lightning-solid
Berita :
BAS.My Kuala Terengganu Dilancarkan Secara Rasmi Hari Ini
BAS.My Kuala Terengganu Dilancarkan Secara Rasmi Hari Ini
Ahmad Zaeem Zainudin
22 Sep 25
96

KUALA TERENGGANU, 22 September - Terengganu, negeri tumpuan percutian pada hari ini dengan rasminya melancarkan Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-Henti (SBST) Kuala Terengganu atau BAS.MY Kuala Terengganu.

Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, SBST yang merupakan inisiatif daripada Kementerian Pengangkutan adalah satu transformasi penting dalam menambah baik sistem perkhidmatan pengangkutan awam di Terengganu.

"Fokus utama program BAS.MY berhenti-henti ini adalah keboleh harapan, ketersediaan dan ketepatan masa adalah selari dengan aspirasi kita untuk menjadikan pengangkutan awam sebagai pilihan utama bagi penduduk bandar dan luar bandar.

"Dengan penambahan empat laluan baharu, jumlah lapan laluan merangkumi empat pihak berkuasa PBT yang disebut oleh Yang Berhormat Menteri tadi akan memperkukuhkan lagi jaringan hubungan antara kawasan dan membuka ruang ekonomi baru," katanya.

Dikendalikan oleh Maraliner sebagai operator bagi perkhidmatan tersebut, pelaksanaan BAS.MY di Kuala Terengganu merangkumi empat kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) iaitu Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Majlis Daerah Hulu Terengganu, Majlis Daerah Setiu, dan Majlis Daerah Marang.

Samsuri yakin bahawa pendekatan bersepadu dan berfokus antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan ini akan memberi pulangan sosial dan ekonomi yang lebih baik kepada negeri Terengganu dan rakyatnya.

"Besar harapan saya agar perkhidmatan BAS.MY Kuala Terengganu akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh seluruh penduduk Kuala Terengganu, para mahasiswa, mahasiswi, para pelajar di alam persekolahan dan rakyat Terengganu secara amnya.

"Seterusnya menyumbang kepada peningkatan taraf hidup. dan kemakmuran di negeri Terengganu ini. Insya-Allah," ujarnya dalam satu ucapan.

Menurut Menteri Pengangkutan Malaysia, Anthony Loke Siew Fook, inisiatif tersebut telah menelan perbelanjaan sebanyak RM40.81 juta bagi tempoh lima tahun ataupun RM8.16 juta setahun.

Jelasnya lagi, program SBST Kuala Terengganu yang bermula pada tahun 2018 kini telah di sambung sehingga tahun 2029 dengan beberapa penambahbaikkan dari segi jenis bas, penambahan laluan dan kemudahan untuk pengguna.

"Selain itu, perkhidmatan bas di bawah program SBST ini juga diberi nafas baharu dengan penjenamaan baharu dan penggunaan seratus peratus bas baharu bagi menggantikan bas-bas yang lama dan usang.

"Melalui inisiatif BAS.MY Kuala Terengganu ini, sebanyak 27 buah bas yang semunya terdiri daripada bas-bas mini low floor," katanya.

Tambahnya, inisiatif kedua selain SBST yang dilaksanakan melalui Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dalam merangka sistem yang lebih efisien dan dinamik itu juga termasuklah 'Interim Stage Bus Support Fund' (ISBSF).

"Pelaksanaan ISBSF pula merupakan bantuan kewangan secara sementara kepada pengendali bas berhenti-henti yang layak bagi menanggung kerugian operasi di laluan yang tidak ekonomik. 

"Ini bertujuan untuk memastikan kesalinghubungan pengangkutan awam ke kawasan-kawasan luar bandar boleh dikekalkan.

Anthony berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-Henti BAS.MY Kuala Terengganu di Ruang Legar Pasar Payang, Kuala Terengganu, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Awam Malaysia, Dr. Nor Fuad Abdul Hamid, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar, Dato' Hanafiah Mat serta Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim.

Antara kemudahan yang ditawarkan kepada pengguna BAS.MY termasuklah pas bulanan perjalanan tanpa had: Kad 30 Hari, tambang percuma melalui Kad Konsesi BAS.MY bagi golongan bersasar serta pembayaran tanpa tunai.


Artikel Berkaitan