KUALA TERENGGANU, 5 Oktober – Kesusahan hidup bukan alasan untuk mengundur diri, itulah semangat kental yang dizahirkan oleh tiga anak muda dari Terengganu apabila berjaya menempatkan diri di menara gading melalui Biasiswa Pendidikan PETRONAS (PESP).
Berasal dari Sura Hujung, Dungun, Ahmad Zaim Fakhri berkata dia membesar dalam keluarga nelayan dengan enam adik-beradik.
Katanya, pendapatan ayahnya yang tidak menentu dan usaha ibunya menjahit pakaian untuk menampung keluarga menjadikan kehidupan mereka serba sederhana.
“Pernah suatu ketika, saya terpaksa meminjam sabun mandi daripada rakan kerana tidak mampu membelinya sendiri,” katanya mengimbas pengalaman di asrama.
Tambahnya, minat mendalam terhadap Matematik Tambahan membawanya memilih bidang Kejuruteraan Mekanikal dan disiplin tinggi membolehkan dia mengekalkan gred A dari Tingkatan 4 hingga 5.
"Saya turut aktif dalam kelab sekolah, menerima upah kecil sekitar RM400 hingga RM500 setahun cukup untuk menampung keperluan asas sendiri.
“Biasiswa PETRONAS ini pengiktirafan terhadap pengorbanan ibu bapa saya,” katanya yang kini melanjutkan pengajian Asasi Kejuruteraan Mekanikal di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai.

Seorang lagi penerima, Muhammad Zahin Aslam Mohd Zin, membuktikan bahawa kesungguhan mampu mengatasi segala kekangan.
Anak bongsu daripada empat beradik itu hidup dalam keluarga sederhana di Dungun.
Katanya, ayah bekerja sebagai pengawal keselamatan manakala ibunya suri rumah sepenuh masa.
“Guru dan kaunselor banyak membantu, malah ada yang menanggung sebahagian kos kelas malam. Saya sangat berterima kasih,” ujarnya yang berjaya memperoleh 9A+ dalam SPM 2024.

Zahin yang kini sedang mengikuti program A-Level di Cheras sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang Kejuruteraan Kimia di United Kingdom tekad untuk kembali berkhidmat untuk negara satu hari nanti.
“Saya mahu manfaatkan peluang ini dan suatu hari nanti kembali berkhidmat kepada negara dalam bidang tenaga,” ujarnya.
Sementara itu, Amalina Natashya, 17, dari Jerteh berkata, membesar dalam keluarga sederhana bukan alasan untuknya tidak berjaya.
Sebaliknya dia berkata, kesusahan ayah sebagai seorang penanam padi dan peniaga kecil serta ibu sebagai suri rumah yang turut mengambil upah mengurut ketika musim cuti sekolah menjadi motivasi untuknya berjaya.
“Saya sedih tengok mereka bekerja keras walaupun dah berumur. Sejak itu saya berazam, suatu hari nanti sayalah yang akan menyara mereka,” katanya.
Pada awalnya, Amalina berdepan kesukaran dalam Matematik Tambahan, namun semangat dan sokongan rakan-rakan mengubah segalanya.
Ujarnya, dia mula menggunakan waktu prep petang untuk belajar, dan hasilnya, berjaya memperoleh 9A dalam SPM.

“Saya mahu ibu bapa saya berehat. Giliran saya pula untuk menjaga mereka,” ujarnya yang kini melanjutkan pengajian dalam Kejuruteraan Kimia di Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) menerusi biasiswa yang sama.
Kisah Zaim, Zahin dan Amalina menjadi bukti bahawa peluang pendidikan mampu mengubah nasib keluarga. Dengan sokongan biasiswa PETRONAS, mereka kini melangkah ke fasa baharu untuk mengejar cita-cita dan menyumbang kepada negara.