lightning-solid
Berita :

Artikel "Agama" Terkini

Terengganu Umum Lapan Masjid Untuk Solat Jumaat
Terengganu Umum Lapan Masjid Untuk Solat Jumaat
KUALA TERENGGANU, 18 Mei - Kerajaan negeri menerusi Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) hari ini mengumumkan senarai lapan masjid yang dibenar mengadakan solat Jumaat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Pesuruhjaya JHEAT, Mat Azmi Arshad berkata, lapan masjid itu adalah masjid di setiap daerah masing-masing termasuk Masjid Negeri, Masjid Abidin bagi daerah Kuala Terengganu. “Bagi daerah Kemaman, masjid yang dibenar adalah Masjid Sultan Ahmad di Chukai, Masjid Tengku Ampuan Intan Zaharah untuk Dungun, Masjid Sultanah Nur Zahirah (Marang), Masjid Sultan Mahmud (Hulu Terengganu). “Manakala bagi daerah Kuala Nerus, Setiu dan Besut masing-masing adalah Masjid Wakaf Tembesu, Masjid Bandar Permaisuri dan Masjid Sultan Nasiruddin Shah,” maklum beliau dalam kenyataan hari ini. Baru-baru ini Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin telah memberi perkenan untuk institusi masjid di Terengganu dibuka bagi aktiviti solat Jumaat dan fardu berjemaah. Walau bagaimanapun ia tertakluk kepada beberapa syarat yang ketat seperti jemaah solat Jumaat tidak dibenarkan melebihi 40 orang. “Sehubungan itu, Pegawai Agama Daerah akan bertanggungjawab dalam mengenal pasti jemaah yang akan menghadiri solat Jumaat dan catatan ahli jemaah dicatat dengan teliti," kata kenyataan itu.
02 Jul 20
519
Sultan Mizan Solat Jumaat Bersama 550 Rakyat
Sultan Mizan Solat Jumaat Bersama 550 Rakyat
Oleh : Aslam Wira KUALA TERENGGANU, 26 Jun - Kira-kira 550 jemaah menunaikan solat Jumaat bersama Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin di Masjid Sultan Ismail, Chendering di sini hari ini. Keberangkatan tiba Baginda jam 1.10 tengah hari yang diiringi puteranya, Tengku Sri Setia Mahkota Raja disambut Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Hadir sama, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Ahmad Amzad Hashim, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Zahari Md Azahar, Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Mat Azmi Arshad dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri. Sultan Mizan dan jemaah menunaikan solat dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan Garis Panduan yang telah ditetapkan pihak berkuasa.
02 Jul 20
228
Sukarelawan Wanita Bantu Permudah Solat Jumaat
Sukarelawan Wanita Bantu Permudah Solat Jumaat
Oleh : Adli Mohamad DUNGUN, 23 Jun- Sukarelawan Khas Wanita telah dibentuk bagi memudahkan pelaksanaan Solat Jumaat di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, disini. Ketuanya, Zakiah Alias berkata ianya bagi membantu kefarduan Solat Jumaat secara berjemaah itu mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) telah ditetapkan. "Seramai lapan sukarelawan wanita ditugaskan untuk mengambil bacaan suhu serta menulis maklumat diri jemaah yang hadir. "Serta memastikan mereka yang hadir membawa sejadah sendiri dan memakai pelitup muka serta mengawasi para jemaah agar mengamalkan penjarakan sosial," ujarnya ketika dihubungi pemberita. Zakiah yang  juga Penolong Penyelia Institut Modal Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN Bukit Besi berkata, semua petugas bersemangat memulakan tugas berkenaan tepat pada jam 12 tengahari dan berakhir jam 1.45 petang. "Alhamdululillah kita telah meringankan pelaksanaan solat berkenaan disamping turut memberikan penerangan yang betul kepada setiap jemaah yang hadir. "Kita turut teruja sebagaimana 652 jemaah yang hadir pada solat jemaah berkenaan apabila ianya mula dibenarkan pada dua minggu yang lalu," katanya. Tambah beliau, sukarelawan berkenaan ketika ditubuhkan pada minggu pertama seramai lima orang sebelum ianya bertambah pada minggu kedua seramai lapan orang. "InsyaAllah minggu hadapan akan bertambah 10 orang, agar pematuhan SOP berkenaan akan dapat dipatuhi sepenuhnya," katanya lagi.
02 Jul 20
126
Terengganu Lancar Buku Keluarga Mawaddah & Rahmah
Terengganu Lancar Buku Keluarga Mawaddah & Rahmah
KUALA TERENGGANU, 22 Jun - Kerajaan negeri mengambil langkah proaktif dalam usaha membina keluarga masyarakat Terengganu yang bahagia dan berkualiti dengan melancarkan Buku "Keluarga Mawaddah & Rahmah" di Wisma Darul Iman hari ini. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, inisiatif tersebut diyakini berupaya meningkatkan pengetahuan dan kesedaran masyarakat berkaitan peranan individu khususnya wanita dalam institusi kekeluargaan. "Alhamdulillah saya sangat berbesar hati kerana buku ini berjaya disiapkan. Inilah salah satu cita-cita dan harapan saya, iaitu satu lagi pendedahan kepada masyarakat khususnya wanita yang terdiri daripada ibu, isteri dan anak-anak kita. "Tentang bagaimana mereka memahami sebaik mungkin kehidupan seorang wanita berlandaskan kehidupan Rasullah bersama isteri-isteri dan anak-anak Baginda. Dengan sebab itu, hari ini penulis membentangkan semula kepada kita supaya kita dapat memahami peranan dan cabaran tersebut. "Justeru saya mengharapkan kita dapat memberi tumpuan membaca dan memahami buku ini di peringkat awal dan seterusnya bertanya guru masing-masing bagaimana menjalani kehidupan berkeluarga mengikut syariat Islam," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Buku "Keluarga Mawaddah & Rahmah", di sini. Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor. Hanafiah turut berterima kasih kepada penulisnya, Dr Hamdan Muhammad yang menganalisa dan melihat sendiri apa yang berlaku kepada kaum wanita dalam era globalisasi malah berkongsi ilhamnya dalam buku tersebut. "Bagi pihak kerajaan negeri, jutaan terima kasih kepada Dr Hamdan yang menulis dengan sebaik mungkin. Tulisannya sangat ringan dan mudah difahami. Itulah yang cuba ditonjolkan dalam cabaran dunia masa kini di mana berlakunya perceraian, masalah rumah tangga dan kerosakan akhlak. "Beliau menulis sebuah buku mengenai kasih dan cinta antara satu sama lain untuk menjadi pedoman dari awal dilahirkan sehinggalah berkeluarga dan akhirnya bertemu Allah SWT," jelasnya. Buku "Keluarga Mawaddah & Rahmah" terbitan Pustaka Damai Maahad Tahfiz Wal Tarbiyah (MTT) boleh ditempah dengan menghubungi Fatimah Harun (0163114272) atau Hanasidah (0129450527).
02 Jul 20
167
Imarahkan Kembali Masjid
Imarahkan Kembali Masjid
Oleh : Adli Mohamad DUNGUN, 15 Jun - Setelah hampir tiga bulan ditutup, akhirnya masjid dan surau kembali dibuka yang membolehkan umat Islam menunaikan solat Jumaat dan solat jemaah lima waktu. Pengerusi Masjid Muhajirin Felda Jerangau, Ridhuan Yusoff berkata, kebenaran menunaikan solat di masjid dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sewajarnya disambut dengan penuh iltizam oleh orang ramai untuk menunaikan solat jemaah setiap waktu terutamanya subuh agar institusi itu tidak lagi sepi. “Kerinduan umat Islam yang dipendam sekian lama untuk kembali ke masjid bagaikan sudah terubat. "Ini dapat dilihat ketika masjid kembali dibuka pada 12 Jun baru-baru ini dengan dimulakan Solat Jumaat, ramai yang hadir dengan memberikan kerjasama yang sangat baik serta tidak kurang yang bergambar kenangan di hari pertama. "Namun keterujaan tersebut jangan hanya dizahirkan pada ketika Solat Jumaat sahaja, sedangkan solat pada waktu lain terutamanya Solat Subuh, entah kemana," ujarnya ketika dihubungi pemberita, semalam. Ridhuan berkata, kesempatan kembali ke masjid itu harus digunakan dengan sebaik-baiknya. "Jangan ingkar dengan peraturan yang telah ditetapkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan ini. "Sama-samalah kita mendoakan agar wabak COVID-19 dihilangkan oleh Allah," jelasnya. Sementara itu, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, tidak kurang dari 1000 jemah yang hadir solat Jumaat baru-baru ini diseluruh masjid DUN tersebut. "Inilah masa yang ditunggu-tunggu sekian lama oleh umat Islam, sewajarnya disyukuri dengan dizahirkan kesungguhan untuk memakmurkannya," ujar beliau.  
02 Jul 20
114
Terengganu Benar Solat Jumaat Mulai 22 Mei
Terengganu Benar Solat Jumaat Mulai 22 Mei
KUALA TERENGGANU, 15 Mei - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin memberi perkenan untuk membenarkan solat Jumaat diadakan di masjid bermula 22 Mei selepas mendapat pandangan Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu. Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Dato' Osman Muda walau bagaimanapun berkata, kebenaran yang diberikan itu tertakluk kepada beberapa syarat termasuk hanya diadakan di satu masjid utama dalam setiap daerah seperti masjid Wakaf Tembesu bagi Kuala Nerus. "Bilangan jemaah pula tidak melebihi 40 orang, termasuk imam dan khatib. "Pegawai Agama Daerah bertanggungjawab dalam mengenal pasti jemaah yang akan menghadiri solat Jumaat dan catatan ahli jemaah hendaklah dicatat dengan teliti," ujar beliau dalan satu kenyataan rasmi hari ini. Mengulas lanjut, katanya khutbah Jumaat hendaklah ditumpukan kepada rukun sahaja dengan tidak melebihi tujuh minit untuk kedua-dua khutbah. Jelasnya, jemaah yang diizinkan hadir pula hendaklah membuat pemeriksaan suhu badan, sanitasi tangan dan merekodkan kehadiran di dalam buku kehadiran. "Individu yang berumur 60 tahun dan ke atas serta yang mempunyai gejala seperti demam, sesak nafas, sakit tekak dan selsema tidak dibenarkan hadir. "Begitu juga mereka yang  mempunyai sejarah kesihatan lain seperti kencing manis, darah tinggi, lelah, penyakit barah dan sebagainya juga tidak dibenarkan hadir. "Penjarakan sosial 1 meter, memakai penutup mulut dan hidung (face-mask) ketika menunaikan solat, berwuduk terlebih dahulu sebelum hadir ke masjid dan membawa sejadah sendiri mesti diamalkan," jelas beliau. Katanya lagi, semua yang hadir juga hendaklah terus beredar meninggalkan kawasan masjid setelah selesai solat. "Tidak dibenarkan berjabat tangan di masjid  setiap masa sama ada sebelum atau selepas solat. "Sembahyang sunat adalah tidak dibenarkan sepanjang tempoh berada di dalam masjid kecuali solat sunat Tahiyatul Masjid," katanya. Bagi memastikan aliran pengudaraan di dalam ruang solat, beliau menyarankan agar pihak masjid membuka semua jendela dan menggunakan kipas angin sahaja. Mengenai solat fardu berjemaah, Baginda turut memberi perkenan untuk diadakan pada tarikh sama di semua masjid tetapi hanya tiga orang sahaja dibenarkan iaitu ahli jawatankuasa dan pegawai masjid secara bergilir-gilir. "Solat fardu berjemaah bersyarat juga bermula pada 22 Mei, manakala, solat sunat tarawih dan Aidilfitri tidak dibenarkan di masjid dan surau sama sekali," tambah beliau.
02 Jul 20
141
Masjid, Surau Di Terengganu Kembali Meriah
Masjid, Surau Di Terengganu Kembali Meriah
KUALA TERENGGANU, 12 Jun - Selepas lebih tiga bulan, masjid dan surau di negeri ini ditutup sepenuhnya sebelum dihadkan kepada beberapa ahli kariah, hari ini ia kembali diimarahkan semula dengan kehadiran orang awam seperti sebelum COVID-19 melanda negara. Tinjauan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di beberapa buah masjid dan surau mendapati ramai jemaah hadir ke masjid bagi menunaikan solat berjemaah. Ia bermula pada tengah hari tadi apabila rakyat Terengganu berpusu-pusu hadir ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat. Pada sebelah malam pula, kehadiran jemaah untuk solat Maghrib dan Isyak tidak kurang hebatnya. Rata-rata mereka seolah-olah mahu melepaskan kerinduan solat berjemaah di masjid dan surau. Hampir kesemua jemaah yang hadir dilihat turut membawa sejadah masing-masing, menjalani saringan suhu badan dan mendaftar masuk sebelum dibenarkan masuk ke ruang solat. Selasa lalu, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin memberi perkenan untuk membenarkan solat Jumaat dan solat fardu berjemaah diadakan di semua masjid serta surau bermula hari ini. Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Dato' Osman Muda berkata, kebenaran itu diberikan selepas mendapat pandangan daripada Pengarah Kesihatan Negeri, Ketua Polis Negeri dan Majlis Keselamatan Negera (MKN) Negeri Terengganu. “Ia juga selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang dilaksanakan kerajaan, maka kita bersetuju untuk memperluaskan kebenaran solat Jumaat kepada semua masjid dalam negeri Terengganu," kata Osman.
02 Jul 20
262
Solat Jumaat Pertama PKPP, Jemaah Patuh SOP
Solat Jumaat Pertama PKPP, Jemaah Patuh SOP
Oleh : Hidayah Azlin SETIU, 12 Jun – Hampir kesemua jemaah yang hadir solat jumaat dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Terengganu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, langkah kawalan ketat yang dijalankan sebagaimana  ketetapan pihak berkuasa dipatuhi semua pihak. "Hampir 100 peratus daripada SOP yang ditetapkan berjaya dipatuhi di sini. Seramai 80 orang yang hadir mendaftarkan nama, diambil suhu badan masing-masing. "Terima kasih diucapkan kepada semua Ahli Jawatankuasa Masjid yang bertungkus lumus sejak daripada semalam lagi menyusun kedudukan para jemaah mengikut jarak yang telah ditentukan," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas menunaikan solat jumaat di Masjid Kampung Bukit Tanah, Jabi di sini hari ini. Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, seawal 12.30 tengah hari para jemaah mula berpusu-pusu memenuhi ruangan masjid. Tambahan pula, pintu masjid ditutup tiga minit sebelum masuk waktu, iaitu pada jam 1.09 petang. "Khatib juga mematuhi arahan yang telah ditetapkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dengan menyampaikan khutbah ringkas. "Solat juga dilakukan dengan ringkas, bacaan ayat-ayat pendek serta tiada jemaah yang menunaikan solat sunat rawatib. "Alhamdulillah semua bersurai dengan tertib. Insya-Allah Jumaat minggu hadapan, saya yakin suasana akan menjadi lebih baik dan kita boleh meneruskan solat sebagaimana biasa," tambah beliau.
02 Jul 20
256
Sultan Mizan Imarah Masjid Sultan Ismail Chendering
Sultan Mizan Imarah Masjid Sultan Ismail Chendering
KUALA TERENGGANU, 12 Jun - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menunaikan solat Jumaat di Masjid Sultan Ismail, Chendering hari ini berikutan pengumuman kerajaan negeri untuk membuka kembali masjid-masjid dan surau-surau seluruh negeri kepada umum sejak ia ditutup sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), 18 Mac lalu. Keberangkatan tiba Baginda diiringi kedua-dua puteranya, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail dan Tengku Sri Setia Mahkota Raja disambut oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato’ Yahaya Ali. Sempena pembukaan masjid dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), pihak masjid menghadkan seramai 360 orang jemaah sahaja dibenarkan solat Jumaat pada minggu ini. Sebahagian masjid melakukan proses jemputan untuk jemaah dalam qariah masing-masing. Manakala, ada juga masjid yang menerima jemaah secara ‘walk in’ mengikut masa dan kapasiti yang ditetapkan. Kesemua jemaah mengikut peraturan yang ditetapkan dengan melaksanakan kebersihan kendiri, penjarakan sosial dan membawa sendiri sejadah serta memakai pelitup muka.
02 Jul 20
435
Terengganu Benarkan Ziarah Kubur Ikut SOP
Terengganu Benarkan Ziarah Kubur Ikut SOP
KUALA TERENGGANU, 12 Jun - Kerajaan negeri membenarkan aktiviti ziarah tanah perkuburan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang berkuat kuasa kelmarin. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah walau bagaimanapun menegaskan, umat Islam diminta supaya tidak mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) seperti ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN). Jelasnya, SOP seperti tidak membenarkan berlaku perhimpunan ramai dan pengamalan penjarakan sosial serta pemakaian pelitup muka ketika menziarahi tanah perkuburan perlu diutamakan bagi mengelakkan wabak COVID-19 kembali menular. “Kita minta jangan terlalu lama berada di tanah perkuburan selain elakkan bersalaman antara satu lain,” katanya kepada pemberita hari ini. Sebelum ini, dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat termasuk semasa Aidilfitri, umat Islam di Terengganu dilarang melakukan aktiviti ziarah ke tanah perkuburan kerana kadar jangkitan COVID-19 masih tinggi.
02 Jul 20
371