lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

'Terima kasih Setiu' - Sophian
'Terima kasih Setiu' - Sophian
SETIU, 19 Oktober - Tiada kata-kata yang dapat dilafazkan oleh Pegawai Daerah Setiu, Mohd Sophian Abu Bakar selain ucapan terima kasih dalam majlis perpisahan beliau semalam. Mohd Sophian bakal menjawat jawatan sama di Daerah Kemaman dan dijadual melaporkan diri pada 22 Oktober ini. Beliau yang memulakan tugas sebagai Pegawai Daerah Setiu pada pertengahan Januari tahun lalu dilihat sedih ketika ucapan ringkas majis yang dijalankan di peringkat Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Mukim Pantai di Kampung Padang Saujana. "Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang telah memberikan kerjasama yang baik sepanjang saya berada di Setiu, tentunya satu pengalaman yang amat bermakna bagi saya berada di Setiu. "Insya-Allah kalau ada kesempatan saya akan datang lagi ke Setiu dan saya mohon maaf banyak-banyak kalau ada perkara-perkara yang menyinggung perasaan tuan-tuan semua sebelum ni," katanya. Beliau berkata demikian ketika dalam ucapan ringkas pada majlis jamuan makan tengah hari hari dan perpisahan yang diadakan di rumah Pengerusi MPKK Kampung Padang Saujana. Beliau turut berpesan supaya para pemimpin masyarakat terus memberikan komitmen yang jitu terhadap amanah yang dipegang.
19 Oct 20
859
Bakar Guna Sabut Rahsia Keenakan Roti Sekaya Dapur Kayu
Bakar Guna Sabut Rahsia Keenakan Roti Sekaya Dapur Kayu
  HULU TERENGGANU, 19 Oktober - Keunikan roti dengan inti kaya yang padat dan dibakar menggunakan sabut kelapa di dalam tin minyak  menyebabkan Roti Sekaya Dapur Kayu cukup dikenali penduduk Kampung Bukit Gemuruh dan kawasan sekitarnya. Pemiliknya, Maziah Abd Rahman, 32,  berkata roti berkenaan cukup  istimewa kerana dihasilkan dengan menguli tepung dan memproses sekaya menggunakan tangan selain membakarnya dengan kayu api dan sabut yang membangkitkan aroma tersendiri yang sentiasa menjadi rebutan peminat tegarnya sejak 26 tahun lalu  Rasa intinya yang lemak manis selain kelembutan roti bakarnya terutama apabila dimakan ketika masih panas membuatkan roti bakar Maziah habis  lebih kurang sejam selepas ia mula dijual. Jelas Maziah, ramuan roti dan sekaya tersebut merupakan resipi turun temurun milik keluarga sejak tiga dekad lalu. Bagaimanapun, katanya,  resipi tersebut baru sahaja dikomersialkan untuk memulakan perniagaan pada Februari tahun lalu selepas ayahnya, Jusoh@ Yunus Mamat dan ibu, Fatimah Salleh berhenti menjualnya sejak 26 tahun lalu. Menurutnya, cubaannya meniaga kembali roti berkenaan bermula secara suka-suka untuk memenuhi hidangan keluarga namun ia mendapat permintaan dalam kalangan penduduk setempat. “Segalanya berlaku tanpa dirancang, dari nak buat untuk makan bersama keluarga tetapi mendapat sambutan dan permintaan menggalakkan selepas mak menghantarnya untuk dikongsikan dengan jiran-jiran terdekat. “Saya tidak pernah merancang untuk berniaga roti semula  tapi rata-rata mereka yang pernah merasai dan merindui roti mak saya meminta saya menjualnya kembali,’’ tambah ibu kepada dua anak itu. Menariknya, ada dalam kalangan pelanggan memberitahu roti dihasilkan Maziah sama rasanya dengan roti yang dihasilkan oleh ibu dan ayahnya. “Ramai pelanggan berpuas hati dan membeli kembali selepas mencuba untuk kali pertama malah ada antara mereka teruja apabila memakannya kerana mengimbau kembali zaman kanak-kanak satu ketika dahulu,” katanya  Dalam pada itu, katanya, penjualan roti berkenaan juga meningkat didorong oleh promosi dari mulut ke mulut pembeli. Tambahnya, permintaan roti turut meningkat ketika Perintah Kawalan Pegerakan (PKP) berikutan penularan koronavirus (Covid-19) sejak 18 Mac lalu. “Boleh dikatakan secara purata saya menghabiskan 35 hingga 50 kilogram sehari  untuk membuat 200 bekas roti dan 100 biji telur serta 20 biji kelapa untuk menghasilkan sekaya yang mampu bertahan untuk dua hari. “Alhamdulillah, pada bulan Ramadan tahun ini, permintaan Roti Sekaya Dapur Kayu meningkat berbanding pada bulan puasa tahun lalu dan hari-hari biasa. Maziah berkata, roti kami dijual pada harga RM5 sebekas mengandungi 10 biji roti berintikan sekaya dan pilihan terbaharu kelapa atau kacang. “Saya buat roti sehari selepas pelanggan membuat tempahan dan kemudian suami saya akan menghantar kepada pelanggan dan ada juga yang membelinya sendiri di rumah kami. “Setakat ini saya menggunakan platform media sosial sahaja untuk mempromosi dan menjual roti ini,” katanya. Sehingga kini, roti bakar sekaya masih  menerima sambutan yang luar biasa dan tempahan bukan sahaja dari kawasan setempat malah turut diperoleh dari luar. Bagi sesiapa yang ingin membuat tempahan bolehlah menghubungi Maziah ( 0167870017) atau membuka laman sosial facebook Roti Sekaya Dapur Kayu untuk maklumat lebih lanjut.  
19 Oct 20
11364
Demam Denggi Di Terengganu Catat Penurunan
Demam Denggi Di Terengganu Catat Penurunan
  KUALA TERENGGANU, 19 Oktober – Kebanyakan daerah di Terengganu mencatat penurunan kes demam denggi, kata Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus dalam satu kenyataan hari ini. Katanya, sebanyak 349 kes demam denggi direkodkan setakat 17 Oktober lepas, iaitu penurunan 30.2 peratus (151 kes) berbanding 500 kes dalam tempoh yang sama pada tahun lepas. Daerah yang mencatatkan bilangan kes denggi tertinggi merupakan daerah Kuala Terengganu (192 kes) diikuti dengan daerah Kuala Nerus (52 kes), Kemaman (26 kes), Dungun (25 kes), Besut (24 kes), Marang (15 kes), Hulu Terengganu (10 kes), dan Setiu (5 kes). “Semua daerah menunjukkan penurunan kes berbanding tempoh yang sama pada tahun 2019 dan sehingga 17 Oktober 2020, tiada kes kematian denggi yang dilaporkan di negeri ini. “Sebanyak 21 episod wabak telah berlaku di  Terengganu sehingga 17 Oktober  iaitu 17 episod di daerah Kuala Terengganu, dua  episod di daerah Hulu Terengganu, satu  episod di daerah Kuala Nerus dan satu  di daerah Dungun.Sementara itu, satu  wabak aktif dilaporkan di Kompleks Perdana, PDRM, Dungun,”katanya. Justeru itu, Dr Nor Azimi turut menasihatkan orang ramai supaya meluangkan masa 10 minit setiap minggu untuk aktiviti cari dan musnah tempat pembiakan Aedes (bekas menakung air) di dalam dan di luar rumah masing-masing serta di tempat kerja. Katanya, ini merupakan antara langkah-langkah pencegahan demam denggi yang perlu diperkasakan untuk menurunkan kadar jangkitan denggi. Beliau juga meminta masyarakat melakukan semburan untuk membunuh nyamuk terutama pada awal pagi dan lewat petang termasuk mengurangkan aktiviti di luar rumah pada waktu berkenaan untuk mengelakkan digigit nyamuk. “Orang ramai dinasihatkan segera ke klinik berdekatan jika mempunyai simptom demam denggi,”ujarnya.  
18 Oct 20
1206
Bangkit Semula , Permint Plywood Sasar Keuntungan Dalam Tempoh Lima Tahun
Bangkit Semula , Permint Plywood Sasar Keuntungan Dalam Tempoh Lima Tahun
  KUALA TERENGGANU, 18 Oktober -SEBUT sahaja perniagaan papan lapis atau ‘plywood’, pastinya ramai tidak mengetahui industri itu sebenarnya telah dikuasai usahawan melayu bumiputera di negeri ini sejak 1983 dan pernah berdiri setanding dengan syarikat bukan bumiputera yang lain sebelum ‘berehat buat seketika’ untuk satu tempoh yang agak panjang. Anak syarikat Golden Pharos Bhd (GPB), Kilang Papan Lapis Permint Plywood Sdn Bhd (PPSB) kini kembali bangkit dan menyasarkan keuntungan yang bakal dicapai sebanyak RM5 juta dalam tempoh tiga hingga lima tahun dan tanpa sebarang kerugian. Pegawai Bertugas PPSB, Ahmad Bazli Razali berkata, kepimpinan yang sedang mentadbir kini telah menyediakan satu asas yang kukuh bagi mencapai sasaran berkenaan sekaligus merangka beberapa strategi untuk mencapainya. Katanya, Permint Plywood hari ini mengumumkan strategi pemulihan utama bagi mengembangkan kembali sektor perniagaan berasaskan  venir untuk pasaran tempatan dan juga antarabangsa. “Kita telah menyediakan asas yang kukuh untuk kepimpinan baru pada masa akan datang terutamanya kepada kepada kilang  di mana akan ada pulangan yang besar dan ianya salah satu ikhtiar yang dilakukan pada hari ini. “Apa yang kita mahu dan impikan, Permint Plywood kembali kepada zaman kegemilangannya sejak ia mula beroperasi pada Mei 1983  malah pernah  menjadi salah satu penyumbang kepada ekonomi kerajaan negeri sebelum ditutup pada 2005 dan kembali beraksi pada 2018,”ujarnya. Justeru itu katanya, pelbagai perancangan telah dibuat termasuk menambahbaik hasil keluaran dan mencipta beberapa idea baharu seperti menghasilkan minyak gaharu dengan pokok Karas bagi menjana pendapatan kilang dan bakal membuka peluang pekerjaan kepada rakyat di negeri ini. “Karas dikenal pasti sebagai tumbuhan yang mampu menjadi komoditi perdagangan yang amat mahal dan boleh memberikan pulangan lumayan kepada pengusahanya. “Oleh itu pengusaha tempatan perlu merebut potensi ini sebagai sumber pendapatan tambahan sambil membantu menjadikan Terengganu sebagai negeri yang bersaing dalam pengeluaran produk utama dalam penghasilan minyak gaharu. Dalam pada itu sebagai langkah permulaan untuk berdiri setanding dengan syarikat lain setelah lama berehat suntikan dana perlu untuk Permint Plywood bangkit bagi mengembangkan kembali sektor perniagaan berasaskan  venir untuk digunakan untuk merekatkan permukaan berbagai jenis kayu perindustrian seperti kayu MDF, papan zarah, kayu berlapis untuk produk perabot atau tujuan lain bergantung pada kualiti kayu. Pengerusi Lembaga Pengarah PPSB, Maliaman Kassim, yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah Pendidikan Dan Pengajian Tinggi berkata, venir kayu di Permint Plywood diperbuat daripada kayu semula jadi dan juga  kayu terbaik.  “Dari sebatang kayu, kita mengupas banyak lapisan venir nipis, biasanya ketebalan dari 0.5mm ke 3.0 mm, ia dipanggil venir.... majoriti spesifikasi produk venir adalah bersaiz 4x8 kaki untuk pasaran tempatan dan antrabangsa.Daripada sebatang kayu balak ia mampu menghasilkan sekurang-kurangnya 1m3 (Cubic Meter) venir bergantung pada ketebalan  venir yang ditempah oleh pembeli.  “Sehingga kini banyak permintaan produk Face dan Back venir yang telah diterima oleh PPSB. Kemampuan mesin mengupas sedia ada mampu mengeluarkan gred yang terbaik seperti B/BB dan BB/CC untuk venir daripada PPSB yang mampu untuk menembusi pasaran Australia, India dan Taiwan sehingga hari ini. “Namun kita ada permasalahan utama anak syarikat di bawah GPB itu adalah kesemua mesin pengeringan venir mengalami kerosakan dan kos pembaikian dan pembelian ‘steam boiler’ membabitkan kira kira RM 2.4 juta,”ujar beliau. Tambahnya, buat masa sekarang operator kilang terpaksa menggunakan pengeringan secara manual dan ini menyebabkan produk pengeluaran terlalu sedikit kerana faktor cuaca dan proses pengeringan secara manual mengambil masa yang agak lama. “Jika venir tidak dikeringkan dengan secara betul, produk venir akan mengalami kerosakan dimana kulat atau fungus akan melekat di permukaan venir seterusnya menjadikan harga produk ini jatuh atau pembeli tidak akan berminat untuk membelinya dengan kuantiti yang banyak  “Sekiranya pembaikian serta pembelian mesin-mesin pengeringan venir ini dapat beroperasi semula,saya yakin hasil pengeluaran produk akan meningkat berkali ganda dan mencipta nilai tambah baharu kepada pelanggan serta membolehkan mereka meningkatkan lagi jumlah kapasiti pembelian yang lebih banyak,” jelas Maliaman.  
18 Oct 20
4895
Rakyat Terengganu Dijemput Utarakan Cadangan
Rakyat Terengganu Dijemput Utarakan Cadangan
KUALA TERENGGANU, 17 Oktober – Rakyat Terengganu dijemput untuk mengutarakan sebarang cadangan dan soalan bersempena Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 Kali Ketiga, yang dijadualkan berlangsung pada bulan November tahun ini. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor berkata peluang yang seluasnya dibuka kepada semua penduduk Terengganu tanpa mengira status jantina, agama dan bangsa untuk sama-sama menyumbangkan ‘buah fikiran’.   Zuraida berucap ketika Sidang DUN yang lalu. “Kami buka kepada segenap lapisan masyarakat untuk suarakan apa hasrat dan isi hati mereka kepada kerajaan negeri, berilah sebanyak mungkin respon supaya suara anda didengari. “Tambahan pula Sidang DUN kali ini melibatkan pembentangan bajet Kerajaan Negeri Terengganu jadi rugi sekiranya tidak diambil peluang. “Soalan berkaitan isu wanita, sosial ekonomi, pendidikan dan agama, hiburan, sukan, kerjaya, pembangunan & infrastuktur atau apa sahaja soalan yang berkaitan Kerajaan Terengganu boleh diutarakan kepada kami,” ujarnya. Zuraida berkata demikian ketika dihubungi oleh wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman, pagi tadi. Beliau juga sangat mengalu-alukan cadangan serta idea untuk memantapkan lagi pembangunan wanita, pembangunan modal insan dan pentadbiran Kerajaan Negeri Terengganu. Orang ramai yang mahu menyumbangkan pandangan, bolehlah merujuk halaman media sosial ADUN Wanita (Zuraida Md Noor) bagi mendapatkan pautan atau mengimbas kod QR untuk mengisi borang secara atas talian sebelum 24 Oktober 2020 (Sabtu).
18 Oct 20
525
'Slipway' Mudahkan Pengguna Bot Di Kuala Berang
'Slipway' Mudahkan Pengguna Bot Di Kuala Berang
HULU TERENGGANU, 18 Oktober - Pembinaan 'Slipway' dengan kos hampir RM250 ribu bakal memberikan kemudahan kepada orang ramai untuk menggunakan bot di Sungai Berang berhadapan dengan Kampung Buluh, Kuala Berang. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang berkata pembinaan 'slipway' ini bertujuan untuk menurunkan bot dengan mudah selain digunakan ketika kecemasan. "Pembinaan 'slipway' ini merupakan satu keperluan yang sepatutnya sudah lama ada di sini. Ianya bertujuan untuk menurunkan dan menaikkan bot dengan lebih mudah. Sekiranya ada keperluan misalnya kejadian mati lemas atau kecemasan di air, kita boleh menurunkan bot dengan lebih cepat dan mudah" jelasnya. Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke tapak pembinaan 'slipway' berdekatan Jambatan Kampung Buluh petang semalam. Menurut beliau yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau berkata projek ini menelan kos yang agak besar, dan baru sahaja memasuki peringkat awal pembinaan. "Projek ini baru saja bermula kerja-kerja melantak cerucuk, dan saya berharap projek ini akan berjalan dengan lancar bagi memberikan kemudahan kepada orang ramai pada masa akan datang," katanya.
18 Oct 20
1861
Jambatan Baharu 'Hadiah' Buat Penduduk Kuala Por
Jambatan Baharu 'Hadiah' Buat Penduduk Kuala Por
HULU TERENGGANU, 18 Oktober - Jambatan baharu bakal menjadi 'hadiah' buat penduduk Kampung Kuala Por, Kuala Berang  yang dikelola oleh Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) Hulu Terengganu dengan kerjasama JPP Negeri Terengganu. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh  yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri berkata jambatan baharu ini dijangka menelan kos hampir RM200 ribu. "Kos projek ini dianggar lebih kurang RM200 ribu, dan telah mula dibina dalam sebulan yang lepas. Alhamdulillah, ia hampir siap untuk gantikan jambatan yang lama," katanya kepada Urus Setia penerangan Darul Iman (UPDI) ketika melakukan lawatan ke jambatan tersebut di Kampung Kuala Por, baru-baru ini. Tambah Dr Mamad  lagi, jambatan baharu ini merupakan salah satu permintaan penduduk kampung, yang sekian lama memohon untuk menggantikan jambatan lama yang sudah uzur dan berisiko jika terus menggunakannya. "Apabila musim hujan, jambatan lama yang sebelum ini akan tenggelam kerana tiangnya ada yang patah dan runtuh. Ini juga berisiko kepada lori atau pun jentera yang melalui jambatan itu," jelasnya.     .
18 Oct 20
3101
Bina Longkang Atasi Masalah Banjir
Bina Longkang Atasi Masalah Banjir
HULU TERENGGANU, 17 Oktober - Kerajaan negeri melalui Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang meneruskan projek pembinaan longkang baharu  bagi menyelesaikan masalah banjir di Kampung Pantai Ali. ADUN Kuala Berang, Dr Mamad Puteh berkata terdahulu Jabatan Kerja Raya (JKR) baru sahaja selesai membina longkang bagi menyelesaikan sebahagian masalah banjir di hadapan Sekolah Kebangsaan Pasir Tinggi, di sini. "Dengan terbinanya longkang ini, insyaAllah masalah banjir akan dapat diatasi. Akan datang, projek ini akan diteruskan lagi oleh Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT) dengan kos bernilai RM100 ribu," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke tapak cadangan pembinaan longkang tersebut di hadapan Sekolah Kebangsaan  Pasir Tinggi pada 16 oktober selepas solat jumaat. Menurut beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau berkata projek ini akan ditambah baik lagi pembinaannya pada tahun hadapan. "InsyaAllah, tahun hadapan kita akan tambah lagi peruntukan berkaitan dengan permasalahan banjir di kawasan sekitar ini, terutamanya berdekatan Klinik Kesihatan di kampung ini," "Masalah ini sudah lama disuarakan oleh penduduk kampung dan insyaAllah kita akan bantu semampunya," katanya.
18 Oct 20
1199
Bantuan Mangsa Ribut Disegerakan
Bantuan Mangsa Ribut Disegerakan
KUALA NERUS, 18 Oktober - Kira-kira 92 rumah rosak akibat dilanda ribut  dengan sebahagian besar bumbung rumah tercabut dan diterbangkan angin kencang  menerima bantuan segera berupa kepingan atap asbestos dan juga perabung. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim berkata, kejadian jam 9.15 malam itu melibatkan 12 kampung antaranya Banggol Donas, Kampung Jeram, Paya Datu dan Tanjung Sabtu kepingan atap baru telah mula diedarkan kepada setiap mangsa bermula pagi semalam. YB Ustaz Ridzuan Hashim memantau pengagihan atap ke ruamh mangsa ribut “Kepingan atap telah kita edarkan ke setiap mangsa ribut agar pembaikan dapat dilakukan dengan segera. “Kita jangkakan pembaikan rumah rosak dapat diselesaikan dalam minggu ini agar rutin harian mangsa tidak terkesan”, ujar beliau lagi. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menziarahi rumah mangsa ribut pagi semalam. Menurutnya, Kampung Buluh Gading Dewan dan Buluh Gading Masjid paling teruk terjejas dengan 56 kediaman dilaporkan mengalami kerosakan akibat dilanda ribut yang berlaku antara 10 hingga 15 minit.  
17 Oct 20
407
Penerima Jadual 5A Dinasihat Jelaskan Bayaran Premium Segera
Penerima Jadual 5A Dinasihat Jelaskan Bayaran Premium Segera
SETIU, 17 Oktober – Semua penerima jadual 5A Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) di Terengganu dinasihat agar menjelaskan bayaran premium tanah dengan kadar segera sebelum tamat tempohnya. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, ini kerana proses pembahagian geran akan menjadi lebih panjang sekiranya premium itu lambat dibayar. "Jadual 5A ini ada tempohnya iaitu selama tiga bulan sahaja. Kalau tak sempat bayar, perlulah membuat rayuan untuk melanjutkan tempoh selama tiga bulan lagi. Selepas daripada itu, mengikut undang-undang apabila tamat tempoh tanah itu, ia akan menjadi milik kerajaan semula.  "Apabila kita mahu balik tanah itu semula, perlu melalui prosedur yang panjang bermula daripada bawah, perlu masuk mesyuarat Tanah Daerah semula, Pejabat Tanah dan Galian dan Mesyuarat Exco yang akan memakan masa bertahun-tahun untuk mengeluarkan balik jadual 5A itu," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Kuliah Maghrib di Surau Haji Omar, Apal di sini baru-baru ini. ​​​​​Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, terdapat segelintir rakyat sengaja tidak membayar premium tanah kerana tidak percaya kerajaan akan memberi tanah kepada mereka. "Beberapa bulan lepas kita bagi jadual 5A kepada lebih 150 orang untuk RTB Bukit Tasik. Namun setakat ini dimaklumkan oleh Pejabat Tanah, hanya 40 orang sahaja yang sudah membuat pembayaran. Ini bermakna masih berbaki 100 orang lebih lagi belum membayar. "Antara sebab orang tak mahu bayar bukan sebab tiada duit tetapi tidak berapa percaya kerajaan nak beri tanah, kerana sudah dibayar tapi masih tak dapat geran lagi. Padahal sudah dimaklumkan baru-baru ini, kita tidak bagi terus geran kerana kita mahu mengadakan majlis bagi meraikannya. "Insya-Allah, 40 orang yang membuat pembayaran itu akan mendapat geran dalam masa yang terdekat," katanya. Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak menghiraukan kekacauan yang ditimbulkan untuk menggugat usaha murni kerajaan negeri.  "Kita sedia maklum isu tanah Pasir Tawar ini sejak bertahun-tahun lagi. Tapi bila kita betul-betul nak bagi, orang tak berapa percaya. Mungkin juga kerana trauma terhadap pemerintahan yang lepas. "Janganlah kita buat tak percaya tidak kena pada tempat. Berhati-hati tetap kena ada tetapi jangan buat tak percaya tidak kena tempat yang akhirnya urusan akan menjadi rumit. "Insya-Allah dia Jabi ini saya akan pertimbangkan semua sama ada untuk lanjutan tempoh, pengurangan kadar bayaran dan sebagainya," tambah beliau.
17 Oct 20
1989