lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

CIP Bantu Syarikat 'Start Up' Pacu Kemampuan
CIP Bantu Syarikat 'Start Up' Pacu Kemampuan
Oleh : Ahmad Sabri Yusof KUALA LUMPUR, 21 Jun - Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Ahmad Amzad Hashim memaklumkan, pelancaran dua program baharu Cradle Investment Programme (CIP) iaitu CIP IGNITE dan CIP ACCELERATE oleh Menteri MOSTI, Khairy Jamaluddin, 19 Jun lalu dapat mencipta peluang pekerjaan lebih banyak dan menyumbang pertumbuhan positif ekonomi negara. Jelasnya, dengan pelancaran itu Cradle komited untuk memainkan peranan lebih aktif dalam membantu syarikat teknologi memanfaatkan sepenuhnya inovasi yang dibangunkan CIP. Dalam kunjungan bersama Khairy ke Pejabat Cradle Fund Sdn Bhd, pihaknya diberi penerangan terperinci oleh pihak Lembaga Pengarah Cradle Sdn Bhd, berkenaan fungsi dan peranan Cradle. "Ini merupakan sebahagian daripada rangka lawatan kerja kedua-dua Menteri ke jabatan dan agensi di bawah seliaan MOSTI. "Dalam sesi lawatan itu, satu sesi taklimat telah dijalankan bagi memberikan penerangan yang lebih terperinci berkenaan fungsi dan peranan Cradle serta impak Cradle Investment Programme (CIP) terhadap pembangunan ekonomi negara dan sektor syarikat teknologi peringkat awal di Malaysia," katanya dalam satu hantara di Facebooknya, semalam. Hadir sama pada kunjungan itu, Ketua Setiausaha MOSTI, Datuk Ir. Dr Siti Hamisah Tapsir dan Timbalannya, Dr Mohd Nor Azman Hassan. Tambah Amzad, CIP IGNITE menawarkan geran bersyarat dan bantuan nilai tambah sehingga RM500,000 kepada syarikat teknologi pemula (start-up), PKS tempatan serta syarikat terbitan universiti dan institut penyelidikan. "CIP ACCELERATE pula menyediakan dana sehingga RM2,000,000 dan bantuan nilai tambah yang khusus untuk syarikat pemula teknologi tinggi dan syarikat terbitan universiti serta institut penyelidikan," jelasnya yang menyifatkan peluang itu perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi organisasi yang layak.  
02 Jul 20
46
Terengganu Perkenal Tiga Fasa Pakej Rangsangan Pelancongan
Terengganu Perkenal Tiga Fasa Pakej Rangsangan Pelancongan
KUALA TERENGGANU, 21 Jun - Kerajaan Terengganu memperkenalkan tiga fasa pelan rangsangan bagi memperkasa kembali industri pelancongan di negeri tersebut susulan pandemik COVID-19. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, ia sebagai nilai tambah kepada sektor berkenaan dengan sasaran pelancong domestik. Katanya, menerusi fasa pertama yang lebih kepada menangani impak COVID-19 terhadap sektor pelancongan Terengganu, pihaknya giat mempromosikan pelancongan secara atas talian terutamanya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini. “Kita juga memberikan sumbangan kit penjagaan diri yang mengandungi pelitup muka, ‘hand sanitizer’, sarung tangan getah dan beberapa peralatan lain kepada kakitangan barisan hadapan dan pengamal media pada waktu PKP lalu,” ujarnnya. Beliau berkata demikian ketika bersiaran secara langsung dengan tajuk Mendepani COVID-19 : Pemerkasaan Industri Pelancongan Negeri Terengganu di Rancangan Assalamulaikum terbitan TV Alhijrah, hari ini. Ariffin berkata, menerusi pakej fasa kedua, bantuan ‘one off’ kepada pengayuh beca, pengusaha bot penambang, pemandu pelancong dan malim gunung yang layak merupakan antara usaha kerajaan negeri untuk melestarikan pelancongan Terengganu. “Sementara, fasa ketiga pula lebih kepada usaha memacu pertumbuhan sektor pelancongan Negeri Terengganu,” ujarnya. Dalam pada itu, Ariffin memberitahu kehadiran pengunjung ke negeri itu semakin meningkat selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin mengumumkan PKPP yang membenarkan pergerakan rentas negeri. Katanya, Terengganu merupakan antara negeri terawal dikategorikan sebagai zon hijau dan selamat untuk dikunjungi. “Saya sarankan kepada seluruh rakyat Malaysia, pilihlah Terengganu sebagai destinasi utama untuk percutian anda kerana terlalu banyak keindahan di negeri ini termasuk, pulau, pantai, taman-taman semula jadi yang menjanjikan keseronokan,” ujarnya.  
02 Jul 20
61
Elektrik Percuma Untuk 4 Juta Pengguna Domestik
Elektrik Percuma Untuk 4 Juta Pengguna Domestik
PUTRAJAYA, 20 Jun - Seramai empat juta atau 52.2 peratus pengguna domestik dengan bil elektrik RM77 dan ke bawah atau penggunaan bawah 300kWj akan menikmati bekalan elektrik percuma selama tiga bulan apabila kerajaan memperkenalkan Bantuan Prihatin Elektrik tambahan. Manakala, penggunaan melebihi 300kWj pula akan menerima potongan bil sebanyak RM231 iaitu RM77 sebulan. Inisiatif terbaharu itu membabitkan bulan April, Mei serta Jun dan bayaran akan dikreditkan semula dalam bil Julai. Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meluluskan Bantuan PRIHATIN Elektrik Tambahan dalam kategori domestik di Semenanjung berjumlah RM942 juta bagi mengurangkan beban pengguna elektrik sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). "Secara keseluruhan Bantuan PRIHATIN Elektrik Tambahan itu akan memanfaatkan 7.66 juta pengguna elektrik," katanya pada sidang media di sini, hari ini. Menurutnya, bantuan itu adalah tambahan kepada diskaun bil elektrik di bawah Bantuan Prihatin Elektrik yang dilaksanakan sejak 1 April lalu. "Dengan pelaksanaan bantuan ini, jumlah diskaun yang diberikan kepada pengguna elektrik bagi tempoh 1 April hingga 30 September 2020 akan meningkat kepada RM2.2 bilion," katanya. Dalam pada itu, beliau berkata, TNB setuju menghentikan aktiviti pemotongan elektrik hingga 30 September. "Pihak TNB juga akan membuat pengumuman lain selepas ini berkait tarif elektrik yang terbaharu selepas membuat beberapa kajian," tambah beliau.  
02 Jul 20
161
Elakkan Aktiviti Di Kawasan Rekreasi Air Terjun Belukar Bukit
Elakkan Aktiviti Di Kawasan Rekreasi Air Terjun Belukar Bukit
Oleh : Muhammad Najib Ismail HULU TERENGGANU, 18 Jun - Orang ramai dinasihatkan agar tidak menjalankan sebarang aktiviti di kawasan rekreasi air terutamanya di Air Terjun Belukar Bukit dalam musim Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berkuat kuasa. Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, DSP Mohd Adli Mat Daud berkata, kawasan air terjun tersebut pernah diwartakan sebagai kawasan larangan untuk aktiviti rekreasi berikutan banyak tragedi telah berlaku yang melibatkan kehilangan nyawa. "Untuk tahun ini sahaja telah terjadi dua tragedi mati lemas di kawasan tersebut. Kejadian pertama pada bulan Mac dan kejadian kedua pada hari ini. "Keadaan cuaca hujan dan ribut setiap petang di Hulu Terengganu menyebabkan kawasan sungai dan kawasan rekreasi ini airnya agak tinggi dan deras, ia berisiko tinggi kepada pengunjung-pengunjung. "Oleh kerana itu, orang ramai hendaklah sentiasa peka dengan keselamatan masing-masing dengan menghindari aktiviti rekreasi terutamanya di Belukar Bukit ini dan termasuk di kawasan rekreasi di air yang lain," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemubual pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu, Kuala Berang selepas berlakunya insiden kejadian lemas di Belukar Bukit. Tambahnya, keadaan air terjun atau sungai yang jernih dan cetek tidak boleh dijadikan ukuran untuk orang ramai merasa selamat melakukan aktiviti rekreasi kerana ‘kepala air’ boleh berlaku sekiranya hujan di hulu sungai dan puncak bukit. "Ia dapat dielakkan sekiranya orang ramai mengambil iktibar daripada kes yang banyak dilaporkan di media cetak, elektronik dan sosial," ujarnya lagi. Terdahulu, mangsa terbaharu, Muhammad Affizie Irffanshah Mazita@Jamal, 14, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Zainal Abidin telah dilaporkan mati lemas di air terjun tersebut tengah hari tadi.  
02 Jul 20
540
Pelepasan Benih Jalin Kelestarian Populasi Ikan Terenggan
Pelepasan Benih Jalin Kelestarian Populasi Ikan Terenggan
BESUT, 22 Jun - Sebanyak 27,350 ekor benih ikan dilepaskan Jabatan Perikanan Negeri Terengganu (JPNT) di Ampang Jajar, Hulu Besut hari ini bagi membantu meningkatkan populasi ikan air tawar di kawasan tersebut. Jumlah benih ikan yang dilepaskan terdiri daripada 230 ekor Kelah, 2,500 ekor Baung dan sebanyak 24,620 Lampam Sungai dengan kos bernilai kira-kira RM20,000. Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Helmi Harun menyifatkan program tersebut merupakan salah satu langkah penting kepada kelestarian biodiversiti kawasan setempat. “Program seumpama ini akan meningkatkan hasil dan suatu mata rantaian supaya populasi ikan tidak pupus yang mana kita juga tahu terdapat banyak ancaman kepada spesies ini daripada faktor semula jadi dan perbuatan manusia. “Kita patut bersyukur dengan keadaan negeri kita yang baik persekitarannya. Kita harap, seluruh masyarakat menyedari kepentingan menjaga alam sekitar serta kepentingan menjaga ketulenan dan keaslian negeri kita,” katanya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan pelepasan benih ikan bersama JPNT dan Projek Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) bagi Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Terengganu Utara (KETARA), hari ini. Turut hadir, Timbalan Pengarah JPNT, Rusman Rusdy, Jurutera Projek IADA KETARA, Haslina Alias serta Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Besut, Mat Daik Mohamad. Dalam pada itu, Rusman memaklumkan bahawa program yang dilaksanakan merupakan salah satu kaedah pengembangan populasi ikan air tawar di negeri itu. “Ini kali keempat pelepasan benih bagi tahun ini di mana kita biasanya lepaskan di perairan umum seperti tasik, sungai dan di kawasan komuniti. “Untuk tahun ini, keseluruhannya telah dilepaskan sebanyak 80,000 ekor terdiri daripada spesies Baung, Lampam Sungai dan Udang Galah,” jelasnya. Menurut beliau, JPNT berusaha mencapai sasaran pelepasan benih sebanyak 250,000 setahun bagi memastikan usaha tersebut mampu memberi impak kepada nelayan darat yang bergantung harap kepada hasil hidupan air tawar untuk menampung kehidupan mereka.
02 Jul 20
225
Percutian Keluarga Dalam PKPP Berakhir Tragedi
Percutian Keluarga Dalam PKPP Berakhir Tragedi
HULU TERENGGANU, 18 Jun  - Keghairahan percutian 18 sekeluarga dari Kampung Kemunting, Batu Rakit, Kuala Nerus, yang berkelah  di kawasan air terjun Belukar Bukit di sini, pagi tadi berakhir dengan tragedi apabila seorang daripadanya ditemui lemas. Dalam kejadian sekitar jam 11  pagi itu, mangsa, Muhammad Affizie Irffanshah Mazita @ Jamal, 14 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Zainal Abidin, telah berenang secara bersendirian sempat meminta tolong sebelum dilihat tenggelam. Salah seorang ahli keluarga,  Hairizan  Al Bukhari iaitu bapa saudara mangsa yang menyaksikan kejadian itu bertindak turun untuk menyelamatkan mangsa tetapi gagal.Sementara itu, ahli keluarga lain pergi untuk mendapatkan bantuan daripada penduduk bagi menghubungi pasukan penyelamat. Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 11.45 pagi. "Jam 12.00 tengahari  anggota bomba telah sampai tempat kejadian dan menjalankan misi menyelamat dan pada 12.15 tengahari mayat telah dijumpai oleh anggota bomba dan orang awam. "Mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” katanya. Sementara, Mohd Adli turut menasihati orang ramai supaya tidak berkunjung ke lokasi pusat rekreasi air terjun dan sungai kerana lokasi berkenaan masih belum dibuka. "Petugas- petugas keselamatan yang ada masih belum diaktifkan dan berisiko jika berlaku bencana yang tidak diingini," katanya.
02 Jul 20
61
Terengganu Lancar Buku Keluarga Mawaddah & Rahmah
Terengganu Lancar Buku Keluarga Mawaddah & Rahmah
KUALA TERENGGANU, 22 Jun - Kerajaan negeri mengambil langkah proaktif dalam usaha membina keluarga masyarakat Terengganu yang bahagia dan berkualiti dengan melancarkan Buku "Keluarga Mawaddah & Rahmah" di Wisma Darul Iman hari ini. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, inisiatif tersebut diyakini berupaya meningkatkan pengetahuan dan kesedaran masyarakat berkaitan peranan individu khususnya wanita dalam institusi kekeluargaan. "Alhamdulillah saya sangat berbesar hati kerana buku ini berjaya disiapkan. Inilah salah satu cita-cita dan harapan saya, iaitu satu lagi pendedahan kepada masyarakat khususnya wanita yang terdiri daripada ibu, isteri dan anak-anak kita. "Tentang bagaimana mereka memahami sebaik mungkin kehidupan seorang wanita berlandaskan kehidupan Rasullah bersama isteri-isteri dan anak-anak Baginda. Dengan sebab itu, hari ini penulis membentangkan semula kepada kita supaya kita dapat memahami peranan dan cabaran tersebut. "Justeru saya mengharapkan kita dapat memberi tumpuan membaca dan memahami buku ini di peringkat awal dan seterusnya bertanya guru masing-masing bagaimana menjalani kehidupan berkeluarga mengikut syariat Islam," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Buku "Keluarga Mawaddah & Rahmah", di sini. Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor. Hanafiah turut berterima kasih kepada penulisnya, Dr Hamdan Muhammad yang menganalisa dan melihat sendiri apa yang berlaku kepada kaum wanita dalam era globalisasi malah berkongsi ilhamnya dalam buku tersebut. "Bagi pihak kerajaan negeri, jutaan terima kasih kepada Dr Hamdan yang menulis dengan sebaik mungkin. Tulisannya sangat ringan dan mudah difahami. Itulah yang cuba ditonjolkan dalam cabaran dunia masa kini di mana berlakunya perceraian, masalah rumah tangga dan kerosakan akhlak. "Beliau menulis sebuah buku mengenai kasih dan cinta antara satu sama lain untuk menjadi pedoman dari awal dilahirkan sehinggalah berkeluarga dan akhirnya bertemu Allah SWT," jelasnya. Buku "Keluarga Mawaddah & Rahmah" terbitan Pustaka Damai Maahad Tahfiz Wal Tarbiyah (MTT) boleh ditempah dengan menghubungi Fatimah Harun (0163114272) atau Hanasidah (0129450527).
02 Jul 20
168
Tiga Mahkamah Di Terengganu Bakal Ditambah Baik
Tiga Mahkamah Di Terengganu Bakal Ditambah Baik
Oleh : Izzat Al-Qushairi/Hidayah Azlin SETIU, 22 Jun - Sekurang-kurangnya tiga Mahkamah Majistret di negeri ini telah dikenal pasti untuk proses penambahbaikan. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan, berkata sebahagian daripada bangunan terbabit sudah pun dalam proses berkenaan dan ia termasuk mahkamah di Setiu yang beroperasi sejak 32 tahun lalu. Katanya, kos pembinaan Mahkamah Majistret Setiu yang baharu itu dijangka berjumlah RM15 juta dan mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan. “Di Terengganu ini, kita jangkakan di Setiu akan dibina sebuah bangunan Mahkamah Majistret baharu. “Kemudian mahkamah di Marang dan Kemaman yang mempunyai bilangan kes yang tinggi kerana bandar besar, kedua-duanya akan ditambah baik,” katanya selepas lawatan kerja ke Mahkamah Majistret Setiu di sini hari ini Turut hadir, Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim, Pegawai Penyelaras DUN Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail, Pegawai Penyelaras DUN Langkap, Azmi Maarof dan Pegawai Penyelaras DUN Permaisuri, Zul Bhari Abd Rahman. Katanya, walaupun mahkamah tidak melibatkan ramai orang tetapi langkah tersebut wajar diambil bagi memudahkan mereka yang berurusan dengan institusi berkenaan. “Satu, keselesaan kepada pentadbiran mahkamah itu sendiri. Kedua, keselesaan kepada petugas-petugas seperti pihak polis, pendakwa raya, pihak jabatan-jabatan dan yang ketiga paling penting adalah keselesaan kepada orang awam. “Berdasarkan keputusan perbincangan, mahkamah ini akan ada jangka pendek dan jangka panjang. Jangka pendek akan cari bangunan yang baru manakala jangka panjang apabila segala urusan tanah sehingga ke peringkat pusat selesai,” tambah beliau. Difahamkan sebanyak 82 bangunan mahkamah di seluruh negara termasuk Mahkamah Tinggi, Sesyen dan Majistret dijangka akan menjalani proses penambahbaikan.
02 Jul 20
50
Hospital Dungun Perlu Disiapkan Segera-Wan Hapandi
Hospital Dungun Perlu Disiapkan Segera-Wan Hapandi
Dungun, 18 Jun - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik menggesa pihak berkaitan menyiapkan segera pembinaan Hospital Dungun. Katanya, proses pembinaan hospital berkenaaan bermula tahun 2016 dan tarikh siap asal difahamkan pada 22 Februari tahun lalu bagaimanapun telah mengalami kelewatan disebabkan masalah tertentu. “Pihak berkenaan perlu mempercepatkan pembinaan, kerana dari apa yang saya lihat, projek ini bermula empat tahun lalu tetapi sehingga hari ini masih tidak siap-siap,” katanya. Terdahulu, beliau mengadakan lawatan ke tapak hospital bagi meninjau perkembangan projek berkenaan. Menurut Wan Hapandi, Hospital Dungun baharu akan dilengkapi dengan kapasiti 110 katil dan 10 kepakaran disediakan antaranya kecemasan, perubatan, pediatrik, obsterik dan ginekologi, anestesiologi, ortopedik, psikiatrik, pergigian dan patalogi. “Jika hospital ini siap sepenuhnya, ia akan membantu mengurangkan kesesakan dan waktu menunggu bagi para pesakit yang sedang menunggu giliran untuk bertemu pakar,” tambah beliau. Mengulas lanjut, beliau berkata memandang hospital ini masih belum siap dibina, pesakit yang ingin mendapatkan rawatan susulan atau pembedahan perlu ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) atau Hospital Kemaman. Menurut Wan Hapandi, sebelum ini, beberapa siri pertemuan dengan pihak berkaitan telah diadakan untuk membincangkan perkara berkenaaan termasuk pada  26 Mac 2019, bersama Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr. Mamad Puteh dan pihak kontraktor, Nukima Sdn Bhd yang turut disertai beliau bagi membincangkan perkembangan projek. Katanya, pembinaan hospital Dungun telah mengalami sedikit kelewatan disebabkan beberapa masalah termasuk pertindihan di peringkat awal melibatkan urusan tambun tanah, berkaitan dengan peruntukan ketika berlaku perubahan Kerajaan Pusat dan disebabkan kekangan tenaga kerja. Wan Hapandi berkata, beliau berharap agar hospital ini dapat disiapkan dengan segera dan dapat digunakan sepenuhnya demi rakyat Dungun.
02 Jul 20
384
YADIM Sasar 2,000 Penerima Peduli Musaadah Covid 19 Terengganu
YADIM Sasar 2,000 Penerima Peduli Musaadah Covid 19 Terengganu
Oleh: Ahmad Ezani Razali KEMAMAN, 17 Jun - Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Terengganu menyasarkan seramai kira-kira 2,000 orang penerima sumbangan bagi Program Peduli Musaadah Covid 19 Terengganu. Pengarahnya, Mahadi Awang berkata, rata-rata sasaran tersebut terdiri daripada keluarga nelayan dan fakir miskin bagi seluruh negeri Terengganu. "Hari ini kita hadir di daerah Kemaman bagi menyantuni dan memberikan sumbangan kepada mereka yang turut terjejas pendapatan harian akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 18 Mac lalu. "Semalam kita berada di Dungun. Hari ini pula di Kemaman. Insya-Allah, kita akan terus menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan sumbangan di seluruh negeri Terengganu secara berperingkat," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas selesai menyantuni penduduk dan memberikan sumbangan di Kampung Kuala Kemaman di sini hari ini. Dalam program tersebut YADIM turut menyelitkan program YADIM Lestari : Cuci-Cuci. Menurutnya, YADIM akan memilih sama ada surau, masjid atau madrasah untuk program gotong-royong membersihkannya. "Ia bersesuaian dengan tuntutan agama Islam bahawa kebersihan itu sebahagian daripada iman. Jadi kita ingin melihat tempat-tempat ibadah terutamanya terjaga daripada segi kebersihan," katanya lagi. Hadir sama menjayakan program itu, kakitangan Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai dan jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kuala Kemaman. Sumbangan yang diberikan berbentuk barangan keperluan harian. YADIM memperuntukkan hampir RM80,000 bagi melaksana dan menjayakan keseluruhan program tersebut.
02 Jul 20
230