KEMAMAN, 19 Ogos – Seramai 14 orang pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2024 diraikan dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Putih 2024 yang berlangsung penuh meriah di sini, hari ini.
Majlis yang dianjurkan oleh Pusat Khidmat Masyarakat DUN Air Putih itu diadakan bagi menghargai pencapaian pelajar yang telah membuktikan kesungguhan serta ketekunan dalam menuntut ilmu sehingga berjaya memperoleh keputusan cemerlang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Mohd Hafiz Adam, hadir menyempurnakan majlis dengan menyampaikan hadiah penghargaan serta wang tunai kepada semua pelajar yang diraikan.
Dalam ucapannya, beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah memainkan peranan penting dalam melahirkan pelajar berkualiti.
“Kejayaan ini bukanlah penamat, sebaliknya satu permulaan kepada perjalanan yang lebih mencabar.
“Insya-Allah, para pelajar akan terus melangkah ke peringkat lebih tinggi, sama ada dalam bidang akademik, teknikal atau pengajian agama.
DUN Air Putih akan sentiasa mendukung usaha melahirkan modal insan berkualiti yang menjadi aset penting kepada negeri dan negara,” katanya.
Seorang penerima anugerah, Nor Atirah Yusof dari Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ismail, turut meluahkan rasa syukur atas penghargaan tersebut.
“Saya amat berterima kasih kepada semua pihak terutamanya Yang Berhormat ADUN, guru-guru dan ibu bapa atas sokongan berterusan.
“Pengiktirafan ini bukan sahaja memberi semangat, malah menjadi motivasi untuk saya terus berusaha mencapai kejayaan,” katanya.