lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Majlis Berbuka Bersama Perantau Meriah, Eratkan Pemimpin dan Rakyat
Majlis Berbuka Bersama Perantau Meriah, Eratkan Pemimpin dan Rakyat
SERDANG, 16 Mac - Majlis berbuka puasa bersama anak-anak Terengganu di perantauan berlangsung dengan penuh kemeriahan dan bermakna, sekali gus menjadi platform untuk kepimpinan negeri mendekati rakyat walau di mana mereka berada. Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, program itu telah menjadi acara tahunan setiap kali Ramadan bagi merapatkan hubungan antara kerajaan negeri dan perantau. "Ia memberi ruang kepada kita untuk berinteraksi secara langsung dengan anak-anak Terengganu yang berada di luar negeri, bertanya khabar serta mengeratkan hubungan silaturahim. "Selain itu, mereka juga berpeluang bertemu dan beramah mesra dengan kepimpinan kerajaan negeri, sekali gus memperkukuhkan jalinan ukhuwah," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di Majlis Berbuka Puasa Anak Terengganu di Perantauan Bersama Kepimpinan Kerajaan Negeri Terengganu, yang diadakan di Dewan D, MAEPS Serdang, semalam. Dalam pada itu, Dr. Ahmad Samsuri turut berpesan kepada para perantau yang bakal pulang ke kampung halaman bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri supaya berhati-hati ketika memandu. "Pastikan perjalanan pulang disertai dengan kegembiraan dan kembali semula ke ibu kota dengan penuh semangat," ujarnya.  
16 Mar 25
420
Jadikan UPDI Sumber Perantau Dapatkan Maklumat Tepat
Jadikan UPDI Sumber Perantau Dapatkan Maklumat Tepat
SERDANG, 16 Mac - Kerajaan Terengganu berharap anak-anak Terengganu yang berada di perantauan menjadikan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) sebagai sumber untuk mendapatkan maklumat yang tepat serta sahih bagi mengetahui apa jua perkembangan terkini yang dilakukan kerajaan negeri dalam usaha memberi manfaat dan kebaikan kepada seluruh rakyat. Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, setiap perantau merupakan ejen menyampaikan berita serta informasi yang benar mengenai apa yang berlaku di Terengganu agar ia diketahui oleh seluruh rakyat Terengganu yang berada di mana sahaja. "Terdapat anak-anak negeri yang berada di luar mungkin tidak menyertai persatuan jadi masing-masing perlu memberikan maklumat yang tepat kepada seluruh warga yang berada di luar dari negeri Terengganu. "Maklumat itu bukan sahaja akan diketahui oleh rakyat Terengganu yang berada di luar bahkan akan turut menjadi perhatian seluruh anggota masyarakat dalam negara kita,"ujarnya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI). Beliau berkata demikian ketika ditemui sewaktu hadir ke Majlis Berbuka Puasa Anak Terengganu di Perantauan, yang diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini, pada Sabtu. Tambah Samsuri, penting untuk setiap rakyat Terengganu berada di luar mendengar penjelasan yang tepat daripada kerajaan melalui ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. "Maka, dengan 'update' yang betul, insya-Allah kita akan berjaya mewujudkan suasana yang lebih harmoni dalam masyarakat," katanya.  
15 Mar 25
100
Ops Supik Hitam: Dua Kedai Dikompaun RM2,500
Ops Supik Hitam: Dua Kedai Dikompaun RM2,500
KUALA TERENGGANU, 14 Mac - Dua buah kedai di daerah ini dikompaun keseluruhan RM2,500 dalam operasi bersepadu Ops Supik Hitam yang dilaksanakan Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dengan kerjasama Pusat Kesihatan Daerah Kuala Terengganu dan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), semalam. Ketua Pegawai Penguatkuasa Syariah Negeri Terengganu, Aizi Saidi Abd Aziz berkata, operasi berkenaan dijalankan bermula pukul 10.30 pagi hingga 1.30 petang di premis makanan sekitar bandar raya ini. "Kita nasihatkan semua umat Islam untuk sentiasa menjaga kesucian bulan Ramadan dengan tidak sesekali terjebak dengan mana-mana kesalahan jenayah syariah," ujarnya. Sehubungan itu, beliau meminta para peniaga mematuhi waktu operasi premis sebagaimana arahan yang telah dikeluarkan MBKT.  "JHEAT dengan kerjasama agensi berkaitan dari semasa ke semasa akan membuat pemantauan dan akan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap individu yang terlibat dengan kesalahan ini," ujarnya. 
14 Mar 25
709
'My Safe Road' Usaha Kurangkan Kadar Kemalangan Kalangan Belia
'My Safe Road' Usaha Kurangkan Kadar Kemalangan Kalangan Belia
KUALA TERENGGANU, 12 Mac - Kerajaan Terengganu telah mengadakan perbincangan dengan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengenai 'My Safe Road Terengganu' dalam usaha untuk mengurangkan kadar kemalangan di negeri Terengganu. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan(NGO) negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, apa yang merisaukan adalah golongan belia mencatatkan angka tertinggi dalam kemalangan jalan raya di Terengganu yang kebiasaannya merupakan pengguna motosikal. "Insya-Allah, pihak Kerajaan Negeri amat berbesar hati atas usaha kerjasama ini dan akan membuka ruang buat pihak JPJ terlibat sama dalam aktiviti melibatkan belia. "Dalam usaha memberikan kesedaran semasa (ketika) berada di jalan raya," ujarnya melalui satu kenyataan, di sini, semalam. Dalam pada itu beliau merakamkan penghargaan terima kasih kepada Pengarah JPJ negeri Terengganu bersama delegasi pihak terbabit yang telah mengadakan kunjungan hormat  di Wisma Darul Iman, bagi membincangkan usaha mengurangkan kemalangan di negeri Terengganu.  
12 Mar 25
130
Terengganu, HRD Corp Jalin Kerjasama Strategik
Terengganu, HRD Corp Jalin Kerjasama Strategik
KUALA TERENGGANU, 12 Mac - Kerajaan Terengganu menjalin satu kerjasama strategik dengan Human Resource Development Corporation (HRD Corp) sekali gus bakal manfaat kepada rakyat negeri ini dalam memiliki kemahiran mencukupi dalam kerjaya. Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya sangat berterima kasih atas kesudian HRD menjalinkan kerjasama strategik dengan kerajaan negeri. "Pendekatan kolaboratif yang diambil oleh HRD Corp ini dilihat sebagai satu inisiatif yang sangat positif dalam menyokong Pelan Induk Terengganu Sejahtera 2030 (PITAS 2030) untuk memastikan pembangunan modal insan dan ekonomi di negeri ini dapat dipertingkatkan dengan lebih berkesan. "Untuk pengetahuan umum, syarikat ini juga bernaung di bawa kelolaan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA)," ujarnya dalam satu kenyataan, semalam. Dalam pada itu, beliau menyatakan keyakinan bahawa visi HRD Corp untuk memastikan setiap rakyat Malaysia memiliki kemahiran yang mencukupi dan berupaya untuk bekerja akan turut memberi manfaat kepada rakyat Negeri Terengganu. "Ini sekali gus dapat membuka peluang bagi mereka untuk menempatkan diri dalam bidang kerjaya dan merealisasikan impian mereka,"ujar beliau.  
12 Mar 25
585
Anak Asnaf Terima Sumbangan Istimewa Melalui Projek Baju Raya
Anak Asnaf Terima Sumbangan Istimewa Melalui Projek Baju Raya
KUALA TERENGGANU, 12 Mac – Seramai 60 orang anak asnaf dari daerah Kuala Nerus dan Setiu menerima sumbangan istimewa menerusi Program Projek Baju Raya 2025, yang bertujuan memastikan mereka dapat menyambut Aidilfitri dengan lebih bermakna.   Menurut Pengerusi AKRAB SUK Terengganu, Zuwislan Awang, penerima bantuan terdiri daripada anak-anak yatim, keluarga miskin, serta mereka yang berpendapatan rendah, bagi membolehkan mereka merasakan kegembiraan Syawal seperti kanak-kanak lain.   "Kami mahu mereka merasai sendiri pengalaman membeli pakaian raya baharu, menjadikan Aidilfitri mereka lebih istimewa dan penuh kegembiraan," katanya kepada pemberita di Mayang Mall, di sini kelmarin.   Dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM18,000, program itu bukan sahaja memberikan kegembiraan kepada anak-anak asnaf, malah turut memberi peluang kepada mereka untuk menikmati pengalaman memilih sendiri pakaian raya seperti rakan-rakan sebaya mereka.   Majlis penyampaian sumbangan tersebut turut diserikan dengan kehadiran Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nara Setia, Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Prof. Madya Dr. Ahmad Azrin Adnan, serta Pengerusi PUSPANITA Cawangan Negeri Terengganu, Wan Radziah Wan Mokhtar.     Ujar Zuwislan, setiap anak asnaf menerima bantuan sebanyak RM300 yang diperuntukkan oleh MAIDAM untuk membeli pakaian raya pilihan mereka.   "Sekiranya ada keperluan tambahan, ibu bapa angkat akan membantu menampung lebihan perbelanjaan di pusat beli-belah ini," tambah Zuwislan.   Beliau turut memaklumkan bahawa program berkenaan telah memasuki tahun kelima dan akan diteruskan dengan pelbagai inisiatif lain, termasuk Projek Baju Sekolah bagi membantu pelajar mendapatkan kelengkapan persekolahan yang mencukupi.   "Insya-Allah, program ini akan diteruskan bagi memastikan lebih ramai golongan yang memerlukan mendapat manfaat, terutama dalam aspek kebajikan dan pendidikan," katanya.   Dengan adanya program seperti ini, diharapkan lebih ramai anak-anak asnaf dapat merasai kemeriahan Aidilfitri tanpa kekangan kewangan, sekali gus menyemarakkan semangat kebersamaan dalam masyarakat.        
12 Mar 25
244
Projek Rumah Mampu Milik Bukit Gasing II Hampir Siap
Projek Rumah Mampu Milik Bukit Gasing II Hampir Siap
KUALA TERENGGANU, 12 Mac – Projek pembinaan Rumah Mampu Milik (RMM) Bukit Gasing II di Marang kini telah mencapai tahap kemajuan sebanyak 78 peratus. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Terengganu, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, satu sesi kunjungan dilakukan daripada pengurusan Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang bagi mendapatkan pemakluman terkini mengenai status pembinaan. Menurut beliau, pertemuan itu membincangkan beberapa aspek penting bagi memastikan kelancaran pelaksanaan projek sehingga siap sepenuhnya. "Projek ini menunjukkan perkembangan yang positif dengan kerja-kerja utama seperti struktur bangunan, pemasangan bumbung, serta sistem perpaipan dan pendawaian elektrik hampir siap sepenuhnya," Wan Sukairi berkata demikian melalui hantaran Facebook rasminya semalam. Sebagai rekod, projek di bawah kerajaan negeri itu merangkumi 238 unit rumah dan terbahagi kepada dua jenis; jenis A sebanyak 133 unit dan jenis B sebanyak 65 unit. Dalam pada itu, beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Wakaf Mempelam pernah menjelaskan punca atau isu yang mengakibatkan kelewatan bagi penyiapan projek perumahan tersebut. Antara punca dan isu yang berlaku adalah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika COVID-19 melanda sehingga terpaksa ditangguhkan dan beberapa lagi isu berkaitan yang membantutkan proses penyiapan. Walau bagaimanapun, kemajuan pembinaan yang telah berjaya dicapai pada masa ini menandakan perkembangan positif dalam usaha kerajaan negeri menyediakan kediaman berkualiti untuk rakyat. "Kerajaan negeri terus komited dalam memastikan projek ini berjalan lancar, dengan pemantauan rapi dari semasa ke semasa bagi memastikan kualiti pembinaan menepati standard yang ditetapkan," ujarnya.
12 Mar 25
1242
'Mimpi' Sambut Aidilfitri di Rumah Baharu Tercapai
'Mimpi' Sambut Aidilfitri di Rumah Baharu Tercapai
Sambutan Ramadan dan Aidilfitri kali ini pasti lebih bermakna buat dua beranak selepas mereka menerima rumah baharu melalui Program Perumahan Terengganu Sejahtera (PPTS).
12 Mar 25
45
Jambatan Angkat Sasar 150 Ribu Pengunjung Tahun Ini
Jambatan Angkat Sasar 150 Ribu Pengunjung Tahun Ini
Kerajaan negeri menyasarkan kedatangan 150,000 pengunjung ke Jambatan Angkat Kuala Terengganu (Drawbridge) melalui pelbagai pelaksanaan program yang dianjurkan sepanjang tahun.
12 Mar 25
85
Peliter@KSNT 2025 Sasar 200,000 Pengunjung
Peliter@KSNT 2025 Sasar 200,000 Pengunjung
KUALA TERENGGANU, 11 Mac -Kerajaan negeri melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) menyasarkan sehingga 200,000 pengunjung pada Program Pelita Raya Terengganu (Peliter@KSNT 2025) tahun ini. Pengarah Jabatan Pelancongan Terengganu, Ahmad Ridzwan Abdul Rahman berkata, bertemakan 'Membudayakan Khazanah Warisan Kita' program itu bakal diadakan pada 13 hingga 16 Mac ini di Perkarangan Tasik Kompleks Sukan Negeri Terengganu (KSNT), Gong Badak bermula jam 8.45 malam hingga 11.30 malam. “Berdasarkan pengalaman penganjuran Program Pelita Raya sebelum ini, kami jangkakan kehadiran pengunjung adalah hampir 200,000. “Dengan pemilihan KSNT yang lebih luas dan memberi kemudahan aksesibiliti serta lebih keselesaan untuk pengunjung, kita sasarkan peningkatan seramai 50,000 orang di mana pada tahun lepas kita telah berjaya mencatat seramai 150,000 pengunjung,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika bersiaran langsung di TV Darul Iman (TVDI), Temubual Selamat Pagi Terengganu (SPT), di sini, semalam. Mengulas lanjut katanya, beliau yakin dapat capai sasaran tersebut kerana kali ini terdapat 19 penyertaan dari pejabat daerah, agensi badan berkanun dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC). Lebih membanggakan katanya, Peliter@KSNT 2025 bakal mencipta sejarah baru apabila berjaya menarik penyertaan dari luar negara antaranya Thailand, Bangladesh, Myanmar dan Indonesia. Dalam pada itu Ahmad Ridzwan berkata, program tersebut turut dimeriahkan dengan penyertaan 32 vendor serta usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) selain jualan makanan tradisonal dari setiap daerah. “Turut diadakan demonstrasi makanan tradisional seperti loklik, jalam mas, ketupat palas dan lain-lain. “Serta demo kraf dan permainan tradisional seperti anyaman, ting-ting bulu ayam, batu seremban, musang berjanggut, tuju selipar dan sebagainya,” katanya.
11 Mar 25
158