lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

147 Individu Terima Pingat Sempena Keputeraan Sultan Terengganu Ke- 63
147 Individu Terima Pingat Sempena Keputeraan Sultan Terengganu Ke- 63
KUALA TERENGGANU, 4 Mei - Seramai 147 individu dikurniakan pingat dalam Istiadat Pengurniaan Pingat-Pingat Kebesaran Negeri sempena Ulang Tahun Keputeraan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin ke-63. Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat mengurniakan pingat pada upacara di Balairong Seri, Istana Syarqiyyah, di sini, hari ini. Turut berangkat, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dan Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail serta paduka-paduka anakanda iaitu Tengku Puteri Utama Raja, Tengku Sri Setia Mahkota Raja dan Tengku Puteri Daulath Raja. Hadir sama Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri, To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman serta Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri. Seramai enam individu dikurniakan Pingat Jasa Cemerlang (P.J.C) dan 128 individu menerima Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K.). Sementara Bintang Lama Berjawatan (B.L.B) dikurniakan kepada seorang penerima dan 12 individu pula menerima Pingat Lama Berjawatan (P.L.B).  
04 May 25
8301
Sultan Mizan Minta Jemaah Haji Berdoa Agar Terengganu Terus Diberkati
Sultan Mizan Minta Jemaah Haji Berdoa Agar Terengganu Terus Diberkati
KUALA TERENGGANU, 4 Mei - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin mengharapkan semua jemaah haji dari Terengganu berdoa agar Terengganu terus diberkati, dilimpahi kesejahteraan berpanjangan serta dijauhi daripada sebarang musibah dan bencana. Dalam titahnya, baginda turut memohon agar turut mendoakan kesejahteraan umat Islam di seluruh negara yang diuji oleh Allah dengan musibah seperti banjir, kebakaran atau kemalangan supaya terus diberi kesabaran dalam menghadapi ujian yang pastinya ada hikmah terbaik. "Doakan juga saudara-saudara se-Islam kita di Palestin dan negara Islam lain yang masih dalam kesukaran agar diberikan kesabaran dan semoga Allah juga memberikan mereka nikmat keamanan," titah baginda. Titah Sultan Mizan itu dibacakan Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin yang mewakili ayahandanya sempena Majlis Pelepasan Bakal Jemaah Haji 2025 di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, di sini, semalam. Dalam pada itu,Sultan Mizan turut bertitah agar kesemua 142 bakal jemaah haji yang berlepas menerusi penerbangan keempat menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) agar menggunakan kesempatan melakukan ibadah yang terbaik dan sempurna agar dikurniakan haji yang mabrur. "Ibadah haji merupakan ibadah yang memerlukan pengorbanan daripada segi wang ringgit, masa dan tenaga. "Oleh itu, beta menasihati para jemaah untuk menggunakan kesempatan menjadi tetamu Allah dengan sebaik-baiknya penuhi masa terluang dengan memperbanyakkan amalan wajib dan sunat seperti berzikir, memabaca al-Quran, berdoa dan bermunajat kepada Allah kerana peluang ini mungkin datang sekali seumur hidup. "Beta berharap jemaah haji menjaga adab dan menjauhi segala anasir tidak sihat yang boleh menjejaskan imej serta nama baik negara dan hubungan baik Kerajaan Malaysia dan Arab Saudi," titah baginda. Terdahulu, Menteri Besar Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar ketika ucapannya berkata sebanyak 2,008 jemaah haji dari negeri ini berlepas ke Arab Saudi menerusi lapan penerbangan dengan 495 daripadanya telah selamat tiba di Madinah. Terdahulu Keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Muda Terengganu diiringi Yang Amat Mulia Tengku Sri Setia Mahkota Raja, Tengku Dato' Seri Muhammad Mua'az, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Utama Raja, Tengku Dato' Seri Nadhirah Zahrah dan Yang Amat Mulia Tengku Puteri Daulath Raja, Tengku Dato' Seri Fatimatuz Zahra. Keberangkatan tiba baginda disambut Ahmad Samsuri Mokhtar dan Isteri, To' Puan Faizah Tuan Ab Rahman bersama Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato' Nara Setia dan isteri, To' Puan Wan Radziah Wan Mokhtar. Yang di-Pertuan Muda Terengganu turut berkenan menyampaikan sumbangan kepada bakal jemaah haji dalam majlis tersebut.    
04 May 25
4336
RTB Tebing Tembah Bantu Lebih 600 Rakyat Miliki Tanah
RTB Tebing Tembah Bantu Lebih 600 Rakyat Miliki Tanah
KUALA TERENGGANU, 1 Mei – Projek tanaman Kelapa Pandan di Kampung (Kg) Tebing Tembah yang dirancang sejak 2008 kini berubah haluan apabila kerajaan negeri memutuskan untuk membangunkan Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) tapak rumah demi keutamaan generasi muda.  Langkah ini dilihat lebih praktikal dan mampu membuka ruang kepada hampir 600 pemohon memiliki rumah sendiri, berbanding meneruskan projek pertanian yang tidak lagi relevan dengan keperluan semasa dan hanya memberi 'keuntungan' kepada 96 orang.  Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato’ Satiful Bahari Mamat berkata, projek tanaman Kelapa Pandan di tanah milik kerajaan itu sebelum ini melibatkan kawasan seluas 96 ekar dengan rancangan pemberian sekitar satu ekar seorang kepada 96 penduduk Kg Tebing Tembah.  "Pada tahun 2019, satu kertas kerja telah dibawa dalam mesyuarat Jawatankuasa Tanah Daerah.  "Namun, permohonan tersebut ditangguhkan setelah mengambil kira lokasi tanah yang sangat strategik, berada di tengah kampung serta bersebelahan SMK Dato’ Engku Bijaya Sura dan masjid," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita di Wisma Darul Iman, di sini.  Mengulas lanjut, beliau berkata keperluan semasa lebih mendesak kepada penyediaan tapak rumah.  "Kita dapati ramai daripada 96 pemohon asal sudah berusia dan ada yang telah memiliki tanah di lokasi lain seperti Kg. Paya Rengit dan Kg. Cerung Melintang. "Sebaliknya, lebih 660 anak muda telah memohon untuk memiliki tapak rumah di kawasan ini,” ujar beliau. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka itu turut menegaskan bahawa keputusan menukar projek itu kepada RTB tapak rumah dibuat berdasarkan realiti kehidupan hari ini. "Mungkin pokok kelapa pandan masih boleh digunakan buat sementara waktu, tetapi untuk masa depan, tapak rumah lebih penting dan mampu menyelesaikan keperluan hampir 600 orang,” jelasnya. Beliau turut menarik perhatian kepada kegagalan projek pertanian di kampungnya sendiri, Kampung Pinang Merah, sebagai pengajaran penting. "Ini juga pernah berlaku di kampung saya sendiri. Rancangan tanaman mempelam seluas kira-kira 100 ekar dibahagikan kepada peserta, seorang satu ekar.  "Tapi sampai sekarang, pokok mempelam pun tidak kelihatan. Sebahagian pula sudah menjual tanah tersebut. "Kita tidak mahu kesilapan sama berulang, tanah ini mesti beri manfaat sebenar kepada generasi akan datang,” tegasnya.
01 May 25
1853
TW Bakti, Coara Solar Tandatangani Perjanjian Bagi Projek Pembangunan Solar
TW Bakti, Coara Solar Tandatangani Perjanjian Bagi Projek Pembangunan Solar
KUALA TERENGGANU, 1 Mei – Anak syarikat Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT), TW Bakti Sdn Bhd dan Coara Solar Sdn Bhd. menandatangani perjanjian bagi projek pembangunan solar berkapasiti 250MW di Besul, Dungun. Perjanjian tersebut ditandatangani oleh Pengerusi Lembaga Pengarah TW Bakti Sdn Bhd, Dato’ Dr. Alias Razak serta wakil dari Coara Solar Sdn Bhd, Mr. Harald Hemming dan Mrs. Susan Enin Dickman dalam satu majlis yang diadakan di Duyong Marina & Resort, baru-baru ini. Alias dalam satu kenyataan yang dikeluarkan LTAWNT memaklumkan, nilai pelaburan untuk projek berkenaan dianggarkan sebanyak RM650 juta. “Projek ini dijangka akan dimulakan pada pertengahan tahun 2026 dan diharapkan dapat memberikan impak positif yang besar kepada kerajaan negeri, ekonomi, dan masyarakat setempat. “Selain dapat mencipta peluang pekerjaan, mengurangkan kos tenaga, meningkatkan pelaburan, serta menyumbang kepada usaha perubahan iklim, pembangunan ini bukan sahaja memberi manfaat jangka panjang kepada Terengganu, tetapi juga kepada Malaysia secara keseluruhan,” ujarnya dalam kenyataan itu. Tambah beliau, kerjasama ini merupakan langkah penting dalam memperkukuhkan sektor tenaga boleh diperbaharui di Malaysia dan mendukung komitmen negara dalam mencapai matlamat perubahan iklim global.
01 May 25
854
Terengganu Haram Vape Demi Lindungi Generasi Masa Depan
Terengganu Haram Vape Demi Lindungi Generasi Masa Depan
KUALA TERENGGANU, 29 April – Kerajaan Terengganu mengambil langkah berani dan tegas apabila mengumumkan pengharaman penuh terhadap penjualan serta penajaan vape bermula 1 Ogos 2025, sebagai usaha memelihara masa depan generasi muda daripada ancaman kesihatan yang semakin membimbangkan. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi menegaskan bahawa kerajaan negeri beriltizam menjaga nyawa, akal dan keturunan rakyat sebagaimana yang digariskan dalam Maqasid al-Syariah. "Kita wajib mencegah kemudaratan sebelum ia menghancurkan. "Langkah pengharaman ini bukan bertujuan menyusahkan rakyat, tetapi sebagai rahmat untuk jangka masa panjang," katanya. Beliau berkata demikian dalam satu Kenyataan Media di laman sosial rasmi beliau hari ini. Beliau menambah bahawa keputusan ini berpandukan prinsip Islam yang menuntut umatnya menghindari kebinasaan, selaras dengan firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 195 serta sabda Nabi Muhammad SAW mengenai larangan melakukan kemudaratan. "Mencegah lebih utama daripada mengubati," jelasnya, memetik ayat Al-Quran dan hadis sebagai teras kepada dasar yang digariskan ini. Tambah Khalil, menurut laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), setakat 30 September 2024, sebanyak 41 kes kecederaan paru-paru berkaitan penggunaan vape (EVALI) telah dilaporkan, dengan kos rawatan dianggarkan mencecah RM150,892.11 bagi setiap pesakit. "Tanpa pencegahan tegas, kos rawatan boleh melonjak kepada RM368 juta setahun menjelang 2030," ujar beliau. Dalam masa yang sama, beliau turut berkongsi keprihatinan terhadap laporan peningkatan kes komplikasi serius seperti halusinasi dan kebocoran paru-paru dalam kalangan remaja akibat penggunaan vape secara tidak terkawal. "Apakah kita mahu terus membiarkan racun ini berlegar bebas di tangan anak-anak kita?” soalnya. Mengakhiri kenyataan, beliau menyeru seluruh lapisan masyarakat, termasuk ibu bapa, pendidik dan NGO, untuk bersama-sama mendukung usaha murni ini demi kebaikan ummah dan negeri tercinta. "Marilah kita berganding bahu untuk memastikan masa depan yang lebih sihat dan sejahtera untuk semua," ujarnya.
29 Apr 25
139
60 NGO Sokong Terengganu Sekat Vape
60 NGO Sokong Terengganu Sekat Vape
KUALA TERENGGANU, 29 April- Sebanyak 60 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk bukan Islam seluruh Malaysia menyokong usaha Kerajaan Terengganu memperkukuhkan kawalan melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terhadap vape. Jurucakap Gabungan NGO berkenaan memaklumkan, perluasan skop penguatkuasaan yang akan berkuat kuasa 1 Ogos depan perlu disebarluaskan ke seluruh negara. ”Ini termasuk meneruskan larangan yang sedia wujud untuk tidak mengeluarkan lesen kepada penjualan vape. ”Selain tindakan tegas mengikut undang-undang kecil yang digubal di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) berupa hukuman kompaun, sita dan pendakwaan di mahkamah.  ”Kerajaan tidak menerima sebarang bentuk tajaan daripada mana-mana syarikat pengeluar atau pengedar vape bagi apa jua penganjuran acara melibatkan kerajaan negeri dan tidak membenarkan iklan vape dipamerkan,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini. Mengulas lanjut katanya, gabungan NGO Seluruh Malaysia juga berpendapat peluasan skop larangan PBT ini adalah wajar mengambil kira situasi semasa yang semakin tidak terkawal. ”Ini kerana, vape mengandungi dadah sintetik berbahaya dan penyalahgunaan vape dikaitkan dengan dadah dan boleh menyebabkan kematian. ”Kami juga menyokong usaha kerajaan negeri menjaga kebajikan pengusaha dan pekerja kedai vape melalui tawaran latihan keusahawanan alternatif yang lebih selamat serta peralihan selama tiga bulan sebelum penguatkuasaan penuh,” ujarnya.  
29 Apr 25
323
Gabungan Doktor Sokong Terengganu Larang Jual Vape
Gabungan Doktor Sokong Terengganu Larang Jual Vape
KUALA TERENGGANU, 25 April - Persatuan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) Cawangan Terengganu menyambut baik keputusan kerajaan negeri untuk melarang penjualan vape di semua premis perniagaan dalam kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) bermula 1 Ogos 2025. PAPISMA menegaskan bahawa langkah kontroversial tersebut amat penting bagi menyemai budaya hidup sihat dalam kalangan rakyat Terengganu. Pengerusi PAPISMA, Dr. Hazizul Helmy Hamad@Ahmad berkata, langkah ini disifatkan sebagai tindakan berani dan selari dengan Kempen Terengganu Bebas Asap Rokok (TBAR). "Sebagai sebuah pertubuhan profesional yang menghimpunkan para pengamal perubatan muslim, PAPISMA percaya bahawa kesihatan awam adalah tanggungjawab bersama. "PAPISMA mengajak semua pihak termasuk komuniti kesihatan, agensi kerajaan, institusi pendidikan dan rakyat negeri Terengganu untuk bersama-sama menyokong dasar ini dan memperkuatkan lagi pelaksanaan TBAR, demi mencapai matlamat Terengganu Sihat, Terengganu Sejahtera. "Menjadikan tempat awam dan kawasan komuniti bebas asap rokok dan vape dan usaha mengawal penjualan vape merupakan tindakan tepat dalam melindungi generasi muda daripada ketagihan nikotin dan risiko penyakit kronik," katanya dalam satu kenyataan melalui hantaran laman sosial media rasmi PAPISMA. Tambahnya, PAPISMA juga menyokong sepenuhnya enam keputusan utama kerajaan negeri, seperti pengekalan dasar lesen perniagaan yang tidak meluluskan aktiviti penjualan vape, pemerkasaan syarat lesen dan penguatkuasaan terhadap premis tidak berlesen, serta penolakan tajaan dan iklan dari syarikat pengeluar produk vape dalam sebarang program kerajaan. Beliau turut menyokong penuh sokongan kebajikan kepada pengusaha dan pekerja kedai vape menerusi latihan keusahawanan serta penawaran alternatif bisnes yang lebih selamat bagi memastikan tiada golongan terjejas secara langsung akibat larangan tersebut. Pemberian tempoh peralihan selama tiga bulan sebelum penguatkuasaan penuh turut dipuji kerana memberi ruang kepada semua pihak untuk menyesuaikan diri dan memastikan pematuhan menyeluruh. Dr. Hazizul Helmy Hamad@Ahmad
27 Apr 25
649
Anak Syarikat Terengganu Terpilih Kerjasama Minyak, Gas Petronas
Anak Syarikat Terengganu Terpilih Kerjasama Minyak, Gas Petronas
KUALA TERENGGANU, 24 April - Anak syarikat kerajaan negeri, Eastern Pacific Industrial Csporation (EPIC) Berhad melalui, EPIC OG Sdn Bhd, telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan PETRONAS bertempat di Hotel Four Seasons, Kuala Lumpur, baru-baru ini.  MoU dalam acara Executive Annual Dialogue (AuDi) 2025 yang dianjurkan oleh Malaysia Petroleum Management (MPM) itu bertujuan untuk memajukan inisiatif 'Talent (Skilled Trade) Champions', yang memberi fokus kepada pembangunan tenaga mahir dalam sektor minyak dan gas tempatan. Kerjasama itu yang mempromosi, menyokong, dan memperkasakan pembangunan kemahiran teknikal dalam bidang-bidang kerja berasaskan kemahiran (skilled trades) merupakan satu usaha penting dalam menyediakan sumber manusia yang berkualiti tinggi bagi memenuhi keperluan industri. "Perkongsian ini memberi tumpuan kepada pengukuhan bidang perdagangan kritikal luar pesisir seperti kerja-kerja pengikatan (rigging), letupan dan pengecatan (blasting and painting), pembinaan perancah (scaffolding), pengelasan (welding), penyambungan paip (joint-making), dan pelayaran (seafaring). "Inisiatif ini juga mengutamakan peningkatan kemahiran pelaut tempatan bagi melahirkan lebih ramai pegawai yang berkelayakan dalam operasi marin luar pesisir," kata PETRONAS dalam satu siaran media, semalam. Merujuk kepada perkembangan yang sama, Naib Presiden Kanan MPM PETRONAS, Datuk Ir. Bacho Pilong, turut menyuarakan sokongannya terhadap kerjasama ini, menekankan bahawa peningkatan kemahiran tenaga kerja adalah asas kepada kejayaan jangka panjang sektor 'Oil and Gas Services and Equipment' (OGSE) di Malaysia.  "Kerjasama ini adalah manifestasi komitmen PETRONAS untuk memperkukuh ekosistem OGSE tempatan, serta menyumbang kepada pembangunan sektor ini yang mampan dan berdaya saing," katanya. Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Dr. Ts. Muhtar Suhaili (kanan), Pengurus Besar EPIC OG Sdn Bhd, Mohamad Irwan Abdul (kiri) Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Dr. Ts. Muhtar Suhaili berkata, MoU ini turut disertai oleh beberapa syarikat besar lain dalam industri minyak dan gas, menjadikannya satu usaha kolektif yang melibatkan pemain utama. "Selain EPIC Berhad, syarikat lain yang turut menandatangani MoU berkenaan termasuklah Malaysia OSV Owners’ Association (MOSVA), Sapura Energy, PETRA Energy, Turcomp Engineering Services dan HHA Associates. "Sebagai simbolik, saya selaku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC telah bertukar-tukar dokumen dengan Encik Handan Ramli (SGM, POM, PETRONAS MPM)," ujar beliau melalui satu hantaran laman sosial media rasminya. Turut hadir menyaksikan majlis menandatangani MoU tersebut ialah Naib Presiden Perolehan Kumpulan PETRONAS, Rashidah Alias, Pengurus Besar Kanan RDM MPM PETRONAS, Ir. Norafizal Mat Saad serta Pengurus Besar, EPIC OG Sdn Bhd, Mohamad Irwan Abdul.
24 Apr 25
6463
Tiada Lagi Majlis Keraian Khas Untuk Pelajar Cemerlang SPM 2024
Tiada Lagi Majlis Keraian Khas Untuk Pelajar Cemerlang SPM 2024
KUALA TERENGGANU, 24 April – Buat pertama kali dalam sejarah, tiada majlis keraian khas dianjurkan untuk meraikan pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024, selaras dengan arahan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang mahu semua calon diraikan secara menyeluruh tanpa mengangkat hanya segelintir individu. Timbalan Pengarah Pendidikan Terengganu, Rosli Chik menjelaskan, pendekatan ini diambil bagi mengelakkan diskriminasi terhadap calon yang tidak memperoleh keputusan cemerlang namun menunjukkan peningkatan ketara atau pencapaian peribadi yang membanggakan. “Pihak sekolah perlu meraikan kesemua calon, jadi kita tidak ‘highlight’ kan pelajar cemerlang. “Sekolah terbaik pun kita tidak isytihar di majlis ini,” katanya. Beliau berkata demikian dalam Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Tahun 2024, di Bilik Mesyuarat Alamanda, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, di sini hari ini. Menurut beliau, budaya memfokuskan kepada kelompok pelajar elit semata-mata tidak lagi relevan dengan landskap pendidikan masa kini yang lebih mementingkan nilai usaha, semangat juang dan peningkatan berterusan setiap individu. “Mungkin pelajar itu tidak cemerlang dalam bidang akademik, mungkin masa peperiksaan percubaan dia banyak gagal, tiba peperiksaan sebenar berlaku banyak lonjakan,” jelasnya, memberi contoh pelajar yang sering terpinggir daripada radar kecemerlangan konvensional. Beliau turut menjelaskan, KPM tidak melarang sekolah mengadakan majlis penghargaan, namun ia mestilah merangkumi semua calon tanpa pengecualian, sebagai lambang pengiktirafan kepada pelbagai bentuk kejayaan. “Boleh sebenarnya, tapi sekolah mesti buat merangkumi kesemua kategori calon,” tegasnya.
24 Apr 25
10429
SPM 2024: 11 Calon Raih Gred A+ Semua Subjek
SPM 2024: 11 Calon Raih Gred A+ Semua Subjek
KUALA TERENGGANU, 24 April – Seramai 11 calon Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 di Terengganu berjaya meraih keputusan tertinggi, Gred A+ dalam semua mata pelajaran yang diambil, peningkatan cemerlang berbanding hanya 8 orang pada tahun sebelumnya. Timbalan Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Rosli Chik berkata pencapaian ini menggambarkan keupayaan luar biasa calon tahun ini.  “Bilangan calon yang memperoleh keputusan cemerlang tertinggi (Gred A+) dalam semua mata pelajaran meningkat dari 8 calon pada tahun 2023 kepada 11 calon pada tahun 2024,” katanya. Beliau berkata demikian dalam Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2024, di Bilik Mesyuarat Alamanda, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, di sini hari ini. Beliau turut menyatakan prestasi calon secara keseluruhan turut menunjukkan peningkatan.  “Nilai Gred Purata Negeri (GPN) pada tahun 2024 adalah 4.31 mata berbanding 4.41 mata pada tahun 2023,” katanya, merujuk kepada pengurangan sebanyak 0.10 mata yang menunjukkan pencapaian lebih baik. Menurut beliau, pencapaian Terengganu juga melepasi purata nasional.  “Gred Purata Negeri juga mengatasi Gred Purata Nasional dengan nilai 4.31 berbanding 4.49,” ujar beliau. Tambah Rosli, jumlah calon cemerlang yang meraih A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran juga bertambah.  “Bilangan calon yang memperoleh keputusan cemerlang meningkat dari 464 calon kepada 532 calon. “Peningkatan sebanyak 68 calon,” jelas Rosli Tambah beliau lagi, pencapaian calon di kawasan bandar dan luar bandar masing-masing menunjukkan peningkatan, namun jurang antara kedua-duanya turut melebar.  “Pencapaian calon di bandar meningkat sebanyak 0.10 mata manakala luar bandar meningkat sebanyak 0.08 mata.  “Jurang pencapaian melebar kepada 0.70 mata,” katanya. Rosli turut menyatakan sebahagian besar calon berjaya mendapat sekurang-kurangnya gred lulus dalam semua mata pelajaran.  “Seramai 11,087 calon (66.41%) memperoleh sekurang-kurangnya lulus atau gred E dalam semua mata pelajaran “Peningkatan berbanding 64.03 peratus tahun lalu," ujarnya.
24 Apr 25
1018