lightning-solid
Berita :

Artikel "Agama" Terkini

Pelajar Maahad Tahfiz Al Busyra Johan Hafazan Kebangsaan
Pelajar Maahad Tahfiz Al Busyra Johan Hafazan Kebangsaan
MARANG, 22 Jun - Bekas pelajar Maahad Tahfiz Al-Busyra, Kuala Terengganu, Muhammad Fakhrurazi Yahaya, 21 dinobat sebagai Johan Hafazan bagi kategori 1 hingga 20 Juzuk Berserta Tarannum (Hafiz) sempena Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) 1444H/2023M. Anak jati Kampung Bukit Che Nik, Binjai Rendah, Marang itu berkata, dia muncul sebagai Hafiz Terbaik selepas mencatat markah tertinggi iaitu 97.85 peratus. "Saya merupakan pelajar Maahad Tahfiz Al-Busyra, Pengadang Baru, Kuala Terengganu. Berkat didikan dan ajaran guru di sana saya dapat menghabiskan hafalan al-Quran 30 juzuk dalam masa 3 tahun 10 bulan. "Terima kasih tidak terhingga saya ucapkan kepada Ustaz Fakhruddin, Ustaz Malik Karim, Tuan Guru Jusoh Ismail dan guru tarannum saya yang lain atas teguran, tunjuk ajar dan didikan yang diberikan hungga ke hari ini," katanya ketika dihubungi wakil media Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI). Ditanya apa yang menginspirasikan beliau sehingga bergelar Hafiz, katanya dia mendapat didikan Al-Quran sejak kecil dari ayahnya sendiri Yahaya Md. Din yang juga merupakan guru Al-Quran selain kakak sulungnya yang bergelar Hafizah seawal umur 15 tahun dan aktif menyertai musabaqah tilawah dan hafazan Al-Quran hingga peringkat kebangsaan. Beliau mula berjinak-jinak belajar untuk menghafal al-Quran bermula dengan juzuk Amma seawal umur 8 hingga 11 tahun dengan memasuki Pusat Elit Quran Centre (EQC) yang merupakan tempat ayahnya pernah mengajar al-Quran. "Alhamdulillah. Saat diinobatkan sebagai johan tu sungguh saya tidak sangka dan terkejut hingga mengalirkan airmata disebabkan ini adalah pengalaman kali pertama saya menyertai musabaqah mewakili negeri Terengganu ke peringkat kebangsaan. "Kemenangan saya ini tidak dijangka malah saya tidak menaruh harapan yang tinggi untuk menjadi johan kerana persaingan dari sahabat-sahabat hafiz negeri lain sangat sengit. Perbezaan markah pun sangat tipis hanya berbeza beberapa peratus sahaja," tambahnya. Dia turut memberi sedikit pesanan motivasi kepada anak muda dan yang bergelar hafiz hafizah agar sentiasa belajar dan terus belajar kerana semakin kita belajar. "Sesungguhnya perjuangan menjadi seorang yang bergelar hafiz bukan sesuatu yang mudah dan menuntut mujahadah yang tinggi, pengorbanan masa tenaga, penat lelah dan air mata. Kerajinan untuk kita selalu istiqamah murajaah (mengulang) al-Quran tu sangat penting supaya hafalan sentiasa segar di ingatan.  "Harapan saya semoga kita semua berakhlak dan mengamalkan ajaran al-Quran dan dapat memberi manfaat kepada masyarakat. Semoga al-Quran ini menjadi saksi air mata, perjuangan, penat lelah, pengorbanan kita dalam menghafal dan mempelajarinya. Semoga al-Quran dapat memberi syafaat kepada kita semua diakhirat kelak", luahnya. Dengan kemenangan terebut, Fakhrurazi layak membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000, piala iringan dan tambahan wang tunai RM7,000 bagi menunaikan ibadah umrah. Terdahulu Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak menyempurnakan Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah sempena MTHQK yang berlangsung selama enam hari di Pusat Konvensyen, Kebudayaan dan Kesenian Antarabangsa (PICCA), Arena Butterworth, Pulau Pinang.    
20 Jun 23
549
Sultan Terengganu Titah Jemaah Tumpu Ibadah, Pamer Akhlak Baik
Sultan Terengganu Titah Jemaah Tumpu Ibadah, Pamer Akhlak Baik
KUALA NERUS, 3 Jun- Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menasihati rakyat Terengganu yang berpeluang menunaikan haji di tanah suci Mekah supaya menumpukan sepenuh perhatian dalam melaksanakan ibadah tersebut. Baginda bersama Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berangkat tiba ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud diiringi Yang Di Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin dan Tengku Puteri Utama Raja, Tengku Nadhirah Zahrah Sultan Mizan Zainal Abidin sekitar jam 9.30 malam bagi menyempurnakan pelepasan rombongan terakhir 139 bakal haji yang berangkat dari Stesen Kuala Terengganu, malam tadi. Selain merakamkan ucapan tahniah, baginda turut berkenan mendoakan agar para bakal haji dikurniakan kemudahan dalam melaksanakan rukun Islam kelima itu. "Para jemaah haji tidak perlu bimbang dan hanya perlu mempunyai niat yang ikhlas untuk melaksanakan ibadah yang sempurna, selain memasti semua nasihat dan arahan Tabung Haji dipatuhi. "Ini kerana, hanya dengan pelaksanaan ibadah haji yang sempurna disulami akhlak yang baik akan membawa jemaah ke arah Haji yang mabrur, insya-Allah. "Semua jemaah juga harus mematuhi dan menghormati peraturan serta undang-undang ditetapkan kerajaan Arab Saudi demi menjaga hubungan kedua-dua negara yang telah lama terjalin. "Beta dan Sultanah mendoakan agar semua jemaah haji negeri Terengganu diberikan kemudahan oleh Allah SWT agar dapat mengerjakan ibadah dengan sempurna dan kembali dengan Haji yang mabrur," titah baginda. Sebelum berangkat pulang, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Nur Zahirah turut menyampaikan kurniaan kepada bakal-bakal haji yang akan memasuki balai berlepas untuk menaiki pesawat Malaysia Airlines System (MAS). Tahun ini, seramai 1,257 bakal haji berangkat dari Stesen Kuala Terengganu terdiri daripada 561 bakal haji lelaki dan 696 bakal haji wanita.        
03 Jun 23
294
TIS Dedah Islam Penyelesai Masalah Ummah
TIS Dedah Islam Penyelesai Masalah Ummah
Oleh : Suhaimi Taib KUALA TERENGGANU, 2 Jun  - Resolusi Sidang Kemuncak Antarabangsa Terengganu 2023 (TIS2023) di Taman Tamadun Islam di sini dengan tema Kesyumulan Islam Ketika Berdepan Cabaran Global mendedahkan bagaimana Islam membuka jalan penyelesaian semua permasalahan manusia di dunia hari ini. Ahli Parlimen Setiu, Ustaz Shaharizukirnain Abd. Kadir berkata resolusi sidang itu menjelaskan bahawa semua idealogi ciptaan manusia gagal secara total menyelesaikan  masalah dunia sedangkan Islam berjaya membuktikan penyelesaian masalah manusia sejak lebih 1,000 tahun lalu. "Ini kerana Islam dan manusia adalah ciptaan Allah, maka Dia Maha Mengetahui bagaimana cara menyelesaikan masalah mereka dengan Islam," katanya ketika ditemui di majlis tersebut pada Khamis. Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pengguna Prihatin Terengganu (CCARE), Abdul Hamid Ismail yang juga peserta sidang kemuncak itu berkata tanggapan salah orang bukan Islam terhadap Islam tidak menjejaskan kemurnian Islam sebagai penyelesai masalah manusia dalam semua bidang. "Masyarakat Barat dan Timur kini buntu mencari jalan penyelesaian masalah manusia dalam bidang politik, ekonomi dan sosial tetapi Islam menjelaskan bagaimana semua masalah itu boleh diselesaikan dengan jayanya," kata beliau. Dalam pada itu, seorang peguam Abdul Haris Malek, berkata kupasan ahli panel memberi gambaran jelas bagaimana Islam memberi garis panduan komprehensif bagi menyelesaikan masalah mereka. "Penyelesaian yang diberikan Islam sesuai mengikut peredaran zaman dan kemajuan manusia di mana sahaja mereka berada," ujarnya.
02 Jun 23
242
TIS Seru Kebersamaan Realisasi Resolusi Persidangan
TIS Seru Kebersamaan Realisasi Resolusi Persidangan
KUALA TERENGGANU, 1 Jun- Kerajaan Terengganu meletakkan setinggi pengharapan agar resolusi yang disepakati dalam Persidangan Antarabangsa Negeri Terengganu 2023 (TIS2023) dapat difahami dan diterjemahkan dalam realiti semasa. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, penglibatan semua pihak diperlukan dalam menjayakan perkara itu. "Seperti yang sedia maklum, merangkap tema 'Kesyumulan Islam dalam Mendepani Cabaran Global', saya berharap segala resolusi yang telah digariskan dapat dilumatkan dan difahami, serta diambil tindakan sebaik mungkin oleh semua pihak. "Saya juga berdoa agar program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang dan mewakili pihak penganjur, saya memohon kemaafan atas kekurangan. "Kita berdoa semoga kelebihan-kelebihan yang ada dikurniakan balasan sebaik mungkin oleh Allah SWT," katanya ketika merasmikan penutup persidangan tersebut di Taman Tamadun Islam, hari ini. Majlis yang berlangsung sejak pagi tadi menampilkan tiga wacana utama membabitkan tokoh-tokoh ilmuwan Islam antarabangsa iaitu Sheikh Ahmad Saud Saeed Al Siyabi dari Oman dan Dato' Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri (Malaysia) bagi wacana pertama bertajuk Fiqh Ta'ayush Dalam Masyarakat Majmuk Kontemporari. Wacana kedua pula membawa perbahasan Uslub Dakwah Dalam Masyarakat Majmuk Kontemporari dengan menampilkan Dr Zakir Abdul Karim Naik (India) dan Dr. Samia Raheel Qazi (Pakistan). Ilmuwan dari Indonesia, Dr. Muhammad Hidayat Nur Wahid, Prof. Dr. Abdel Rahim Ali Mohammaed Ibrahim (Sudan), dan Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi pula membawakan wacana terakhir dengan tema Politik Islam dan Perpaduan Ummah.  
01 Jun 23
135
TIS, Wahabi : 'Jangan Berkelahi Isu Furuk'
TIS, Wahabi : 'Jangan Berkelahi Isu Furuk'
KUALA TERENGGANU, 1 Jun - Dakwaan sesetengah pihak yang mengaitkan Terengganu International Summit 2023 (TIS2023) dengan wahabi adalah sangat tidak tepat kerana menyalahi matlamat penganjuran program berkenaan bagi membincangkan 'kesyumulan Islam dalam mendepani cabaran'. Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, umat Islam hari ini terutamanya daripada kalangan agamawan tidak perlu berkhilaf dalam masalah furuk dan berkelahi sesama sendiri hingga membiarkan musuh bermaharajalela. "Wahabi adalah mazhab akidah, satu tajuk yang sangat luas (perbincanggannya), ada yang tidak reti (faham) termasuk ulama yang tidak 'tafaqquh' (memahami) dan tidak mengaji dalam agama secara menyeluruh. "Itu yang menjadi masalahnya (perpecahan kalangan umat Islam) penjajah suka sangatlah, dia (golongan tidak faham seolahnya) dia kerja untuk penjajah," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media, selepas menghadiri program 'International Summit 2023', di dewan konvensyen, Taman Tamadun Islam, di sini, hari ini. Sementara itu Pengerusi Bersama TIS 2023, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, program berkenaan telah menampilkan lapan tokoh pemikir dari luar negara serta dalam negara. Jelas beliau, antaranya ialah dari India, Dr.Zakir Abdul Karim Naik (India), Prof. Dr. Abdel Rahim Ali Mohamed Ibrahim (Sudan), Sheikh Ahmad Saud Saeed Al Siyabi (Oman), Dr.H.Muhammad Hidayat Nur Wahid (Indonesia), Dr. Mohamed Shahem Ali Saeed (Maldives). Manakala tokoh dalam negara pula ialah, Dato' Seri. Dr Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh. Dalam pada itu, Muhammad Khalil menyatakan program tersebut mendapat sambutan luar jangka. "Kita jangka 500 orang akan hadir, tetapi yang hadir dan berdaftar hampir 900 orang," ujarnya.
01 Jun 23
1022
Terengganu Muliakan Ulama
Terengganu Muliakan Ulama
KUALA TERENGGANU, 1 Jun - Kerajaan negeri hari ini terus mempertahankan hubungan rapat dengan ulama yang telah bermula sejak dulu sebagaimana terpahat dalam sejarah. Ahli Lembaga Pengarah Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS), Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, atas faktor itu Terengganu mempunyai sistem pengajian ilmu dengan pelbagai ulama bertaraf dunia sehingga pernah digelar serambi mekah setaraf Kelantan dan Acheh. "Kita berbangga kerana masyarakat Terengganu amat kuat pegangan agama dan tradisi pengajian agama, dalam hal ini telah menjadikan Islam sebagai suatu dasar atau pegangan rakyat (sehingga) telah menimbulkan semangat perpaduan di kalangan umat Melayu. "Bahawa kedudukan mereka di dalam kerangka tauhid, ummah dan ukhwah bukan terhad kepada lingkungan kawasan dan sejarah alam Melayu semata-mata bahkan turut membabitkan kesemua umat Islam seluruh dunia dari setiap zaman dengan warisan tamadun yang tinggi,"ujarnya. Beliau yang juga merupakan Pengerusi Bersama Terengganu International Summit (TIS) 2023 berkata demikian ketika berucap menyapaikan ucapan alu-aluan di program berkenaan di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam di sini hari ini. Mengulas lebih lanjut katanya, penemuan Batu Bersurat telah membuktikan bahawa Terengganu telah lama berpegang teguh dengan ajaran Islam yang syumul. "Ajaran Islam yang difahami oleh masyarakat Melayu Islam Terengganu sebagai 'ad-deen' atau 'way of life' dan bukannya terhad kepada persoalan ibadat semata-mata sepertimana yang difahami oleh masyarakat Melayu selepas era penjajahan Brtish. "Hal ini boleh diperhatikan melalui kandungan Islam yang terdapat dalam Batu Bersurat merangkumi seluruh kehidupan bermasyarakat sama ada dalam bidang pentadbiran, kekeluargaan, jenayah, muamalah, politik dan sebagainya. "Begitu juga dalam Undang-undang Tubuh Negeri yang dinamakan sebagai Itqanul Muluk Bi Ta'diliis Suluk yang turut menerapkan pengaruh sistem politik Islam dalam pemerintah negeri,"katanya. Dalam pada itu beliau menyifatkan TIS pada tahun ini sangat tepat pada masanya sebagai platform membincangkan ancaman global dalam bentuk serangan pemikiran yang semakin hebat dalam dunia hari ini dan kehadiran tokoh pemikir dari pelbagai negara  ini sangat dialu-alukan oleh kerajaan negeri. "Semoga dengan penganjuran persidangan Antarabangsa Negeri Terengganu yang singnifikan ini, serta kerjasama semua pihak akan memberikan impak nasional kepada usaha memelihara kestabilan dan kesejahteraan negara berpandukan kepada ajaran Islam,"ujarnya.  
01 Jun 23
449
Terengganu Alukan Kedatangan Ulama, Cendekiawan ke Darul Iman
Terengganu Alukan Kedatangan Ulama, Cendekiawan ke Darul Iman
KUALA TERENGGANU, 1 Jun - Kerajaan negeri mengalukan kedatangan alim ulama, ilmuwan dan cendekiawan ke bumi Terengganu bersempena program Terengganu International Summit (TIS) 2023.  Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, majlis yang berlangsung di Taman Tamadun Islam (TTI) itu mampu mencapai objektif dengan tema ‘Kesyumulan Islam Dalam Mendepani Cabaran Global’. “Bagi pihak kerajaan negeri saya ingin mengalu-alukan kehadiran para pembentang, alim ulama, ilmuwan, cendekiawan dan semua peserta yang diadakan pada hari,” katanya ketika berucap merasmikan program terbabit di Dewan Konvensyen, TTI hari ini. Terdahulu, Pengerusi Bersama TIS 2023, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi ketika ucapan aluan berkata, persidangan itu diadakan bagi menyediakan platform kepada para sarjana, pakar dan pembuat dasar bagi membincangkan isu-isu kritikal berkaitan peranan islam dalam masyarakat majmuk, politik dan kesatuan ummah.  “Dalam era globalisasi hari ini, terdapat banyak pengaruh dan fahaman yang walaupun dibalut cantik dengan nama dan istilah islamik, tetapi amalanya jauh dan asing dari ajaran islam. “Pengaruh dan fahaman ini jika tidak ditangani dengan baik, impaknya mampu mengubah struktur kehidupan umat islam, baik secara peribadi mahupun dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara,” katanya. Tambah Dr Muhammad Khalil, antara cabaran global yang dihadapi kini adalah dalam bentuk pemikiran termasuklah islamophobia, islam leberal dan pertelagahan sesama umat.  
01 Jun 23
341
World #QuranHour Disambut Seluruh Terengganu
World #QuranHour Disambut Seluruh Terengganu
KUALA TERENGGANU, 13 April – Program World #QuranHour peringkat Negeri Terengganu disambut dan diadakan di seluruh daerah. Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Penerangan dan Dakwah Negeri, Ridzuan Hashim berkata, kesemua Perpustakaan Awam di setiap daerah mengadakan program itu pada jam 11 pagi secara serentak. Katanya, program tersebut merupakan satu kempen yang bertujuan meningkatkan interaksi individu dengan Al-Quran melalui konsep baca, faham dan amal. “Ia bagi membentuk masyarakat yang mematuhi segala ajaran atau suruhan agama dan menjauhi segala larangannya yang berlandaskan Al-Quran,” jelasnya. Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Perasmian Program World #QuranHour 2023 peringkat negeri Terengganu bertempat di Perpustakaan Awam Negeri di sini hari ini. Turut hadir Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MITS), Kamaruzaman Abdullah. Tambah Ridzuan Hashim, tema bagi World #QuranHour pada tahun ini ialah 'Memanusiakan Ummah' daripada surah Al-Insan. “Penghayatan surah tersebut diharapkan dapat memberi persediaan dan perspektif fizikal, emosional, intelek dan spiritual kepada masyarakat dalam menangani dunia,” katanya. Beliau yang juga merupakan Pengerusi Perpustakaan Awam Terengganu berkata, program tahunan ini bermatlamat untuk mengajak dan menggalakkan umat islam membaca, mendalami isi dan maksudnya serta mengamalkan segala ajaran yang terkandung dalam Al-Quran. Tambahnya lagi katanya, program yang berskala besar ini sememangnya memberi impak yang besar jika dilihat setelah menganjurkannya beberapa kali sebelum ini. Program itu diserikan dengan alunan bacaan Al-Quran Surah Al-Insan oleh Qari, Mohamad Syakir Asyraf Shohaimi diikuti sesi tadabbur bersama Ustaz Muhammad Syafiq Mohd Sakri. "Program yang menerima kunjungan lebih 500 peserta itu diteruskan dengan pembahagian hadiah kepada pemenang yang menyertai pertandingan World #QuranHour dan berakhir sekitar jam 1 petang. "Al-Quran memberi petunjuk, jalan yang paling lurus, adil dan benar untuk kebaikan hidup di dunia dan akhirat kepada manusia," ujarnya.          
13 Apr 23
336
Raya Mengejut?
Raya Mengejut?
KUALA TERENGGANU, 11 April - Isu raya awal seperti tahun lalu sedang menjadi perbincangan hangat dalam kalangan netizen pada hari ini kerana khuatir akan berlaku kekalutan sepertimana sambutan hari kebesaran umat Islam itu sebelum ini. Felo Penyelidik Institut Penyelidikan Produk dan Ketamadunan Melayu Islam (INSPIRE) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Prof. Madya Dr Baharrudin Zainal berkata, pengalaman tahun lalu telah menjadi faktor kenapa ia begitu rancak diperkatakan. "Ramalan ini juga berlaku kerana ramai masyarakat pada hari ini memiliki kemahiran dan kecenderungan menggunakan perisian yang boleh menerbitkan maklumat melihat anak bulan syawal tanpa memadankannya dengan kaedah dan hukum syarak yang terpakai di negara kita. "Perkara ini juga menjadi kecoh mungkin disebabkan mendapat maklumat bahawa satu kumpulan Islam terbesar di negara jiran (Indonesia) telah menetapkan tarikh hari raya pada Jumaat, kena ingat dalam kaedah ini negara kita tidak menggunakan 'hisab hakiki wujudul hilal'. "Negara kita menggunakan kaedah hisab dan rukyah, kena faham perbezaan sistem hukum yang terpakai ataupun menepati kriteria astronomi yang digunakan di negara kita," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), di sini, hari ini. Dalam pada itu katanya, perkara itu diperhangatkan lagi apabila Pusat Astronomi Antarabangsa yang berpengkalan di Emeriah Arab Bersatu (UAE) mengumumkan kemungkinan penghujung Ramadan adalah 20 April. "Kita mengamalkan sunnah 'Imkanur Rukhyah', di mana negara lain yang menggunakan kaedah 'hisab hakiki' mereka mengumumkan awal perkara itu hanya daripada badan-badan astronomi bukan pihak berkuasa agama. "Saya rasa masyarakat kena belajar banyak perkara bukan sahaja tahu untuk menggunakan perisian dan mendapat maklumat melalui internet tanpa mengetahui cara dan kaedah yang terpakai di ngeara kita. "Kemungkinan berlaku raya awal di negara kita amat tipis sebab tidak ada dalam rekod anak bulan dijangkakan penampakannya sangat muda dan dijangka berada rendah di ufuk dua darjah lebih rendah daripada apa yang dapat dilihat pada tahun lepas,"ujarnya. Terdahulu, 20 April telah ditetapkan sebagai tarkh melihat anak bulan membabitkan Bukit Besar (Kuala Terengganu), Batu Geliga (Kemaman), Pulau Perhentian (Besut), Balai cerap KUSZA, Mukim Merang (Setiu).
11 Apr 23
1543
Nuzul Al-Quran : Mesej Tersirat, Penuh Hikmah
Nuzul Al-Quran : Mesej Tersirat, Penuh Hikmah
KUALA NERUS, 9 April -Sambutan Nuzul al-Quran yang disambut pada 17 Ramadan oleh seluruh umat Islam mengandungi rahsia serta mesej tersirat penuh hikmah di sebalik peristiwa agung tersebut. Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat berkata, perlu disedari peristiwa besar yang berlaku dalam sejarah itu menunjukkan al-Quran perlu dijadikan panduan utama serta rujukan terpenting umat Islam sepanjang zaman. Kerana itu katanya, isi kandungannya bukan hanya sekadar untuk dibaca semata-mata tanpa diketahui maksudnya, sebaliknya perlu difahami dengan jelas untuk mencapai kejayaan hidup di dunia dan akhirat. "Mengandungi seluruh aspek daripada sekecil perkara sehingga sebesar perkara kita dididik melaluinya. "Proses Pendidikan berteraskan al-Quran ini adalah sepanjang hayat bagi mendapatkan jiwa yang suci untuk kembali kepada Allah. Setiap kandungannya perlu diambil pelajaran dan dipraktikkan dalam diri," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran, Peringkat Negeri Terengganu, di Masjid Kampung Tok Jembal, di sini, semalam. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah Dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah. Mengulas lanjut Satiful berkata, masyarakat Melayu lazimnya sejak kecil mengambil berat mengenai pendikan al-Qur'an namun hanya sekadar mementingkan kemahiran membacanya sahaja. "Semenjak dahulu dalam masyarakat ibu-bapa akan menghantar anak-anak ke kelas al-Quran dan terehenti apabila sudah khatam dan disambut dengan tradisi 'pulut kuning' yang telah sinonim sejak dahulu. "Tanpa melalui satu peringkat lagi untuk memahaminya sehinggakan walaupun sudah berusia Masih tidak memahami 'kalamullah' sedangkan ia turut dibaca dalam solat. "Alangkah malunya kita kepada Allah jika kita boleh belajar, menguasai serta memahami bahasa Inggeris, Mandarin, dan pelbagai bahasa lagi tetapi al-Qur'an yang sering dibaca ini kita tidak fahami maksudnya," ujarnya. Justeru itu katanya, umat Islam pada hari ini perlu gunakan masa dan kesempatan yang ada untuk meneliti mesej yang terkandung di dalamnya untuk dijadikan panduan utama dalam mengamalkan Islam yang syumul dalam kehidupan.    
09 Apr 23
275