Artikel "Utama" Terkini
Terengganu Ambil Pendekatan Strategik Bangunkan TOD di Stesen ECRL
KUALA TERENGGANU, 15 April – Kerajaan Negeri Terengganu mengambil langkah serta pendekatan strategik dengan melaksanakan Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) di enam stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Negeri, Hanafiah Mat berkata, perancangan pembangunan kawasan di enam stesen tersebut telah diselaraskan bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan akan dilaksanakan mengikut tiga fasa.
Menurut beliau, penyelarasan turut melibatkan peringkat daerah serta agensi seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan Malaysia Rail Link (MRL) bagi meningkatkan daya tarikan pasaran pembangunan kepada pihak swasta.
“Secara asasnya, setiap kawasan di stesen ECRL mempunyai pelan induk serta perancangan guna tanah yang akan dibangunkan mengikut fasa yang telah ditetapkan.
“Anggaran kos pembangunan bagi fasa pertama TOD dalam tempoh satu hingga tiga tahun adalah sebanyak RM228 juta, meliputi enam stesen. Ia merangkumi komponen seperti penyediaan infrastruktur, pengambilan balik tanah, kerja tanah dan pembinaan terminal transit,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong dan ADUN Bukit Tunggal, Sr. Zaharudin Zahid semasa Mesyuarat Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas di Wisma Darul Iman, hari ini.
Mengulas lanjut, Hanafiah berkata, perancangan pembangunan di kawasan TOD yang bermula tahun ini adalah bagi memastikan kerajaan mendapat manfaat yang optimum daripada pembinaan ECRL.
“Pelan pembangunan yang dirangka ini bertujuan memastikan pelaksanaan TOD di stesen ECRL negeri Terengganu dilakukan dengan terancang dan berkesan.
“Ia juga akan menjadi sumber maklumat penting bagi menarik pelabur untuk melabur di kawasan pembangunan tersebut sekali gus memberi manfaat maksimum kepada masyarakat setempat,” tambahnya.
15 Apr 25
738
Kos Baik Pulih Jalan Aring-Kenyir RM36 Juta
KUALA TERENGGANU, 15 April - Kerja bagi membaik pulih laluan jalan yang menghubungkan Felda Aring, Gua Musang dan Tasik Kenyir akan dimulakan sebaik sahaja menerima peruntukan sebanyak RM36 juta daripada Kementerian Ekonomi.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat berkata, permohonan bagi kerja pembaikan itu telah diangkat oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Terengganu.
Katanya, kerajaan negeri akan terus memantau perkara tersebut dengan serius bagi memastikan kerja-kerja baik pulih dapat disiapkan mengikut jadual demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat.
"Kos keseluruhan sebanyak RM36 juta ini melibatkan kerja pembinaan jambatan baharu (sepanjang 150 meter) di lokasi terjejas serta kerja pemulihan cerung yang mengalami runtuhan.
"Kerja-kerja baik pulih akan dimulakan sebaik sahaja peruntukan diterima daripada Kementerian Ekonomi.
"Pada masa ini pihak JKR sedang menyediakan pelan teknikal, dokumen reka bentuk serta menjalankan kerja-kerja awal bagi memastikan proses pelaksanaan dapat dimulakan tanpa kelewatan setelah peruntukan diluluskan,"ujarnya.
Beliau berkata demikan ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh semasa Mesyuarat Pengal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas, di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Mengulas lebih lanjut katanya, beberapa langkah alternatif telah diambil bagi menyelesaikan kejadian runtuhan cerung yang mengakibatkan berlaku kerosakan jalan sepanjang 100 meter sekali gus menjejaskan kelancaran perhubungan antara negeri Terengganu dan Kelantan.
"Sebagai langkah interim, pengguna jalan raya yang terkesan dari kedua-dua arah (menggunakan laluan persekutuan FT036) sama ada dari Hulu Terengganu atau Kota Bharu bolehlah menggunakan laluan alternatif FT247 ke FT03.
"Hebahan berkaitan perkara itu telah disampaikan melalui saluran rasmi media sosial dan hebatan tempatan bagi memastikan maklumat sampai kepada orang ramai," ujarnya.
Dalam pada itu katanya, kerja-kerja penambahbaikan yang dicadangkan selain pembinaan jambatan baharu adalah membaik pulih Jalan Tuju sepanjang 300 meter.
"Bagi memastikan sambungan kepada jambatan baharu (selain itu) kerja-kerja geoteknikal dan perlindungan cerun termasuk pembinaan struktur penahan, pemasangan lampu sepanjang jalan kawasan terlibat untuk keselamatan pengguna dilaksanakan.
"Pemasangan perabot jalan seperti papan tanda, pengadang jalan dan kemudahan untuk keselamatan, pembinaan sistem perparitan jalan bagi memastikan saliran air yang baik dan dapat mengelakkan hakisan," jelas beliau.
15 Apr 25
2384
Pemergian Tun Abdullah: Terengganu Sanjung Pemimpin Berjiwa Tenang
KUALA TERENGGANU, 15 April – Dewan Undangan Negeri Terengganu hari ini menzahirkan penghormatan tertinggi atas pemergian Tun Abdullah Ahmad Badawi, mantan Perdana Menteri kelima yang dikenang sebagai pemimpin berjiwa sederhana dan penuh integriti.
Ucapan takziah disampaikan dalam suasana penuh hiba di Wisma Darul Iman, memperingati jasa besar Allahyarham kepada negara dan negeri Terengganu.
Yang Di-Pertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato’ Mohd Nor Hamzah berkata, pemergian Allahyarham merupakan kehilangan besar buat negara.
"Saya mewakili seluruh warga Dewan Undangan Negeri Terengganu merakamkan ucapan takziah yang sedalam-dalamnya kepada keluarga Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi," katanya dalam ucapan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Beliau menggambarkan Allahyarham sebagai pemimpin berjiwa tenang, rendah hati dan berpegang pada prinsip amanah serta kesederhanaan sepanjang memimpin negara dari tahun 2003 hingga 2009.
"Beliau dikenali sebagai pemimpin berjiwa tenang, merendah diri serta menekankan prinsip integriti, kesederhanaan dan amanah dalam pentadbiran negara," ujar beliau.
Mohd Nor turut mengiktiraf sumbangan Allahyarham dalam memperkukuh hubungan Persekutuan dan negeri, khususnya dalam aspek pembangunan infrastruktur dan pendidikan di Terengganu.
"Kepimpinan beliau turut meninggalkan kesan signifikan kepada negeri Terengganu, termasuk dalam memperkukuh hubungan Persekutuan dan negeri," jelasnya.
Tambah beliau, Allahyarham juga berjasa dalam memperbaiki sistem penyampaian perkhidmatan awam dan menekankan ketelusan dalam pentadbiran.
"Sumbangan Allahyarham dalam memperluas dialog antara rakyat dan kerajaan serta ketelusan urus tadbir memberi manfaat besar kepada rakyat," kata beliau.
Sebagai penutup, beliau menyeru seluruh dewan untuk mendoakan kesejahteraan roh Allahyarham.
"Marilah kita mendoakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para solihin," katanya sebelum memohon semua berdiri bagi menghormati pemergian tokoh negarawan itu.
15 Apr 25
108
Pertanian Terengganu Tumbuh Positif, Raih Pujian Sultan Mizan
Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menzahirkan penghargaan atas usaha berterusan dilaksanakan Kerajaan Negeri bagi memastikan sektor pertanian kembali mencatat pertumbuhan positif pada tahun 2023, setelah mengalami penguncupan selama tiga tahun sebelumnya.
15 Apr 25
75
Inisiatif Terengganu Teroka Industri Solar Pacu Ekonomi Negeri - Sultan Mizan
Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menzahirkan penghargaan kepada kerajaan negeri kerana telah berjaya meneroka potensi besar dalam sektor tenaga boleh diperbaharui, terutamanya industri solar.
15 Apr 25
79
Sekatan Dr. Sam : Hentikan Intimidasi Politik Terhadap Lawan - Tok Li
KUALA TERENGGANU, 15 April- Rakyat Malaysia tanpa mengira fahaman politik diminta untuk melihat isu dakwaan Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dilabel sebagai individu di bawah kawalan TCO dengan adil dan berperikemanusiaan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, Ahmad Samsuri bukan penjenayah dan beliau pemimpin yang terbukti bersih berdasarkan pelbagai laporan rasmi.
"Jangan biarkan institusi negara digunakan untuk mengaibkan lawan politik secara terang-terangan.
"Rakyat hari ini celik dan matang dalam menilai. Mereka tahu membezakan antara prosedur biasa dan tindakan yang bermotif politik.
"Yang paling penting, jangan biarkan institusi awam dijadikan alat untuk menjatuhkan maruah pemimpin hanya kerana perbezaan fahaman politik," ujarnya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut katanya, apa yang berlaku ke atas Ahmad Samsuri bukan disebabkan kejahilan terhadap peraturan, tetapi adalah manifestasi penguatkuasaan TCO secara selektif dan bersifat politik.
"Kita menghormati kuasa autonomi Sabah dan Sarawak, namun dalam masa yang sama, kita juga menuntut keadilan dan layanan yang saksama terhadap semua rakyat Malaysia, sama ada dari Semenanjung, Sabah mahupun Sarawak," ujarnya.
Terdahulu Razali berkata, beliau mengikuti dengan penuh rasa kecewa apabila gambar Menteri Besar Terengganu yang sedang 'ditahan' di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu menjadi tular.
"Gambar itu menggambarkan seolah-olah beliau seorang pesalah besar, dipinggir, diawasi, dan dipaksa menunggu seperti tiada maruah sebagai ketua kerajaan negeri.
"Apakah ini cara kita melayan seorang pemimpin negeri yang telah terbukti bersih, tidak pernah dikaitkan dengan sebarang salah guna kuasa, jenayah atau rasuah," ujarnya.
Tambahnya lagi, beliau terbaca satu hantaran yang kononnya 'menjelaskan' mengapa Menteri Besar Terengganu diarahkan menunggu oleh pihak Imigresen KKIA. Kononnya ia adalah proses biasa disebabkan autonomi imigresen Sabah.
"Sebagai Exco Pelancongan Negeri, saya sendiri pernah ke Sabah dan Sarawak atas urusan rasmi dan pelancongan. Tidak pernah sekalipun saya diarahkan menunggu seperti mana yang berlaku kepada YAB Menteri Besar Terengganu.
"Untuk makluman, Dr. Sam bukan calang-calang individu. Beliau bukan sahaja pemimpin negeri yang berintegriti, malah merupakan seorang pakar aeroangkasa dengan PhD dari United Kingdom. Mustahil beliau tidak faham hal asas seperti kuasa imigresen Sabah dan Sarawak," ujarnya.
Tegas Razali, isunya di sini bukan soal 'tak faham prosedur' atau 'salah faham tentang autonom', isu sebenar ialah kenapa hanya beliau sahaja yang dikenakan tindakan sebegitu? Kenapa VIP lain, termasuk yang sedang menghadapi kes mahkamah, tidak pula diberi layanan serupa?
"Kalau benar ini hanya SOP biasa, mengapa hanya Dr Sam yang diarahkan menunggu, disekat dan ditandai? Mengapa perkara ini berulang kepada beliau?
"Apakah sebegini murah nilai seorang Menteri Besar di mata sistem yang kononnya mengutamakan 'keselamatan negara', tetapi jelas lebih menjurus kepada intimidasi politik?," soal Razali.
15 Apr 25
130
'Orang Lain Yang Kena TCO Bebas, Saya Tidak'
KUALA TERENGGANU, 14 April - Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar memaklumkan TCO yang dikenakan kepada beliau jauh berbeza dengan kawalan pada pihak lain termasuk tidak diberi kebebasan tertentu.
Naib Presiden PAS itu menegaskan, beliau baru mengetahui mengenai status TCO itu ketika ditahan di Lapangan Terbang Antabangsa Kota Kinabalu, Sabah pada 6 dan 7 April lalu.
"Pendedahan ini bukan sebab Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning, saya hanya dimaklumkan ketika ditahan pada hari berkenaan..sejak bila ni saya kena TCO ni..2024...Ooo begitu jadi oleh kerana keluar masuk saya sebelum ni di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, tak nampak la saya ditahan itu...sebab saya ikut laluan VIP, yang ini saya ikut laluan biasa sebagaimana rakyat yang lain ..baru lah saya tahu saya kena TCO.
"Adakah orang-orang lain yang kena TCO pun berdepan benda yang sama...tidak..mereka bebas je tak ada masalah pun," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Kelima Belas di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, beliau tidak dapat menerima 'penahanan' tersebut kerana kemasukannya ke negeri Sabah adalah atas urusan peribadi.
"Saya ditahan di depan orang ramai yang saya rasa saya tidak boleh terima kerana saya hendak ke Sabah sahaja pun dalam negara kita sendiri, bukan ke Amerika atau Filipina atau mana-mana negara berisiko yang lain,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Samsuri memberitahu, beliau akan ke luar negara selepas ini untuk mengesahkan sama ada masih berada dalam status TCO atau tidak.
"Saya akan 'test' dulu mungkin saya akan pergi ke Singapura..pagi saya pergi tengok kena TCO ke tidak lepas tu tengah hari, petang pergi pula, kalau setiap kali saya keluar masuk tu dilapor ke 'Special Branch' bermakna ada lagi TCO," ujarnya.
14 Apr 25
296
Pengerusi ASEAN Buka Ruang Terengganu Tarik Pelancong
KUALA TERENGGANU, 14 April - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah, Malaysia telah diberi penghormatan sebagai Pengerusi Association of Southeast Asian Nations (ASEAN), sekali gus membuka ruang yang luas bagi Negeri Terengganu untuk mempromosikan keindahan serta keunikan sektor pelancongannya kepada para pelancong dan delegasi antarabangsa.
Titah baginda, kejayaan ini turut diperkukuh dengan pencapaian cemerlang Negeri Terengganu pada tahun 2024, apabila negeri ini mencatatkan kehadiran 7.8 juta pelancong, mengatasi sasaran asal sebanyak 4.5 juta pelancong yang menjadi bukti kukuh terhadap daya tarikan serta pesona negeri ini.
"Sebagai persiapan menuju Tahun Melawat Malaysia 2026, pelbagai acara pelancongan telah dirangka termasuk tumpuan kepada penyelenggaraan serta pemerkasaan produk pelancongan.
"Usaha ini amat penting bagi memastikan Negeri Terengganu terus kekal sebagai destinasi pelancongan unggul yang bukan sahaja menarik tetapi juga mampu bersaing di peringkat antarabangsa," titah baginda.
Sultan Mizan bertitah, Calendar of Events Terengganu 2025 telah menetapkan tiga acara utama, iaitu Program Candat Sotong, Pelita Raya Terengganu dan Karnival Pantai Terengganu, sebagai acara tahunan berprestij yang menghimpunkan penyertaan dari dalam dan luar negara.
"Beta yakin bahawa penganjuran acara ini bukan sahaja dapat memperkukuh identiti negeri sebagai destinasi pelancongan, malah turut memberi impak positif kepada pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan sosial rakyat.
"Selain itu, Beta turut dimaklumkan mengenai penganjuran Cycling Tour (ASEAN Solidarity) 2025 yang akan berlangsung Terengganu pada bulan Ogos ini yang merupakan sebahagian daripada program di bawah kluster ASEAN Social Cultural Community, diyakini mampu mengangkat Negeri Terengganu sebagai destinasi pelancongan utama di Malaysia serta memperkukuh jaringan Kerjasama serantau," titah baginda.
Dalam pada itu, Sultan Mizan bertitah Pasar Payang merupakan destinasi pelancongan ikonik yang begitu sinonim dengan Negeri Terengganu, selain berperanan sebagai nadi ekonomi serta pusat kebudayaan masyarakat setempat.
"Dengan siapnya projek pembinaan Pasar Payang baharu, kemudahan yang lebih selesa kini ditawarkan kepada para peniaga untuk memasarkan pelbagai hasil kraf tangan, termasuk songket, batik, serta aneka makanan tradisional yang menjadi Kebanggaan negeri.
"Pasar Payang bukan sekadar pusat perdagangan, tetapi juga lambang keunikan dan wariaan budaya kita yang perlu terus di pelihara," titah Sultan Mizan.
Baginda bertitah, pihak berwajib diharap memainkan peranan yang sewajarnya dalam memastikan kemudahan yang disediakan sentiasa diselenggara dengan baik.
"Dengan usaha berterusan, Pasar Payang akan terus kekal sebagai destinasi tumpuan pelancong dan penduduk tempatan, sekali gus membuka lebih banyak peluang ekonomi yang berdaya maju kepada para peniaga," titah baginda.
Sultan Mizan bertitah, bagi memastikan sektor pelancongan negeri terus berkembang pesat, baginda berharap kerajaan negeri dapat meneroka serta memperkayakan lagi produk pelancongan baharu yang berdaya saing dan berpotensi menarik perhatian pelancong seluruh dunia.
14 Apr 25
877
Pelaburan RM3.18 Bilion Pacu Daya Saing Terengganu
KUALA TERENGGANU, 14 April - Negeri Terengganu berjaya menarik pelaburan sebanyak RM3.18 bilion bagi tahun 2024 yang bukan sahaja mengukuhkan kedudukan negeri sebagai destinasi pelaburan berdaya saing, tetapi juga membuka 5,400 peluang pekerjaaan baharu untuk rakyat, demikian Titah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.
Sehubungan dengan itu, Sultan Mizan bertitah agar Kerajaan negeri terus menggandakan usaha menarik lebih ramai pelabur bagi meneroka potensi besar yang terdapat di Terengganu demi manfaat rakyat dan negeri.
Titah Tuanku, jentera pentadbiran negeri juga mesti bertindak dengan lebih cekap, responsif dan proaktif dalam memenuhi keperluan pelabur, sekali gus mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi pertumbuhan ekonomi dan pelaburan berkualiti.
"Dengan komitmen dan kerjasama semua pihak, Beta yakin Negeri Terengganu akan terus maju sebagai negeri yang makmur dan berdaya saing dengan sumber pendapatan yang pelbagai dan lestari, " titah Sultan Mizan sempena Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Kelima Belas.
Baginda bertitah, pada tahun 2024 Negeri Terengganu berjaya menarik pelaburan sebanyak RM3.18 bilion yang bukan sahaja mengukuhkan kedudukan negeri sebagai destinasi pelaburan berdaya saing, tetapi juga membuka 5,400 peluang pekerjaaan baharu untuk rakyat.
"Pelaburan ini merangkumi pelbagai sektor dengan 98 peratus daripadanya disumbangkan oleh sektor pembuatan, manakala selebihnya oleh sektor pelancongan.
"Perancangan pembangunan industri yang mampan ini sudah pasti akan menyokong pertumbuhan jangka panjang dan meningkatkan daya saing negeri," titah baginda.
14 Apr 25
1372
Pertanian Terengganu Tumbuh Positif, Raih Pujian Sultan Mizan
KUALA TERENGGANU, 14 April - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menzahirkan penghargaan atas usaha berterusan dilaksanakan Kerajaan Negeri bagi memastikan sektor pertanian kembali mencatat pertumbuhan positif pada tahun 2023, setelah mengalami penguncupan selama tiga tahun sebelumnya.
Sektor pertanian merupakan salah satu tunjang utama pertumbuhan ekonomi Terengganu dan memainkan peranan penting dalam memastikan keterjaminan makanan.
Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan, khususnya Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan atas usaha berterusan memperkukuh sektor ini menerusi Program Pengukuhan Keterjaminan Makanan bersama Kerajaan Negeri.
"Inisiatif strategik ini bukan sahaja memastikan kestabilan dan keselamatan bekalan makanan negara, malah turut sejajar dengan sasaran Self-Sufficiency Ratio (SSR), sekali gus memperkasa daya saing sektor pertanian," titah baginda sempena Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Kelima Belas.
Titah Sultan Mizan, bagi meneruskan kesinambungan serta memastikan sektor pertanian terus berdaya saing, Kerajaan Negeri telah melancarkan Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2024-2030.
"Pelan ini menggariskan enam teras utama sebagai panduan ke arah pembangunan sektor pertanian negeri yang lebih mampan dan inovatif.
"Beta berharap agar pelan strategik ini menjadi pemangkin kepada transformasi besar dalam memodenkan sektor pertanian, memperkukuh rantaian nilai serta pemasaran, dan seterusnya meningkatkan kesejahteraan para petani," titahnya.
Baginda juga menaruh harapan tinggi agar setiap strategi dan program yang dirangka dapat dilaksanakan dengan berkesan, sekali gus meningkatkan kadar sara diri bagi setiap subsektor hingga 20 peratus berbanding tahun 2023 serta mendorong pertumbuhan KDNK sektor pertanian sehingga 12 peratus menjelang tahun 2030.
"Seiring dengan pelaksanaan pelan ini, Beta menyarankan agar projek pertanian berskala komersial dengan pelbagai tanaman komoditi dipergiatkan.
"Usaha ini bukan sekadar mengukuhkan rantaian bekalan makanan negara, tetapi juga membuka lebih banyak peluang pekerjaan, merangsang pertumbuhan ekonomi setempat, serta memastikan keseimbangan pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar," titah baginda.
14 Apr 25
641