KUALA TERENGGANU, 6 Oktober – Terengganu bergerak di landasan tepat untuk muncul sebagai hab tenaga hijau negara apabila berjaya meneroka potensi ammonia sebagai sumber tenaga alternatif selain hidrogen dan solar.
Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, ammonia bukan sahaja berfungsi sebagai medium pengangkutan hidrogen hijau, malah dengan teknologi terkini ia boleh terus dijadikan tenaga.
“Daripada hasil lawatan ini, kita mendapati pelan ammonia boleh diwujudkan di negeri kita, selaras dengan hasrat menjadikan Terengganu sebagai hab teknologi hijau.
“Kita tidak meletakkan ammonia sebagai calon utama, tetapi menganggapnya sebagai salah satu daripada sumber tenaga hijau yang boleh dibangunkan di Terengganu. Kita sudah ada Solar Park dan Hidrogen, ditambah pula dengan ammonia. Tiga elemen ini akan menjadi pemangkin untuk menjadikan negeri ini sebagai hab tenaga hijau dalam negara.
“Kedua, teknologi yang dibawa ini juga sesuai dilaksanakan di negeri kita. Sekiranya perkara ini menjadi kenyataan, ia mampu membawa satu teknologi baharu kepada rakyat serta membuka peluang pekerjaan.

“Selain itu, pengeluaran tenaga hijau sudah pasti akan mengurangkan penggunaan bahan api fosil, sekali gus memberi penambahbaikan kepada alam sekitar, insya-Allah. Oleh itu, perkara ini akan terus diperhalusi agar dapat dibawa ke negeri Terengganu yang kita cintai,” jelasnya ketika dihubungi hari ini mengulas mengenai lawatan kerja ke IHI Powerplant Systems Co. Ltd. (Aioi Plant), Jepun.
Menurutnya, lawatan kerja ke IHI Powerplant Systems Co. Ltd. (Aioi Plant), Jepun bertujuan untuk meneroka potensi tenaga hijau yang boleh dibawa ke Terengganu.
“Kerajaan negeri turut meninjau potensi tenaga angin dan arus laut, namun ia masih memerlukan kajian lanjut memandangkan faktor teknikal seperti kekuatan angin dan arus yang tidak konsisten.
“Angin di negeri ini kebanyakannya statik, malah kadangkala tiada langsung, menjadikannya tidak sesuai untuk pemasangan turbin angin.
“Begitu juga dengan tenaga arus laut yang hanya kuat ketika musim monsun. Di luar musim itu, arus tidak mencukupi untuk menjana tenaga secara berterusan.

“Perkara ini kini sedang diteliti bersama pihak teknologi dan saintis bagi mengenal pasti kaedah terbaik supaya pengeluaran tenaga ini benar-benar boleh dimanfaatkan untuk negeri Terengganu,” ujar beliau.
Norkhuzaini menambah, langkah yang dirancang selari dengan hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan Terengganu sebagai hab tenaga hijau melalui gabungan tiga pemacu utama iaitu Solar Park, Hidrogen Hijau dan Ammonia Hijau.
Beliau turut berkongsi lebihan utama ammonia sebagai medium berbanding hidrogen gas dari segi penghantaran dan kos.
“Kalau kita nak pindahkan hidrogen dalam bentuk gas, kosnya tinggi kerana memerlukan tekanan sehingga 700 PSI. Tetapi apabila kita tukar kepada ammonia dalam bentuk cecair, ia lebih mudah dan murah untuk dihantar. Malah, melalui teknologi baharu, ammonia boleh terus ditukar menjadi tenaga tanpa perlu kembali kepada hidrogen.
“Selain itu, keperluan domestik tenaga di negeri ini hanya sekitar 400 megawatt, sedangkan kita mampu jana lebih 3 gigawatt tenaga melalui projek solar di Tasik Kenyir, janakuasa sedia ada serta potensi ammonia. Lebihan ini boleh menjadikan Terengganu sebagai pengeluar utama tenaga hijau di Malaysia,” katanya.

Tambahnya lagi, selain membuka peluang pekerjaan dan membawa teknologi baharu kepada rakyat, penghasilan tenaga hijau juga bakal mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil sekali gus memberi manfaat kepada alam sekitar.
“Dengan adanya tiga tonggak utama ini, Terengganu berpotensi menjadi pemain utama dalam industri tenaga hijau negara dan memberi limpahan ekonomi kepada rakyat,” tambah beliau lagi.