Artikel "Utama" Terkini
Rakyat Terengganu Berpeluang Jadi Usahawan Coklat
KUALA NERUS, 10 Julai - Rakyat Terengganu berpeluang membina kerjaya sebagai usahawan pembuatan coklat melalui kursus yang ditawarkan Lembaga Koko Malaysia (LKM).
Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Dato' Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali memaklumkan, peluang tersebut dapat membantu masyarakat terutama yang menerima kesan kehilangan pekerjaan akibat pandemik Covid-19.
"Dikala banyak sektor membuang pekerja, sektor perusahaan, perladangan dan komoditi pula menyediakan peluang kerjaya. Sebagai contoh, kita kini memerlukan 30,000 tenaga kerja dalam bidang penuaian sawit.
"Dalam industri pembuatan coklat pula, kita bersedia membantu seramai mungkin untuk menjadi usahawan coklat sebagai peluang berkerjaya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Kursus Asas Pembangunan Usahawan Coklat Buatan Tangan anjuran LKM di Duyong Marina & Resort, hari ini.
Jelasnya, pihak kementerian berusaha memperkasa industri hiliran koko dengan melahirkan lebih ramai usahawan coklat buatan tangan.
Industri koko negara telah menyumbang sebanyak RM6.6 bilion kepada pendapatan eksport negara bagi tahun 2019.
"Sememangnya sasaran kita adalah golongan B40 untuk mereka berdikari tanpa mengharapkan bantuan semata-mata.
"Potensi pendapatan tahap pertama dalam bidang ini sahaja boleh mencapai sekitar RM2,000 hingga RM5,000 sebulan," katanya.
Menurutnya, melalui peruntukan RM3 juta di bawah Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11), seramai 224 usahawan telah dibimbing LKM dengan perolehan pendapatan memuaskan.
"Bagi Terengganu, ini yang pertama melibatkan 28 peserta dan kita sedang menunggu ahli-ahli parlimen kita memberi senarai calon-calon dari kawasan mereka untuk menyertai kursus ini pada masa akan datang.
"Peruntukan kita adalah sebanyak RM3 juta untuk tahun ini dan kita harap ada lagi untuk tahun hadapan," katanya.
Sektor pembuatan coklat mencatat peningkatan 17.3 peratus daripada jumlah pendapatan eksport koko dan produk-produknya pada tahun 2019.
13 Jul 20
293
Al-Jazeera Digesa Mohon Maaf Atas Laporan Tidak Tepat
Oleh : Akid Hafriz
KUALA TERENGGANU, 9 Julai - Portal berita Al-Jazeera digesa untuk memohon maaf dan menarik semula laporan berkenaan layanan Kerajaan Malaysia terhadap warga asing ketika wabak COVID-19 yang didakwa tidak tepat serta memberikan imej yang negatif terhadap Malaysia.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi dalam satu kenyataan di media sosialnya menegaskan bahawa Al-Jazeera perlu bersikap adil dalam melaporkan berita berkenaan.
“Adalah tidak adil kepada Kerajaan Malaysia kerana Al-Jazeera hanya menemuramah warga asing yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah untuk menilai tindakan Kerajaan Malaysia dalam isu ini kerana hanya menilai naratif yang diberikan oleh sebelah pihak.
“Sepatutnya Al-Jazeera menghubungi Kerajaan Malaysia untuk mengetahui lebih lanjut mengenai perkara tersebut sebelum menerbitkan berita dalam portal mereka," tulisnya dalam kenyataan tersebut.
Tambahnya lagi, Al-Jazeera perlu mendapatkan penjelasan daripada kedua-dua pihak untuk mendapatkan gambaran yang sebenar tentang perkara yang berlaku.
Kenyataan itu merujuk satu laporan di portal rasmi Al-Jazeera bertajuk ‘Locked up in Malaysia’s lockdown’, baru-baru ini.
13 Jul 20
55
SPRM Kaji Keberkesanan Tindakan Pencegahan
Oleh : Rohayati Ripin
KUALA TERENGGANU, 9 Julai - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu menjalankan satu kajian selidik berkenaan keberkesanan tindakan pencegahan rasuah di Malaysia.
Pengarahnya, KPKPj (Ketua Penolong Kanan Pesuruhjaya) Ruslan Che Amad berkata, antara responden yang perlu memenuhi Kajian Persepsi Keberkesanan Tindakan Pencegahan Rasuah Oleh SPRM 2020 (KPATRM2020) itu adalah ahli politik.
"Objektif kajian ini tertumpu kepada penilaian terhadap usaha-usaha pencegahan rasuah secara menyeluruh yang telah dilaksanakan oleh SPRM bagi tahun 2020," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, semalam.
Turut hadir ialah Timbalan Pengarah SPRM, PPj (Penolong Pesuruhjaya) Zainol Ayob, Penolong Pengarah SPRM, PsK (Penguasa Kanan) Najwa Mohd Sabry dan Penolong Setiausaha DUN Terengganu, Mohd Amirul Affiq Azemi.
Menurutnya, tujuan utama kunjungan hormat itu adalah sebagai salam perkenalan kepada Dato' Yahaya Ali.
Beliau sebelum ini bertugas di SPRM Wilayah Persekutuan Putrajaya dan berpindah ke negeri Terengganu serta mula berkhidmat pada Januari 2020.
Ruslan menambah, penerangan ringkas mengenai kajian telah diberikan dan YDP DUN bersetuju untuk memberikan kerjasama sepenuhnya bagi membantu dan menyokong usaha SPRM dalam kajian yang dijalankan ini.
"Selain itu, topik perbincangan juga merujuk kepada isu-isu integriti, program-program pencegahan serta penerangan tugas-tugas yang dijalankan oleh SPRM," tambah beliau.
13 Jul 20
219
Bersegeralah Dalam Ziarah Dan Salurkan Bantuan
Oleh : Aslam Wira
MARANG, 8 Julai - Program ziarah sewajarnya dijadikan aktiviti wajib bagi pihak berkepentingan terutama membabitkan kepimpinan kampung dan jabatan berkaitan.
Pendekatan itu dilihat mampu menyelesaikan pelbagai masalah, termasuk menyegerakan bantuan kewangan, keperluan makanan dan perubatan bagi mereka yang memerlukan.
Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Wahad Osman berkata, langkah seumpama itu turut diamalkan Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang menjenguk, bertanya khabar mana-mana penduduk uzur, Orang Kurang Upaya dan warga emas sebagai aktiviti harian atau mingguan.
Katanya, pihaknya turut menziarahi Mohamad Hakimi Othman yang terlibat kemalangan pada 2 Julai lalu dan Maziah Abu Bakar yang mengalami lumpuh sebelah badan di Kampung Kijing.
“Ziarah ini bukan sekadar tertumpu pada kunjungan semata-mata tetapi juga untuk menyalurkan bantuan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat Marang.
“Ini adalah keperluan kepada mereka yang ditimpa musibah sebagai meringankan sedikit beban di atas ujian yang menimpa mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman ketika selesai aktiviti ziarah di Kampung Kijing, kelmarin.
Turut hadir, Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat Dun Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng dan wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Marang.
13 Jul 20
57
Hotel Permai Pelopor Aplikasi E-Wallet Quinpay Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 8 Julai – Hotel Permai menjadi hotel pertama milik kerajaan negeri yang mempelopori teknologi “Cashless Transaction” dengan kerjasama Quinton Group Sdn. Bhd. setelah beroperasinya pembayaran menggunakan aplikasi Quinpay awal bulan ini.
Pengurus Besarnya, Noralizan Abd Rahman berkata selain memudahkan pelbagai urusan, ia juga menawarkan ciri-ciri keselamatan.
Katanya, selain daripada pembayaran ke atas bilik penginapan, aplikasi Quinpay ini turut memudahkan para tetamu hotel yang mahu menjelaskan bil di Cahaya Restaurant milik Permai Hotel Kuala Terengganu.
“Penggunaan aplikasi Quinpay ini amat mudah kerana pengguna berdaftar hanya perlu mengimbas Kod QR yang disediakan di kaunter pembayaran, masukkan jumlah bayaran dan nombor PIN peribadi sahaja untuk menyempurnakan satu transaksi.
“Apa yang lebih menarik, aplikasi ini tidak terhad untuk bilik dan restoran sahaja malah ia juga dikembangkan ke Permai 70s Bistro yang baharu saja dibuka di perkarangan lobi lama hotel ini,” ujarnya.
Tambahnya, Bistro yang dibuka setiap hari bermula jam 3.00 petang hingga 10.00 malam ini menawarkan menu-menu hidangan tradisi Terengganu.
“Antaranya termasuklah laksam, Che Abas Demam, keropok, Ceranang dan banyak lagi. Semua menu ini dijual pada harga serendah RM3.00 sahaja.
"Tetamu hotel yang ingin menikmati hidangan di bilik masing-masing boleh berbuat demikian dengan menghubungi pihak hotel untuk perkhidmatan penghantaran ke bilik,” jelas Noralizan lagi.
Bagi anda yang berminat untuk menginap di Permai Hotel Kuala Terengganu dan membuat pembayaran menggunakan imbasan kod QR Quinpay ini atau mempunyai sebarang pertanyaan lanjut, anda bolehlah berhubung terus dengan pihak hotel melalui nombor telefon 09-622 2122 atau layari laman Facebook Permai Hotel Kuala Terengganu.
13 Jul 20
1513
Mangsa Ribut Terima Sumbangan KETENGAH
Oleh : Nooreni Abu Bakar
DUNGUN, 8 Julai-Sebanyak lima buah rumah di dalam wilayah Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) yang rosak dipukul ribut baru-baru ini menerima sumbangan daripada pihak KETENGAH.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun berkata, pihaknya mengalu-alukan inisiatif KETENGAH yang bersama-sama mengambil peranan membantu mereka yang ditimpa musibah.
“Minggu lepas sebanyak lima buah rumah di dalam wilayah KETENGAH iaitu di Kampung Padang Pulut, Delong dan Bukit Merah telah rosak disebabkan ribut dan KETENGAH dengan diketuai Pengerusinya, Datuk Razali Idris telah menyampaikan sumbangan kepada mangsa-mangsa ribut tersebut.
"Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kerana KETENGAH sangat mengambil berat kawasan di bawah kelolaan mereka di mana Ramadhan lalu, KETENGAH juga telah menyampaikan sumbangan zakat kepada keluarga asnaf di kawasan tersebut," ujarnya kepada pemberita pada Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Mangsa Ribut Wilayah Ketengah, baru-baru ini.
Sementara itu, mangsa ribut Azira Pa, 34 berkata, ketika kejadian dia yang tinggal bersama dua anaknya yang masih kecil kerana suaminya bekerja di Melaka berasa sangat cemas apabila atap rumahnya diterbangkan angin ribut ketika suaminya tiada di sisi.
"Masa tu lepas asar, saya terkejut dan ketakutan bila atap rumah tiba-tiba terbang, alhamdulillah jiran datang membantu," cerita ibu dua anak yang sedang mengandung anak ketiga.
Bagi warga emas, Tengah Abdul Rahman, 73, berkata dia menggeletar apabila menyedari atap rumahnya tiba-tiba terangkat dan diterbangkan ribut.
"Tambahan mak cik ada sakit, sakit paru-paru, mari rasa tidak bermaya," ujarnya sambil berterima kasih kepada Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) yang menghulurkan sumbangan untuk membaiki kerosakan bumbung rumahnya.
13 Jul 20
141
Norma Baharu Pelancongan Di Terengganu
KUALA LUMPUR, 8 Julai – Kerajaan negeri melaksanakan tiga fasa pelan pemulihan agar sektor pelancongan dapat dipulihkan dan kembali menjadi tulang belakang kepada ekonomi rakyat di negeri ini bagi menangani impak wabak pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman, berkata bagi menangani wabak ini pihaknya telah membahagikan kepada tiga fasa iaitu pertama menangani impak COVID-19 terhadap sektor pelancongan, keduanya melestarikan pelancongan negeri Terengganu dan yang ketiga memacukan pertumbuhan sektor pelancongan.
“Alhamdulillah sebenarnya kita sedar kesan COVID-19 kepada nasib pelancongan dan sebab itu kita merancang mengadakan pelan rangsangan pelancongan Negeri Terengganu dengan membahagikan beberapa fasa
“Kita juga telah mengadakan operasi bersama personaliti berasal dari Terengganu contohnya masa PKP kita tidak boleh bergerak tetapi kita mengadakan program YouTuber YouTube bersama ikon dan serta barisan selebriti dengan menghasilkan video mempromosikan pelancongan.
“Oleh kerana wabak ini turut memberi kesan kepada pemain yang terlibat dengan industri pelancongan ini, kita juga memberi bantuan ‘one-off’ kepada sebahagian di kalangan mereka antaranya pengusaha bot penambang, pengayuh beca dan pemandu pelancong,’’ katanya ketika ditemubual dalam program Selamat Pagi Malaysia, hari ini.
Sementara itu,dalam usaha menangani isu yang berkait COVID-19, Ariffin berkata pihaknya membina dua sistem iaitu sistem Masuk.la bagi memudahkan proses merekod kehadiran pelanggan dan sistem CHASE COVID-19 yang mana satu penilaian kesihatan kendiri yang lebih tepat.
“Sistem Masuk.la macam Mysejahtera tapi khusus untuk di Terengganu bagi mendapat maklumat atau pergerakan rakyat negeri ini dan satu lagi khusus untuk pelancongan kita bina satu sistem yang dinamakan ‘CHASE COVID-19’ khusus kepada hotel-hotel, tempat pelancongan di pulau-pulau dan seumpamanya bagi merekodkan kedatangan pelancong dan setiap hari direkod suhu serta perjalanan dan jika mereka demam terus kita bawa ke klinik yang berdekatan.
"Dalam masa yang, kerjasama dan pemantauan berterusan setiap produk dan lokasi pelancongan negeri telah dibuat oleh saya sendiri bersama jabatan dan agensi berkaitan seperti Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni & Budaya Malaysia Negeri Terengganu dan lain-lain," ujarnya lagi.
Menurut beliau, Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu juga tidak ketinggalan untuk memantapkan penggunaan media sosial iaitu Facebook, Instagram, Twitter, Weibo, WeChat dan Youtube Beautiful Terengganu Malaysia.
Pelbagai pengisian telah dirancang dan dilaksanakan seperti penerbitan video pendek produk pelancongan Negeri Terengganu, perkongsian bersama selebriti tempatan, pertandingan video dan fotografi dan macam-macam lagi
Justeru itu, sebaik diumum kebenaran rentas negeri, Terengganu antara negeri yang meriah dengan kedatangan pengunjung, data menunjukkan yang hotel-hotel di bandar telah mencatatkan purata penginapan sebanyak 30 – 40 peratus pada hari kerja dan 70 - 80 peratus pada hujung minggu.
"Begitu juga di pulau-pulau seperti Kapas, Perhentian dan Redang yang telah mencatatkan purata penginapan sebanyak 40 – 50 peratus di hari bekerja manakala 70 - 80 peratus pada hari minggu dan ada juga hotel di Pulau Redang yang mencatatkan purata penginapan sebanyak 75 peratus setiap hari selepas Perintak Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP)," katanya.
13 Jul 20
219
TEKUN Mobilepreneur Peluang Anak Muda Jana Pendapatan
Oleh : Muhammad A Rahman
KUALA LUMPUR, 8 Julai - TEKUN Nasional membuka peluang kepada golongan yang hilang mata pencarian termasuk para belia untuk menjadi ‘rider’ bagi syarikat penghantaran makanan, barangan dan keperluan harian.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Dato' Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, sejak ia diwujudkan pada April lalu, skim pembiayaan tanpa faedah ini telah meluluskan 215 permohonan ‘rider’ e-hailing.
“Bagi membantu lebih ramai usahawan untuk menceburi bidang ini namun tidak mempunyai modal membeli motosikal, TEKUN Nasional telah mewujudkan Program TEKUN Mobilepreneur 2.0 yang pembiayaan maksimum sehingga RM10,000.
“Sebelum ini pembiayaan hanya RM2,000 pada TEKUN Mobilepreneur 1.0 yang berfokus kepada rider yang mahu membaiki motorsikal dan memasang aksesori tambahan,” ujar beliau ketika ditemui di Majlis Pelancaran TEKUN Mobilepreneur semalam.
Dalam pada itu, Pengerusi TEKUN Nasional, Shaharizukirnain Abdul Kadir, berkata lebih 450 orang ‘rider’ e-hailing berminat menyertai Program TEKUN Mobilepreneur ini dan dijangka mampu menarik lebih 500 e-hailing ‘rider’.
“Untuk fasa 1, kita jangka 500 orang rider dan kini 215 telah diluluskan dan fasa 2 pula 500 orang rider juga dan kini 48 orang yang telah mendaftar, lima orang telah diluluskan permohonannya.
“TEKUN Nasional juga akan mengeluarkan satu lagi skim iaitu TEKUN Business Recovery Scheme (TBRS) yang akan ditawarkan pada 13 Julai ini. Kita mensasarkan 10 ribu hingga 12 ribu pemohon bagi skim ini,” ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Setiu.
Orang awam yang berminat boleh melayari laman sesawang TEKUN Nasional di www.tekun.gov.my atau laman Facebook TEKUN Nasional untuk mendapatkan maklumat lanjut.
13 Jul 20
48
Skuad Khas Cegah Perbuatan Maksiat Di Drawbridge
KUALA TERENGGANU, 8 Julai – Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu telah menggerakkan skuad khas bagi memantau setiap kelakuan pengunjung di sekitar jambatan angkat susulan dakwaan orang ramai mengenai kewujudan aktiviti tidak bermoral di kawasan terbabit.
Pegawai Agama Daerah Kuala Terengganu, Shukri Faiz Jusoh berkata, dakwaan tersebut dipandang serius pihaknya kerana boleh mendatangkan pelbagai masalah termasuk persepsi daripada masyarakat luar.
“Pasukan ini bagi meninjau orang ramai selepas penularan terdapat beberapa kondom di sekitar tapak pembinaan bangunan baharu Majlis Bandar Raya Kuala Terengganu (MBKT) dan tempat parkir kereta sekitar Drawbridge.
“Ketua Unit bersama enam anggota Pegawai Penguatkuasa Syariah Daerah Kuala Terengganu telah dan akan sentiasa membuat rondaan dan pemantauan di tempat yang disyaki itu,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini.
Mengulas lanjut, sepanjang rondaan yang bermula jam 10 malam sehingga 6pagi di sekitar Kuala Nerus dan Kuala Terengganu baru-baru ini, pihaknya tidak mengesan sebarang sebarang kes kesalahan jenayah syariah.
“Bagaimanapun rondaan ini akan terus dijalankan dari semasa ke semasa bagi memastikan rakyat Terengganu tidak melakukan aktiviti yang tidak bermoral.
“Kami akan tinjau di beberapa lokasi berbeza dan akan dilakukan setiap hari,” tambah beliau.
13 Jul 20
641
Asing Penonton Pawagam Untuk Mendidik - MB Terengganu
KUALA TERENGGANU, 7 Julai - Pengasingan penonton lelaki dan wanita bukan mahram di pawagam Terengganu lebih kepada proses mendidik masyarakat bukan bertujuan untuk menghukum.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pelaksanaan zon pengasingan yang dibahagikan kepada lelaki, wanita dan keluarga di Terengganu mulai 4 Julai adalah bertepatan.
Katanya, ia selaras dengan garis panduan hiburan yang dikeluarkan Kerajaan Terengganu sebelum ini.
“Pelaksanaan peraturan ini lebih kepada proses mendidik masyarakat terutama kepada mereka yang belum berkahwin untuk mengamalkan apa yang disyariatkan Islam dalam apa jua urusan.
“Sekiranya ada yang melanggar peraturan atau garis panduan ini, kita tidak terus hukum sebaliknya akan menasihati mereka.
“Bagi yang telah berkahwin dan berkeluarga tidak ada masalah untuk duduk bersama ketika menonton wayang,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Apresiasi Penerima Skim Pelajar Terengganu 2020 di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri tetap meneruskan pengasingan tempat duduk bagi penonton bukan mahram di Terengganu walaupun mendapat kritikan daripada segelintir pihak.
“Terima kasih atas suara dan kecaknaan terhadap Kerajaan Terengganu. Mereka boleh bercakap atau mengkritik sebab itu adalah hak mereka dalam perlembagaan.
“Bagi saya segelintir pihak yang memberikan pandangan berbeza berkenaan pelaksanaan peraturan baharu ini tidak mendapat maklumat lengkap mengenai pelaksanaannya di mana ia memisahkan antara penonton lelaki dan wanita bukan mahram atau belum berkahwin. Yang mempunyai ikatan sah tiada masalah," katanya.
13 Jul 20
158