lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Boleh Doh Candat Sotong Di Terengganu
Boleh Doh Candat Sotong Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 12 Jun - Kerajaan Terengganu secara rasminya membuka kembali program mencandat sotong bagi penggemar aktiviti tersebut di kalangan orang awam. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman memaklumkan, kerajaan negeri telah menyediakan prosedur operasi standard (SOP) lengkap sebagai panduan mencandat sotong sesuai ketetapan Majlis Keselamatan Negara (MKN). “Kita hendak buktikan kepada rakyat Malaysia bahawa program ini tiada masalah diadakan pada musim Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini. “Kami telah menyediakan SOP yang memang sangat ketat, seperti menyediakan penanda merah bagi menentukan jarak yang sepatutnya. Kemudian kita ada pencuci tangan, pemeriksaan suhu dan kita memastikan bahawa setiap bot mesti dan wajib mengikutinya,” katanya. Beliau berkata demikian ketika mengadakan Demonstrasi Garis Panduan Aktivit Mencandat Sotong di Jeti Duyong & Marina Resort, di sini semalam. Tambahnya, sebuah bot mencandat yang biasanya memuatkan 10 hingga 15 penumpang akan dikurangkan kepada sekitar tujuh hingga lapan penumpang sahaja bagi mengekalkan pematuhan SOP. Namun, menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat itu, harga bagi menyertai aktiviti itu dijangka tidak akan meningkat.   “Perkara ini memang diakui oleh pihak pengusaha sendiri, sebagai contoh bot, kalau dulu mereka bagi sewa RM1,500 satu malam, memang mereka pun mengakui tak boleh mengenakan kos sebegitu lagi dengan kapasiti penumpang kurang hampir separuh berbanding dulu. “Mereka kena fikir suasana baharu di mana sektor pelancongan amat terkesan dan menyediakan kaedah sepatutnya,” katanya. Jelasnya, isu yang paling utama mengakibatkan kos tinggi sebelum ini ialah minyak dan dengan pengurangan harga petrol kini, kosnya tidak akan tinggi. Ariffin juga menyatakan keyakinan bahawa industri pelancongan negeri itu akan kembali pulih secara perlahan-lahan. “Sebab dahulu fokus utama ‘mainland’ tanah besar untuk pelancong tempatan manakala pulau lebih kepada pelancong luar negara. “Sekarang kita fokus pelancong tempatan sebab itu kita yakin dengan pembukaan balik sempadan antara negeri ini kembali merancakkan pelancongan Terengganu. “Bahkan pengusaha di pulau-pulau telah mengubah strategi mereka dengan fokus kepada pelancong tempatan antaranya dengan mengurangkan harga bilik dan pakej menarik,” tambah beliau.
02 Jul 20
128
Solat Jumaat Pertama PKPP, Jemaah Patuh SOP
Solat Jumaat Pertama PKPP, Jemaah Patuh SOP
Oleh : Hidayah Azlin SETIU, 12 Jun – Hampir kesemua jemaah yang hadir solat jumaat dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Terengganu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, langkah kawalan ketat yang dijalankan sebagaimana  ketetapan pihak berkuasa dipatuhi semua pihak. "Hampir 100 peratus daripada SOP yang ditetapkan berjaya dipatuhi di sini. Seramai 80 orang yang hadir mendaftarkan nama, diambil suhu badan masing-masing. "Terima kasih diucapkan kepada semua Ahli Jawatankuasa Masjid yang bertungkus lumus sejak daripada semalam lagi menyusun kedudukan para jemaah mengikut jarak yang telah ditentukan," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas menunaikan solat jumaat di Masjid Kampung Bukit Tanah, Jabi di sini hari ini. Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, seawal 12.30 tengah hari para jemaah mula berpusu-pusu memenuhi ruangan masjid. Tambahan pula, pintu masjid ditutup tiga minit sebelum masuk waktu, iaitu pada jam 1.09 petang. "Khatib juga mematuhi arahan yang telah ditetapkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dengan menyampaikan khutbah ringkas. "Solat juga dilakukan dengan ringkas, bacaan ayat-ayat pendek serta tiada jemaah yang menunaikan solat sunat rawatib. "Alhamdulillah semua bersurai dengan tertib. Insya-Allah Jumaat minggu hadapan, saya yakin suasana akan menjadi lebih baik dan kita boleh meneruskan solat sebagaimana biasa," tambah beliau.
02 Jul 20
257
Sultan Mizan Imarah Masjid Sultan Ismail Chendering
Sultan Mizan Imarah Masjid Sultan Ismail Chendering
KUALA TERENGGANU, 12 Jun - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menunaikan solat Jumaat di Masjid Sultan Ismail, Chendering hari ini berikutan pengumuman kerajaan negeri untuk membuka kembali masjid-masjid dan surau-surau seluruh negeri kepada umum sejak ia ditutup sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), 18 Mac lalu. Keberangkatan tiba Baginda diiringi kedua-dua puteranya, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail dan Tengku Sri Setia Mahkota Raja disambut oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato’ Yahaya Ali. Sempena pembukaan masjid dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), pihak masjid menghadkan seramai 360 orang jemaah sahaja dibenarkan solat Jumaat pada minggu ini. Sebahagian masjid melakukan proses jemputan untuk jemaah dalam qariah masing-masing. Manakala, ada juga masjid yang menerima jemaah secara ‘walk in’ mengikut masa dan kapasiti yang ditetapkan. Kesemua jemaah mengikut peraturan yang ditetapkan dengan melaksanakan kebersihan kendiri, penjarakan sosial dan membawa sendiri sejadah serta memakai pelitup muka.
02 Jul 20
436
Terengganu Benarkan Ziarah Kubur Ikut SOP
Terengganu Benarkan Ziarah Kubur Ikut SOP
KUALA TERENGGANU, 12 Jun - Kerajaan negeri membenarkan aktiviti ziarah tanah perkuburan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang berkuat kuasa kelmarin. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah walau bagaimanapun menegaskan, umat Islam diminta supaya tidak mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) seperti ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN). Jelasnya, SOP seperti tidak membenarkan berlaku perhimpunan ramai dan pengamalan penjarakan sosial serta pemakaian pelitup muka ketika menziarahi tanah perkuburan perlu diutamakan bagi mengelakkan wabak COVID-19 kembali menular. “Kita minta jangan terlalu lama berada di tanah perkuburan selain elakkan bersalaman antara satu lain,” katanya kepada pemberita hari ini. Sebelum ini, dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat termasuk semasa Aidilfitri, umat Islam di Terengganu dilarang melakukan aktiviti ziarah ke tanah perkuburan kerana kadar jangkitan COVID-19 masih tinggi.
02 Jul 20
372
TEKUN Ikrar Pacu Usahawan Bumiputera Melalui Pembiayaan Mikro
TEKUN Ikrar Pacu Usahawan Bumiputera Melalui Pembiayaan Mikro
KUALA LUMPUR, 11 Jun – Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional berikrar untuk terus memacu usahawan bumiputera ke tahap tertinggi melalui pembiayaan mikro yang dilaksanakan agensi terbabit. Pengerusi TEKUN Nasional, Shaharizukirnain Abdul Kadir yang baru dilantik ke jawatan itu berkata, pihaknya akan cuba mencari kaedah terbaik membantu rakyat termasuk meneruskan segala agenda berkesan yang dirancang oleh pengerusi yang lepas. “Sasaran kita golongan B40 dan M40 terutamanya yang terkesan dengan PKP baru-baru ini. Saya akan cuba membuat kerjasama dengan setiap agensi yang berkaitan terutamanya diperingkat negeri-negeri. “Saya bercadang untuk membuat lawatan rasmi ke negeri-negeri dengan mengadakan kunjungan hormat kepada kerajaan negeri disamping berdialog bersama para usahawan secara terbuka,” ujarnya. Belia berkata demikian kepada pemberita selepas dilantik menggantikan Datuk Seri Mohamad Suparadi Md Noor yang melepaskan jawatan tersebut pada 15 Mac yang lalu. Hadir sama sesi taklimat TEKUN ialah Pengarah Urusan Dan Ketua Pengarah Eksekutif TEKUN, Dato' Adam Abdul Ghani, di Menara TEKUN kelmarin. Mengulas lanjut, beliau akan mengadakan Mesyuarat Ahli Lembaga Amanah TEKUN Nasional dalam masa terdekat bagi merangka pelan strategik baharu disamping menambahbaik apa yang sedia ada untuk meningkatkan prestasi TEKUN dalam membantu usahawan. “Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Perdana Menteri dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi atas kepercayaan dan amanah yang diberikan ini. “Saya akan berusaha sedaya upaya saya untuk menggalasnya sebaik mungkin,” tambah beliau.
01 Jul 20
816
Malaysia Tangguh Hantar Jemaah Haji Tahun Ini
Malaysia Tangguh Hantar Jemaah Haji Tahun Ini
PUTRAJAYA, 11 Jun - Kerajaan Malaysia mengambil keputusan untuk menangguhkan penghantaran jemaah haji tahun ini, berikutan penularan wabak COVID-19. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, langkah itu dibuat setelah mengambil kira keutamaan kesan kesihatan kepada penduduk negara ini. "Saya ingin mengumumkan kepada semua rakyat Malaysia, bagi musim haji 1441H ditangguhkan ke tahun depan. "Tabung Haji akan mengeluarkan kenyataan dan soalan lazim berkaitan penangguhan haji ini," katanya dalam sidang media khas di Putrajaya hari ini. Mengulas mengenai kemungkinan penambahan kuota haji tahun depan berikutan penangguhan penghantaraan jemaah tahun ini, Zulkifli berkata, jumlah itu bergantung kepada perbincangan dengan kerajaan Arab Saudi selepas musim haji tahun ini. Beliau sebelum ini memaklumkan jumlah jangkitan COVID-19 melebihi 100,000 kes antara pertimbangan kerajaan Malaysia membenarkan jemaah ke Makkah atau sebaliknya.
01 Jul 20
44
Kes Demam Denggi Di Terengganu Meningkat Pasca PKPB
Kes Demam Denggi Di Terengganu Meningkat Pasca PKPB
KUALA TERENGGANU, 11 Jun - Sebanyak 84 kes demam denggi telah didaftarkan di Terengganu dengan peningkatan ketara dapat dilihat bermula awal Mei sehingga 6 Jun sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac sehingga 6 Jun. Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, ia berikutan terdapat peningkatan pergerakan di kalangan masyarakat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) menggantikan PKP. Katanya, sehingga 6 Jun lalu, kejadian kes denggi di negeri Terengganu adalah sebanyak 176 kes berbanding 318 kes pada tahun 2019 dalam tempoh yang sama dengan penurunan sebanyak 44.5% (142 kes). "Berbanding tahun lepas, kes denggi menunjukkan penurunan. Namun terdapat kenaikan pada graf kes bermula awal tahun ini terutama selepas PKP berakhir dan digantikan dengan PKPB. "Memandangkan fasa PKPB telah beralih ke fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), akan terdapat lebih banyak pergerakan di kalangan masyarakat dan kebarangkalian untuk dijangkiti denggi akan meningkat," jelasnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas tinjauan ke lokaliti wabak di Lorong Seri Tanjung, Kuala Terengganu di sini hari ini. Menurutnya, daerah yang mencatatkan bilangan kes denggi tertinggi merupakan daerah Kuala Terengganu (99 kes) diikuti dengan daerah Kemaman (19 kes), Kuala Nerus (17 kes), Besut (14 kes), Dungun (11 kes), Marang (8 kes), Hulu Terengganu (5 kes) dan Setiu (3 kes). Semua daerah menunjukkan penurunan kes kecuali daerah Kemaman yang menunjukkan peningkatan kes berbanding tempoh yang sama pada tahun 2019. Sehingga 6 Jun 2020, tiada kes kematian denggi yang dilaporkan di negeri Terengganu. Sehingga 6 Jun 2020, beliau memaklumkan, sebanyak tiga belas (13) episod wabak telah berlaku di negeri Terengganu iaitu sepuluh (10) episod di daerah Kuala Terengganu, dua (2) episod di daerah Hulu Terengganu dan satu (1) episod di daerah Kuala Nerus. Bagaimanapun semua wabak merupakan wabak terkawal dengan lima (5) episod wabak masih aktif dan semua wabak aktif tersebut adalah di daerah Kuala Terengganu. Justeru katanya, orang ramai diingatkan supaya mengambil langkah-langkah pencegahan demam denggi. "Saya ingatkan semua bahawa 'vaksin' utama denggi adalah memperkasakan tingkah laku masyarakat menjaga kebersihan rumah masing-masing. Amalkan gotong-royong kendiri di samping mematuhi Prosedur Operasi Standard yang ditetapkan oleh kerajaan. "Luangkan masa 10 minit setiap minggu untuk aktiviti cari dan musnah tempat pembiakan Aedes (bekas menakung air) di dalam dan di luar rumah masing-masing serta di tempat kerja jika anda sudah kembali bertugas. "Dan juga rumah-rumah yang telah lama ditinggalkan kerana PKP perlu dibersihkan dengan segera kerana boleh menyumbang kepada pembiakan nyamuk Aedes jika terdapat bekas-bekas yang menakung air," tegasnya.
01 Jul 20
56
Kedai Gunting Rambut Mulai Operasi
Kedai Gunting Rambut Mulai Operasi
KUALA TERENGGANU, 11 Jun - Tinjauan di beberapa kedai gunting rambut di sekitar Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu semalam mendapati tukang gunting dilihat mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan kerajaan dengan memakai penutup muka plastik, pelitup muka, sarung tangan dan apron plastik. Pengusaha Jo BarberShop, Faizul Aziz, 44, berkata, pihaknya mematuhi sepenuhnya SOP digariskan kerajaan sebagai langkah berjaga-jaga selain memberi keyakinan kepada pelanggan. "Kami sebagai pengusaha kedai gunting amat gembira dengan keputusan kerajaan membenarkan operasi perniagaan berjalan setelah menunggu berbulan-bulan dalam usaha sama mengekang penularan wabak COVID-19. "SOP yang ditetapkan akan sentiasa dipatuhi bagi menghargai peluang ini. Hanya dua orang pelanggan dibenarkan masuk bagi setiap sesi gunting rambut dengan jarak kerusi lebih dua meter antara pelanggan. "Tukang gunting kami pula perlu memakai penutup muka plastik dan pelitup muka sepanjang masa dengan sarung tangan pakai buang berbeza bagi setiap pelanggan manakala apron plastik dipakai pekerja diganti setiap tiga pelanggan. "Namun apron plastik digunakan pelanggan pula akan dibuang selepas setiap pelanggan. "Kami juga akan menyah cemar dan melakukan proses sanitasi setiap peralatan termasuk gunting, sikat, mesin rambut selain tempat duduk pelanggan setiap kali seorang pelanggan selesai menggunting rambut," jelasnya ketika ditemui pemberita dalam tinjauan di sini semalam. Menurutnya, harga yang dikenakan pula adalah RM15 seorang dan operasi kedai bermula jam 9 pagi hingga 6 petang. Sementara itu, pelanggan Kedai Gunting Razali, Rosli Mat Nasir, 56, berkata, beliau merasa lega dengan kebenaran operasi kedai-kedai gunting rambut. "Alhamdulillah akhirnya dapat juga mendapatkan khidmat menggunting rambut. Rasa lebih yakin dengan rambut yang kemas," ujarnya. Terdahulu Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan perkhidmatan guntingan dan dandanan rambut serta kecantikan dibenarkan beroperasi mulai semalam dengan SOP yang ketat.
01 Jul 20
100
144 Usahawan Terengganu Terima Dana Tabung Pemulihan COVID-19
144 Usahawan Terengganu Terima Dana Tabung Pemulihan COVID-19
KUALA TERENGGANU, 10 Jun -  Kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) menyampaikan sebanyak RM1.5 juta kepada 144 usahawan bagi membantu perniagaan mereka yang terjejas. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, jumlah itu merupakan sebahagian daripada RM4 juta yang diperuntukkan kerajaan bagi tujuan itu. "Selepas wabak COVID-19 melanda, YPU sendiri mengambil inisiatif membantu usahawan kita dengan mewujudkan segmen baharu iaitu Bantuan Pemulihan COVID-19 Terengganu. "Permohonan yang kita terima lebih, tetapi yang kita luluskan ini yang terawal dan didapati terjejas teruk. Insya-Allah peruntukan ada baki lagi. Cuma, kita terima permohonan diluar jangka," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Cek bagi Tabung Usahawan Sejahtera (TUGAS) kepada usahawan di bawah skim berkenaan bagi meningkatkan prestasi Perniagaan Kecil Sederhana (PKS) dalam negeri. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah timbalannya, Hilmi Harun dan Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Ahmad Farhan Wahab. Jelas Nurkhuzaini lagi, permohonan yang diterima YPU kini mencecah RM11 juta. "Kita cuba lihat bagaimana nanti, kalau kerajaan negeri pertimbangkan tambahan, kita akan proses. "Cuma, kita sarankan usahawan turut mencuba tawaran daripada kerajaan Persekutuan contohnya melalui PERKESO iaitu skim subsidi upah, begitu juga dengan Perbadanan Usahawan Kecil Sederhana (SME CORP) dan yang terbaru MARA dan Perbananan Nasional Berhad (PNB) yang boleh dimanfaatkan," katanya. Berkenaan skim TUGAS, Mohd Nurkhuzaini menyatakan, keseluruhan dana yang telah dikeluarkan berjumlah hampir RM3 juta yang  mula diproses sejak awal tahun lepas. Tambahnya, seramai 77 usahawan menerima pembayaran pertama TUGAS bagi tahun 2020 hari ini dengan jumlah dana sebanyak RM815,401.52. "Sejak dilancarkan pada Januari lalu, kita telah menyediakan dana kira-kira RM28 juta kepada 2,740 usahawan dalam negeri," katanya.
01 Jul 20
248
Sekolah Dibuka 24 Jun, Libatkan Pelajar Peperiksaan Awam
Sekolah Dibuka 24 Jun, Libatkan Pelajar Peperiksaan Awam
PUTRAJAYA, 10 Jun - Semua sekolah di seluruh negara akan dibuka semula mulai 24 Jun ini namun hanya melibatkan pelajar yang akan menduduki peperiksaan awam dan antarabangsa yang setara pada tahun ini, kata Menteri Kanan (Pendidikan) Dr Mohd Radzi Md Jidin. Beliau berkata  ini membabitkan pelajar yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM),  Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) serta peperiksaan antarabangsa. Katanya Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah telah diedarkan ke sekolah-sekolah pada 4 Jun lepas sebagai panduan agar persiapan rapi dapat dibuat sebelum sesi persekolahan bersambung kembali. - BERNAMA
01 Jul 20
37