ini tidak dijadikan sebagai satu bahan yang boleh mencetuskan pergaduhan, sebagai masyarakat bukan islam sepatutnya tidak perlu sentuh, kerana ia adalah satu isu agama juga jadi privasi dan sensitif bagi orang islam.
“Masalah perpaduan di negeri ini kita anggap isu tidak besar, walaupun ia hanya sedikit dan kecil tapi boleh menjadi besar jika kita tidak bendung, tindakan itu penting sebagai pencegahan terhadap sebarang kemungkinan insiden yang boleh cetuskan ketegangan dan perpecahan di masa hadapan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Buku @PPAT 2024 di Dewan Teater, Perpustakaan Awam Negeri Terengganu, di sini baru-baru ini.
Turut hadir, Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu; Ridzuan Hashim, Ketua Penolong Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu; Syed Ab Rahman Hilmi Syed Zain, dan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu; Norliza Ismail.
29 Sep 24
143
Fatwa Ajaran Sesat, MKI ke-125 di Terengganu Jadi Tumpuan
KUALA TERENGGANU, 26 September - Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali ke-125 di Terengganu menjadi tumpuan seluruh Malaysia pada kali ini lebih-lebih ketika isu GISBH masih belum reda.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, melalui MKI penyelarasan daras-dasar Islam di seluruh negara akan dapat dicapai.
"Keputusan yang diambil dalam mesyuarat ini membantu menyatukan pandangan dan amalan antara negeri-negeri, sekali gus mengurangkan perbezaan dalam pelaksanaan hukum.
"Mesyuarat ini juga turut menyediakan platform bagi membincangkan isu-isu semasa yang dihadapi oleh umat Islam di Malaysia.
"Isu-isu seperti fatwa ajaran sesat, hukum hakam dan cabaran sosial ekonomi yang berkaitan dengan Islam dapat dibincangkan secara mendalam untuk mencari penyelesaian yang sesuai," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis ukhwah dan Mahabbah (Majlis Makan Malam) Sempena Meyuarat MKI Kali Ke-125, di Elysium, Menara Utara, KTCC Drawbridge, di sini, semalam.
Mengulas lebih lanjut, Muhammad Khalil berkata melalui kerjasama kerajaan negeri dan MKI tersebut secara tidak langsung ia turut mengiktiraf sumbangan dan komitmen kerajaan negeri dalam memajukan hal ehwal agama Islam.
"Ini akan mengalakkan kerajaan negeri untuk terus aktif dalam menyokong program-program keagamaan dan pembangunan Islam.
"Secara kesluruhannya, Mesyuarat Jawatankuasa MKI Kali Ke-125 yang diadakan dengan kerjasama kerajaan negeri ini adalah sangat penting dalam memastikan isu-isu agama ditangani dengan efektif, dasar-dasar Islam diselaraskan dengan baik.
"Serta pembangunan agama Islam dapat dijalankan dengan komprehensif dan berkesan," ujar beliau.
Tambah beliau, umat Islam hari ini perlu menyedari bahawa kebersamaan dan perpaduan merupakan kunci kepada kejayaan dan kesejahteraan ummah.
"Oleh itu, marilah kita terus memupuk semangat kerjasama dan saling membantu dalam setiap aspek kehidupan kita.
"Dengan adanya kerjasama yang erat antara semua pihak, kita pasti dapat mengatasi segala cabaran dan rintangan yang mendatang," katanya.
26 Sep 24
1127