lightning-solid
Berita :

Artikel "Dewan Rakyat" Terkini

Ahli Parlimen Besut Soal Ketelusan LPQB, Timbalan Menteri Akui Kecuaian
Ahli Parlimen Besut Soal Ketelusan LPQB, Timbalan Menteri Akui Kecuaian
KUALA LUMPUR 9 Okt. 2025 – Suasana Dewan Rakyat baru-baru ini dihangatkan dengan soalan tambahan daripada Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-PAS), yang mempersoalkan status pelaksanaan tanggungjawab berkanun oleh Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang (LPQB). Che Mohamad Zulkifly, meminta penjelasan daripada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Tuan M. Kulasegaran (PH) berkait isu yang membabitkan LPQB. Beliau merujuk kepada soalan asal yang dilihat seolah-olah menggesa rombakan institusi LPQB kerana dakwaan kegagalan. "Soalan saya mudah sahaja. Adakah sehingga kini, ia membuktikan bahawa fungsi-fungsinya (LPQB) telah dilanggar? Maknanya tidak diikuti?" tegas Che Mohamad Zulkifly. Beliau kemudian menyusul dengan soalan kritikal yang menjadi nadi kerisauan masyarakat, khususnya pelajar undang-undang: "Adakah terdapat apa-apa bukti rasmi contohnya keputusan mahkamah yang menyatakan bahawa LPQB tidak menjalankan obligasi statutori (berkanun) mereka?" Che Mohamad Zulkifly menekankan bahawa LPQB ditubuhkan seawal tahun 1985. Beliau mempersoalkan mengapa hanya dalam 15 tahun terakhir ini, timbul dakwaan bahawa lembaga tersebut gagal menjalankan tugas. "Adakah kerana ada kegagalan dalam peperiksaan itu sendiri oleh peguam-peguam yang hendak jadi peguam, ataupun atas sebab-sebab lain?," soalnya, menamatkan desakan kepada Timbalan Menteri. Menjawab soalan tersebut, M. Kulasegaran mengakui bahawa LPQB telah menjalankan tugas-tugas yang termaktub di bawah Akta Profesion Undang-Undang. Namun, beliau mengesahkan wujud satu 'kecuaian' LPQB dalam menjalankan obligasi berkanun untuk mengadakan 'Article Clerkship', latihan dalam kamar yang wajib. Timbalan Menteri mendedahkan bahawa LPQB telah mencadangkan kepada Kerajaan pada tahun 1985 untuk menghapuskan klausa ini, namun tiada sebarang pandangan diberikan oleh Kerajaan pada masa itu. "Selepas itu, Lembaga itu dengan tersendirinya tidak menjalankan tugas untuk mengadakan 'Article Clerkship'. Itu pada pandangan saya satu adalah satu kecuaian mereka," jelas M. Kulasegaran. Beliau seterusnya merujuk kepada kes di Mahkamah Persekutuan beberapa hari lalu, di mana mahkamah telah mengarahkan LPQB untuk mendaftarkan seorang pemohon untuk article clerkship. Mahkamah Persekutuan menegaskan bahawa ini adalah 'statutory obligation' (obligasi berkanun) yang mesti dilakukan oleh LPQB. Sebagai pengakhiran, Timbalan Menteri memaklumkan mahkamah turut memerintahkan LPQB membayar RM80,000 sebagai kos kepada pihak pemohon, menguatkan lagi pandangan perlunya LPQB mematuhi obligasi yang ditetapkan.
12 Oct 25
162
Kuasa mutlak Menteri, Ahli Parlimen Besut Bimbang
Kuasa mutlak Menteri, Ahli Parlimen Besut Bimbang
KUALA LUMPUR, 9 Oktober – Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (Perikatan Nasional), menimbulkan persoalan serius berhubung peruntukan kuasa penuh kepada Menteri Dalam Negeri dalam Rang Undang-Undang Agensi Persendirian (Pindaan) 2025, khususnya melibatkan hal pelesenan dan penetapan fi. Dalam perbahasan Rang Undang-Undang tersebut di Dewan Rakyat, Che Mohamad Zulkifly menyatakan kebimbangannya mengenai potensi penyalahgunaan kuasa sekiranya Fasal 2, yang memberikan kuasa mutlak kepada Menteri untuk meluluskan lesen dan menentukan fi, diluluskan tanpa semak imbang yang jelas. "Fasal 2 ini berpusat kuasa kepada Menteri. Jadi saya nak tanya, Timbalan Menteri tak ada kuasa? Menteri saja," ujarnya, secara berseloroh membangkitkan isu kuasa Timbalan Menteri yang tiada peranan dalam peruntukan tersebut. Beliau menekankan bahawa sebagai Ahli Parlimen, mereka perlu memastikan terdapat badan yang mengawal kuasa tersebut, bimbang sekiranya 'sesiapa yang rapat dengan Menteri atau Timbalan Menteri, ataupun dengan PM' boleh mendapatkan kelulusan dengan mudah, sambil merujuk kepada isu perolehan projek mega yang tular baru-baru ini. "Janganlah kita nak luluskan undang-undang bagi kuasa penuh kepada Menteri ini," tegas beliau, sebelum turut memetik Fasal 6 yang dilihatnya turut meletakkan kuasa mutlak kepada Menteri, walaupun surat dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Pendaftaran Negara (KPN), tetapi masih tertakluk kepada apa yang Menteri tetapkan. Menjawab soalan tersebut, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah, menepis kebimbangan itu, menjelaskan bahawa keputusan yang dibuat oleh Menteri adalah berdasarkan kepada laporan dan tapisan yang rapi, bukannya secara sewenang-wenangnya. "Menteri tidak buat keputusan tanpa ada laporan-laporan dan juga penelitian yang dibuat," jelas Shamsul Anuar. Beliau memberi contoh dalam proses pelulusan lesen syarikat, di mana syarikat perlu melalui tapisan keselamatan oleh PDRM terlebih dahulu, diikuti dengan temuduga oleh panel yang berkelayakan untuk meneliti semua dokumen permohonan yang diuruskan oleh unit urus setia. "Setelah selesai barulah kita angkat syor kepada Menteri. Jadi sebenarnya, apa yang kita buat ini dia memang mematuhi peraturan-peraturan dan kita tidak sewenang-wenangnya buat peraturan untuk meletakkan individu mempunyai kuasa mutlak," tegas Timbalan Menteri. Keterangan Timbalan Menteri itu dilihat bertujuan memberikan jaminan kepada Dewan Rakyat bahawa proses pelesenan agensi persendirian kekal telus dan tertakluk kepada pemeriksaan keselamatan dan prosedur standard, meskipun kuasa muktamad diletakkan di bawah Menteri.
11 Oct 25
112