lightning-solid
Berita :
BAS.MY Kuala Terengganu Tawar Tambang Percuma Untuk Golongan Bersasar
BAS.MY Kuala Terengganu Tawar Tambang Percuma Untuk Golongan Bersasar
Ahmad Zaeem Zainudin
22 Sep 25
1721

KUALA TERENGGANU, 22 September – Golongan warga emas, orang kelainan upaya (OKU) serta pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi kini menikmati tambang percuma menerusi penjenamaan baharu BAS.MY Kuala Terengganu.

Menteri Pengangkutan Malaysia, Anthony Loke Siew Fook berkata, inisiatif Kad Konsesi BAS.MY itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan memastikan sistem pengangkutan awam darat lebih inklusif dan mesra rakyat.

"Di bawah inisiatif ini, golongan warga emas berumur 60 dan ke atas, OKU dan pelajar sekolah berumur 7 sehingga 17 tahun, boleh menikmati tambang percuma apabila menggunakan perkhidmatan BAS.MY.

"Kelayakan ini diperluas kepada semua institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang berdaftar dengan Kementerian Penggajian Tinggi, termasuk institut-institut Pendidikan MARA," katanya.

Selain tambang percuma, pengguna lain turut ditawarkan pas perjalanan tanpa had melalui Kad 30 Hari BAS.MY pada harga RM50 sebulan bagi kesemua lapan laluan beroperasi.

"Sebagai contoh, pengguna yang menggunakan perkhidmatan BAS.MY Kuala Terengganu dari Gong Badak ke Kuala Terengganu untuk ke tempat kerja perlu membayar tambang sebanyak RM2.40 sehala atau RM4.80 sehari.

"Dengan Kad 30 Hari BAS.MY, beliau hanya perlu membayar RM50 sebulan berbanding RM96.00 untuk 20 hari bekerja, iaitu penjimatan hampir 48 peratus. 

"Kemudahan ini hanya terbuka kepada warganegara Malaysia sahaja," jelasnya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-Henti BAS.MY Kuala Terengganu di Laman Payang, Pasar Payang di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato' Nara Setia serta Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar, Dato' Hanafiah Mat.

Perkhidmatan BAS.MY Kuala Terengganu kini menampilkan 27 bas mini low floor serba baharu yang lebih mesra OKU, dilengkapi CCTV keselamatan, paparan LED destinasi.

Tambahnya, bas berwarna merah jambu ceria yang beroperasi meliputi kawasan Kuala Terengganu, Hulu Terengganu, Setiu dan Marang itu turut menyediakan kemudahan pembayaran tanpa tunai.

"Pengguna boleh menggunakan sama ada kad debit/kredit atau pembayaran menggunakan e-wallet melalui QR code. 

"Mod-mod pembayaran ini diharapkan akan memudahkan dan menggalakkan rakyat menggunakan pengangkutan awam darat," ujar Loke.

 


Artikel Berkaitan