Artikel "Utama" Terkini
COVID-19 : Tiga Pejabat Di Wisma Darul Iman Ditutup 7 Hari
KUALA TERENGGANU, 10 Mac - Tiga jabatan di Wisma Darul Iman ditutup selama 7 hari bermula 10 hingga 16 Mac susulan terdapat tiga kes positif COVID-19 dalam kalangan kakitangan Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu di bangunan pentadbiran kerajaan negeri itu.
Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus, berkata penutupan itu bagi membolehkan kerja-kerja sanitasi dilakukan dalam usaha mengekang penularan wabak di kawasan berkenaan.
"Tiga pejabat berkenaan adalah Pejabat Tanah dan Galian Terengganu (tingkat 11), Pejabat Unit Perancang Ekonomi Negeri (tingkat 12) dan Pejabat Bahagian Kerajaan Tempatan Negeri Terengganu di tingkat 13.
"Hasil siasatan mendapati kes-kes positif berkenaan bergaul rapat dengan pekerja di tiga pejabat tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, penutupan sementara itu dijalankan di bawah Seksyen 18(1)(d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) bagi mengelak perebakan penyakit berjangkit dan membolehkan proses disinfeksi serta sanitasi dijalankan bagi mengelak penularan,
10 Mar 21
4228
Promosi Destinasi Pelancongan Menarik Di DUN Telemong
HULU TERENGGANU, 10 Mac-Destinasi pelancongan menarik di sekitar kawasan Telemong akan dipromosikan dalam usaha merancakkan semula industri pelancongan domestik.
Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong, Mohd Safari Abu Telemong menyambut baik hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan kawasan pendaratan tuntung di Kampung Temir sebagai salah satu pusat pelancongan berteraskan komuniti dan menjemput pelancong untuk menerokai lokasi menarik yang ada di kawasan berkenaan.
"Telemong kaya dengan destinasi pelancongan menarik seperti Tasik Kenyir dan air terjun Sekayu yang sudah tidak asing lagi di kalangan pelancong.
"Disamping itu terdapat banyak tempat bersejarah yang boleh dilawati diantaranya makam Sheikh Syarif Al-baghdadi, makam Pahlawan Tok Gajah, makam pejuang Padang Kachung, makam Tun Indera dan sebagainya yang menjadi tarikan kepada pencinta sejarah,"katanya.
Beliau berkata demikian ketika lawatan Pengerusi Jawatankuasa pelancongan Kebudayaan dan Teknologi negeri, Ariffin Deraman ke Produk Pelancongan 'Community Based Tourism' di Kampung Temir, baru-baru ini.
Tambahnya lagi, kehadiran pelancong ke kawasan ini juga dapat meningkatkan ekonomi penduduk setempat melalui hasil pertanian, kraftangan dan produk makanan.
"Di sini terkenal dengan masakan tradisional ikan baung tempoyak, kebanyakan pengusaha restoran menjadikan menu ini sebagai tarikan para pelancong untuk bertandang ke sini," tambahnya.
10 Mar 21
1261
Pusat Bahasa Arab Pertama Terengganu Mula Operasi
KUALA TERENGGANU, 10 Mac - Pusat Bahasa Arab Pertama milik kerajaan Terengganu yang bernilai sekitar RM1.5 juta mula beroperasi dua minggu lalu.
Pengarah Pusat Bahasa Arab Al-Azhar As-Syarif Darul Iman, Mohd Zaini Mohd Nor berkata, institusi di bawah kelolaan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) itu amat penting dalam meningkatkan kemahiran pelajar berbahasa arab.
“Ini akan menjadi tempat berhimpun anak-anak Terengganu untuk dididik, diasuh sebelum mereka melanjutkan pelajaran ke tanah arab atau dalam negeri serta menyelesaikan trend penurunan drastik dalam penguasaan bahasa itu.
“Antara pengisian adalah program intensif Bahasa Arab kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).
“Di samping itu, kursus bahasa arab untuk memahami al-Quran juga dibuka untuk orang awam dengan kelas pertama pada 22 Mac ini, dengan jumlah peserta berdaftar sehingga ini seramai 80 orang bermula daripada 20 hingga 60 tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Bangunan Pusat Bahasa Arab Terengganu di Pusat Bahasa Arab Terengganu, Ladang Tok Pelam, Jalan Sultan Zainal Abidin, di sini petang semalam.
Turut hadir, Jurutera Daerah, Ir. Anuar Ngah dan Pegawai Khas Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Abdullah Suhaimi.
Tambah Mohd Zaini, kerjasama antara Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Cawangan Malaysia (WAAGM) turut diadakan dalam memastikan kelangsungan pusat tersebut.
“Dengan tenaga pengajar, empat orang dari Malaysia dan tiga orang dari Mesir, pusat ini beroperasi dan menempatkan pelajar lepasan STAM dari negeri sekitar pantai timur.
“Kos peruntukan tahunan kerajaan negeri Terengganu telah meluluskan sebanyak RM1.18 juta dengan prasarana kira-kira 5 kelas, satu kelas mampu memuatkan 30 pelajar, manakala bilik untuk seminar dan makmal bahasa turut ada dalam memastikan suasana pembelajaran kondusif," tambahnya.
Sebelum ini, Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar serta rombongan kerajaan negeri bertemu Duta Besar Mesir, Salah Mohi Eldin Elwassimydi di kedutaan negara itu di Kuala Lumpur bagi membincangkan Pusat Bahasa Arab (Markaz Lughah).
10 Mar 21
6172
Resort, Hotel Di Terengganu Dibuka Kembali
KUALA NERUS, 10 Mac - Hampir 80 peratus Resort dan Hotel di Terengganu mula dibuka kepada pelancong tempatan susulan bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata sektor pelancongan antara yang teruk terkesan sepanjang PKP ini, jadi pembukaan semula aktiviti pelancongan itu dapat memulihkan kembali industri terbabit.
"Alhamdulillah rentas daerah sudah dibenarkan, kebanyakan pengusaha menarik nafas lega dengan pengumuman ini dan mula membuka sektor pelancongan termasuk resort dan hotel di negeri ini.
"Selepas ini kita harap agar kerajaan akan membenarkan rentas negeri pula dalam tempoh terdekat bagi memastikan industri pelancongan negara termasuk di pulau-pulau peranginan yang kini tenat kembali bernafas.
“Pihak kami akan memastikan semua peraturan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dipatuhi asalkan sektor pelancongan dapat dibuka semula seperti biasa,"ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengadakan Lawatan Ke Produk Pelancongan 'Community Based Tourism' di sekitar Kuala Nerus petang semalam.
Sementara itu, Ariffin berkata pulau-pulau peranginan di Terengganu juga dibuka kembali kepada pelancong bermula pada awal bulan ini dengan sasaran 30 peratus kedatangan pelancong tempatan selepas ditutup berikutan musim tengkujuh dan pelaksanaan PKP 2.0.
Tambahnya, namun masih ada sebahagian pengusaha resort di pulau peranginan masih belum membuka pintu kepada pengunjung di negeri ini kerana masih dihimpit kebimbangan perniagaan mereka akan terus merudum.
“Mereka menangguhkan dahulu hajat untuk menerima pelanggan hingga ke bulan depan bagi mengelak menanggung kerugian lebih besar berikutan kedatangan pengunjung yang suram,”katanya lagi.
Menurut rekod, Terengganu berada pada kedudukan keempat sebagai negeri popular pilihan pelancong untuk bercuti mengikut data kadar purata penginapan pelancong pada tahun lalu.
Data yang dikeluarkan Persatuan Hotel Malaysia (MAH) bermula Januari hingga November 2020 itu menunjukkan Terengganu naik tujuh anak tangga berbanding kedudukan ke-11 pada tahun 2019.
10 Mar 21
733
Terengganu FC Teruskan Rentak Kemenangan
KUALA NERUS, 9 Mac- Terengganu Football Club (Terengganu FC) meneruskan aksi cemerlang dalam saingan kedua Liga Super Malaysia 2021, malam ini apabila menang mudah dengan skor 3-1 ke atas pendahulu liga, Selangor FC.
Tanpa kelibat David da Silva yang cedera, Nafuzi Zain membariskan Jordan Mintah dan Dechi Marcel yang dinaikkan dari Terengganu FC II untuk perlawanan ini.
Beraksi di gelanggang laman sendiri, Sang Penyu mempamerkan ancaman seawal minit pertama permainan.
Bagaimanapun, hantaran lintang rendah Faisal Halim ke kubu pelawat pada minit pertama tidak berjaya disudahkan Faiz Nasir.
Terengganu FC menguasai bola lebih 10 minit pertama perlawanan sebelum pemain import Selangor, Oliver Buff mengejutkan tuan rumah dengan rembatan deras dari luar kotak penalti yang mengenai palang gol pada minit ke-14.
Bermula dari itu, Selangor mula menggasak tuan rumah dengan corak permainan pantas.
Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dalam usaha mencari gol pendahuluan.
Namun, pada minit ke-35, Makan Konate yang mendapat peluang, bijak melakukan hantaran lintang yang mudah disempurnakan Jordan Mintah untuk gol pertama perlawanan.
Tempo permainan rancak sehingga tamat separuh masa pertama dengan keputusan kekal 1-0.
Memasuki babak kedua, Gergasi Merah lebih banyak menahan asakan tuan rumah di kawasan sendiri.
Rahmat Makasuf yang dimasukkan pada minit ke-60 menambah derita anak buah Neitzel apabila rembatan derasnya membolosi gawang Selangor seminit selepas itu.
Tersentak dengan gol tersebut, pelawat kembali mengatur serangan.
Usaha itu berhasil pada minit ke-74 apabila Muhamad Shahrul Nizam tertampan bola ke gawang sendiri apabila cuba mengeluarkan hantaran lintang Ahmad Danial Ahmad Asri.
Selangor FC terus menggasak, tetapi sang gergasi akhirnya dikejutkan dengan gol ketiga Terengganu FC hasil serangan balas pada minit terakhir perlawanan yang berjaya dijaringkan Mohamad Hakimi Abdullah.
Terengganu FC kini berada di tangga kedua Liga Super 2021 dengan enam mata.
09 Mar 21
1070
Melancong Antara Negeri PKPP Dibenar Bersyarat
KUALA LUMPUR, 9 Mac – Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju membenarkan aktiviti pelancongan antara negeri yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di bawah program Gelembung Pelancongan Bersasaran, mulai esok.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, aktiviti tersebut tertakluk dengan beberapa prosedur operasi standard (SOP) yang ketat seperti perlu melalui agensi pelancongan berdaftar di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
“la juga perlu menggunakan kenderaan pelancongan yang berdaftar dengan MOTAC seperti bas pelancongan manakala dengan kenderaan persendirian masih tidak dibenarkan.
“Pergerakan kenderaan dengan agensi pelancongan itu juga perlu mendapat kebenaran daripada pihak polis.
“Kenderaan pelancongan juga dilarang singgah ke negeri di bawah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), bagi pergerakan yang perlu melintas negeri tersebut," katanya dalam sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), petang tadi.
Tambah Ismail Sabri, kelulusan MOTAC juga mesti diperoleh sektor penginapan dan premis pelancongan serta tiada pergerakan percutian dari negeri PKPB ke negeri PKPB yang lain.
Sehingga kini, tujuh negeri iaitu Melaka, Pahang, Terengganu, Sabah, Putrajaya, Labuan dan Perlis berada di bawah PKPP bermula 2 Mac sehingga 15 Mac ini.
Sementara itu, beliau berkata, mesyuarat teknikal Majlis Keselamatan Negeri (MKN) semalam turut bersetuju untuk menukar status Pulau Langkawi daripada PKPB kepada PKPP bermula esok.
“Langkah ini setelah hasil cadangan kerajaan negeri Kedah memandangkan daerah pulau ini sudah jadi zon hijau dengan dua kes terakhir direkodkan pada 20 Februari lalu.
“Kelonggaran ini berdasarkan model gelembung pelancongan, tetapi Kedah masih lagi berstatus PKPB seperti tujuh negeri lain dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,” jelasnya.
Maklumat lanjut mengenai segala SOP yang terperinci boleh dirujuk menerusi laman sesawang rasmi pihak kementerian berkenaan dan MKN.
09 Mar 21
684
Kod Etika Wakil Rakyat Bakal Diperkenalkan Di Terengganu
Oleh : Rohayati Ripin
KUALA TERENGGANU, 9 Mac - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu bercadang untuk memperkenalkan Kod Etika dan Tatakelakuan yang berpotensi dilaksanakan di peringkat Parlimen kepada Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu.
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato' Yahaya Ali berkata, cadangan Kod Etika dan Tatakelakuan ADUN Terengganu itu akan dibincangkan dengan Menteri Besar Terengganu.
“Ada satu Kod Etika (Tatakelakuan) yang dicadangkan oleh SPRM, yang telah pun dilaksanakan di peringkat nasional khususnya kepada Ahli-ahli Parlimen Malaysia.
“Jadi saya berhasrat untuk berbincang (Kod Etika) ini dengan Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, supaya kod etika ini bukan sahaja ada di peringkat Ahli-ahli Parlimen tetapi boleh dilaksanakan di peringkat negeri supaya kita ada satu garis panduan menguruskan integriti dan kepentingan orang ramai,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab persoalan pemberita pada sidang media bersama Pengarah SPRM Terengganu, Ruslan Che Amad, selepas lawatan kerja di Kompleks SPRM Terengganu Bandar Baru Bukit Besar, di sini, semalam.
Turut hadir bersama delegasi itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abd Karim, ADUN Ajil, Maliaman Kassim, ADUN Pengkalan Bengkalan, Sulaiman Sulong, ADUN Rantau Abang, Alias Harun, ADUN Wanita, Zuraida Mohd Nor dan Timbalan Pengerusi Khairunnisa’, To’ Puan Hajah Zarani Othman.
Menurutnya, beliau turut mencadangkan kepada pihak SPRM berkenaan soal pendidikan yang harus diberikan kepada masyarakat di negeri ini.
“Saya menekankan tadi (apa) yang penting diberikan perhatian soal pendidikan kepada masyarakat.
“Saya dapat maklumat, SPRM dah turun ke bawah tapi (ia) boleh diperkasakan lagi supaya isu-isu penting di peringkat bawah (seperti) Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dapat penjelasan kerana mereka terlibat langsung dengan orang ramai,” jelasnya.
Justeru itu, Dato’ Yahaya berharap dengan pendidikan seumpama ini dapat menjauhkan dan dapat diperkasakan berkait dengan isu-isu rasuah.
Antara Pegawai SPRM yang hadir, Timbalan Pengarah Pencegahan SPRM Terengganu, Sofian Haroon dan Timbalan Pengarah Operasi SPRM Terengganu, Zainal Ayop.
09 Mar 21
555
'Terima Kasih' - Peniaga Kecil
SETIU, 8 Mac - Tiada ungkapan yang mampu diucapkan seorang peniaga kecil melainkan ucapan terima kasih kepada Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu selepas menerima Bantuan Perniagaan Peniaga Kecil Terengganu semalam.
Nazlizawati Abdullah, 39 atau lebih mesra panggilan Kak Za yang hampir tiga tahun terlibat dalam bisnes pembuatan kek dan roti menerima sebuah pengadun dan ketuhar di Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri.
"Saya banyak terima tempahan melalui orang kampung, kawan-kawan dan saudara mara."
"Antara jenis-jenis roti yang saya buat roti maxico, roti keju, roti sarang lebah, roti krim, roti sambal ayam, donut dan kuih tempahan," katanya ketika ditemui wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) di sini.
Turut bersama Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Permaisuri, Zul Bhari A Rahman yang menyaksikan majlis penyerahan oleh YPU kepada penerima.
Nazlizawati berkata, dia juga merupakan pemegang Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap satu serta dua dalam bidang latihan bakeri dan pastri di bawah program Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS).
"Suami antara tulang belakang yang banyak menyokong kerja-kerja saya selama ini di samping latihan yang berterusan," jelasnya lagi.
09 Mar 21
391
Terramalai, Bakal Jadi Produk Pelancongan Terbaharu Di Terengganu
KUALA NERUS, 9 Mac - The Land of Malaya Architecture (Terramalai)yang berkonsepkan senibina Rumah Tradisional Melayu bakal menjadi tarikan terbaharu kepada pelancong apabila dibuka kepada orang ramai Jun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, kesenian rumah-rumah tradisional yang dipamerkan adalah sangat unik kerana ia mewakili setiap negeri di Malaysia.
Katanya, walaupun Terramalai milik persendirian tetapi kerajaan negeri sentiasa memberi galakan kepada sesiapa sahaja pemain industri untuk melaksanakannya asalkan ia boleh majukan Terengganu.
"Saya difahamkan pemilik Terramalai sedang berusaha mendapatkan semua rumah tradisional seluruh negara untuk dibawa ke sini, dan membangunkan semula lima buah istana lama.
"Kalau tempat ini siap, ia akan menjadi tarikan baharu atau lebih tepat sebagai kampung budaya kedua," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengadakan Lawatan Ke Produk Pelancongan Community Based Tourism Ke Lokasi-Lokasi Sekitar Kuala Nerus di sini hari ini.
Sementara itu, pemiliknya , Alex Lee berkata idea untuk membina Terramalai lahir selepas kejayaan Terrapuri Heritage Village di Kampung Mangkuk, Setiu.
Beliau berkata jika di Terrapuri mempamerkan keindahan istana zaman silam jadi mengapa dia tidak mewujudkan satu warisan untuk rumah tradisional secara setempat di tanah seluas 1.012 hektar di Kampung Pengkalan Atap, Batu Rakit.
"Untuk permulaan, tiga buah Rumah Tradisional Purba Melayu sedang dibina iaitu rumah berserambi satu dan bertanjung (rumah negeri Sembilan), rumah berserambi berpelah (Kelantan) dan rumah potong Belanda (Terengganu).
"Selain itu juga terdapat lima buah istana lama Terengganu yang digabungkan dengan menggunakan konsep berangkai Istana Tengku Mariam Kembang Puteri (Istana Terengganu) sebagai muzium," ujarnya lagi.
Menurut Alex, sehingga kini kos pembinaan tiga rumah tersebut melibatkan RM1.5 juta termasuk kelengkapan perabot antik yang didatangkan mengikut negeri masing-masing.
09 Mar 21
6474
Anak Terengganu Teruja 'Menghadap' Permaisuri Agong
KUALA LUMPUR, 9 Mac - Hasil kraftangan diorama rumah kedai yang ‘dibina’ oleh seorang anak jati Besut berjaya mengharumkan nama negeri apabila menjadi naib juara Anugerah Penggiat Kraftangan Malaysia, baru-baru ini.
Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mencemar duli dalam program atas talian tersebut anjuran Persatuan Seni Jahitan Kreatif Malaysia (PSJKM) melalui platform The Tunku Azizah Handmade Market (TTAHM), pada 3 Mac.
Naib johan, Mohd Ihsan Mohd Saidi, 34, berkata, walaupun majlis dijalankan dalam alam maya, namun reaksi gembiranya jelas apabila dapat mempersembahkan ‘rumah kedai’ kepada Raja Permaisuri Agong.
“Bukan senang nak menghadap Baginda, saya sebagai satu daripada dua orang wakil negeri amat berbesar hati dalam membawa nama dan kreativiti Terengganu.
“Alhamdullilah, saya dinobatkan tempat kedua hasil undian juri dan jumlah ‘like’ di Facebook dan berjaya membawa pulang kontrak tiga tahun memasarkan prduk dalam platform TTAHM serta sebuah tablet,” katanya ketika dihubungi pemberita.
Tambahnya, beliau turut berterima kasih kepada Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Terengganu yang membuka ruang dalam kemenangan tersebut.
“Harapan saya kepada pihak Kerajaan Negeri Terengganu supaya membantu penggiat kraftangan dari segi tempat meniaga atau memasar hasil, bantuan-bantuan membeli bahan buatan serta latihan.
“Lebih-lebih lagi untuk orang muda supaya menjadi lebih kreatif serta menaikkan nama negeri dalam industri ini,” tambahnya.
Sementara itu, daripada 100 lebih peserta yang mengambil bahagian, tempat pertama dimenangi oleh Siti Nor Hanir Zanar Misro dari Negeri Sembilan dengan produk beg ‘Yara Puch Frame’ manakala tempat ketiga diperolehi oleh Sweelane Mundun daripada Sarawak.
Dalam titah ucapannya, Raja Permaisuri Agong selaku penaung PSJKM (penganjur) menzahirkan sokongan penuh Baginda sempena pembukaan 100 kedai dalam platform TTAHM.
“Sejak perasmian platform ini pada tahun lepas, kini mempunyai dalam 100 kedai, saya berbangga majoriti antaranya kumpulan berpendapatan 40 peratus ke bawah (B40), suri rumah, ibu tunggal, warga emas serta orang kurang upaya (OKU).
“Platform ini bukan sahaja menawarkan ruang kepada penggiat kraftangan dalam memasarkan produk tanpa had sehingga tahap antarabangsa, malah mereka dididik tentang selok belok perniagaan atas talian di mana ia adalah penting dalam situasi kekangan COVID-19,” titah Tunku Azizah pada pelancaran majlis itu.
08 Mar 21
4682