lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Rumah Dinaiki Air, Syukriah Tetap Semangat Belajar
Rumah Dinaiki Air, Syukriah Tetap Semangat Belajar
MARANG, 3 Disember - Dugaan dan cabaran kali pertama berhadapan dengan musibah banjir tidak pernah melunturkan semangat seorang pelajar untuk mengikuti kelas secara atas talian di Pusat Pemindahan Sementara (PPS). Nur Syukriah Roning, 22, antara mangsa banjir yang berada di PPS Sekolah Kebangsaan Rusila yang sedang menduduki peperiksaan  pertengahan semester tiga, Universiti Teknikal Malaysia Melaka Pelajar kejuruteraan Pembuatan tahun tiga itu berkata dia tetap melaksanakan tugasnya untuk belajar walaupun terpaksa meneruskan pembelajaran tanpa kelengkapan utama seperti buku-buku rujukan dan komputer. Menurutnya yang bercita-cita untuk menjadi seorang Jurutera, fokusnya untuk belajar  tidak hilang malah cuba tetap cekal meneruskan sesi kuliah bersama pensyarah dan rakan sekelas lain. "Saya terpaksa gunakan telefon bimbit  untuk membuat ulangkaji, memang sukar kerana liputan agak terhad kat PPS tapi tetap teruskan untuk peperiksaan subjek ketiga iaitu Bahasa Melayu pada Selasa hadapan. "Walaupun dalam keadaan kelam kabut, saya terus cekalkan hati serta kuat semangat kerana perlu menghadapi peperiksaan dan bencana ini memberi saya semangat supaya berusaha gigih untuk mencapai keputusan yang cemerlang," ujarnya ketika ditemui pemberita di sini, hari  ini. Anak bungsu dari tujuh beradik itu sempat menceritakan saat rumahnya dinaiki air secara mendadak menyebabkan hanya mampu mencapai apa yang perlu. "Saya cuma sempat ambil dua pasang baju sahaja sebab kami diarah untuk berpindah segera apabila hujan makin lebat dan paras air naik dengan cepat. "Segalanya berlaku dengan pantas, dan untuk kembali ke rumah, saya perlu mengharungi air separas pinggang jika ingin mengambil barang-barang keperluan," tambahnya.
03 Dec 20
812
Patuhi Arahan Berpindah
Patuhi Arahan Berpindah
KUALA TERENGGANU, 3 Disember - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Burok, Muhammad Khalil Abdul Hadi menasihatkan penduduk di kawasan yang terjejas banjir agar segera berpindah ke pusat pemindahan apabila diarah berbuat demikian oleh pihak berkuasa. Katanya, penduduk tidak perlu menunggu sehingga keadaan bertambah teruk sebelum bersedia untuk berpindah ke pusat pemindahan. “Pastikan peralatan elektrik diletakkan di tempat yang selamat dan matikan suis elektrik sebelum meninggalkan rumah,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Chendering, hari ini. Turut hadir, ADUN Wakaf Mempelam Wan Sukairi Wan Abdullah dan Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Soud Said.   Menurut beliau, setakat pukul 10 pagi tadi jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di PPS SK Chendering adalah seramai 86 orang melibatkan 26 buah keluarga. Dalam pada itu, beliau turut meminta orang ramai terutama mangsa banjir supaya mengelak daripada bermain air di kawasan banjir kerana ia boleh memudaratkan dari aspek keselamatan dan kesihatan. Terdahulu, Muhammad Khalil serta kakitangan Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Batu Burok telah meninjau dan membantu penduduk terjejas banjir di beberapa kawasan seperti Kondo Cerong Binjai, Kuala Ibai, Kampung Nibong dan Kampung Kubang Ikan serta beberapa kawasan lain. “Proses pemindahan mangsa banjir ke SK Chendering malam tadi berjalan lancar dan kita turut mendapat kerjasama dan bantuan daripada pihak bomba, Angkatan Pertahanan Awam serta sukarelawan Pemuda PAS dan Jabatan Amal,” ujarnya.    
03 Dec 20
687
Bantuan RM500 Untuk Mangsa Banjir
Bantuan RM500 Untuk Mangsa Banjir
KUALA TERENGGANU, 3 Disember - Kerajaan negeri meluluskan peruntukan lebih RM516 ribu yang akan diagihkan kepada semua keluarga mangsa banjir sepanjang bulan November.  Pengerusi Jawatankuasa kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, setiap keluarga akan menerima bantuan RM500 di samping tambahan RM500 diberikan khusus kepada mangsa banjir lumpur di daerah paling terkesan iaitu Kemaman. "Ini menjadikan mangsa banjir yang agak teruk (di Kemaman) menerima RM1,000 bagi meringankan sedikit bebanan kerosakan rumah yang dialami.  "Sebahagian besar rumah yang terlibat dinaiki air menyebabkan semua barangan keperluan harian dan makanan musnah. "Oleh itu, kerajaan bersetuju memberi bantuan khas RM500 kepada mereka yang mengalami kerosakan harta benda," katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.  Mengulas lanjut mengenai sumbangan tersebut, Hanafiah berkata, bantuan akan diselesaikan dalam bulan ini.  "Kerajaan juga sedang mengkaji keperluan bagi penternak dan pekebun yang kehilangan hasil akibat bencana ini," tambahnya.  
03 Dec 20
2913
Terengganu Kembali Dilanda Banjir
Terengganu Kembali Dilanda Banjir
KUALA TERENGGANU, 3 Disember -Terengganu kembali dilanda banjir tidak sampai 24 jam penutupan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di beberapa daerah yang terjejas. Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman, berkata sehingga jam 7 pagi tadi, sembilan PPS dibuka di empat daerah iaitu Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Marang dan Kemaman. Tambahnya, hujan lebat berterusan sejak petang semalam dan fenomena air pasang besar turut mengakibatkan sebahagian besar Bandaraya Kuala Terengganu digenangi air dan beberapa jalan utama ditutup. "Sebanyak 10 PPS melibatkan seramai 490 mangsa daripada 135 keluarga mula dipindahkan secara berperingkat sejak malam tadi. "Daerah Marang merekodkan jumlah mangsa tertinggi apabila seramai 166 mangsa daripada 43 keluarga ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Rusila,"katanya dalam satu kenyataan hari ini. Sementara itu, kenaikan drastik paras air laut susulan julat hujan lebat terlalu banyak turut menyebabkan sebahagian bandaraya digenangi air disebabkan oleh fenomena air pasang besar. "Mengikut maklumat daripada pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS),  julat hujan yang turun tengah malam tadi dalam masa enam hingga lapan jam di antara 170 ke 180 milimeter (mm) yang mana sangat banyak untuk tempoh berkenaan. "Kebiasaan dalam tempoh sebulan, julat hujan yang turun antara 200 hingga 280 mm dan kali ini implikasi dari komposisi hujan yang sangat banyak menyebabkan sebahagian besar Bandaraya Kuala Terengganu digenangi air," katanya. Tambahnya lagi, aliran air tidak dapat mengalir semula ke laut dengan lancar terutama waktu puncak air pasang besar dan ia mula surut selepas tempoh berkenaan.
03 Dec 20
4370
Air Naik Mendadak, Tidak Sempat Buat Apa-Apa
Air Naik Mendadak, Tidak Sempat Buat Apa-Apa
KUALA TERENGGANU, 3 Disember – “Kali ni perabut pun sudah bergerak sendiri, mak cik berasa takut tengok walaupun air naik kali kedua dah sebab sebelum ni tidak macam ni,"rintih salah seorang mangsa banjir kilat, Wan Kelthom Abu Bakar. Warga emas berusia 70 tahun itu merupakan antara 16 mangsa yang telah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Chendering oleh anggota Bomba dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Terengganu (sehingga jam 12.00 tengah malam).  Kelthom atau lebih mesra disapa Che’ Da berkata, dia menyedari paras air meningkat lebih mendadak berbanding waktu banjir semasa 23 November lalu, di mana dia turut dipindahkan sebelum ini. “Air dulu melimpah masuk ke dalam dapur sahaja, tetapi sekitar waktu petang hari ini paras air menembusi lantai kayu rumah dan merosakkan perabot seperti almari dan katil malah mak cik tak sempat nak selamatkan apa-apa pun. “Kali ini kiranya saya dua kali dah pindah pada tahun ini. Kebanyakan perabut dah tak ada tempat lebih tinggi untuk diangkat kerana air sudah naik lebih tinggi berbanding bulan lepas," katanya ketika ditemubual Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI). Anak Che’ Da, Tuan Zariah Tuan Yusof, 41, juga diantara mangsa yang telah ditempatkan di PPS bersama ibunya, berkata, kebiasaan ibunya yang berpindah sebab keadaan rumah yang rendah, namun kali ini rumahnya yang tinggi turut dimasuki air. “Rumah saya tidak seteruk ibu saya jadi kerosakan tidak terkesan mana,”ujarnya lagi. Ketua Sektor D Jawatankuasa Bencana Daerah Kuala Terengganu, Ahmad Fahmi Mohd Zahari berkata, hujan lebat berlaku sekitar jam 4.00 petang memberi tanda untuk bersiap siaga mengerakkan jentera. “Kawasan berpotensi telah dikenalpasti dan hasilnya PPS SK Chendering dibuka pada jam 8.30 malam yang menempatkan enam keluarga. Paras air kali ini mencecah hampir paras dada (1.5 meter) berbanding pada bulan November iaitu 1.3 meter. “Penduduk Kampung Simpang Empat dan Kampung Ketapang turut dijangka akan dipindahkan mengikut keadaan dan situasi semasa. “Mangsa di PPS turut menjalankan saringan oleh anggota Kementerian Kesihatan (KKM) yang bertugas di sini,”katanya.
02 Dec 20
2492
Penantian 38 Tahun Akhirnya Bernoktah
Penantian 38 Tahun Akhirnya Bernoktah
HULU TERENGGANU, 2  Disember - Selepas hampir 38 tahun menanti untuk mendapatkan jalan berturap, penduduk Kampung Jerlan kini mampu tersenyum selepas impian mereka akhirnya tertunai. Pembinaan jalan baharu menghubungkan sebahagian kampung terbabit yang tertunda kini direalisasikan apabila jalan menghubungkan Kampung Jerlan dengan jalan utama telah siap diturap lebih satu kilometer.  Juwariah Che Lah, 62, berkata, dia bersyukur ke hadrat Ilahi dan berterima kasih kepada kerajaan Terengganu khususnya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Ustaz Maliaman Kassim. "Hampir 38 tahun menanti, hari ini baru jadi kenyataan, dulu ada 15 keluarga di sini tetapi semua berpindah keluar akibat jalan yang teruk dan kini hanya tinggal saya dan jiran sahaja. "Sebelum ini jalan menghubungkan ke rumah saya amat menyedihkan apabila terpaksa melalui jalan becak dan keadaan itu menyebabkan penduduk di kampung ini berdepan kesukaran perhubungan yang membolehkan penduduk membawa keluar hasil kebun dengan mudah. “Paling penting anak-anak penduduk sekarang ni mudah untuk pergi dan balik dari sekolah. Sedangkan sebelum ini mereka terpaksa melalui jalan yang berdebu ketika kemarau dan becak ketika hujan.Jadi, saya amat berterima kasih kepada Ustaz kerana menunaikan impian penduduk kampung yang mahu jalan selesa,” katanya ketika ditemui wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman(UPDI). Sementara itu Ustaz Maliaman berkata, keperitan penduduk yang terpaksa melalui jalan becak dan berdebu sejak puluhan tahun lalu kini dapat ditunaikan.   “Masih banyak kemudahan asas di DUN Ajil ini yang perlu kita tunaikan, mana yang perlu disegerakan, kita ikhtiar supaya dapat ditunaikan dalam masa terdekat.Tidak semua isu kita dapat selesaikan dalam masa tempoh baru dua tahun memegang tampuk pemerintahan. “Saya sangat bersyukur kepada ALLAH mempermudahkan urusan ini. Alhamdulillah, sekarang proses penurapan jalan sedang berjalan, kita sujud syukur kepada ALLAH,” katanya.  
02 Dec 20
1223
Pasar Nelayan Baharu Dibuka Di Dun Batu Buruk
Pasar Nelayan Baharu Dibuka Di Dun Batu Buruk
KUALA TERENGGANU, 2 Disember – Pembukaan Pasar Nelayan di Pelabuhan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Chendering, sejak semalam mendapat sambutan yang menggalakkan. Timbalan Pengarah LKIM Terengganu, Haslin Marlina Hashim memaklumkan, pasar terbabit diwujudkan bagi menjaga kebajikan para nelayan disamping menawarkan harga jualan yang berpatutan kepada pembeli. “Hari ini merupakan percubaan  untuk melihat sambutan masyarakat setempat. Sekiranya sambutan yang menggalakkan ini berterusan, pihak LKIM akan perluaskan lagi pemasaran dan akan menambahkan lagi infrastruktur di sini," katanya.   Dalam pada itu, Pengurus Persatuan Nelayan Negeri Terengganu (Penentu), Zahan bin Mamat menyifatkan, dengan adanya pasar tersebut diharapkan agar suasana di Pelabuhan LKIM Chendering ini akan kembali meriah setelah sekian lama menjadi suram. “Alhamdulillah kita lihat sambutan yang memberangsangkan dan kita juga ada membuat perkhidmatan penghantaran kepada pembeli di sekitar Kuala Terengganu ini,” katanya kepada pemberita sewaktu kunjungan di lokasi tersebut, semalam. Disamping itu, rata-rata peniaga memberikan respon yang positif kerana kemudahan yang disediakan sangat baik dan mesra pengguna.   Pembukaan Pasar Nelayan ini turut menarik perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Buruk, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi yang turut hadir bagi meninjau dan beramah mesra bersama para peniaga di situ. Sebagai makluman, Pasar Nelayan ini akan dibuka setiap hari bermula jam 8.00 pagi hingga 2.00 petang.
01 Dec 20
4601
COVID-19 Di Terengganu Terkawal
COVID-19 Di Terengganu Terkawal
KUALA TERENGGANU, 1 Disember – Situasi semasa pandemik COVID-19 di negeri ini dilaporkan masih terkawal dengan hanya dua kluster aktif berdasarkan data Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) sehingga 29 November. Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, dua kluster aktif tersebut iaitu kluster Makekar (mukim Rasau) dan kluster Kerengge (Marang) daripada keseluruhan sembilan kluster yang telah direkodkan sehingga kelmarin di Terengganu. “Sebahagian besar sudah tamat terutama di mukim Rasau dimana telah kembali ke zon hijau dan tiada lagi zon merah dan jingga di dalam negeri. “Manakala Zon kuning di daerah Marang terutamanya di Merchang, Rusila dan Pulau Kerengge (kluster Kerengge) dengan 8 kes aktif berada dalam wad ditambah dengan satu lagi kes baharu pada 29 November menjadikan keseluruhan 237 kes positif COVID-19 dengan satu kematian. “Sejak 12 Mac lalu, gelombang pertama di Terengganu merekodkan 114 kes akibat penularan daripada kluster Sri Petaling manakala gelombang kedua melibatkan 123 kes tempias daripada negeri berisiko seperti Sabah, Selangor dan lain-lain,” katanya ketika ditemubual Urus Setia Penerangan Darul Iman, pagi semalam. Mengulas mengenai musibah banjir dalam norma baharu, beliau berkata, tiada kes dilaporkan daripada 40 lebih Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka sehingga akhir bulan november. “Ini adalah hasil Prosedur Operasi Standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan garis panduan agensi dan jabatan negeri dari peringkat awal bagi membendung penularan kerana risiko kesempitan dan kesesakan di PPS perlu diatasi.” ulasnya. Apabila ditanya mengenai kes denggi sehingga akhir bulan November, Dr Nor Azimi berkata, terdapat penurunan sebanyak 27.7 peratus berbanding kes pada tahun lepas. “379 kes direkodkan sehingga 21 November, penurunan ini hasil daripada kawalan kendiri seperti gotong-royong oleh masyarakat dan pelbagai jabatan dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) serta pihak berkuasa tempatan. “Harapan supaya usaha dan kerjasama dalam menjaga kebersihan dan pembasmian takungan air terutamanya musim hujan renyai ini terus dipergiatkan demi komuniti sejagat,” katanya lagi.
01 Dec 20
483
Pendapatan Golden Pharos Melonjak 36 Peratus
Pendapatan Golden Pharos Melonjak 36 Peratus
KUALA TERENGGANU, 1 Disember - Pendapatan syarikat pembalakan milik Kerajaan Negeri Terengganu, Golden Pharos Bhd (GPB) melonjak naik sebanyak 36 peratus kepada RM18.8 juta pada suku ketiga tahun 2020 berbanding RM13.8 juta pada suku yang sama tahun lalu. Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Nadza Abdul berkata, peningkatan itu direkodkan selepas syarikat mencatat keuntungan sebelum cukai sebanyak RM3.6 juta pada suku ketiga berakhir 30 September 2020. "Pengeluaran balak yang meningkat, peningkatan prestasi pemprosesan kayu balak, penggunaan pakej stimulasi yang efektif dalam menangani isu ekonomi syarikat ketika berlakunya pandemik COVID-19. "Dalam suku ketiga tahun ini, segmen pembalakan meningkat sebanyak 72 peratus kepada 10,716 hektar per tan berbanding 6,246 hektar per tan tahun lalu.  "Peningkatan ini berikutan ketidaklewatan kelulusan lesen penebangan balak, pengurusan kontraktor penebangan yang berkesan dan cuaca yang baik sepanjang tempoh aktiviti pembalakan diadakan," katanya  dalam satu kenyataan hari ini. Mengulas lanjut, jelasnya, berdasarkan kepada peningkatan balak yang ditebang, sektor perkayuan dan venir juga meningkat. "Di mana pendapatan bagi sektor tersebut meningkat sebanyak 14 peratus dan keuntungan sebelum cukai adalah 203 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu," ujarnya. Nadza Abdul menjelaskan, GPB juga mendapat manfaat daripada pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan oleh Perdana Menteri di mana syarikat tersebut menerima program subsidi berjumlah RM1.4 juta bagi keenam-enam syarikat di bawah GPB bermula Mac sehingga September 2020. “Syarikat menganggarkan kerugian sebanyak RM24 juta akibat daripada pandemik. Tetapi dengan pakej rangsangan ekonomi serta pengurangan kos yang dijalankan oleh syarikat, kami optimis bahawa tahun ini sebenarnya adalah tahun yang lebih baik berbanding tahun 2019,” katanya.
01 Dec 20
3279
Kerajaan Tanggung RM200,000 Kecualikan Bayaran Lesen
Kerajaan Tanggung RM200,000 Kecualikan Bayaran Lesen
KUALA TERENGGANU, 30 November - Kerajaan negeri akan menanggung kos sebanyak RM200,000 selepas bersetuju mengecualikan bayaran lesen perniagaan untuk peniaga kecil dan penjaja selama setahun bermula Januari depan. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, pengecualian itu telah diumumkan Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar semasa membentangkan Belanjawan 2021 minggu lalu. “Insentif ini akan memberi manfaat kepada peniaga kecil yang memiliki lesen perniagaan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negeri ini. “Kita memahami tekanan yang dihadapi oleh golongan terbabit lebih-lebih dalam tempoh COVID-19, justeru dengan tiadanya kutipan lesen peniaga kecil dan penjaja bagi tahun 2021, diharapkan sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban yang dihadapi oleh para peniaga dan penjaja sekali gus merancakkan lagi ekonomi Negeri Terengganu,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas bersiaran secara langsung di TV Darul Iman, hari ini. Dr Alias. Mengulas mengenai rungutan peniaga yang meminta kerajaan mengecualikan bayaran sewa premis perniagaan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini, beliau berkata perkara berkenaan akan dikaji lebih terperinci. “Apabila kita buat sesuatu pengecualian itu, pertimbangan sewajarnya perlu dibuat kerana membabitkan kos yang akan ditanggung oleh kerajaan melalui agensi-agensi berkaitan,” ujarnya. Sebelum ini katanya, kerajaan negeri telah kehilangan hasil kira-kira RM5 juta ketika mengecualian bayaran sewa premis perniagaan dan moratorium dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).  
30 Nov 20
1399