Artikel "Utama" Terkini
Kebenaran Makan Di Kedai Diketahui Ahad Depan
KUALA TERENGGANU, 28 Mei - Keputusan untuk membenarkan restoran dan kedai makan beroperasi sepenuhnya termasuk makan di dalam premis dijangka akan diumumkan kerajaan negeri pada Ahad depan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, beliau sedang berbincang dengan pelbagai agensi termasuk para petugas barisan hadapan supaya keputusan yang dikeluarkan kelak tidak membebankan mana-mana pihak.
“Insya-Allah jika semuanya berjalan lancar, kerajaan Terengganu akan memuktamadkan keputusan mengenai perkara ini pada 31 Mei nanti.
“Kebenaran makan di dalam premis di Terengganu sedang diperhalusi berdasarkan nasihat daripada pakar-pakar dan agensi berkaitan. Semuanya kita akan umumkan nanti.
“Kita mohon kepada semua agar bersabar dahulu kerana keputusan yang kita buat ini akan mengambil kira pelbagai aspek dan memberi kesan yang besar kepada rakyat,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman hari ini.
Walau bagaimanapun, Dr Alias menegaskan, selagi perkara itu belum diumumkan, operasi premis restoran dan kedai makan akan berjalan sebagaimana arahan sebelumnya.
“Premis terbabit dibenarkan dibuka pada pukul 7 pagi hingga 10 malam dan urusan jual beli hanya terhad secara pandu lalu, bungkus bawa pulang dan penghantaran sahaja,” tambah beliau.
Untuk rekod, Kelantan adalah negeri terbaharu yang membenarkan premis restoran dan kedai makan beroperasi sepenuhnya namun dengan kawalan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
06 Jul 20
109
Tiga Beradik Lemas : Mayat Terakhir Ditemui
HULU TERENGGANU, 28 Mei - Mayat terakhir tiga beradik yang dikhuatiri lemas semalam ditemui 12.40 tengah hari tadi.
Mangsa, Khalif Naim Mohd, 16, ditemui kira-kira 170 meter dari lokasi kejadian yang turut meragut nyawa dua abangnya.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud ketika dihubungi berkata, mayat telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk tindakan lanjut.
Terdahulu, mayat Umar Iskandar Mohd, 21, serta Khairil Firdaus Mohd, 17, ditemui jam 9.45 dan 11.35 pagi tadi.
Mayat mereka ditemui sekitar 100 dan 150 meter dari lokasi kejadian.
Ketiga-tiga jenazah itu dijangka akan dikebumikan petang ini di kampung ibunya di Kampung Alur Limbat, Marang.
Semalam, pada jam 6 petang tiga beradik itu dikhuatiri lemas ketika mandi di muara Sungai Telemong yang terletak kira-kira 300 meter dari kediaman mereka.
06 Jul 20
130
MB Terengganu Tinjau Lokasi Pencarian Tiga Beradik Dikhuatiri Lemas
HULU TERENGGANU, 28 Mei - Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar turun padang pagi ini bagi meninjau lokasi pencarian tiga beradik dikhuatiri lemas selepas hanyut dibawa arus semasa mandi di Muara Sungai Telemong lewat petang semalam.
Beliau turut berduka cita dengan tragedi tersebut dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat.
"Tindakan telah diambil oleh pihak berkuasa. Ketika ini operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa sedang diteruskan bermula jam 9 malam semalam.
"Memang sedih bagi kita dengan apa yang berlaku ini dan kita harap operasi ini dapat berakhir dengan segera sebab penantian bagi keluarga mangsa terutamanya adalah amat menyedihkan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam tinjauan ke lokasi kejadian sebelum singgah menziarahi keluarga mangsa di sini pagi tadi.
Hadir sama dalam tinjauan tersebut, isteri beliau, To' Puan Seri Tuan Faezah Tuan Abd Rahman, Ketua Polis Negeri Terengganu, Dato' Roslee Chik, Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Azizi Zulkifli, Pegawai Penyelaras Hulu Terengganu, Muhyidin Abd Rashid dan Pengarah Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Soud Said.
Mengulas tentang langkah keselamatan yang perlu diambil untuk mengelakkan kejadian sama berulang, menurut Ahmad Samsuri, setiap komuniti dan keluarga masing-masing perlu mengawal pergerakan anak-anak terutama dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang masih berjalan.
"Kesukaran untuk pertolongan itu sampai dalam keadaan ketiadaan orang awam yang disaran berada di rumah masing-masing dalam suasana menyambut hari raya pada tempoh PKPB ini.
"Saya difahamkan oleh pihak Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) bahawa tempat ini bukan kawasan orang mandi di sini.
"Kita amat sedih dengan apa yang berlaku dan minta keluarga mangsa bersabar dengan ujian yang berlaku," ujarnya.
Terdahulu, tiga beradik dikhuatiri lemas selepas hanyut dibawa arus semasa mandi di Muara Sungai berkenaan lewat petang semalam.
Mayat Umar Iskandar Mohd, 21, dan Khairil Firdaus Mohd, 17, telah dijumpai dan dibawa ke Hospital Hulu Terengganu.
Ketika ini operasi mencari dan menyelamat diteruskan bagi mencari seorang lagi mangsa yang dikenali sebagai Khalif Naim Mohd, 16.
Seramai 41 anggota pasukan keselamatan termasuk 18 anggota polis, 15 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, 8 anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) bersama penduduk kampung memulakan operasi SAR mangsa bermula jam 9 malam semalam.
06 Jul 20
170
Amzad Sokong Pindaan Hukuman Lebih Tegas Buat Pemandu Mabuk
Oleh: Ahmad Sabri Yusof
KUALA TERENGGANU, 28 Mei - Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Ahmad Amzad Hashim bersetuju, jika Kerajaan Persekutuan sedia mengkaji serta membuat pindaan peraturan dan undang-undang lebih tegas kepada individu yang melakukan kesalahan di bawah pengaruh alkohol.
Ini kerana, katanya kesalahan terbabit boleh membahayakan nyawa orang lain.
Menurutnya, kawalan terhadap peraturan penjualan arak juga perlu diperketatkan bagi mengawal kehidupan rakyat yang lebih baik dan sihat.
“Kerajaan seharusnya mengkaji tentang pindaan-pindaan yang perlu bagi membolehkan peraturan lebih tegas dibuat berhubung dengan perkara (arak) ini, juga hukuman yang lebih tegas selain kawalan penjualan arak perlu diperketatkan.
“Isu ini universal sebenarnya. Apa-apa pindaan peraturan dan undang-undang (digubal) bagi memastikan supaya mereka yang berada di bawah pengaruh arak ini tidak berada di dalam masyarakat dan di tengah orang ramai,” ujarnya ketika dihubungi mengenai isu ‘Memandu Di Bawah Pengaruh Alkohol’ di kediamannya Kampung Durian Burung, Kuala Terengganu, hari ini.
Amzad mendakwa, ketika tempoh awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama dikuatkuasakan 18 Mac lalu, operasi kilang dan premis penjualan arak dihentikan sementara tiada masalah.
Malah, katanya kadar kemalangan kerana mabuk dalam tempoh PKP itu juga tidak berlaku dan ini memberi kesan yang baik kepada negara.
“Masalah yang sama turut berlaku di peringkat antarabangsa sebenarnya, tak semestinya negara Islam. Di negara-negara bukan Islam pun sedang mengkaji segala cara bagi membolehkan kawalan terhadap penggunaan alkohol diperketatkan,” jelasnya.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu menegaskan, dari segi sains peringkat MOSTI turut sependapat dengan saranan WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia) yang menyenaraikan arak sebagai perkara yang memudaratkan manusia.
“Penggunaan arak ini sepatutnya dalam premis tertutup atau di rumah masing-masing sahaja. Apa-apa cara perlu dilaksanakan yang boleh menghalang daripada mereka yang di bawah pengaruh memandu atau berada di tempat awam.
“Alkohol atau arak yang menjadi sebahagian daripada minuman yang memabukkan itu cukup terbukti membahayakan serta boleh menyebabkan kematian dan kerosakan harta benda," katanya.
06 Jul 20
79
Mayat Pertama Tiga Beradik Ditemui
HULU TERENGGANU, 28 Mei - Mayat pertama kes lemas membabitkan tiga beradik ditemui jam 9.52 pagi ini.
Mayat Umar Iskandar Mohd, 21, dijumpai di dasar sungai kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian dan telah dibawa ke Hospital Hulu Terengganu.
Ketika ini operasi mencari dan menyelamat diteruskan bagi mencari dua lagi mangsa yang dikenali sebagai Khairil Firdaus Mohd, 17, dan Khalif Naim Mohd, 16.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud ketika dihubungi mengesahkan perkembangan itu.
Terdahulu, tiga beradik dikhuatiri lemas selepas hanyut dibawa arus semasa mandi di Muara Sungai berkenaan lewat petang semalam.
Seramai 41 anggota pasukan keselamatan termasuk 18 anggota polis, 15 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, 8 anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) bersama penduduk kampung memulakan usaha mencari dan menyelamat (SAR) mangsa bermula jam 9 malam semalam.
06 Jul 20
44
Tiga Beradik Dikhuatiri Lemas
HULU TERENGGANU, 27 Mei - Tiga adik beradik dikhuatiri lemas selepas dikatakan hanyut dibawa arus selepas mandi di Muara Sungai Telemong petang tadi.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, ketiga-tiga mangsa, Umar Iskandar Mohd, 21, Khairil Firdaus Mohd, 17, dan Khalif Naim Mohd, 16, dikatakan sedang mandi ketika kejadian itu berlaku.
“Keterangan awal saksi mengatakan mereka nampak mangsa mandi dan tidak lama kemudian saksi terdengar suara meminta tolong.
"Saksi terus menaiki motosikal menghala ke tempat kejadian yang mengambil masa lebih kurang 10 minit untuk sampai namun sebaik sahaja tiba di lokasi, mereka mendapati mangsa sudah hilang," katanya dalam satu kenyataan kepada pemberita di sini, malam ini.
Mohd Adli berkata, seramai 41 anggota pasukan keselamatan termasuk 18 anggota polis, 15 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, 8 anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) bersama penduduk kampung memulakan usaha mencari dan menyelamat (SAR) mangsa bermula jam 9 malam tadi dan dijangka berakhir 12 tengah malam.
06 Jul 20
45
Suasana Aidilfitri Berbeza, Hikmah Buat Semua - Amzad Hashim
Oleh: Ahmad Sabri Yusof
KUALA TERENGGANU: 27 Mei - Sambutan Hari Raya Aidilfitri merupakan hari kemenangan kepada umat Islam kerana berjaya mengharungi ujian keletihan, kelaparan dan kesabaran sebulan Ramadan yang lalu.
Ahli parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim mengingatkan bahawa sambutan pada tahun 2020 ini amat berbeza dengan norma kebiasaan sejak negara mencapai kemerdekaan.
Malah, katanya mungkin bagi generasi baharu ini kali pertama seumur hidup menghadapi suasana yang berbeza kerana wabak pandemik yang dinamakan ‘coronavirus’ atau Covid-19.
"Mungkin hikmah disebalik musibah ini dapat mempertingkatkan amalan kita lebih dari sebelumnya.
“Semoga kesan Ramadan yang baru dilalui akan menghasilkan jiwa dan hati yang sejahtera kepada kita semua, Insya’Allah," katanya dalam, satu kenyataan di laman Facebooknya, semalam.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikenakan bukan untuk menyekat kebebasan rakyat tetapi bagi menyelamatkan diri, keluarga, jiran tetangga, negeri dan negara yang tercinta ini.
“Kali ini, kita semua berada dalam suasana arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan sejak 18 Mac 2020 lalu, dan hingga sekarang telah memasuki Fasa Kelima PKPB (bersyarat).
“Apa pun situasinya, semoga amalan kita pada bulan Ramadan lalu yang disambut kemenangannya pada Hari Raya Aidilfitri ini tidak menjejaskan prestasi dan kualiti amalan kita semua,” katanya.
06 Jul 20
275
PKPB : Main Futsal, Lapan Remaja Didenda RM8,000
HULU TERENGGANU, 27 Mei - Gara-gara degil bermain futsal di sini ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) semalam, lapan remaja terpaksa membayar kompaun sebanyak RM8,000.
Dalam kejadian pukul 10 malam itu, kesemua mereka yang berusia lingkungan 15 hingga 20 tahun, dilihat bermain futsal ketika sepasukan anggota polis membuat rondaan di Kampung Binjai Kertas, Kuala Berang di sini.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Mohd Adli Mat Daud berkata, kelapan-lapan remaja terbabit bagaimanapun cuba melarikan diri apabila menyedari kehadiran pihak berkuasa.
“Mereka meninggalkan beberapa buah motosikal serta barang-barang peribadi termasuk telefon bimbit.
"Polis kemudian membawa semua barangan itu ke Balai Polis Kuala Berang untuk siasatan dan tindakan lanjut.
“Bagaimanapun, kira-kira jam 1 pagi hari ini (Rabu), semua mereka hadir ke balai polis itu dan seterusnya ditahan untuk siasatan mengikut Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020,” katanya sebagaimana dilapor Astro Awani.
Tambah beliau, semua mereka telah dikompaun RM1,000 setiap seorang.
06 Jul 20
89
Air Mata Gembira Seorang Kakak
KEMAMAN, 27 Mei - “Berderai air mata apabila diberitahu kami akan diberi rumah baharu dan semua bayaran sewa rumah akan dibayar pihak kerajaan negeri,” kata Sofea Hanani Manaf ketika ditemui semasa operasi pemindahan.
Wanita berusia 23 tahun itu mengakui terharu apabila empat adiknya kini mampu hidup dalam keadaan yang lebih selesa selepas setahun menyewa di rumah daif.
Memahami kesulitan yang diharungi lima beradik itu setelah mengadakan tinjauan semalam, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat hadir membantu menyiapkan segala keperluan rumah Sofea hari ini.
“Sofea bekerja sebagai jurujual di sebuah kedai di Bandar Cukai dan hanya bergaji sekitar RM1,000 sebulan dalam keadaan menjaga empat orang adiknya sejak setahun yang lalu.
“Ibu bapanya pula bercerai dua tahun lalu dan membawa haluan masing-masing. Kini tinggallah Sofea yang menjaga dan membesarkan adik-adiknya,” ujar Hanafiah.
Ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai itu, keadaan rumah yang disewa mereka tidak lagi sesuai dan mereka telah dibawa berpindah ke Kampung Besut 1.
“Setelah berbincang, pihak Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) pula bersetuju untuk membayar sewa bulanan rumah (baru) ini.
“Saya juga telah membeli sebuah peti sejuk, televisyen, dapur gas, tilam, cadar, bantal dan sedikit buah tangan buat mereka. Rumah tersebut turut digantikan dengan tikar getah yang baharu
“Terima kasih diucapkan kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), MAIDAM dan pihak-pihak yang telah terlibat secara langsung atau tidak langsung bagi membantu keluarga ini. Semoga bulan Syawal ini memberi sinar kehidupan yang baharu buat mereka sekeluarga,” tambah beliau.
06 Jul 20
61
Cahaya Pelita Sinari Bumi Darul Iman
KUALA NERUS, 27 Mei - Bumi Darul Iman diterangi cahaya ratusan pelita sempena Pertandingan Pelita Raya Online Beautiful Terengganu : PKP Raya Style 2020 yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM8,000.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, pertandingan yang bermula 18 Mei dan berakhir semalam itu menyaksikan setiap kampung terlibat membina replika atau monumen menggunakan lampu pelita mengikut kreativiti masing-masing.
“Pertandingan tahun ini sangat berbeza dengan tahun-tahun lepas namun kemeriahannya tetap sama walaupun pengunjung tidak boleh datang beramai-ramai untuk menyaksikan keindahan pelita raya.
“Kita buat dalam bentuk sederhana tetapi tetap menonjolkan kemeriahan Syawal.
“Semua ini hasil penat lelah semua 60 pemilik rumah yang menjayakan pertandingan ini,” katanya kepada media selepas melakukan lawatan ke lokasi pertandingan Pelita Raya semalam.
Mengulas lanjut, beliau berkata pada tahun sebelumnya pertandingan itu diadakan di satu Dewan Undangan Negeri dan secara terbuka.
“Manakala tahun ini juga dibuat terbuka tetapi tidak dikhususkan kepada satu tempat sahaja.
“Dan dibahagikan kepada dua kategori iaitu foto dan video, ia akan dinilai melalui lawatan para penilai ke kawasan pelita atau di laman sosial seperti Facebook
“Semua ini adalah demi mengekalkan kemeriahan Aidilfitri,” tambah beliau.
06 Jul 20
118