KUALA TERENGGANU, 22 September - Tindakan beberapa negara barat mengiktiraf kewujudan Palestin dilihat sebagai agenda Imperialisme Barat dan Zionis untuk mencorak kembali peta Timur Tengah demi kepentingan mereka.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, negara seperti United Kingdom, Australia Kanada, New Zealand mengisytiharkan kewujudan Palestin yang akan disertai oleh beberapa negara lain lagi dalam masa terdekat.
Sedangkan menurutnya negara terbabit adalah pecahan rumpun negara yang dinamakan Anglo-Saxon yang merupakan teras kepada empayar Great Britain yang pernah menjadi tonggak utama imperialisme barat di era sebelum dan selepas perang dunia petama.
"Umat Islam usah lupa bahawa penjajah British adalah pihak yang bertanggungjawab merampas bumi Palestin dan melaksanakan gerakan penghijrahan dan penempatan Yahudi Eropah ke bumi Palestin seterusnya penubuhgan negara haram 'Israel' pada tahun 1948.
"Tiba-tiba hari ini mereka mahu menjadi 'hero' kononnya mahu menyerahkan kembali bumi Palestin, apa yang sedang berlaku sekarang, tidak lain dan bukan adalah penyusunan semula gerakan Imperilisme Barat dan Zionis bagi mencorak kembali peta Timur Tengah demi kepentingan mereka,"ujarnya melalui kenyataan di media sosialnya, di sini, hari ini.
Tegas beliau, agenda 'two state solution' hanyalah omong kosong untuk mengaburi mata Umat Islam sedangkan dalam masa yang sama ia merupakan langkah bagi menyelamatkan negara haram Israel yang sedang berada di ambang kehancuran.
"Tindakan dramatik barat (mengiktiraf Palestin) lebih kepada meredakan kemarah rakyat di negara masing-masing kerana melampaui batas Zionis Israel ke atas rakyat Palestin khususnya di Gaza, jika tidak bertindak kedudukan mereka juga akan terjejas.
"Sebagai langkah berjaga-jaga demi untuk menjaga gerakan Zionis, Menteri Luar United Kongdom dalam satu kenyataan menyatakan bahawa pengiktirafan negara Palestin tidak bererti penuhan negara Palestin sekarang ini,"katanya.
Namun katanya, tidak dinafikan terdapat beberapa negara bukan Islam yang berada di luar orbit seperti Sepanyol yang mempunyai sejarah hitam dengan bangsa yahudi sejak ratusan tahun dan juga majoriti negara-negara Amerika Selatan di atas asas menentang agenda 'imperialisma barat'.
"Perkembangan terkini menunjukkan kita sedang menyaksikan satu lagi gerakan halus yang akan merubah landskap politik dunia.
"Dunia Islam mestilah bersatu serta kembali kepada penyelesaian Islam dan seterusnya memposisikan maslahah umat Islam tanpa mengikut telunjuk mana-mana kuasa,"jelas beliau.