Artikel "Agama" Terkini
Imtiaz Terengganu Sasar Saingi Pelajar Antarabangsa
KUALA NERUS, 25 September - Sekolah Menengah IMTIAZ Yayasan Terengganu menyimpan hasrat dan sasaran yang besar untuk bersaing dan duduk setaraf dengan pelajar antarabangsa dalam bidang akademik.
Pengarah Yayasan Terengganu, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham percaya dengan kualiti para pelajar Imtiaz dan yakin bakal setaraf dengan mahasiswa antarabangsa dalam beberapa tahun lagi.
“Saya agak terkejut dan kagum dengan kemampuan dan kebolehan pelajar tingkatan 1, jika 6 bulan perkembangan seumpama ini, kita yakin dalam masa 4 tahun setengah lagi, mampu bersaing dengan mereka di peringkat antarabangsa, itulah objektif sebenar penubuhan sejak 20 tahun lepas.
“Kita nak para pelajar di sini bukan hanya mampu menghafal Al-Quran, bahkan mahu mereka cemerlang dalam bidang akademik, supaya dapat bersaing dan duduk semeja dengan pelajar dari Universiti hebat dunia seperti Oxford, Cambridge Universiti atau setarafnya,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Majlis Penutupan Program Khas Asasi Ulul Albab, Sekolah-sekolah Menengah IMTIAZ Yayasan Terengganu tahun 2024, di Dewan Jubli Perak, Kompleks Pentadbiran Bandar Al-Wathiqu Billah, di sini semalam
Tambah Mohd Azmi, beliau yakin dengan kemampuan para guru untuk melatih dan mendidik pelajar dengan sistem ciptaan sendiri supaya menepati kejayaan yang disasarkan.
“Yakin dengan modul sendiri yang mampu memperkuatkan pelajar, permulaan 6 bulan pertama ini, kita berikan asas bagaimana untuk menjadi pelajar cemerlang.
“Semasa mula penubuhan dahulu, banyak sekolah luar datang untuk belajar dari Imtiaz, sekarang ada antara mereka mampu bersaing dan melebihi kita, itu tidak menjadi masalah, harapan Imtiaz supaya tidak ketinggalan dan sentiasa maju ke hadapan," katanya.
“Jika perlu adakan lawatan untuk tujuan pembelajaran dan tambah nilai pada Imtiaz, perlulah pergi ke Universiti yang lebih hebat supaya boleh belajar dari mereka. Jika nak jadi cerdik, mesti berkawan dengan orang cerdik, pemilihan kawan sangat penting untuk mencapai tujuan kejayaan.
“Sama-samalah kita berganding bahu supaya melahirkan teknokrat yang mampu menguasai pengetahuan arus perdana berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah untuk kesejahteraan Negeri Terengganu di masa akan datang," katanya.
26 Sep 24
664
Abu Al-Quran Dilupus Tujuh Batu Nautika
KUALA TERENGGANU, 24 September – Program Pelupusan Al-Quran Lama dan Rosak bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar telah berjaya disempurnakan hari ini dengan pelupusan kiub abu Al-Quran sejauh tujuh batu nautika dari daratan, di perairan Terengganu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed berkata program tersebut melalui kerjasama daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan NGO Barakah Terengganu.
"Langkah ini menandakan fasa terakhir bagi usaha pengumpulan dan pelupusan al-Quran lama serta rosak yang dijalankan sejak beberapa bulan yang lalu," katanya kepada pemberita selepas program berkenaan bertempat di perairan Sungai Terengganu di sini hari ini.
Ahmad Shah berkata program itu bertujuan untuk memastikan kitab suci al-Quran rosak, dilupuskan mengikut kaedah yang tertib dan sesuai dengan syariat Islam.
"Proses pelupusan melalui pembakaran terkawal dan pemampatan abu ke dalam kiub khas sebelum dilarutkan ke laut adalah satu pendekatan yang telah dipraktikkan dengan teliti.
“Pelupusan al-Quran lama ini adalah amanah yang perlu dilaksanakan dengan betul, dan kami berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat.
"Terutamanya JHEAT, UMT, Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) ADUN Bandar, NGO Barakah Terengganu serta institusi-institusi tempatan seperti Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman 1, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), serta masjid-masjid dan surau-surau dalam kawasan DUN Bandar,” ujarnya.
Tambahnya, kejayaan program tersebut bukan sahaja mencerminkan kerjasama baik antara pelbagai agensi dan komuniti, tetapi juga memperlihatkan kepentingan memelihara kesucian al-Quran dan menghormati warisan agama.
24 Sep 24
105
Tutup Premis GISB : Terengganu Tunggu Fatwa Muzakarah MKI
KUALA TERENGGANU, 22 September - Kerajaan negeri menunggu keputusan rasmi daripada Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) sebelum memuktamadkan sebarang tindakan ke atas premis perniagaan milik GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).
Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pada ketika ini pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi menjalankan siasatan.
"Di Terengganu ini tidaklah menonjol seperti di tempat-tempat yang lain, ia agak terkawal dan kesannya sangat minima.
"Kami di pihak kerajaan negeri masih menunggu maklumat yang jelas daripada mereka yang berautoriti menyiasat isu ini," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pihak media selepas menghadiri Program Townhall Persatuaan Mahasiswa Anak Terengganu (Permata) di Duyong Marina resort, di sini, hari ini.
Mengulas lebih lanjut, Dr Ahmad Samsuri berkata, tindakan menutup premis atau pembatalan lesen perniagaan organisasi tersebut dibuat berdasarkan keputusan fatwa Muzakarah MKI.
"Saya rasa sekarang ini premis mereka masih belum ditutup secara rasmi, kami juga masih menunggu sehingga ada keputusan rasmi, difahamkan Muzakarah MKI akan bersidang dalam masa terdekat.
"Kami tidak buat sebarang keputusan lagi kerana masih dalam tempoh pendakwaan, kita kena teliti dengan lebih lanjut agar tindakan diambil mengikut peraturan yang ada," ujarnya.
22 Sep 24
360
Sultan Terengganu Berkenan Rasmi Sambutan 75 Tahun Maidam
KUALA TERENGGANU,19 September - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli merasmikan Sambutan 75 Tahun Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), yang berlangsung di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, hari ini.
Keberangkatan tiba baginda diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah bersama Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin pada jam 11.10 pagi.
Keberangkatan tiba baginda disambut Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Kerajaan Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja serta Yang Dipertua Maidam, Dato' Shaikh Harun Shaikh Ismail.
Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Dato' Mufti Negeri Terengganu, Dato' Dr Mohamad Sabri Haron dan diteruskan dengan persembahan ucapan oleh Yang Dipertua Maidam, disusuli tayangan video sambutan.
Majlis disempurnakan dengan titah Tuanku Sultan sekali gus merasmikan Majlis.
Baginda diiringi Yang di-Pertuan Muda Terengganu kemudian berkenan mencemar duli menandatangani buku Sambutan 75 Tahun Maidam sebagai simbolik pelancaran.
Majlis diteruskan dengan Persembahan Cek Cura Sumbangan Dana Wakaf/Asnaf kepada Tuanku Sultan.
Baginda diiringi Sultanah Nur Zahirah bersama Yang di-Pertuan Muda Terengganu serta Menteri Besar berangkat pulang pada kira-kira jam 12.20 tengah hari.
19 Sep 24
342
Sultan Terengganu Titah Perkasakan Program Pupuk Akhlak Mulia Anak Muda
KUALA NERUS, 16 September - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menitahkan agar program memupuk akhlak mulia dan sahsiah terpuji kalangan anak muda di negeri ini diperkasakan.
Baginda bertitah, usaha perlu dilakukan melalui institusi pendidikan agama bagi menyediakan ruang yang mencukupi untuk pembelajaran ilmu agama yang komprehensif dan mendalam.
"Masjid dan surau bukan sahaja dijadikan tempat beribadat tetapi juga pusat pendidikan dan pembentukan akhlak.
"Program-program seperti kelas agama, kuliah maghrib dan kem ibadah harus diperbanyakkan dan diperkuatkan.
"Sebagai contoh, Program Sijil Pengajian Agama Islam Terengganu (SPAIT) yang telah dilaksanakan di masjid-masjid terpilih di negeri Terengganu menjadi platform terbaik kepada rakyat untuk mengikuti pengajian agama secara berstruktur dan tersusun," titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan menyempurnakan Majlis Perasmian Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Terengganu, di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri Gong Badak, di sini, hari ini.
Keberangkatan tiba baginda mencemar duli merasmikan majlis tersebut turut diiringi, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah bersama paduka anakanda, Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail.
Terdahulu keberangkatan tiba baginda berdua disambut Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Dalam pada itu, baginda turut berharap agar program memperkasakan akhlak rakyat seperti SPAIT dapat diperluaskan lagi dan merangkumi seluruh masjid kerajaan di Terengganu pada masa akan datang.
"Bersempena sambutan Maulidur Rasul pada kali ini juga, Beta mendoakan semoga kita semua dirahmati dan diberi taufik oleh Allah SWT.
"Semoga apa yang dilaksanakan ini akan menjadi asbab untuk kita mendapat syafaat besar Rasulullah SAW hari akhirat nanti, insya-Allah," titah baginda.
Sementara itu, baginda turut berkenan menyempurnakan penyampaian hadiah kepada pemenang-pemenang perarakan bersempena Sambutan Maulidur Rasul kali ini.
16 Sep 24
289
Pelajar Terengganu Bakal Luaskan Pengajian ke Cape Town
KUALA TERENGGANU, 12 September - Kerajaan Negeri melalui Yayasan Terengganu akan menghantar pelajar pada tahun ini melanjutkan pengajian di Cape Town, South Afrika.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat berkata kerajaan sedia menerokai pusat pengajian baharu bagi pelajar meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
“Kita sedang rancang hantar pelajar ke Cape Town, South Afrika, tahun ini ada dua pelajar bidang perubatan akan ke Universiti Cape Town, empat pelajar Pengajian Islam ke Peace Universiti.
“Pelajar akan menuntut dalam buku teks bahasa arab, tetapi pertuturan digunakan adalah bahasa inggeris, pelajar sangat untung dapat kuasai dua bahasa,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Majlis Multaqa Badan Pengelola Institusi Pendidikan Islam Negeri Terengganu 2024 di dewan Auditorium, JHEAT.
Kata Satiful Bahri, kerajaan sedia membuka peluang kepada pelajar daripada institusi persendirian yang berminat, boleh hubungi Yayasan Terengganu, akan tetapi segala perbelanjaan adalah di bawah tangungjawab ibu bapa sendiri.
“Sebelum ini, kerajaan berjaya hantar pelajar menyambung pengajian ke Universiti samada di Tunisia, Qatar, Mesir, Jordan dan Turki, ada antaranya dapat peluang belajar secara percuma tanpa bayaran, ditanggung sepenuhnya oleh pihak Universiti, tapi kuota tersebut agak terhad.
“Pihak kita juga sedia membantu dan buka ruang bagi mana-mana pelajar yang berminat sambung pengajian di Libya, Lubnan, Damsyik dan Yaman, kita ada peluang di sana tetapi segala perbelanjaan adalah ditanggung sendiri,” katanya.
Seperti kebiasaan, pada tahun ini pihak kerajaan masih lagi meneruskan penghantaran pelajar ke Mesir, Turki, Jordan dan sebagainya.
12 Sep 24
279
Kerajaan Negeri Salur RM2.59 Juta Elaun Guru Al-Quran
KUALA TERENGGANU, 12 September - Kerajaan Negeri akan menyalurkan peruntukan sebanyak RM2.59 juta kepada Yayasan Islam Terengganu (YIT) pada minggu hadapan untuk diagihkan kepada guru-guru al-Quran.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, bayaran itu adalah elaun mengajar bagi bulan Januari hingga Ogos tahun ini.
"Kos itu melibatkan 1,380 guru di seluruh Terengganu dengan jumlah keseluruhan sebnyak RM440,000 bagi setiap bulan," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman hari ini.
Jelas Dr Muhammad Khalil lagi, bagi bayaran untuk bulan berikutnya, peruntukan bagi tujuan tersebut akan disalurkan seperti biasa pada setiap bulan.
"Jadi insya-Allah tidak akan timbul lagi masalah bayaran lewat atau tertangguh.
"Kelewatan yang berlaku adalah disebabkan masalah bayaran royalti di peringkat Persekutuan.
"Tahun-tahun sebelum ini masalah agihan elaun kepada guru-guru tidak berlaku kerana wang royalti disalurkan seperti biasa dan tanpa sebarang kaedah yang menyulitkan," jelasnya.
12 Sep 24
2127
Serius Perkasa Agama Melalui Institusi Pendidikan Islam
KUALA TERENGGANU, 12 September - Kerajaan Terengganu melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT) memberi perhatian serius untuk memperkasakan agama dengan memperkukuhkan institusi pendidikan Islam.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat berkata, kerajaan sedia memperkukuhkan fahaman masyarakat dengan penyuburan Pendidikan Islam.
“Menjadi tanggungjawab dan amanah kita untuk memastikan masyarakat subur dengan Islam dan sedia mempertahankannya untuk ratusan tahun akan datang, salah satu jalannya adalah melalui sistem pendidikan Islam.
“Masyarakat kita perlu diberi kefahaman agama yang utuh supaya ada jati diri dan keteguhan jiwa untuk berdepan dengan ideologi luar seperti liberalisme, sekularisme dan sebagainya,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Majlis Multaqa Badan Pengelola Institusi Pendidikan Islam Negeri Terengganu 2024 di dewan Auditorium, JHEAT.
Turut hadir pada majlis tersebut Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu; M. Rozi Bidin, Pengarah JPINT; Lothman Awang dan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Rabitah Institusi Pendidikan Islam Terengganu, Muzaihar Kamal Mustapa Kamal.
11 Sep 24
120
Negeri SG4 Sepakat Jadi Negeri Mesra Pendidikan Agama Rakyat
KUALA TERENGGANU, 11 September - Empat buah negeri SG4 Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis sepakat untuk menjadi negeri yang mesra dengan pendidikan agama rakyat.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat berkata, perkara itu telah disepakati dalam pertemuan kemuncak SG4 baru-baru ini.
"Dalam pertemuan itu antara yang menjadi tumpuan adalah menjadikan empat buah negeri ini sebagai negeri yang mesra dengan pendidikan agama rakyat.
"Supaya semua institusi agama yang dibangunkan secara persendirian yang dimiliki masyarakat membabitkan tahfiz, sekolah rendah Islam, koleh dan sebagainya untuk diberikan tumpuan dengan memberi sokongan dan dokongan semampu yang kita dapat.
"Supaya institusi pendidkan agama ini akan sama-sama dapat berdiri tinggi dan sama-sama berusaha untuk memperkasakannya," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada ketika menyempurnakan perasmian Majlis Multaqa Badan Pengelola Institusi Pendidikan Islam Negeri Terengganu 2024, di sini, semalam.
Mengulas lebih lanjut, Satiful berkata sejak 2018 kerajaan negeri sentiasa memberi tumpuan kepada sekolah agama rakyat ini agar tidak terpinggir dalam memastikan ia berupaya untuk memenuhi permintaan ibu bapa yang menjadikan sekolah agama sebagai alternatif terbaik.
"Kita sama berusaha untuk mememnuhi permintaan ibu bapa yang memberikan kepercayaan untuk menghantar anak mereka ke pusat pengajian agama dengan pelbagai pilihan yang ada dalam memastikan generasi yang terbaik dan beriman akan dapat dilahirkan selaras dengan Terengganu yang dikenali sebagai 'Darul Iman'," ucap beliau.
Dalam pada itu katanya kesedaran ibu bapa di Terengganu terhadap pendidikan agama sangat tinggi sehingga Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) sentiasa menjadi rebutan.
"Kita sangat menitikberakan soal ini sehingga kita memberikan keutamaan dan berjanji bagi mewujudkan SRIDI di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) sekarang ini yang dah tebrina 12 dari 32.
"Sekarang ini kita ke araha mewujudkan Sekolah Menengan Agama Islam Darul Iman (SMIDI).
"Dengan permintaan yang tinggi menunjukkan bahawa kesedaran dalam kalangan masyarakat sangat baik dan akan membawa perkembangan pendidikan berorientasikan Islam semkain berkembang maju,"ujarnya.
11 Sep 24
115
'Kenakan Tindakan Tegas Terhadap Teresa Kok'
MARANG, 8 September - Anak Muda di daerah ini menggesa agar Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok disiasat dan dikenakan tindakan tegas atas kenyataannya yang didakwa mencampuri urusan umat Islam.
Ketua Pemuda PAS Marang, Ustaz Yusuf Abdul Hadi menegaskan, ucapan Ahli Parlimen Seputeh itu merupakan tindakan yang cukup biadap.
"Kami ingin bertanya kepada beliau, apa urusan beliau dengan halal haram umat Islam, perkara ini tiada kena mengena dengan bukan Islam.
"Kami melihat, pemimpin DAP sering menimbulkan sesuatu perkara yang membangkitkan kemarahan umat Islam," katanya selepas membuat laporan polis terhadap Teresa Kok di Balai Polis Marang hari ini.
Tegas Yusuf, umat Islam memohon agar pihak polis menjalankan siasatan dengan telus bagi membolehkan tindakan diambil atas kenyataan yang cukup bahaya itu.
"Kenyataan Teresa Kok menyentuh 3R melibatkan sensitiviti umat Islam, kami pohon pihak polis mengambil tindakan atas akta hasutan dan sebagainya.
"Jika perkara ini tidak dikenakan tindakan tegas, tak mustahil selepas ini banyak lagi kenyataan menyentuh sensitiviti Islam atau agama lain akan dibuat pihak tidak bertanggungjawab," jelas beliau.
Kelmarin, Teresa Kok berkata, langkah mewajibkan restoran dan syarikat makanan yang tidak menyajikan daging babi serta alkohol mendapatkan pensijilan halal berpotensi menambah beban kepada perniagaan termasuk melibatkan ribuan pengusaha restoran Melayu.
Kata beliau lagi, ia bertentangan dengan semangat kepelbagaian budaya selain mungkin menjadikan Malaysia sebagai bahan ejekan di luar negara.
08 Sep 24
140