KUALA TERENGGANU, 19 Oktober – Usaha ke arah kelestarian alam sekitar terus diperkasakan apabila Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menjalin kerjasama dengan Primula Beach Hotel bagi melaksanakan projek penyelidikan penghasilan baja kompos daripada sisa makanan hotel.
Melalui memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani hari ini, kedua-dua pihak bersepakat memanfaatkan kepakaran penyelidik UniSZA dalam menukar sisa buangan organik kepada baja berkualiti tinggi serta mesra alam.
Naib Canselor UniSZA, Prof Datuk Dr Fadzli Adam, berkata projek berasaskan pendidikan itu dijalankan melalui Fakulti Biosumber dan Industri Makanan dengan objektif utama untuk menukar sisa buangan dapur hotel menjadi baja kompos yang berkualiti tinggi serta tidak berbau.
"Projek ini merupakan inisiatif di bawah Academic Industry Engagement Research Project (AIEP) yang dibiayai melalui dana dalaman universiti bagi tempoh antara satu hingga dua tahun.
“Melalui kepakaran penyelidik kami, sisa makanan akan diproses menggunakan teknologi kompos terkini bagi menghasilkan baja bernutrien tinggi untuk tanaman.
"Kajian ini juga memberi tumpuan kepada kaedah rawatan bagi memastikan bahan buangan menjadi lebih bersih dan bebas bau,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menandatangani MoU tersebut di sini, hari ini.
Menurutnya lagi, Primula merupakan hotel pertama di Terengganu yang menjalinkan kerjasama seumpama ini bersama UniSZA.
Tambah Dr Fadzli, projek tersebut dijangka menjadi model rintis sebelum dikembangkan ke sektor perhotelan lain di negeri ini dan di rantau Pantai Timur.
“Kerjasama ini telah dibincangkan sejak beberapa bulan lalu dan Primula menunjukkan komitmen yang tinggi terhadap usaha kelestarian alam sekitar.
"Kami berharap inisiatif ini dapat diperluas kepada lebih banyak hotel selepas ini,” katanya.
Selain projek baja kompos, Fakulti Biosumber dan Industri Makanan UniSZA turut melaksanakan beberapa projek lain dalam bidang pertanian dan agroindustri termasuk tanaman Melon Manis Terengganu, ubi vitato, serta penghasilan produk berasaskan roselle, madu kelulut, cili kering dan minyak cili.
"Projek-projek tersebut dijalankan dengan kerjasama pelbagai agensi seperti Agrobank, CIMB Bank, Maybank Islamic serta Jabatan Pertanian Terengganu, dengan sebahagian daripadanya telah dikomersialkan melalui UniSZA Holding Sdn. Bhd," ujarnya lagi.
Menurutnya, inisiatif ini bukan sahaja menyokong usaha R&D universiti dalam bidang biosumber dan kelestarian, malah membuka peluang kepada pelajar dan komuniti untuk terlibat secara langsung dalam aktiviti pertanian dan inovasi hijau yang berimpak tinggi.