lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Tiga 'Ubi' Terengganu Perkuat Skuad Malaysia
Tiga 'Ubi' Terengganu Perkuat Skuad Malaysia
KUALA TERENGGANU, 4 Julai - Tiga pemain muda Terengganu Football Club (TFC) bakal membarisi pasukan Malaysia B-19 selepas terpilih menjalani latihan pusat bermula esok. TFC dalam satu kenyataan berkata, mengetuai senarai itu ialah penjaga gol tinggi lampai Terengganu, Muhammad Rahadi Azli Rahalim. Selain itu, pemain yang beraksi di posisi penyerang, Muhammad Muslihuddin A'tiq dan pemain tengah, Muhammad Azam Azmi Murad turut terpilih sebagai persiapan khas skuad negara.  
06 Jul 20
530
Paizal Bakal Miliki Tanah, Rumah Sendiri
Paizal Bakal Miliki Tanah, Rumah Sendiri
Oleh : Hidayah Azlin SETIU, 4 Julai – Seorang petani, Mohd Paizal Abdul Majid, 48, menarik nafas lega selepas cita-citanya untuk memiliki tanah dan rumah kediaman sendiri akhirnya tercapai. Ujar peserta Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Belimbing Api itu, tanah pemberian kerajaan negeri akan dimanfaatkan sepenuhnya dengan membina tempat berteduh untuk isteri dan lima anaknya. Katanya, disebabkan masalah kewangan sebelum ini, dia hanya menumpang di teratak ibu dan ayahnya sejak mendirikan rumahtangga pada tahun 1994. "Hari ini rasa gembira sangat. Penantian dari tahun 1999 lagi, akhirnya tahun 2020 ini saya dapat tanah daripada kerajaan negeri. "Sebelum ini belum pernah dapat lagi tanah dan hari ini menjadi sejarah. Alhamdulillah syukur kepada Allah. "Insya-Allah apabila mendapat geran kekal nanti, saya akan mendirikan rumah untuk kami sekeluarga. Bila ada rezeki lebih, kita akan bina dengan segera," katanya kepada pemberita UPDI selepas menerima borang 5A di Dewan Sivik Jabi, semalam. Sementara itu, menurut seorang lagi peserta RTB Belimbing Api, Ab Rahim Ghazali, 53, dia sangat bersyukur dan teruja kerana impian yang dinanti-nantikan sejak sekian lama akan tercapai. "RTB Belimbing Api menunjukkan sejarah yang panjang dan amat memilukan. Ramai peserta asal dah ramai meninggal dunia. Namun berkat kesabaran serta keyakinan terhadap rezeki akhirnya impian dikembalikan kepada kami. "Saya amat berterima kasih kepada Dr Azman Ibrahim yang berjaya menyelesaikan isu ini. Ia merupakan kejayaan yang besar bagi rakyat biasa seperti kami. "Memang perasaan ini tidak boleh digambarkan dengan kata-kata. Benda yang kita tidak tahu bila akan menemui hujung pangkal, akhirnya menemui penyelesaian hari ini," tambah Rahim. Dalam program itu seramai 208 penduduk di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi menerima borang Jadual 5A RTB.  
06 Jul 20
151
Giliran 208 Penduduk Jabi Pula Terima Tanah
Giliran 208 Penduduk Jabi Pula Terima Tanah
Oleh : Hidayah Azlin SETIU, 4 Julai - Seramai 208 penduduk di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi menerima borang Jadual 5A bagi Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) semalam. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, pemberian borang tersebut adalah hentian terakhir sebelum penerima mendapat geran hak milik kekal. "Selepas penerima menjelaskan bayaran premium tanah, peserta akan dapat geran hak milik dengan tempoh pajakan selama 99 tahun. "Sebelum ini tempoh pajakan tanah pertanian ialah 60 tahun. Kerajaan Terengganu sekarang telah naikkan kepada 99 tahun," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penyampaian Jadual 5A RTB Belimbing Api, RTB Bukit Tasik dan RTB Pasir Tawar Jabi di Dewan Sivik Jabi di sini. Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, para peserta juga perlu menjelaskan kadar bayaran premium dalam masa tiga bulan. "Sekiranya tidak mampu, buatlah surat rayuan untuk lanjutan bayaran selama tiga bulan. Sebaiknya kita mahu selesaikan pemberian geran dengan cepat. "Usahalah sedaya yang mampu untuk menjelaskan bayaran premium tanah dan jangan bandingkan dengan premium tanah 20 tahun dulu. Malah, jangan bandingkan dengan RTB Belimbing Api kerana ia merupakan RTB Terkilan," ujarnya. Katanya lagi, bagi yang berpendapatan rendah atau RM 1,700 ke bawah sebulan, penerima boleh membuat rayuan untuk membayar secara ansuran selama tiga tahun. "Bagi penerima yang menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), e-Kasih pula, boleh mohon bayaran premium pada kadar nominal (RM100). Satu lagi usaha kerajaan untuk permudahkan urusan," katanya. Tambah beliau, kerajaan Terengganu sangat mengharapkan penerima tanah pertanian memajukan sebaik mungkin tanah yang diperolehi.
06 Jul 20
195
Bertahun Menunggu, Kini Pak Mat Senyum Lebar
Bertahun Menunggu, Kini Pak Mat Senyum Lebar
Oleh : Mohd Zukifli Mat KUALA NERUS, 3 Julai - Penduduk Jeram Hilir, Ahmad Ngah, 76, tidak menyangka impiannya untuk memiliki tanah pemberian kerajaan sejak 17 tahun lalu akhirnya tercapai. Dia yang lebih mesra disapa sebagai Pak Mat merupakan antara penerima borang hak milik tanah daripada kerajaan negeri kelmarin. Ujar Pak Mat, tiada perkataan boleh diungkapkannya kecuali Alhamdulillah hasil kesabaran menunggu selama hampir dua dekad. "Akhirnya impian saya untuk memiliki geran tanah sendiri selepas segala urusan pada pagi ini selesai, terus-terang saya merasa sangat gembira kerana sudah menunggu bagi tempoh yang lama untuk memilikinya. "Saya ingin ucapkan terima kasih khusus kepada kerajaan dan Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar kerana membuktikan bahawa kerajaan negeri sentiasa mengutamakan kehendak rakyat,” katanya. Dia berkata demikian ketika ditemui media selepas menerima dokumen hak milik tanah di Stadium Tertutup, Gong Badak di sini. Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim turut merakamkan penghargaan kepada Ahmad Samsuri atas komitmen untuk mengembalikan hak rakyat. "Satu komitmen yang sangat padu sebenarnya untuk menjayakan hasrat kepada peserta-peserta 'terkilan' sejak dari zaman pemerintahan tahun 1999 hingga 2004. "Ini adalah fasa pertama proses tanah terkilan untuk melunaskan manifesto PAS dalam PRU yang lalu," jelasnya. Menurut Hishamuddin, beliau amat tersentuh apabila melihat peserta menerima geran tanah dengan linangan air mata tanda kesyukuran. "Walaupun berdepan dengan pelbagai kesulitan, sekurang-kurangnya kita telah berusaha untuk membuka jalan kesenangan dan kemudahan buat pihak yang lain. "Insya-Allah fasa kedua bakal menyusul sedikit masa nanti untuk peserta Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Padang Nenas. "Memang kami memerlukan sedikit masa kerana kawasan asal telah diwartakan sebagai Bandar Baharu Kuala Nerus. Tentunya lokasi lain sedang diteliti untuk tujuan ini," tambah beliau.  
06 Jul 20
87
APMM Selamatkan 12 Pemancing
APMM Selamatkan 12 Pemancing
KUALA TERENGGANU, 3 Julai – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya menyelamatkan 12 pemancing  berhampiran Pelantar Tapis R kira-kira 120 batu nautika daripada pantai Kuala Terengganu  apabila bot dinaiki mengalami kerosakan pada bahagian kipas enjin selepas tiga hari di laut. Pengarahnya, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata bot tempatan yang mengalami kerosakan 'propeller' kira-kira 0.5 batu nautika dari pelantar minyak Tapis R dikesan kira-kira jam 1 pagi Rabu. Katanya, kesemua pemancing  berasal dari Pahang dan Kuala Besut yang berusia antara 30 hingga 56 tahun berada dalam keadaan selamat. "Sejurus menerima maklumat tersebut KM Langkawi yang berada berhampiran telah diatur gerak ke lokasi tersebut. "Lebih kurang 1 pagi, KM LANGKAWI berjaya menemui sebuah bot bersama kesemua awak-awak dan tekong seramai 12 orang kesemuanya warga tempatan berada dalam keadaan baik. "Bot bersama kesemua mangsa ditunda oleh anggota KM Langkawi dengan menggunakan sebuah bot nelayan asing Vietnam yang telah ditahan sebelumnya oleh KM Langkawi  ke Jeti Maritim Negeri Terengganu untuk tindakan selanjutnya," ujarnya. Susulan kejadian itu, Muhammad Suffi menasihatkan pengusaha bot yang menjalankan perkhidmatan memancing tidak membawa penumpang ke lokasi terlalu jauh bagi tujuan keselamatan. Katanya, dengan keadaan cuaca tidak menentu ketika ini, sebarang kemungkinan akan berlaku selain keadaan fizikal bot yang kecil dan tidak selamat untuk berada di laut dalam. Tambah beliau lagi, memancing di kawasan berhampiran pelantar adalah menjadi satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.
06 Jul 20
128
Warga Emas Hilang Ditemui
Warga Emas Hilang Ditemui
Oleh : Alfian Mamad KEMAMAN, 3 Julai - Seorang warga emas yang dipercayai hilang di Tasik Gajah Marah, Ibok beberapa hari lalu telah ditemui oleh Pasukan Mencari Dan Menyelamat (SAR). Mangsa yang dikenali sebagai Pok Nor atau nama sebenarnya Mohd Noor Salleh, 56, ditemui dalam keadaan lemah setelah tiga hari tidak pulang ke rumahnya sejak 30 Jun yang lalu. Perkara itu dimaklumkan oleh isterinya, Rusiah Husin, 51, yang membuat laporan di Balai Polis Kemaman setelah motosikal suaminya ditemui di tepi tasik tersebut oleh penduduk kampung. Menurut Timbalan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Pondok Pasir, Yak Yah dan Bukit Takar, Zawawi Mohamed, pihak berkuasa dan penduduk kampung telah memulakan misi mencari dan menyelamat pagi tadi. "Pasukan SAR yang diketuai oleh anggota dari Balai Polis Kemaman, MPKK serta penduduk kampung pagi ini telah mengerakkan pasukannya dalam usaha mencari mangsa yang hilang tersebut. "Alhamdulillah, mangsa sudah ditemui di tepi tasik tersebut dalam keaadan yang agak lemah dan terpaksa diangkat keluar setelah tiga hari tidak makan," ujarnya lagi. Dalam perkembangan sama, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, Hazri Jusoh turut bergegas ke Pondok Polis Kampung Ibok sebelum itu serta melahirkan rasa simpati di atas kejadian itu. "Saya bersimpati dan bersyukur dengan apa yang berlaku. Syabas dan tahniah kepada para petugas yang diketuai oleh anggota dari Balai Polis Kemaman, MPKK dan penduduk kampung," katanya ketika dihubungi setelah penemuan itu. Mangsa dihantar ke Klinik Kesihatan Seri Bandi untuk rawatan selanjutnya.
06 Jul 20
72
Kerajaan Negeri Iktiraf Petugas Media
Kerajaan Negeri Iktiraf Petugas Media
Oleh: Suriati Ali KUALA TERENGGANU, 31 Mei - Kerajaan negeri meraikan enam agensi media di Terengganu hari ini sempena Hari Wartawan Nasional yang disambut pada 29 Mei lalu di seluruh negara. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, peranan wartawan dalam membentuk masyarakat yang bermaklumat dan berilmu amat penting. "Dunia hari ini sangat bergantung kepada info dan maklumat yang tepat, semoga para petugas media dan wartawan terus berkhidmat tanpa rasa jemu, penuh amanah dan berintergriti. "Setiap berita terus dapat disampaikan pada masyarakat dan menjadikan setiap saluran itu sebagai ibadah dan teruslah menyampaikan berita tepat, ringkas dan padat," katanya kepada pemberita selepas kunjungan tersebut. Dalam kunjungan hampir dua jam itu, Mohd Nor singgah di pejabat Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), Terengganu FM, RTM, Harakah, Bernama dan NSTP.
06 Jul 20
48
Operasi Taska Di Terengganu Ditangguhkan
Operasi Taska Di Terengganu Ditangguhkan
KUALA TERENGGANU, 31 Mei - Terengganu mengambil langkah untuk menangguhkan sementara operasi Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak. Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, Left Kol Che Adam A. Rahman berkata, keputusan itu dibuat bagi meneliti beberapa aspek tertentu dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sebelum kebenaran diberi. "Keputusan mesyuarat pada hari ini masih belum membenarkan taska beroperasi atas beberapa perkara. "Kita tangguhkan dahulu sehingga pihak berkuasa negeri memaklumkan status pengoperasian taska pada satu tarikh nanti," ujar beliau ketika dihubungi media hari ini. Semalam, Sinar Harian yang memetik kenyataan Pemangku Pengerusi Persatuan Pendidik Taska Swasta Negeri Terengganu (PPTNT), Ummi Rahimah Hassan berkata, sebanyak 12 Taska dijangka mula beroperasi di Terengganu bermula esok selepas ia ditutup sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). "Setakat ini, ada dalam 12 buah Taska telah bersedia untuk kembali beroperasi pada 1 Jun nanti. "Selebihnya ada yang memilih untuk mula operasi semula pada 8 dan 14 Jun," kata Ummi sebagaimana dilapor Sinar Harian.
06 Jul 20
111
Keracunan Puding Buih : SOP Peniaga Makanan ‘Online’ Dirangka
Keracunan Puding Buih : SOP Peniaga Makanan ‘Online’ Dirangka
KUALA TERENGGANU, 31 Mei - Kerajaan negeri telah mengarahkan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) untuk merangka satu prosedur operasi standard (SOP) yang baharu bagi menangani isu berkait kebersihan dan keselamatan makanan. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, langkah itu diambil susulan kejadian keracunan puding buih yang melibatkan 99 individu baru-baru ini. Katanya, keputusan sampel dilakukan Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Terengganu mendapati penggunaan telur tamat tempoh adalah punca utama kes tersebut berlaku. “Kita akan kuatkuasakan dari segi perlesenan, suntikan dan sebagainya kepada semua peniaga di rumah atau ‘online’ yang tidak berlesen,” katanya pada sidang media di Wisma Darul Iman di sini hari ini. Turut hadir ialah Timbalannya Ahmad Shah Muhamed. Mengulas tentang insiden itu, beliau memaklumkan semua mangsa berada dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ). “JKNT sudah menutup dapur premis terbabit selama 14 hari sehingga 7 Jun depan. “Tindakan dibuat mengikut Seksyen 18(1)(d) Akta Kawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya. Isnin lalu, seramai 99 mangsa dikejarkan ke HSNZ apabila mengalami muntah dan cirit-birit selepas menikmati puding buih yang dibeli secara atas talian.
06 Jul 20
66
MBKT Ketatkan Penguatkuasaan Terhadap Pemilik Haiwan Ternakan Berkeliaran
MBKT Ketatkan Penguatkuasaan Terhadap Pemilik Haiwan Ternakan Berkeliaran
KUALA TERENGGANU, 31 Mei - Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) akan mengambil tindakan lebih tegas terhadap pemilik yang membiarkan binatang ternakan mereka berkeliaran sehingga mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya mulai esok, 1 Jun. Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) Shahidan Embok berkata, keputusan tersebut dibuat selepas beberapa perkara dari segi penguatkuasaan dan peraturan dinilai bagi mengelakkan berlakunya insiden yang boleh meragut nyawa. “Sebelum ini, kita telah maklumkan kepada semua pemilik haiwan bahawa MBKT telah menaikkan kadar tebusan bagi tangkapan haiwan berkeliaran berkuatkuasa 1 Mac lalu. “Bagaimanapun, notis berkenaan seolah-olah tidak memberi sebarang kesan kerana masih ada pemilik haiwan yang berdegil dengan membiarkan haiwan ternakan mereka berkeliaran tanpa sebarang pengawasan. “Justeru, kita akan buat operasi penguatkuasaan berkala yang lebih tegas selepas ini memandangkan tindakan tidak bertanggungjawab mereka ini (pemilik haiwan) memberi kesan kepada orang ramai termasuk pengguna jalan raya sehingga terjadinya kemalangan dan sebagainya,” ujarnya kepada pemberita. Menurut beliau, kadar kompaun yang berkuatkuasa dari tarikh berkenaan adalah RM250 seekor untuk haiwan ternakan dari jenis kerbau, lembu, dan kambing/biri-biri, manakala kadar penebusan pula sebanyak RM1,500 seekor untuk kerbau dan RM1,000 untuk lembu sementara RM500 untuk kambing/biri-biri. Justeru, pihaknya mengharapkan pemilik haiwan ternakan mematuhi garis panduan yang dikeluarkankan oleh MBKT demi keselamatan orang  ramai.
06 Jul 20
798