Artikel "Agama" Terkini
Terengganu Benarkan Solat Jumaat Di Masjid Bermula Esok
KUALA TERENGGANU, 1 Julai - Umat Islam di Terengganu dibenarkan untuk melakukan solat jemaah dan solat Jumaat berkuat kuasa hari ini dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Bagaimanapun, menurut Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), bilangan yang dibenarkan solat fardhu di masjid dan surau hanya seramai 12 orang.
Perkara itu sudah mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bagi tempoh Fasa 1 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyeluruh dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).
"Solat fardhu di masjid dan surau dibenarkan dengan bilangan seramai 12 orang.
"Solat Jumaat di masjid juga dibenarkan dengan bilangan jemaah seramai 40 orang. Bagi kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), solat Jumaat dan solat jemaah adalah tidak dibenarkan," ujarnya.
Tambahnya, mana-mana masjid dan surau yang dikenakan arahan penutupan di bawah seksyen 18 (1)(d) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) tidak dibenarkan melaksanakan apa-apa aktiviti sepanjang tempoh penutupan.
01 Jul 21
4468
Terengganu Benar Ibadat Korban, Solat Aidiladha Di Masjid, Surau
KUALA TERENGGANU, 1 Julai - Kerajaan Terengganu membenarkan solat sunat Hari Raya Aidiladha di masjid dan surau negeri ini tetapi hanya membabitkan melibatkan jemaah lelaki dan pemastautin sahaja.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Datuk Osman Muda berkata, bilangan jemaah dibenarkan pula hanya seramai 40 orang selain jemaah perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Menurutnya, kebenaran mengadakan ibadah dalam tempoh Fasa 1 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyeluruh dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) itu mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.
“Baginda juga menyeru semua pihak termasuk rakyat jelata memberi kerjasama dan komitmen dengan sebaik mungkin dalam mematuhi setiap SOP dan arahan pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Osman berkata, kerajaan negeri turut membenarkan ibadah korban dilakukan sama ada di perkarangan masjid atau surau, kawasan lapang seperti padang, Rumah Penyembelihan Jabatan Perkhidmatan Veteriner (DVS) dan Rumah Penyembelihan Ruminan Swasta berlesen dengan kebenaran Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).
“Jumlah haiwan korban dihadkan kepada lima ekor haiwan sehari di sesuatu kawasan kecuali di rumah penyembelihan yang dibenarkan.
"Jumlah petugas hendaklah tidak melebihi 10 orang dan hendaklah berada dalam keadaan sihat," jelasnya.
01 Jul 21
2706
Teori Konspirasi, Apa Kata UAI?
KUALA TERENGGANU, 25 Jun - Seluruh masyarakat dinasihatkan agar tidak mudah percaya dan menyebarkan maklumat tidak sahih seperti teori konspirasi yang sengaja ditularkan di media sosial pada masa kini.
Saranan tersebut disuarakan pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus yang menjelaskan orang ramai perlu memahami konsep bagi informasi tersebut.
“Pertama adalah teori, bermaksud cerita atau bagaimana kisah tersebut didapatkan, ia bukan praktikal.
“Kedua adalah konspirasi, bermaksud pakatan atau tindakan hasil daripada sebuah pakatan yang besar, bertujuan tidak baik dengan kesan skala besar seperti plot berbentuk rahsia,” katanya ketika bersiaran langsung di TVDI bersempena Munajat Rakyat 3.0 hari ini.
Menurut beliau, tindakan pertama adalah orang ramai boleh mendengar, tapi siasatan lanjut perlu dilakukan bagi mengesahkan jika ia ada dalil yang kuat.
"Jika kita ingin sembahyang atau sembelih korban, kita juga perlu ada ayat yang menyebutnya.
“Jadi pentingnya kita bertindak melalui siasat terlebih dahulu sesuatu maklumat diperloleh, kemungkinan perkara yang dikatakan itu sebenar berlaku atau cakap kosong semata-mata," jelasnya.
Ustaz Azhar menceritakan, Nabi Muhammad SAW berkata ‘jangan buang semua dan jangan ambil semua' bagi menekankan bahawa informasi mengikuti syarak boleh diambil manakala yang melanggarnya perlu dibuang.
“Kalau kita nak kongsi atau ‘share’ di Facebook, sebar perkara baik, kalau ia berunsur haram, maksiat atau aib hindarilah kerana kita akan mendapat dosa sama.
“Oleh itu, tanyalah ibu bapa, ustaz, para ilmuwan atau pegawai atasan berkenaan maklumat yang didapati, terutamanya dalam zaman masalah internet ini,” katanya lagi.
25 Jun 21
862
Munajat Rakyat Harungi Musibah COVID-19
KUALA TERENGGANU, 18 Jun – Pelaksanaan program Munajat Rakyat Terengganu oleh Kerajaan Negeri adalah sebagai salah satu usaha meningkatkan semangat rakyat dalam mengharungi musibah pandemik COVID-19.
Pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus menyifatkan, antara dua syarat untuk Allah SWT mengampunkan dosa umat-Nya ketika menghadapi malapetaka adalah dengan mengamalkan sifat redha dan berusaha untuk bermunajat.
“Allah SWT ingin mengajar kita dengan musibah, ini kerana apabila manusia melaluinya, kita akan kembali untuk beribadat kepada-Nya.
“Antara hikmah berlakunya sesuatu kejadian yang tidak baik, pertama Nabi Muhammad SAW berkata tuhan memberikan kita susah begini, dengan sebab itu dosa kita sebesar gunung Allah ampunkan,” katanya ketika bersiaran langsung sempena Kuliah Dhuha Munajat Rakyat, pagi tadi.
Dalam bual bicara yang dipengerusikan oleh Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), Kamaruzzaman Abdullah itu, Ustaz Azhar turut berkata, musibah bermakna perkara atau kejadian tidak baik menimpa ke atas manusia.
“Persoalannya jika penularan virus ini musibah atau tidak, jawapannya semua yang tidak baik tidak disukai manusia dipanggil musibah, apatah lagi keadaan semasa dengan kes kematian yang meningkat,” katanya lagi.
Sementara itu, Pendakwah Selebriti, Ustaz Syed Mohd Norhisyam berkata, dalam menghadapi masalah seperti kesihatan, kewangan dan sebagainya, Islam mengajar umatnya untuk berikhtiar.
“Khususnya apabila dilanda wabak, antara ikhtiar yang boleh diambil seperti mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP), mengambil vaksin, pemakanan sihat dan lain-lain lagi.
“Hanya istimewa untuk orang Islam sahaja, munajat sebenarnya juga adalah bentuk yang paling utama sekali, kerana Allah SWT adalah maha berkuasa untuk mencipta dan menghapuskannya (virus), alhamdullilah Munajat rakyat yang diadakan ini juga adalah di antaranya,” jelasnya.
18 Jun 21
383
Perkukuh Institusi Keluarga Semasa Pandemik - Senator
KUALA TERENGGANU, 18 Jun - Rakyat di negeri ini disaran agar menggunakan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Penuh sebagai peluang memperkukuhkan institusi kekeluargaan.
Ahli Dewan Negara (Terengganu), Senator Nuridah Mohd Salleh berkata, langkah itu perlu diambil bagi mengembalikan semula kesejahteraan rumah tangga lebih-lebih lagi ketika semua ahli keluarga menghadapi waktu sukar.
Tambahan pula katanya, ibu bapa mempunyai masa yang lebih untuk memberi tumpuan kepada proses pendidikan anak-anak agar dibentuk menjadi modal insan berguna.
"Mungkin kita kata perkara tersebut telah berlalu kerana kesibukan yang kita hadapi ketika sebelum datangnya ujian pandemik ini, kita mengabaikan apa yang sepatutnya kita buat, jadi kita mesti menginsafi kembali dengan mengambil peluang untuk memperbaiki segalanya.
"Melalui nasihat menasihati antara satu sama lain, berbincang, berkongsi segala ilmu yang didapati selama ini melalui kuliah agama yang selama ini kita tidak sempat, jadi ini peluang," ujarnya.
Beliau berkata demikian pada Program Munajat Rakyat Terengganu di TV Darul Iman, pada semalam.
Nuridah berkata, anggota masyarakat tidak perlu merasa bosan dengan situasi yang dilalui ketika ini, sebaliknya perlu lebih cekal dan tabah mengharunginya.
"Juga ini masanya memperbaiki ibadat bersama ahli keluarga, yang dulu mungkin dilakukan secara tergesa-gesa dan cepat serta perlu ingat bahawa ujian yang diberikan Allah ini pastinya mengandungi hikmahnya yang tersendiri.
"Projek kita panjang bukan hanya sekadar hidup di dunia ini, bahkan perlu menyelamat dan melindungi setiap ahli keluarga daripada jurang api neraka sebagaimana yang difirmankan oleh Allah," ujarnya.
Di samping meluangkan masa dengan pelbagai perkara yang positif, jelasnya aspek kesihatan juga perlu menjadi keutamaan.
"Waktu berada di rumah sudah pasti banyak makan, tambahan pula wanita suka memasak, kena ingat Rasulullah memberi peringatan bahawa penyakit berpunca dari gaya pemakanan, maka kena mengamalkan diet yang seimbang, mungkin hari Isnin dan Khamis boleh dilatih untuk berpuasa sunat," ujarnya.
18 Jun 21
196
Bacaan Bersanad Sahih Bukhari Ikhtiar Tangani COVID-19
KUALA TERENGGANU, 10 Jun - Kerajaan negeri memperkenalkan Majlis Bacaan Bersanad Sahih Bukhari sebagai salah satu ikhtiar rohani dalam menangani pandemik COVID-19.
Pengarah Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT), Ramlan Mahmood berkata, program secara atas talian atau webinar itu bermula sejak 7 Jun lalu dari pukul 9 hingga 11 pagi.
"Ia berlangsung setiap hari, alhamdulillah setakat ini ia telah mendapat sambutan yang amat memuaskan daripada rakyat negeri ini.
"Sambutan pada hari pertama ini cukup membanggakan dengan penyertaan seramai 500 orang yang turut serta menerusi aplikasi webinar," katanya ketika dihubungi hari ini.
Mengulas lanjut, Ramlan berkata, majlis bacaan hadis akan berterusan sehingga sepanjang pelaksanaan PKP 3.0 ditamatkan pihak kerajaan.
"Penyampainya, Tuan Guru Haji Suhaimi Haji Daud akan bersiaran setiap hari dan orang ramai yang tidak dapat mengikutinya di aplikasi webinar, boleh mengikutinya secara langsung di laman facebook Akademi DUAT.
"Secara dasarnya, majlis ini merangkumi tiga fasa iaitu Majlis Tasmi' Hadis Haqiqi (bersama pelajar tuan guru), Majlis Sama' Hadis (peserta Webinar) dan Majlis Sama' Hadis Awam (laman Facebook)," tambah beliau.
Katanya lagi, bagi meningkatkan kesedaran awam tentang kepentingan pengajian ilmu di musim wabak ini, jabatannya telah menyusun pelbagai program yang boleh dirujuk menerusi laman sosial Akademi DUAT.
"Kami menyeru rakyat agar tidak ketinggalan dalam menambahbaik ilmu agama dalam diri kita, keluarga dan masyarakat seluruhnya," tambah beliau.
10 Jun 21
310
Terengganu Anjur Hari Munajat Rakyat Esok
KUALA TERENGGANU, 2 Jun – Kerajaan negeri akan menganjurkan program Hari Munajat Rakyat pada 3 Jun, esok sebagai usaha memohon perlindungan daripada wabak COVID-19.
Antara pengisiannya termasuk solat hajat, zikir dan doa munajat, yang akan diadakan bermula jam 4.30 pagi Khamis.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam satu kenyataan berkata, program serentak di kediaman masing-masing itu dibuat susulan situasi terkini penularan wabak COVID-19 dalam negara dan negeri agak membimbangkan.
"Segala yang berlaku di atas muka bumi ini terjadi atas kehendak-Nya dan Dia jualah yang Maha Penyembuh segala penyakit.
"Mari sama-sama kita tingkatkan munajat kepada Allah SWT agar segera mengangkat wabak ini dan mengurniakan kesihatan yang baik kepada kita semua," ujarnya.
Untuk rekod, Terengganu mencatatkan kes positif baharu sebanyak 224 hari ini.
02 Jun 21
1362
Terengganu Perbanyak Kuliah Agama Sepanjang ‘Lockdown’
KUALA TERENGGANU, 1 Jun – Terengganu mengambil langkah proaktif dengan memperbanyakkan program keagamaan susulan pelaksanaan ‘total lockdown’ dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di negeri ini.
Pengarah Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT), Ramlan Mahmood berkata antara aktiviti yang diperkenalkan ialah program Sanitasi Jiwa Bersama DUAT.
“Sebenarnya pelbagai slot secara dalam talian disajikan kepada seluruh masyarakat, namun yang paling istimewa adalah slot Sanitasi Jiwa Bersama Daie yang telah pun berlangsung dari 27 Mei 2021.
“Sanitasi Jiwa Bersama Daie mempunyai tiga segmen siaran langsung yang berlainan waktu iaitu Bicara Dhuha, Bicara Zuhur dan Bicara Maghrib, marilah kita berazam untuk perbaiki diri dengan mengikut program ini," katanya kepada UPDI hari ini.
Menurutnya, sesemua slot itu menampilkan pegawai-pegawai DUAT yang mewakili Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh Terengganu.
"Pastikan semua daripada kita duduk di rumah dan tonton segmen ini sebagai pengisian jiwa seisi keluarga,” jelasnya.
Mengulas lanjut beliau memaklumkan, pihaknya juga merancang untuk mengadakan slot pengisian jiwa secara atas talian bersama pendakwah terkenal di Malaysia dan Nusantara.
“Kita ada ramai asatizah yang tinggi ilmu dan hebat dalam menyampaikan sesuatu ilmu seperti Ustaz Abdul Somad, Ustaz Syed Nor Hisyam Tuan Padang, Ustaz Haslin Bollywood, Ustaz Abdullah Khairi dan Ustazah Asma Harun, insya-Allah kita akan usahakan program ini bagi mendidik masyarakat.
"Kepakaran mereka ini akan kita manfaatkan, kita faham sepanjang kita berada di rumah, pasti akan ada satu masa kita merasa puas dan kosong, jadi program-program seperti inilah yang akan menjadi peneman,” tambah beliau.
01 Jun 21
1283
'Lockdown' : Solat Jumaat Diganti Solat Zuhur Di Masjid
KUALA TERENGGANU, 31 Mei - Ibadah solat Jumaat akan diganti dengan solat Zuhur di semua masjid dan kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 atau 'total lockdown' bermula esok hingga 14 Jun ini.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Dato' Osman Muda berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan Mufti Terengganu, Prof Madya Dr Mohamad Sabri Haron dan Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Nor Azimi Yunus berikutan peningkatan kes positif COVID-19 di negeri ini amat membimbangkan.
"Solat Zuhur itu mestilah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) termasuk kehadiran jemaah yang dibenarkan ialah seramai 12 orang sahaja terdiri dari pegawai dan ahli jawatankuasa masjid.
“Di samping itu, laungan azan di surau dan masjid turut dibenarkan sebagai makluman kepada ahli kariah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Osman, sebarang aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan lain adalah dilarang sepanjang tempoh PKP termasuk tidak membenarkan solat jenazah di masjid dan surau.
"Upacara akad nikah hanya dibenarkan dilaksanakan di pejabat agama daerah dengan kehadiran seramai lapan orang sahaja termasuk wali dan jurunikah.
"Mana-mana kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) hendaklah mematuhi arahan sebagaimana kenyataan media yang dikeluarkan sebelum ini.
“Masjid dan surau yang diarah tutup mengikut Seksyen 18 (1) (d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) tidak dibenarkan melaksanakan apa-apa aktiviti sepanjang tempoh penutupan,” katanya.
Dalam pada itu, Osman berkata, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menyeru rakyat Terengganu mematuhi setiap arahan ditetapkan dan bersama-sama memainkan peranan dengan barisan hadapan untuk menangani wabak daripada terus merebak.
31 May 21
752
Kempen #Aid4Palestine Target Bantuan RM1 Juta Untuk Palestin
KUALA TERENGGANU, 13 Mei - Kerajaan Malaysia menubuhkan sekretariat #Aid4Palestine bagi menyelaras bantuan kewangan untuk Palestin melalui kaedah ‘crowdfunding’ dan menyasarkan kutipan sebanyak RM1 juta.
Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang menegaskan, perkembangan terkini yang berlaku di Palestin dengan serangan berterusan oleh regim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin adalah suatu tindakan zalim dan wajib dikecam.
"Justeru itu, kami telah mengadakan perbincangan khas pada petang 30 Ramadhan, melibatkan beberapa tokoh masyarakat dan pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO), untuk mengambil tindakan proaktif dan segera bagi membantu perjuangan Palestin.
"Kami dengan penubuhan 'Sekretariat #Aid4Palestine' yang akan dipengerusikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi dengan kerjasama lebih 40 buah NGO yang akan bersama menggerakkan misi ini.
"Sekretariat ini turut akan berfungsi sebagai koordinator jaringan NGO dan masyarakat sivil bagi menggerakkan kempen kesedaran rakyat Malaysia terhadap perjuangan Palestin," katanya dalam satu kenyataan akhbar, semalam.
Menurut beliau yang juga Presiden PAS, hasil kutipan fasa pertama berjumlah RM350 ribu akan disalurkan pada 10 Syawal.
"Hasil kutipan terkumpul melalui NGO PAS Relief, Yayasan Amal Malaysia, Muslim Care Malaysia Society dan Cakna Palestin Malaysia.
"Manakala kutipan fasa kedua minima RM650 ribu akan dibuka sehingga 30 Syawal.
"Mudah-mudahan segala usaha yang dilakukan ini menjadi ganjaran dan pahala yang besar di sisi Allah sebagai tanda keimanan dan kasih sayang umat Islam kepada Palestin.
"Intifadhah di bumi Palestin adalah lambang kesatuan dan kebangkitan umat Islam seluruhnya melangkaui batas sempadan negara dan perbezaan mazhab, demi membela keadilan dan hak rakyat Palestin," jelasnya lagi.
Tambah Abdul Hadi, infak dan sumbangan setiap umat Islam bagi membantu perjuangan rakyat Palestin perlu diteruskan, sebagai tanda pengorbanan dan kasih kepada Masjid al-Aqsa dan bumi Palestin yang dimuliakan oleh Allah.
13 May 21
884