lightning-solid
Berita :
Terengganu Semakin Hampir Capai Status Negeri Bandar Pintar
Terengganu Semakin Hampir Capai Status Negeri Bandar Pintar
Rohayati Ripin
14 Oct 25
307

KUALA TERENGGANU, 14 Oktober – Terengganu kini berada di landasan kukuh untuk mencapai visi negeri bandar pintar apabila enam pihak berkuasa tempatan (PBT) telah mengemukakan permohonan untuk penarafan dan menunggu keputusan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) penghujung tahun ini.

Katanya, penyediaan Pelan Tindakan Bandar Pintar, setakat ini empat daerah telah selesai iaitu Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Majlis Perbandaran Kemaman, Majlis Perbandaran Dungun dan Majlis Daerah Marang.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, setakat ini dua PBT Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) telah menerima penarafan Smart City Early Adopter daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Manakala dua lagi, Majlis Perbandaran Dungun (MPD) dan Majlis Daerah Marang (MDM), telah mengemukakan permohonan untuk penarafan sama dan dijangka memperoleh keputusan pada penghujung tahun 2025.

“Terkini, tiga PBT lagi iaitu Majlis Daerah Besut (MDB), Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT) dan Majlis Daerah Setiu (MDS) telah melancarkan Pelan Tindakan Bandar Pintar masing-masing pada hari ini.

“Kita menjangkakan semua PBT ini akan mendapat penarafan Smart City Early Adopter pada tahun 2026. Sebagai tambahan, beberapa projek nyata telah dilaksanakan atau telah diumumkan yang menunjukkan komitmen negeri kita terhadap agenda Bandar Pintar,” jelasnya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, pelaksanaan ini membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam memperkukuh infrastruktur digital, meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam dan menambah baik kualiti hidup rakyat melalui penggunaan teknologi.

“Antaranya ialah Pelan Tindakan Bandar Pintar Kuala Terengganu 2030, yang meliputi kawasan Kuala Terengganu dan Kuala Nerus, telah melalui proses kajian dan libat urus dengan komuniti bagi mengenalpasti isu, cabaran dan inisiatif pintar yang relevan,” kata beliau. 

Selain itu, aplikasi Petunjuk-Petunjuk Bandar Malaysia (MURNInet) di bawah PLANMalaysia Terengganu turut digunakan sebagai alat ukur kemampanan bandar serta prestasi pelaksanaan inisiatif pintar di seluruh negeri.

“Melalui aktiviti 'Terengganu Smart City Activation Day (TSCA)' hari ini juga adalah sebagai sebahagian daripada usaha memperagakan pelaksanaan bandar pintar negeri dan menjadi platform perkongsian antara pemain industri dan Pihak Berkuasa Tempatan di Terengganu,” ujarnya.


Tag :

Artikel Berkaitan