Artikel "Agama" Terkini
Lebih 50,000 Rakyat Sertai Himpunan Bicara Murabbi Ummah
KUALA TERENGGANU, 19 Ogos- Dianggarkan lebih 50,000 pengunjung hadir ke Himpunan Bicara Murabbi Ummah Terengganu Sejahtera yang dianjurkan kerajaan negeri semalam.
Menjadi antara program terawal diadakan selepas pembentukan kerajaan yang baru dilantik, himpunan berkenaan merupakan antara manifestasi kepimpinan negeri kepada rakyat.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, kehadiran lautan manusia di Dataran Jambatan Angkat Kuala Terengganu menyaksikan kecintaan rakyat negeri tersebut kepada alim ulama, kepada majlis-majlis ilmu, kepada perjuangan untuk mendaulat syariat islam yang menyeluruh di bumi Darul Iman.
"Program malam ini diadakan bersempena Hari Kemerdekaan, satu platform yang sangat penting untuk kita menunjukkan kecintaan kita kepada negara, agama dan golongan yang mendukung agenda islam dalam negara.
"Himpunan malam ini, tidak lain adalah manifestasi kepimpinan kerajaan negeri yang baru sahaja dibentuk di mana misinya sudah tentu bagi menonjolkan seriusnya urus tadbir kerajaan negeri dan agensi-agensi kerajaan yang menumpukan gabungan antara pembangunan manusiawi dan pembentukan modal insan secara holistik," katanya ketika berucap mewakili Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebelum merasmikan program itu, semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk itu turut mengambil kesempatan merakamkan ucapan terima kasih kepada rakyat, terutama golongan muda yang mengekalkan PAS sebagai pentadbir negeri Terengganu.
Beliau menambah, usaha yang dilakukan hanyalah sedikit dan sangat kecil disebalik kurniaan dari Allah SWT atas kemenangan tersebut.
"Saya bergembira menerima kejayaan anugerah dari Allah SWT. Islam memberi panduan agar tidak leka dengan semua itu kerana segala-galanya adalah dengan keizinan dari-Nya. Atas dasar itulah terlaksananya program munajat sebegini sebagai simbolik kesyukuran.
"Kami di peringkat kepimpinan yang dipilih rakyat akan terus berusaha menunaikan janji manifesto kerana rakyat Terengganu menyakini bahawa dalam sepenggal pemerintahan yang lepas, terbukti janji tawaran dan manifesto dapat dilaksanakan dan apa yang lebih penting adalah usaha mendaulat syariat Islam di bumi Terengganu ini akan terus diperkasakan," katanya.
Himpunan yang berlangsung seawal Maghrib itu menampilkan Ustaz Wadi Anuar, Ustaz Azhar Idrus, Ustaz Ahmad Rizam Ghazali dan Munif Hijjaz dalam tiga sesi dimulakan dengan Selawat Zikir dan Qasidah, Bicara Santai dan Bicara Murabbi Ummah sebagai acara utama.
20 Aug 23
2239
Kes Cabar Undang-undang Syariah : Seruan Untuk Semua Pihak Daulatkan Islam
Merujuk kepada kes Nik Elin Zurina melawan Kerajaan Negeri Kelantan, saya menyambut baik kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar yang menyatakan bahawa usaha untuk memartabatkan undang-undang syariah sebagai tanggungjawab bersama semua pihak.
Untuk makluman, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) sebagai salah satu badan berkaitan agama Islam di negeri Terengganu telah diterima untuk menjadi peguam pemerhati atau ‘watching brief’ kepada prosiding kes ini.
Kerajaan Negeri Terengganu mengambil berat akan kes ini, memandangkan keputusan mahkamah akan turut memberi kesan domino kepada Enakmen-enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Terengganu yang turut mengandungi kesalahan-kesalahan yang sama seperti yang dicabar oleh pihak pemohon.
Dalam pada itu, saya melihat bahawa implikasi kes ini bukan semata-mata akan menjejaskan keabsahan EKJS, tetapi akan turut menyentuh isu kedaulatan agama Islam di negara ini.
Islam telah lama diamalkan di Tanah Melayu termasuklah pemakaiannya di dalam undang-undang jenayah.
Keterangan dalam Batu Bersurat mengenai hukuman bagi kesalahan zina misalnya membuktikan bahawa negeri Terengganu telah mengamalkan ajaran Islam secara menyeluruh berabad lamanya.
Hal ini jelas membuktikan bahawa perundangan Islam adalah sebahagian daripada perundangan di Malaysia.
Kedudukan ini telah diiktiraf dan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan ketika mana ia digubal di mana Islam telah diangkat menjadi agama persekutuan dan bidang kuasa bagi hukum syarak dikekalkan kepada sultan dan raja pemerintah di negeri-negeri.
Selama 66 tahun negara kita merdeka, struktur dalam Perlembagaan ini telah diterima dan diguna pakai, malah turut ditambah baik dengan memasukkan Perkara 121(1A) yang mengangkat kedudukan Mahkamah Syariah.
Namun begitu, semua yang telah kita bina ini, akan runtuh satu persatu sekiranya trend kes mahkamah yang mencabar bidang kuasa negeri ini dibiarkan berterusan tanpa apa-apa tindakan daripada pihak yang mempunyai kuasa.
Di peringkat kerajaan negeri, kami bersedia memainkan peranan untuk melindungi kedudukan dan martabat perundangan Islam yang telah dipertahankan oleh pejuang kemerdekaan sejak dahulu lagi.
Pada masa yang sama, saya mengharapkan adanya perancangan segera di pihak kerajaan persekutuan bagi mengemukakan penyelesaian terhadap situasi yang semakin meruncing ini sebelum keadaan menjadi semakin rumit dan tidak lagi boleh dibaiki.
Saya juga berharap agar panel hakim di Mahkamah Persekutuan kali ini dapat mengambil peluang ini untuk melihat dan menyemak kembali keputusan-keputusan mahkamah terdahulu yang tidak mengangkat kedudukan Islam dalam sistem perundangan negara kepada martabat yang sepatutnya.
YB Dr. Muhammad Khalil bin Abdul Hadi,
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Kerajaan Negeri Terengganu.
18 Ogos 2023 | 2 Safar 1445 H
18 Aug 23
1030
Malam Cinta Rasul Disambut Meriah, 15 Ribu Hadir
KUALA NERUS, 21 Julai - Program Malam Terengganu Cinta Rasul telah mencipta sejarah tersendiri apabila seramai 15,000 rakyat hadir memeriahkan program berkenaan.
Lebih menarik program tersebut telah mendapat sambutan yang mengalakkan daripada kalangan anak muda.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Dato' Mohd Nor Hamzah berkata, dengan sambutan ramai itu menunjukkan usaha kerajaan negeri selama ini untuk memperhebatkan program keagamaan mencapai matlamat.
"Komitmen kerajaan negeri selama ini adalah untuk mengajak masyarakat agar sentiasa bersama dengan Islam, mencintai Rasulullah dan mengikuti segala sunnah baginda.
"Dalam masa yang sama kerajaan negeri berusaha mendekatkan rakyat dengan golongan agamawan terdiri daripada para alim ulama, tuan guru dan para guru-guru agama yang merupakan pewaris para nabi dan para rasul," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Malam Terengganu Cinta Rasul yang didakan di Stadium Tertutup Kompleks Sukan, di sini, semalam.
Antara Tuan Guru (TG) serta pendakwah yang hadir bagi mengisi program bersempena dengan Sambutan Semarak Dakwah itu ialah Ustaz Azhar Idrus, Habib Nael Thohir, TG Habib Syed Suhaimi, TG Babas Suplar, TG Ustaz Raqim Annuria dan Pencetus Ummah (PU) Syed.
Selain itu turut menampilan kumpulan nasyid In-Team, Qasidah Shoutul Muhibbin serta Ustaz Ahmad Muzani
Dalam pada itu Mohd Nor turut mengharapkan agar usaha berterusan kerajaan negeri selama ini mengadakan program-program keagamaan akan berupaya mendidik rakyat serta menyuntik jiwa rakyat agar meletakkan Islam di kedudukan yang tertinggi serta mencapai reda Allah.
"Saya mewakili kerajaan negeri memohon agar tuan guru, ustaz-ustaz dan seluruh yang hadir pada malam ini dengan perasaan rendah diri memohon mendoakan agar Allah SWT mengampunkan dosa kami selaku pemimpin negeri yang sudah tentu banyak kelemahan.
"Serta mendoakan agar Allah mendatangkan keberkatan pada kerjaan negeri ini," ujarnya.
21 Jul 23
355
Bakal Cetus Fenomena, Ribuan Rakyat Berhimpun
KUALA TERENGGANU, 18 Julai - Ribuan rakyat bakal berhimpun di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Terengganu Gong Badak Khamis ini bagi memeriahkan program Malam Terengganu Cinta Rasul yang akan mencetuskan fenomenanya yang tersendiri.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Dato' Mohd Nor Hamzah berkata, program itu bersempena dengan Sambutan Semarak Dakwah di Awal Muharram.
"Ini merupakan satu program kerajaan negeri yang dianjurkan melalui Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) dengan kerjasama institusi pondok, maahad tahfiz dan juga sekolah-sekolah agama.
"Semua rakyat dijemput untuk hadir ke program ini untuk bersama-sama mengalunkan selawat juga bagi membangitkan perasaan rindu serta menanamkan perasaan cinta kepada Rasulullah SAW di mana inilah menjadi rahsia kehebatan orang yang ada di zaman dahulu.
"Juga melahirkan semangat bagi menjadi mata rantai bagi meneruskan perjuangan Rasul di malam cinta rasul itu nanti," ujarnya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) baru-baru ini.
Program berkenaan akan turut disusuli munajat bagi memohon keberkatan dari Allah SWT agar terus memberkati negeri ini dan rakyatnya.
Pelbagai aktiviti menarik diadakan khusus sepanjang program tersebut bermula jam 8.00 pagi sehingga 12.00 malam yang dimulakan dengan Bacaan Surah Yasin Perdana yang akan dipimpin oleh Qari negeri Terengganu, Abdul Hadi Che Abd Halim.
Kemudian akan disusuli dengan seminar penghayatan Hijrah oleh Pendakwah Selebriti, Ustazah Asmak Hussin, Ustazah Muzayyamah Abdulllah dan Motivator Terkenal, Bro Shah Kirit.
Pada sebelah petang pula pengunjung berpeluang untuk bersama-sama menadah kitab denan Pengerusi Persatuan Guru-Guru Pondok Terengganu, Tuan Guru Ustaz Raqim Annuria dan slot Daurah Kitab Bersama Daie.
Sebelah malanya seusai Program maal Hijrah Bersama Daie bersama Ustaz Haji Mat Esa Deraman 'Tokku Pasir Gudang', dan Solat Hajat Perdana majlis tersebut pada cara kemuncak akan berlangsung majlis perasmiannya yang akan disempurnakan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Kemuncak acara Malam Terengganu Cinta Rasul akan menampilkan Ustaz Azhar Idrus sebagai pentausiah bersama Habib Naerl Thohir, Tuan Guru Habib Syed Suhaimi, Tuan Guru Suplar, Tuan Guru Ustaz Raqim Annuria dan Pencetus Ummah (PU) Syed.
Manakala alunan selawat dan nasyid akan menampilkan kumpulan InTeam, Ustaz Ahmad Muzani (UAM) dan Qasidah Shoutul Muhibbin.
Orang ramai yang akan hadir diminta mengenakan tema pakaian pada malam tersbeut iaitu berjubah putih atau mengenakan pakaian yang bersesuain bagi memeriahkan malam berkenaan.
19 Jul 23
880
Sultan Terengganu Seru Rakyat Kekal Perpaduan Langkau Batas Politik
KUALA TERENGGANU, 19 Julai - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menyeru seluruh umat Islam di Terengganu supaya mengekalkan kerukunan melangkaui batasan politik.
Baginda ketika bertitah pada perasmian Sambutan Maal Hijrah peringkat Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini mengingatkan seluruh rakyat sama ada yang beragama Islam dan bukan Islam supaya saling menghormati atas perbezaan dan kepelbagaian serta menjaga keharmonian dan perpaduan selain tidak menimbulkan isu yang menyentuh sensitiviti agama dan bangsa.
"Beta suka mengingatkan, sebagai umat Islam, kita perlu menunjukkan contoh terbaik kepada masyarakat bukan Islam dengan menjadikan peristiwa hijrah Rasulullah SAW sebagai pengajaran dan iktibar dalam menjalani kehidupan bermasyarakat di muka bumi ini.
"Sentimen mementingkan diri, semangat berpuak-puak dan bermusuhan disebabkan perbezaan fahaman politik kepartian tidak sepatutnya berlaku atau terus berlaku di bumi bertuah ini.
"Beta mendoakan agar Negeri Terengganu mempunyai masyarakat yang mengutamakan kerukunan, kedamaian dan kesepakatan dalam menghadapi pelbagai cabaran hidup yang mendatang dan akhirnya melahirkan umat Islam yang bertakwa kepada Allah SWT," titah Baginda.
Dalam majlis tersebut, Sultan Mizan turut berkenan menyampaikan anugerah kepada penerima-penerima terpilih.
Setiap penerima anugerah menerima sijil, piala dan wang tunai berdasarkan kategori masing-masing.
19 Jul 23
235
Sultan Mizan Solat Aidiladha Bersama 2,000 Jemaah
KUALA TERENGGANU, 29 Jun - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang bersama lebih 2,000 jemaah di sini.
Turut mengiringi baginda, Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail dan Tengku Sri Setia Mahkota Raja, Tengku Muhammad Mua’az.
Keberangkatan tiba baginda disambut Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bersama Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri.
Solat Sunat Aidiladha itu telah diimamkan oleh Mufti Terengganu, Prof. Madya Dr. Mohamad Sabri Haron yang turut menyampaikan khutbah yang bertajuk Hakikat Hamba Dalam Ibadah Korban.
Khutbah menyeru umat Islam untuk menyambut Hari Raya Aidiladha dengan sifat kesyukuran di samping mengutamakan pengagihan daging korban kepada golongan yang kurang berkemampuan.
Sultan Mizan sempat meluangkan masa kira-kira 20 minit bersalaman dengan jemaah.
Sebaik selesai menunaikan solat, Sultan Mizan Zainal Abidin berserta anakanda baginda kemudiannya menziarahi makam diraja yang terletak bersebelahan masjid.
29 Jun 23
745
Cuti Umum Arafah Ruang Penghayatan Ibadah
KUALA TERENGGANU, 28 Jun – Kerajaan negeri telah menetapkan bahawa hari Arafah sebagai hari kelepasan bagi negeri Terengganu sejak 2020 lagi.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Penerangan dan Dakwah Negeri, Dato’ Mohd Nor Hamzah berkata ia bertujuan bagi memberi ruang kepada rakyat negeri ini untuk menghayati peristiwa besar tersebut.
Katanya, Rasulullah S.A.W meletakkan kedudukan hari Arafah sangat besar sehingga baginda memberikan khabar gembira kepada orang yang berpuasa pada hari itu.
“Pelbagai ganjaran diperolehi bagi mereka yang melaksanakan ibadah sedemikian seperti Allah S.W.T menghapuskan dosanya setahun sebelumnya dan setahun selepasnya.
“Gambaran ini menunjukkan betapa agungnya kedudukan hari Arafah berbanding hari-hari yang lain,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Perasmian Program Sambutan Penghayatan Hari Arafah Peringkat Negeri Terengganu Darul Iman 1444H/2023 bertempat di Masjid Al-Muhtadin, Kampung Peradong, Manir di sini semalam.
Program tersebut dirasmikan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Tambah Mohd Nor, puasa juga merupakan didikan terbaik dalam diri kita supaya dapat meningkatkan lagi ketakwaan kita terhadap Allah S.W.T.
Beliau mengajak seluruh rakyat negeri ini agar menghidupkan hari Arafah yang besar kelebihan serta keistimewaan di sisi Allah Azza Wajalla.
“Semoga kita boleh menjadikan penghayatan peristiwa besar benar-benar hidup di dalam diri masyarakat kita melalui program yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri seperti ini.
“Tahniah diucapkan kepada jawatankuasa program serta pihak masjid atas persiapan, kelancaran dan kecekapan sepanjang program berlangsung,” ujarnya.
27 Jun 23
289
Program Hari Arafah Disambut Meriah Seluruh Terengganu
KUALA TERENGGANU, 28 Jun - Kerajaan Negeri melaksanakan sambutan Hari Arafah di seluruh negeri Terengganu melalui dua peringkat iaitu Negeri dan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata sambutan di peringkat negeri pada malam semalam adalah bagi menyeru kaum muslimin dan muslimat supaya berpuasa pada 9 Zulhijjah iaitu merupakan hari wukuf di Arafah.
Katanya, sambutan Hari Arafah di peringkat DUN pula akan dilaksanakan secara serentak di seluruh kawasan pada esok hari.
“Ia bertujuan bagi meraikan para jemaah muslimin dan muslimat yang turun ke masjid untuk berbuka puasa beramai-ramai sebagai tanda kesyukuran kerana berjaya melaksanakan ibadah yang dituntut tersebut.
“Semoga setiap perkata yang kita lakukan mampu memberatkan pahala amal kita di hari akhirat kelak, di samping mendapat keredhaan daripada Allah Subhanahu wata’ala," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Perasmian Program Sambutan Penghayatan Hari Arafah Peringkat Negeri Terengganu Darul Iman 1444H/2023 bertempat di Masjid Al-Muhtadin, Kampung Peradong, Manir di sini semalam.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Penerangan dan Dakwah Negeri, Dato’ Mohd Nor Hamzah, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato' Yahaya Ali dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Seri Tengku Bijaya Raja.
Tambah Ahmad Samsuri, bulan Zulhijjah merupakan salah satu bulan yang penuh dengan keistimewaan dan kelebihan yang tersendiri.
“Keistimewaan tersebut ada pada 10 hari terawal Zulhijjah yang perlu kita ketahui keistimewaannya agar ianya menjadi motivasi dalam meningkatkan lagi amal ibadah kita,” ujarnya.
Mengulas lanjut, program yang bermula pada 7.30 itu diawali dengan Ceramah Khas Hari Arafah yang disampaikan oleh Mufti Terengganu, Prof Madya Dr Mohamad Sabri Haron.
Program tersebut berjalan lancar dengan kehadiran jemaah sekitar 300 orang pada malam itu.
27 Jun 23
621
Konsert Gema Islami Gamit Kehadiran Ribuan Rakyat
KUALA NERUS, 27 Jun - Kerajaan Terengganu sekali lagi berjaya menganjurkan acara hiburan penuh berprestij melalui penganjuran Konsert Gema Islami hingga mengamit kehadiran ribuan rakyat dari pelbagai lapisan masyarakat di negeri ini.
Bertempat di Stadium Tertutup Gong Badak lebih 1,000 rakyat hadir bagi memeriahkan acara muzikal Islami yang menampilkan selebriti tanah air iaitu Aiman Sidek, Iwan Syahman dan Ali XPDC.
Konsert itu turut menampikan tiga selebriti dakwah terkenal dan tidak asing lagi dalam negara iaitu Ustaz Haslin Baharin, Ustaz Abdullah Khairi dan Ustaz Zul Ramli.
Rata-rata rakyat sangat teruja dengan penganjuran konsert tersebut dan membuktikan kerajaan negeri tidak menghalang sebarang penganjuran hiburan berdasarkan garis panduan.
Dalam pada itu Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), Kamaruzzaman Abdullah menyifatkan program yang dianjurkan pihaknya dengan kerjasama Didik Ulama dan Amilin Terengganu (DUAT) itu menjadi model terbaik bagaimana bentuk program yang boleh dianjurkan di negeri ini.
"Mudah-mudahan program ini akan dapat diteruskan lagi untuk mendidik jiwa rakyat dan memberikan teladan dan juga menjadi model ikutan, berhibur tidak salah tetapi perlu ada caranya," ujarnya.
27 Jun 23
173
Konsert di Universiti Undang Kebimbangan
KUALA NERUS, 25 Jun - Tindakan beberapa pihak yang mahu membenarkan konsert di dalam institusi pengajian dilihat usaha terdesak menarik undi anak muda yang boleh mencetuskan kebimbangan.
Penulis dan Pendakwah, Dr Riduan Mohd Nor berkata, langkah itu dikhuatiri mengakibatkan gedung ilmu-ilmu tidak akan lagi dihormati bahkan akan mengundang pelbagai idealisme yang boleh merosakkan pemikiran anak muda kerana tidak selari dengan syariat Islam
"Kampus merupakan ruang intelektual, tempat perbincangan ilmua dan juga merupakan tempat untuk melahirkan pemimpin-pemimpin masa hadapan.
"Bukannya dengan menyediakan pentas untuk menari, bercampur gaul antara lelaki dan perempuan, ke arah mana kita hendak bawa (bimbing) anak-anak muda ini?," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menjadi panel pembentang di Simposium Milenial Negarawan : Idealisme dan Aktivisme Belia Dalam Membangunkan Negara, di Dewan Perdana Kompleks Pentadbiran Bandar Al-Wathiqu Billah, di sini, semalam.
Turut berperanan sebagai ahli panel Pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof Dr. Ridhuan Tee Abdullah.
Tambah Dr Riduan, anak muda hari ini terutamanya golongan terpelajar diberi didikan agar menyedari peranan mereka sebagai pelapis kepimpinan di masa akan datang.
"Kamulah yang akan memimpin masa depan ummah, menjuarai isu-isu rakyat dan berjuang untuk mengangkat agama (Islam) ini.
"Maka, bekalkan diri dengan ilmu dengan menghidupkan budaya membaca dan ketagih dengan ilmu serta libatkan diri dengan gerakan mahasiswa,"katanya.
Dalam pada itu beliau turut memberi peringatan kepada kepimpinan hari ini agar bertanggungjawab mengikut apa yang telah dipraktikkan oleh Rasullah bagi membina anak muda dan remaja.
"Kata almarhum Maulana Al-Maududi kalau hendak tengok Islam di masa hadapan tengok anak muda hari ini dan anak muda mengikut akhlak pemimpin," ujarnya.
25 Jun 23
442