Artikel "Agama" Terkini
Lama Menanti, Jemaah Teruja Boleh Solat Semula Di Masjid
Oleh : Izzat Al Qushairi
KUALA NERUS, 12 Jun - Rata-rata anak Muda di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit melahirkan rasa teruja apabila orang ramai dibenar solat di masjid semula selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ditamatkan.
Salah seorang daripada mereka, Mohamad Shahiran Ismail, 25, berkata walaupun pihak berkuasa menetapkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, dia sangat bersyukur kerana masjid dan surau akan kembali diimarahkan umat Islam.
"Alhamdulillah, hari ini kita semua boleh solat di masjid, dan bagi solat Jumaat di Masjid Bukit Cempaka, di sini, pihak masjid menetapkan seramai 231 orang sahaja untuk menunaikan solat.
"Kami anak muda mengucapkan terima kasih tidak terhingga selepas hampir tiga bulan tidak dapat pergi ke masjid, sangat rindu dan sangat terkesan dengan keadaan yang berlaku," katanya ketika ditemui pemberita.
Dalam pada itu Pegawai Penyelaras DUN Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail, berkata kebenaran menunaikan solat itu diperluaskan selepas mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin seiring dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun hingga 31 Ogos sebagaimana diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.
"Penggunaan masjid dan surau untuk pelaksanaan solat Jumaat dan solat berjemaah hendaklah mematuhi sepenuhnya garis panduan dan prosedur yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia.
"Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) sudah mengeluarkan satu garis panduan dan kaedah terkini pelaksanaan kedua-dua solat terbabit," katanya.
Beliau berkata, semua Pengerusi Jawatankuasa Kariah masjid dan surau di negeri itu dikehendaki menyelia dan memastikan garis panduan berkenaan dipatuhi.
Kebenaran itu tegas beliau diputuskan selepas mempertimbangkan mengenai kelonggaran yang diberi susulan PKPP yang dikuat kuasakan.
01 Jul 20
185
Malaysia Tangguh Hantar Jemaah Haji Tahun Ini
PUTRAJAYA, 11 Jun - Kerajaan Malaysia mengambil keputusan untuk menangguhkan penghantaran jemaah haji tahun ini, berikutan penularan wabak COVID-19.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, langkah itu dibuat setelah mengambil kira keutamaan kesan kesihatan kepada penduduk negara ini.
"Saya ingin mengumumkan kepada semua rakyat Malaysia, bagi musim haji 1441H ditangguhkan ke tahun depan.
"Tabung Haji akan mengeluarkan kenyataan dan soalan lazim berkaitan penangguhan haji ini," katanya dalam sidang media khas di Putrajaya hari ini.
Mengulas mengenai kemungkinan penambahan kuota haji tahun depan berikutan penangguhan penghantaraan jemaah tahun ini, Zulkifli berkata, jumlah itu bergantung kepada perbincangan dengan kerajaan Arab Saudi selepas musim haji tahun ini.
Beliau sebelum ini memaklumkan jumlah jangkitan COVID-19 melebihi 100,000 kes antara pertimbangan kerajaan Malaysia membenarkan jemaah ke Makkah atau sebaliknya.
01 Jul 20
43
Semua Masjid Di Terengganu Dibenar Solat Jumaat, Solat Jemaah
KUALA TERENGGANU, 9 Jun - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin memberi perkenan untuk membenarkan solat Jumaat dan solat fardu berjemaah diadakan di semua masjid serta surau bermula 12 Jun ini.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Dato' Osman Muda berkata, kebenaran itu diberikan selepas mendapat pandangan daripada Pengarah Kesihatan Negeri, Ketua Polis Negeri dan Majlis Keselamatan Negera (MKN) Negeri Terengganu.
“Ia juga selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang dilaksanakan kerajaan, maka kita bersetuju untuk memperluaskan kebenaran solat Jumaat kepada semua masjid dalam negeri Terengganu.
“Kita juga membenarkan solat fardu lima waktu secara berjemaah diadakan di semua masjid dan surau pada tarikh yang sama iaitu 12 Jun atau Jumaat ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut beliau mengatakan, bilangan jemaah yang hadir adalah mengikut ruang keluasan setiap masjid dengan mengambil kira pematuhan prosedur operasi standard (SOP).
“Susunan antara ahli jemaah yang terdiri daripada anak mukim mesti dijarakkan satu meter.
“Individu yang mempunyai gejala seperti demam, sesak nafas, sakit tekak dan selsema serta mereka yang mempunyai penyakit kronik tidak dibenarkan hadir.
“Kanak-kanak berumur lima belas tahun ke bawah dan warganegara asing juga dilarang hadir,” katanya.
Katanya lagi, semua yang hadir juga hendaklah terus beredar meninggalkan kawasan masjid setelah selesai solat.
“Ahli jemaah juga mesti membawa sejadah sendiri dan berwuduk terlebih dahulu sebelum hadir ke masjid dan surau,” tegasnya.
Bagi memastikan aliran pengudaraan di dalam ruang solat, beliau menyarankan agar pihak masjid membuka semua jendela dan menggunakan kipas angin sahaja.
01 Jul 20
201
Isu Arak, Terengganu Teliti Keputusan Kerajaan Pusat
KUALA TERENGGANU, 4 Jun- Kerajaan negeri sedia menimbang isu penjualan minuman keras termasuk cadangan membekukan lesen di Terengganu susulan peningkatan jumlah kemalangan membabitkan pemandu mabuk yang berlaku ketika ini.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, walaupun belum ada kes kemalangan membabitkan pemandu mabuk di Terengganu, pihaknya tetap memandang serius perkara itu.
"Kita bersedia melihat isu berkenaan memandangkan ia sedang dikaji di peringkat pusat.
"Kita akan tengok dulu di peringkat kementerian, apa garis panduan diberikan dan langkah seterusnya akan diambil selepas itu.
"Segala keputusan bergantung kepada keputusan kementerian dan lihat suasana negeri sebab setiap negeri tidak sama," katanya selepas merasmikan Majlis Penyerahan Faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial di Perkarangan Tingkat U2, Wisma Darul Iman di sini semalam.
Sebelum ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membekukan semua permohonan baharu lesen minuman keras di ibu negara berkuat kuasa serta-merta.
Ia mendapat sokongan ramai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat bukan Islam.
01 Jul 20
388
Terengganu Rangka SOP Pelaksanaan Ibadah Korban
Oleh : Hidayah Azlin
SETIU, 2 Jun – Ekoran wabak COVID-19 yang masih belum reda, kerajaan Terengganu mengambil langkah awal untuk meneliti prosedur operasi standard (SOP) khas bagi pelaksanaan ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha akan datang.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, ia akan diteliti dengan rapi bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini.
"Ini adalah makluman awal kerana pihak kerajaan negeri dan JPV mahu supaya ibadah korban dibenarkan perlaksanaannya.
"Perkembangan SOP ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa sama ada ia dilakukan di rumah sembelihan, masjid, surau atau tempat-tempat tertentu yang dibenarkan, kita juga akan rujuk pihak-pihak berautoriti," katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas mengadakan perbincangan bersama Pengarah JPV Terengganu, Dr Mohd Termizi Ghazali di Wisma Darul Iman hari ini.
Sehubungan dengan itu, sebagai persediaan ke arah pelaksanaannya, kebenaran untuk memindahkan ternakan antara daerah-daerah dan negeri-negeri bagi tujuan ibadah korban adalah dibenarkan.
"Prosedur biasa untuk pindahan dengan permohonan permit di Pejabat JPV daerah yang berdekatan dari jam 8 pagi hingga 5 petang. Temu janji adalah digalakkan untuk mengelakkan perkumpulan ramai.
"Setiap permohonan permit sembelihan, lembu atau ternakan akan diperiksa oleh kakitangan JPV sebelum permit dikeluarkan bagi memastikan ternakan bebas wabak," tambah beliau.
01 Jul 20
43
Cacat Penglihatan Tak Halang Yusnita Jayakan ‘Quran Hour’
KUALA NERUS, 13 Mei - Meskipun dalam keadaan tidak mampu melihat, Nor Yusnita Mohamad, 36, tetap berjiwa besar dan bersemangat menjayakan World Quran Hour (WQH) edisi 2020 yang berlangsung hari ini.
Yusnita yang cacat penglihatan sejak kecil ditemani bapanya, Mohamad Awang menjayakan WQH di Pusat Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) Wilayah Terengganu di sini.
“Alhamdulillah, saya dan ayah seronok dapat bersama-sama rakan-rakan lain menjayakan WQH, hampir sejam kami membaca surah ar-Rahman bersama-sama,” katanya ketika kepada pemberita.
Menurutnya, selepas disahkan cacat penglihatan sewaktu kecil dia mempunyai keazaman yang tinggi untuk menguasai al-Quran.
“Walaupun pada awalnya ia sangat sukar bagi saya dan saya hampir berputus asa, namun dorongan daripada keluarga dan rakan-rakan membuatkan saya dapat menguasai al-Quran dalam masa dua bulan.
“Saya belajar al-Quran braile di sini (PERTIS) dan juga dengan ayah saya yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan sejak tahun 2005, dan sekarang saya merasa puas dapat menguasai kalam Allah,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi OKU penglihatan, Nai’mah Mansor, 59, berkata, sebelum ini dia tidak pernah ketinggalan dalam mengikuti WQH di TV Al-Hijrah.
“Apabila ada program WQH ini, saya sering mendengar dan mengikuti bacaannya di televisyen, termasuk tahun ini, tetapi berbeza kerana hari ini saya baca bersama rakan-rakan saya.
“Alhamdulillah, walaupun tidak boleh melihat dengan sempurna, saya bersyukur kerana masih mampu membaca surah dengan baik,” ujarnya yang disahkan mengalami Glaukoma.
Dalam pada itu, Mohd Imranfaisal Zulkifli, 36, pula berkata, dia bersyukur kerana masih diberi keizinan untuk mengikuti aktiviti WQH meskipun dalam serba kekurangan berbanding enam tahun lalu.
“Pada 2014 saya kemalangan sehingga mengakibatkan saraf optik saya rosak dan disahkan buta.
“Saya redha, ini ujian buat saya kemudian selepas itu saya mula belajar braile dan mengambil masa enam bulan untuk menguasai al-Quran ini, sekarang saya dah boleh mengaji dengan baik.
“Isteri saya juga banyak membantu dalam mempelajari al-Quran braile ini, kami juga belajar di sini bersama-sama, alhamdulillah,” tambahnya yang baru dua tahun berkahwin.
Hari ini seluruh negara mengadakan WQH secara serentak bermula dari pukul 11 pagi hingga 12 tengah hari dan Surah Ar-Rahman dipilih sebagai Surah pilihan.
30 Jun 20
245
SOP Solat Jumaat, Jemaah Diketahui Khamis Ini
KUALA TERENGGANU, 12 Mei - Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi solat Jumaat dan solat berjemaah di masjid sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), dijangka diketahui Khamis ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hal Ehwal Agama, Dato' Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, beliau akan bermesyuarat bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin petang ini bagi membincangkuan garis panduan berkenaan.
"Hari ini saya akan bincang, kemudian esok dibawa masuk ke mesyuarat Kabinet," katanya sebagaimana dilapor Berita Harian.
Menurut Zulkifli, cadangan tersebut kemudiannya akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Majlis Raja-Raja dan pihak berkuasa negara.
"Prosedur itulah yang kita lakukan termasuk mengambil saranan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), untuk SOP yang akan kita bina, Insya-Allah," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan keputusan Perlis membenarkan solat Jumaat bersyarat mulai 15 Mei ini adalah mengikut bidang kuasa agama negeri masing-masing.
Mengulas mengenai solat Aidilfitri pula, beliau berkata perkara itu juga akan diperhalusi secara khusus dalam masa terdekat.
30 Jun 20
115
Semarak Ramadan, 8 Ribu Kurma, Jus Dan Takwim Diagih
Shafizi (kanan).Oleh : Izzat Al-QushairiSETIU, 22 April - Bagi menyemarakkan suasana Ramadan, Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit telah mengagihkan 8,000 kurma, jus dan takwim Ramadan kepada masyarakat di DUN berkenaan semalam.Pegawai Penyelaras DUN Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata, suasana tahun ini sedikit 'suram' ekoran wabak COVID-19 yang masih belum reda sepenuhnya."Berkemungkinan sambutan Ramadan agak berbeza berbanding tahun sebelumnya kerana virus pandemik yang melanda dunia."Tahun lepas kita boleh ke masjid atau surau untuk berbuka puasa serta solat tarawih beramai-ramai tetapi mungkin pada tahun ini tidak seperti itu," katanya selepas program agihan terbabit.Menurutnya, Ramadan lalu, suasana di setiap kampung sangat meriah dengan alunan bacaan imam-imam semasa solat tarawih."Golongan hafiz megimami solat kita dengan bacaan yang lunak, sedap didengar dari juzuk pertama sehingga 30 dapat kita hayati."Tahun ini ketua keluarga atau anak lelaki akan dinaikkan pangkat daripada makmum kepada imam bersama keluarga."Maka semua ini memerlukan persediaan yang rapi agar Ramadan yang bakal tiba tidak datang dengan suasana kelam," nasihat beliau.Aktiviti pembahagian kurma, jus dan takwim merupakan salah satu daripada program 'Kasihmu Ramadan' yang telah disusun oleh Pusat Khidmat DUN Batu Rakit dan Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Pemuda PAS DUN Batu Rakit.Ia bagi memupuk semangat menghidupkan suasana Ramadan dalam kalangan masyarakat setempat.
21 Apr 20
155
Duta Khas : Ulama Dunia Zahir Sokongan Kepada Abdul Hadi
Sheikh Ahmad Ar-Raisuni (kiri) bersama Tuan Guru Abdul Hadi.MARANG, 21 April - Kesatuan Ulama Islam Sedunia (KUIS) menzahirkan sokongan kepada Ahli Parlimen Marang, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang dilantik sebagai Duta Khas kerajaan Malaysia ke Timur Tengah Bertaraf Menteri.Pengerusi KUIS, Prof Dr Syeikh Ahmad Abdul Salam Ar-Raisuni berkata, pihaknya amat yakin Abdul Hadi Awang adalah individu yang sangat layak bagi jawatan tersebut kerana pengalaman yang ada padanya."Ia merupakan pelantikan tepat dan sesuai dengan ketokohan dalam bidang keilmuan, keagamaan serta politik Abdul Hadi."Malah sesuai dengan sumbangan besar beliau dalam membina kesatuan rakyat di Malaysia," ujarnya dalam kenyataan semalam.Menurut Sheikh Ahmad Ar-Raisuni lagi, KUIS berharap agar Presiden PAS itu dapat memberikan khidmat yang terbaik dalam tugasan baharu nanti."Kami juga bersedia untuk mewujudkan kerjasama bagi memastikan dunia dan perihal Islam terus kukuh di bumi ini."Semoga kita sama-sama dapat membuka ruang kerjasama demi memartabatkan Islam dalam pelbagai bidang untuk kemaslahatan bersama," tambah beliau.
21 Apr 20
692
'Bayar Zakat Fitrah Secara Online' - MAIDAM
KUALA TERENGGANU, 21 April - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) menggalakkan rakyat di negeri itu untuk membayar zakat fitrah secara 'online' atau atas talian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).Dalam satu kenyataan kelmarin, MAIDAM berkata, pihaknya telah menetapkan beberapa perkara bagi membolehkan umat Islam menunaikan zakat dengan pantas dan selamat."Bayaran melalui FPX (secara atas talian) boleh dibuat di portal www.maidam.gov.my. atau menerusi aplikasi 'Snap & Pay' yang boleh dimuat turun dari Play Store," ujar kenyataan itu.Dalam pada itu, MAIDAM berkata, perkhidmatan pembayaran zakat fitrah melalui amil masih disediakan namun ia hanya terhad bagi mereka yang tiada kemampuan bergerak dan tidak mahir menggunakan teknologi atau tidak mempunyai capaian internet."Walaupun begitu, mereka ini disaran untuk mendapatkan bantuan ahli keluarga yang memahami dan mengetahui kaedah pembayaran atas talian dahulu."Sekiranya masih gagal dengan cara itu, pembayar boleh menghubungi amil di kawasan atau mukim masjid masing-masing."Orang ramai boleh melayari portal www.maidam.gov.my untuk mengetahui maklumat amil di setiap kawasan, kita telah melantik 1,089 amil mengikut mukim masjid," jelas MAIDAM.Tambah MAIDAM, untuk maklumat lanjut orang awam boleh layari www.maidam.gov.my atau melalui Facebook rasmi MAIDAM.
20 Apr 20
549