Artikel "Utama" Terkini
Pelabuhan LKIM Chendering Naik Taraf
KUALA TERENGGANU, 25 Februari - Kerajaan negeri kini giat melaksanakan projek penaiktarafan pelabuhan dimiliki oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Chendering yang terkesan akibat mendapan pasir.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi, Dr. Azman Ibrahim berkata projek yang sedang berjalan di pelabuhan itu akan melalui dua fasa di sepanjang proses penaiktarafan dilaksanakan.
“Fasa pertama kerja-kerja di daratan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan fasa kedua kerja-kerja dalam air oleh Jabatan Perparitan dan Saliran (JPS).
“Kerja di daratan merangkumi skop menaik taraf infrastruktur pelabuhan manakala kerja-kerja dalam air merangkumi skop merobohkan jeti sedia ada, pengorekan untuk mendalamkan pelabuhan serta menaiktaraf dan membina benteng pemecah ombak.
“Projek fasa satu dijadualkan siap pada Oktober 2028 sementara fasa dua dijadualkan siap Ogos 2031," beliau berkata sedemikian melalui satu hantaran Facebook rasminya, semalam.
Menurut beliau, keputusan untuk penaiktarafan itu terhasil daripada usaha kerajaan negeri bersama LKIM melalui Bengkel Transformasi Perikanan Negeri Terengganu pada tahun 2021.
“Selepas melalui pelbagai proses yang agak panjang dan rumit, akhirnya zaman kerajaan Pakatan Nasional (PN) pada 27 Februari 2023, Kementerian Ekonomi telah meluluskan RM192 juta untuk Projek Pembangunan dan Pemerkasaan PLC.
Dalam pada itu, Dr. Azman menerangkan bahawa antara isu utama yang dihadapi PLC ialah mendapan pasir dan kedhaifan infrastruktur yang menyebabkan satu-satunya pelabuhan perikanan di Terengganu itu bukan lagi pilihan utama sebagai tempat berlabuh dan mendaratkan hasil tangkapan.
“PLC yang mula beroperasi pada 1983 dan melalui zaman kegemilangannya pada tahun 90-an kini mulai suram.
“Dengan siapnya kerja-kerja ini, insya-Allah kita akan dapat mengembalikan semula zaman kegemilangan PLC,” tambahnya.
24 Feb 25
172
PSPT 2024-2030: Terengganu Janjikan Transformasi Besar
KUALA TERENGGANU, 24 Februari – Terengganu kini memasuki era baharu dalam revolusi pertanian menerusi Pelan Strategik Pertanian Negeri Terengganu (PSPT) 2024-2030, yang menjanjikan transformasi besar bagi sektor ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dr. Azman Ibrahim, menegaskan bahawa kejayaan PSPT 2019-2023 menjadi pemangkin kepada perancangan strategi yang lebih berkesan untuk tahun-tahun mendatang.
"Tanggungjawab besar digalas oleh keluarga besar Pertanian Terengganu untuk memastikan 27 peratus teras strategi dan 56 program utama PSPT 2024-2030, merangkumi Kluster Padi, Kluster Tanaman Makanan, Kluster Penternakan, Kluster Perikanan dan Kluster Industri Asas Tani, dapat dipacu ke tahap lebih tinggi dan mampan.
"Pelan ini bukan sekadar perancangan di atas kertas, tetapi satu ikhtiar besar bagi meningkatkan keterjaminan makanan dan kesejahteraan rakyat.
"Kita tidak mahu hanya merancang tanpa tindakan, setiap langkah yang diambil mesti memberikan impak segera kepada rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelancaran PSPT 2024-2030 yang berlangsung di Dewan Besar Wisma Darul Iman, di sini baru-baru ini.
Majlis berprestij itu turut diserikan dengan keberangkatan Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin, yang berkenan mencemar duli menyaksikan majlis perasmian tersebut.
Hadir sama, Menteri Besar Terengganu; Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Pegawai Kewangan Negeri; Dato' Mohd Azmi Mohamad Daham.
Menurut Azman, antara fokus utama pelan ini termasuk meningkatkan pengeluaran buah-buahan premium seperti Musang King dan Mangga King Terengganu, menaik taraf Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM), memperkasa industri penternakan ayam pedaging, lembu pedaging dan kambing tenusu, serta memperkayakan sumber perikanan marin dan darat.
"Kita juga akan memperhebat pembangunan Padang Ragut dan Zon Industri Akuakultur (ZIA) bagi menjamin kesinambungan industri pertanian negeri.
"Pelaksanaan PSPT 2024-2030 akan memberi keutamaan kepada Program Imersif Tinggi (HIP) yang dipilih berdasarkan ciri-ciri ‘quick win’ dan ‘low hanging fruit’ agar manfaatnya dapat dinikmati dalam tempoh singkat dengan kos yang minimum," jelas beliau.
Beliau turut menegaskan bahawa analisis kelemahan dan kekuatan daripada PSPT 2019-2023 menjadi asas penting dalam perancangan baharu ini.
"Kita belajar daripada pengalaman. Apa yang kurang kita perbaiki, dan apa yang sudah baik kita tingkatkan lagi," tegasnya.
Tambah Dr. Azman, PSPT 2024-2030 bukan sekadar satu strategi tetapi satu gerakan menyeluruh bagi memastikan pertumbuhan sektor pertanian lebih kukuh dan berdaya saing.
"Kita mahu semua pihak mendapat manfaat tanpa ada yang tercicir.
"Pelabur besar dialu-alukan, manakala rakyat biasa juga diberi perhatian.
"Pelan ini milik kita semua. Kita rangka bersama, kita laksanakan bersama," ujarnya.
24 Feb 25
891
Vape Lebih Bahaya Daripada Morphin
KUALA TERENGGANU, 24 Februari - Penggunaan vape jenis tertentu didakwa boleh menyebabkan kerosakan otak hanya dalam tempoh 14 hari, jauh lebih pantas daripada kesan morphin yang mengambil masa 40 tahun untuk merosakkan akal manusia.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah mendedahkan kebimbangan ini berdasarkan satu kajian yang menunjukkan bahawa vape jenis 'mushroom' boleh menyebabkan penyakit mental dalam tempoh dua minggu sahaja.
"Morphin memerlukan 40 tahun untuk merosakkan akal, tetapi vape jenis 'mushroom' hanya memerlukan 14 hari. Ini sangat membimbangkan," kata beliau kepada pemberita di Wisma Darul Iman, di sini semalam.
Beliau juga berkongsi bahawa pusat pemulihan dadah Darul Barakah menerima banyak kes ibu bapa yang membawa anak-anak mereka kerana ketagihan vape.
Malangnya kata beliau, tiada pelan pemulihan yang tepat kerana vape memberi kesan terus kepada mental, bukan sekadar ketagihan biasa.
"Kesannya bukan sekadar ketagihan fizikal, tetapi juga menyebabkan gangguan mental yang serius.
"Mereka sepatutnya mendapatkan rawatan di hospital, bukan di pusat pemulihan dadah," tambahnya lagi.
Menurut Wan Sukairi, Kerajaan negeri dalam perbincangan akhir untuk melaksanakan pengharaman vape secara menyeluruh di negeri ini.
"Jika cadangan ini diluluskan, pengharaman ini bukan hanya tertumpu kepada vape jenis 'mushroom' sahaja, tetapi melibatkan semua perisa vape tanpa pengecualian," tegasnya.
24 Feb 25
259
Terengganu Bakal Haramkan Vape Secara Total?
KUALA TERENGGANU, 24 Februari - Kerajaan Terengganu sedang dalam perbincangan untuk melaksanakan pengharaman 'total' ke atas vape di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) telah mengemukakan cadangan kepada kerajaan negeri untuk mengharamkan vape secara menyeluruh di Terengganu.
"Kertas cadangan ini sedang dalam proses akhir dan akan dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri (MMKN) untuk dibincangkan.
"Pengharaman turut melibatkan penjualan, pengiklanan dan sebarang aktiviti berkaitan vape di seluruh premis di negeri ini," katanya ketika ditemui pemberita di Wisma Darul Iman, di sini semalam.
Menurut beliau, jika cadangan ini dipersetujui, satu undang-undang ketat akan diperkenalkan bagi memastikan pengharaman itu dapat dikuatkuasakan sepenuhnya.
"Jika cadangan pengharaman ini diluluskan, semua jenis vape tanpa mengira perisa atau kandungannya akan diharamkan sepenuhnya di Terengganu.
"Pengharaman ini bukan hanya tertumpu kepada vape jenis 'mushroom' sahaja, tetapi melibatkan semua perisa vape tanpa pengecualian," jelasnya.
Sebelum ini, Mantan Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyarankan agar penggunaan rokok elektronik atau vape diharamkan secara total.
Baginda bertitah, saranan itu dibuat susulan kebimbangan baginda terhadap penyalahgunaan dadah yang semakin meningkat terutama dalam kalangan belia berdasarkan statistik oleh Agensi Anti Dadah Kebangsan (AADK).
Titah baginda, antara punca utama golongan muda terjebak dalam ketagihan dadah secara langsung dan tidak langsung bermula dengan penggunaan vape.
24 Feb 25
1993
Semua Pihak Harus Hormati Etika Pakaian Sopan Di Terengganu
Kerajaan negeri menegaskan tidak pernah mengeluarkan arahan kepada orang bukan Islam untuk menutup aurat sebaliknya meminta mereka memahami dan menghormati etika berpakaian sopan yang diamalkan di negeri ini.
23 Feb 25
69
Majlis Pembangunan Usahawan, Peniaga Kecil Ditubuh di Setiap Daerah
Kerajaan negeri mewujudkan Majlis Pembangunan Usahawan, Koperasi, Penjaja Dan Peniaga Kecil peringkat daerah di Terengganu bermula tahun ini.
23 Feb 25
96
Rakyat Perlu Buat Bantahan Tegas Terhadap URA
KUALA TERENGGANU, 23 Februari - Usaha untuk menghalang Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) terletak di tangan rakyat dengan cara menunjukkan bantahan yang keras terhadap akta itu.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, dengan cara itu ia akan menghalang hasrat DAP untuk teruskan akta yang bakal menekan golongan kurang berkemampuan yang masih menjadi pemilik hartanah di tengah bandar.
"Penentangan terhadap cadangan akan beri kekuatan kepada ahli-ahli parlimen yang berada di dalam kerajaan untuk tidak menyokong akta ini," ujarnya melalui hantaran di facebooknya, semalam.
Mengulas lebih lanjut, katanya jika menunggu akta itu dibentangkan dahulu di parlimen kemudian dibuat bantahan dikhuatiri akan terlewat.
"Sudah terlambat jika berbuat demikian. 'tyranny of the majority' seperti yang dimasukkan dalam akta melalui penurunan had ambang persetujuan akan mereka lakukan di parlimen.
"Menggunakan bilang ahli parlimen yang jadi komponen sekarang," katanya.
Tambah beliau, ketika Perikatan Nasional dahulu menjadi kerajaan, akta itu tidak pernah digubal sebaliknya hanya meneliti cadangan daripada Kerajaan DAP Pulau Pinang berhubung had ambang persetujuan pemilik hartanah.
"Termasuk menurunkan had ambang persetujuan pemilik strata, tanah, cadangkan itu ditelitikan oleh PlanMalaysia dan dibincangkan.
"Tetapi PN tidak pernah gubal akta baru seperti yang dibuat oleh kerajaan sekarang,"jelas beliau.
Tambah beliau cadangan pengubalan akta baru itu telah dibawa ke sesi taklimat kepada ahli-ahli parlimen minggu lalu yang memperincikan tentang had ambang persetujuan.
"Sebelum ini sejak tahun lalu, KPKT telah secara aktif melaksanakan pelbagai penerangan mengenai cadangan akta ini kepada kerajaan kerajaan negeri.
"Pertemuan dengan NGO (pertubuhan bukan kerajaan) dan juga sekect committee parlimen," ujarnya.
23 Feb 25
241
Pertanian Terengganu Fokus Lima Teras Utama
Pelan Strategik Pertanian Terengganu (PSPT) 2024-2030 menjadi mercu tanda baharu dalam landskap sektor pertanian negeri ini.
23 Feb 25
107
EPIC, Tujuh Rakan Strategik Jalin Kerjasama
Syarikat Kerajaan Terengganu, Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC Berhad) dan anak-anak syarikatnya telah memeterai kerjasama strategik dengan tujuh rakan perniagaan bagi merancakkan lagi pertumbuhan serta memperkukuh daya saing dan ekonomi tempatan.
23 Feb 25
71
Sektor Pertanian Sasar Sumbang KDNK 12 Peratus
Kerajaan Terengganu menyasarkan sektor pertanian menyumbang 12 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) menerusi Pelan Strategik Pertanian Terengganu (PSPT) 2024-2030.
23 Feb 25
33