lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Anak Terengganu Ungguli Litar Dunia Di Sepanyol
Anak Terengganu Ungguli Litar Dunia Di Sepanyol
KUALA TERENGGANU, 8 Jun - Memulakan perlumbaan di petak ke-7, pelumba muda sensasi negara, Muhammad Hakim Danish Ramli, melakar sejarah baharu apabila berjaya menjuarai Race 2 dalam perlumbaan Red Bull MotoGP Rookies Cup 2025 di litar Aragon, Sepanyol, hari ini. Kemenangan itu meletakkannya di tangga teratas podium, menewaskan nama-nama besar dalam kalangan pelumba muda antarabangsa.  Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan Dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Hishamuddin Abdul Karim mengucapkan sekalung tahniah kepada anak kelahiran Terengganu itu diatas pencapaiannya yang telah berjaya menaikkan nama negara ke pentas antarabangsa. "Lagu Negaraku berkumandang di Aragon, Sepanyol. "Tahniah! Hakim Danish berjaya merampas kejuaraan bagi Race 2 Redbull MotoGP Rookies Cup di Aragon, Sepanyol sebentar tadi. "Berada di podium 1, menewaskan pelumba-pelumba dunia lain. Beliau berkata demikian dalam hantaran yang telah dikeluarkan melalui laman Facebook rasminya, sebentar tadi. Lebih membanggakan kejayaan tersebut berlaku selepas Hakim menduduki tempat kedua dalam Race 1, satu perlumbaaan yang penuh mendebarkan dengan perbezaan masa hanya 0.007 saat di belakang pelumba Sepanyol, Brian Uriarte. Pembalap yang berumur 17 tahun itu kini merupakan antara pelumba paling konsisten dalam kejohanan tersebut dan dilihat sebagai pencabar utama kejuaraan keseluruhan musim ini, mengekalkan kedudukan sebagai pendahulu carta keseluruhan siri perlumbaan tersebut. Dalam perkembangan lain, seorang lagi bakat muda Terengganu, Qabil Irfan, bersama bapanya (Lan Jawa) bakal berlepas ke Sepanyol esok (9 Jun 2025), bagi menyertai ESBK Talent Cup 2025, pusingan dua di Aragon dan pusingan tiga di Navarra.
08 Jun 25
115
Jangan Cemar Aidiladha Dengan Sampah
Jangan Cemar Aidiladha Dengan Sampah
KUALA TERENGGANU, 8 Jun - Kerajaan negeri menyeru seluruh rakyat agar menjadikan sambutan Aidiladha tahun ini sebagai peluang untuk menzahirkan nilai sivik dan tanggungjawab bersama terhadap kebersihan seperti yang dituntut oleh agama Islam. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pengurusan sisa ibadah korban bukan sekadar satu isu teknikal, sebaliknya mencerminkan akhlak dan keprihatinan masyarakat terhadap kesihatan awam dan kesejahteraan komuniti. "Sisa seperti darah, organ dalaman, kulit dan tulang hendaklah dikumpul dan dilupuskan dengan cara yang betul.  "Ia tidak boleh dibuang ke dalam longkang, sungai atau kawasan awam secara terbuka.  "Tindakan ini mencemarkan alam sekitar, malah boleh mengundang risiko kesihatan dan keresahan dalam komuniti," katanya dalam satu kenyataan melalui laman sosial media rasminya sempena sambutan Aidiladha, hari ini. Menurutnya, walaupun pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negeri telah melaksanakan persiapan rapi, kejayaan pelaksanaan ini tetap bergantung kepada kerjasama rakyat. "PBT di seluruh Terengganu telah bersedia sepenuhnya melalui penyelarasan petugas kebersihan, pelaksanaan jadual kutipan sampah khas serta penyediaan logistik. "Namun demikian, keberkesanan usaha ini sangat bergantung kepada kerjasama masyarakat. "Sebagai rakyat yang prihatin, marilah kita bersama-sama memastikan kemuliaan ibadah korban ini tidak dicemari oleh kecuaian terhadap kebersihan. "Demi memelihara kesucian ibadah serta imej masyarakat yang menjayakannya," ujarnya. Beliau turut mengingatkan bahawa kebersihan tapak penyembelihan perlu diberi perhatian serius oleh penganjur ibadah korban, yang disarankan untuk menyedia dan melaksanakan perancangan pengurusan sisa yang sistematik. "Gunakan plastik kedap bau, sediakan lokasi pelupusan sementara serta pastikan pembersihan menyeluruh dilakukan selepas aktiviti korban selesai," tambah beliau. Dalam masa sama, kerajaan negeri turut menghargai dedikasi petugas kebersihan yang tetap bertugas sepanjang cuti umum bagi memastikan kelestarian persekitaran negeri terus terpelihara.
08 Jun 25
58
Raja Muda, MB Solat Aidiladha Bersama Rakyat
Raja Muda, MB Solat Aidiladha Bersama Rakyat
KUALA TERENGGANU, 7 Jun – Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail berkenan mencemar duli menunaikan solat sunat Aidiladha bersama-sama rakyat jelata di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang, pagi ini. Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar bersama Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nara Setia serta beberapa pegawai kanan kerajaan. Solat sunat Aidiladha tersebut diimamkan oleh Mufti Terengganu, Dato’ Dr Mohamad Sabri Haron dan  turut menyampaikan khutbah khas bertemakan Aidiladha menyemarakkan semangat pengorbanan. Selesai solat, baginda berkenan menziarahi Makam Diraja yang terletak bersebelahan masjid, sebagai mengenang jasa dan sejarah keluarga diraja negeri ini. Turut kelihatan jemaah memenuhi ruang masjid sejak awal pagi untuk menyambut Aidiladha dalam suasana aman dan tertib.  
07 Jun 25
72
Ustaz Azhar Setuju Kerajaan Jadikan Hari Arafah Cuti Umum
Ustaz Azhar Setuju Kerajaan Jadikan Hari Arafah Cuti Umum
KUALA TERENGGANU, 6 Jun - Pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus sangat bersetuju dan menyokong tindakan kerajaan negeri menjadikan Hari Arafah sebagai cuti umum. Katanya, setiap kali Hari Arafah menjelang tiba, kebesaran dan keistimewaanya dapat dirasai serta dihayati dengan penuh makna.  "Usaha memberikan kefahaman kepada rakyat secara beransur-ansur itu lebih baik daripada banyak sekali gus jadi 'bolok wok habis, comel dah tu',"ujarnya. Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ilmu pada Forum Malam Lambaian Arafah bersama Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), Kamaruzaman Abdullah, di Masjid Jamek Pengadang Baru, di sini, semalam. Program tersebut telah dirasmikan, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat. Dalam pada itu, Kamaruzaman berkata Terengganu telah mewartakan Hari Arafah sebagai cuti umum sejak tahun 2019 lagi. "Kerana hendak bagitau rakyat bertapa besarnya Hari Arafah ini, kita hendak rakyat ini bertakwa. "Kita berharap agar rakyat tolong kerajaan supaya sama-sama mewujudkan suasana takwa dengan menyambut baik setiap usaha dilakukan pemimpin negeri yang berterusan mengajak rakyat meraih ketakwaan agar 'Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera',"jelas beliau. Sementara itu, Satiful berkata hasrat kerajaan negeri bukan hanya sekadar mahu rakyat bercuti sebaliknya memanfaatkan hari terbabit dengan menjalani ibadat seperti berpuasa serta menghadiri majlis ilmu bagi menambahkan pengetahuan. "Itulah yang kita hasratkan bukan sekadar bercuti daripada kerja kita, tetapi mengambil manfaat bagi melaksanakan ibadat sebaik mungkin pada hari Arafah ini. "Bersempena dengan Hari Arafah ini bersama-sama kita mendoakan supaya saudara kita, sahabat-sahabat yang sedang berada di Tanah Suci, Mekah dikurniakan haji yang mabrur. "Kita di sini juga sama ada dalam kalangan yang pernah mengerjakan haji ataupun bakal menunaikan haji sentiasa berdoa agar Allah mengurniakan kesempatan untuk kita semua," katanya ketika merasmikan program.  
06 Jun 25
262
Terengganu Ajak Rakyat Hayati Kebesaran Hari Arafah
Terengganu Ajak Rakyat Hayati Kebesaran Hari Arafah
KUALA TERENGGANU, 6 Jun – Kerajaan negeri komited mengajak rakyat menghayati kebesaran Hari Arafah dengan terus menganjurkan Program Malam Lambaian Arafah yang diadakan setiap tahun menjelang hari yang penuh makna bagi umat Islam di seluruh dunia. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, Hari Arafah bukan sahaja penting bagi jemaah haji, malah ia merupakan hari istimewa bagi seluruh umat Islam untuk berdoa dengan penuh keyakinan serta merebut peluang meraih keampunan yang dijanjikan oleh Allah SWT. Menurutnya, dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah R.A, Rasulullah SAW bersabda: "Tidak ada satu hari pun yang lebih banyak hamba dibebaskan daripada api neraka melainkan pada Hari Arafah." “Begitulah agungnya Hari Arafah, menjadi lambang kasih sayang Allah SWT yang tidak bertepi. Rasulullah SAW juga bersabda bahawa sebaik-baik doa adalah doa yang dipanjatkan pada hari yang penuh keberkatan ini. “Allah SWT membuka pintu langit seluas-luasnya, memberi peluang kepada hamba-Nya untuk meluahkan segala isi hati, memohon kebaikan di dunia dan akhirat, serta merayu keampunan atas segala dosa yang lalu,” ujarnya. Dalam kesempatan itu, beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua jawatankuasa pelaksana program, khususnya pihak Masjid Jamek Pengadang Baru dan semua agensi kerajaan yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan program pada malam ini. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Malam Lambaian Arafah Peringkat Negeri Terengganu yang berlangsung di Masjid Jamek Pengadang Baru, di sini semalam. Majlis yang dibanjiri kehadiran rakyat Terengganu itu telah dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat. Dalam pada itu, Khalil berharap agar program yang diadakan semalam akan merealisasikan hasrat kerajaan negeri supaya kehidupan indahnya hidup bersyariat di kalangan rakyat Terengganu dapat dinikmati serta kian subur dan menebal. "Sekali gus kehidupan bersyariat ini akan menjadi normalisasi dalam kehidupan rakyat negeri Terengganu Darul Iman sehingga terbitnya daripada sanubari kita betapa indahnya hidup bersyariat. "Saya mengharapkan Program Perasmian Majlis Malam Lambaian Arafah Peringkat Negeri Terengganu pada tahun ini memberikan 1001 makna kepada kita semua sejajar dengan dasar kerajaan yang memasakkan agenda dakwah di tangga tertinggi membabitkan seluruh pelusuk bumi Darul Iman," ujar beliau.  
06 Jun 25
115
Projek RM47 Juta Terbengkalai Akan Dipulihkan
Projek RM47 Juta Terbengkalai Akan Dipulihkan
SETIU, 5 Jun - Kerajaan Terengganu terus komited memulihkan projek terbengkalai terutama projek yang telah menelan kos  besar walaupun agak sukar. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan Dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, memulihkan projek gagal yang ditinggalkan lebih rumit dari memulakan projek dari awal. "Namun, sama ada rumit atau tidak, Projek Pengairan Kampung Jelapang Langkap yang dimulakan pada 2007 perlu dipulihkan. "Projek bernilai RM47 juta seluas kira-kira 400 ha sampai sekarang ini gagal ditanam padi disebabkan isu pengairan, tanah jerlus dan sisa kayu dalam petak sawah dan beberapa isu lagi," ujarnya. Beliau berkata demikian selepas mengadakan Lawatan Ke Tapak Projek Penanaman Padi Skim Pengairan Padi di Kampung Jelapang, Langkap semalam. Menurut Dr. Azman, anak Syarikat Kerajaan Negeri, Terengganu Agrotech Development Corporation (TADC) bersama sebuah syarikat pelabur tempatan Qudsi Global sedang berkolaborasi untuk memulihkan projek itu walaupun ia sukar. "Petang ini untuk kali seterusnya lawatan lokasi bersama Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS), Jabatan Pertanian, Pejabat Daerah Setiu, TADC dan Syarikat Qudsi Global untuk kita selesaikan secara berperingkat satu persatu isu dan permasalahan yang berbangkit seterusnya membangunkan tanaman padi di sini secara berfasa," jelasnya. 
05 Jun 25
2278
Ulu Kekabu Produk Pelancongan Baharu Berasaskan Komuniti
Ulu Kekabu Produk Pelancongan Baharu Berasaskan Komuniti
Kerajaan Terengganu berhasrat menjadikan Lata Ulu Kekabu sebagai produk pelancongan baharu berasaskan komuniti (CBT), dengan mengekalkan keaslian alam semula jadi dan memanfaatkan kekuatan ekopelancongan yang belum terusik.
05 Jun 25
116
Ulu Kekabu Produk Pelancongan Baharu Berasaskan Komuniti
Ulu Kekabu Produk Pelancongan Baharu Berasaskan Komuniti
SETIU, 4 Jun – Kerajaan Terengganu berhasrat menjadikan Lata Ulu Kekabu sebagai produk pelancongan baharu berasaskan komuniti (CBT), dengan mengekalkan keaslian alam semula jadi dan memanfaatkan kekuatan ekopelancongan yang belum terusik. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata, Ulu Kekabu memiliki ciri unik kerana masih belum tercemar, malah kekal dengan struktur semula jadi hutan dan batu-batu yang tidak pernah dialihkan. "Tempat ini masih tidak diusik, masih lagi tempat yang mempunyai pokok-pokok yang tidak ditebang dan batu-batu yang masih original," katanya ketika lawatan kerja ke lokasi tersebut semalam. Beliau berkata, pembangunan kawasan itu akan dilakukan secara berhati-hati bagi mengekalkan keseimbangan ekologi, dengan pihak berkuasa tempatan diminta memastikan tiada aktiviti penebangan dilakukan. "Saya sudah beritahu kepada YDP Setiu supaya jaga tempat ini, jaga sumber alam semulajadi dan jangan beri peluang kepada sesiapa sahaja untuk tebang pohon-pohon yang ada di sekitar ini," tegasnya. Sebagai langkah awal, kerajaan negeri meluluskan peruntukan sebanyak RM20,000 untuk pembinaan tandas berasingan lelaki dan wanita sebagai kemudahan asas buat pengunjung. "Saya lihat tiada kemudahan tandas di sini, saya sudah bersetuju untuk meluluskan sebanyak RM20,000 untuk membuat asas tandas yang diasingkan antara lelaki dan wanita," katanya. Beliau turut menekankan aspek kebersihan dan keselamatan, termasuk penyediaan tali, laluan trek dan papan tanda sebagai keperluan penting untuk menjadikan kawasan itu mesra pelancong. "Tempat ini kita angkat sebagai Community Based Tourism, jawatankuasa yang menguruskan tempat ini akan menguruskan laluan dan penunjuk arah," jelas beliau. Razali turut menasihatkan agar pendaki yang tidak berpengalaman mendapatkan khidmat malim gunung tempatan yang berlesen serta tidak melakukan aktiviti bersendirian bagi mengelakkan risiko keselamatan. Untuk memasuki kawasan hutan simpan, pengunjung diwajibkan mendapatkan permit daripada Jabatan Perhutanan dengan bayaran RM10 seorang, selain menggunakan khidmat malim gunung yang berdaftar. "Sekarang sudah disediakan kemudahan bayaran secara atad talian dan wajib gunakan khidmat malim gunung untuk masuk ke kawasan hutan simpan," ujarnya. Beliau turut menegaskan bahawa sebarang aktiviti menebang pokok besar adalah dilarang, manakala pemotongan semak renek bagi tujuan perkhemahan masih dibenarkan dengan kawalan.
04 Jun 25
849
Ahli Akademik Setuju Terengganu Naikkan Papan Tanda Amaran LGBT
Ahli Akademik Setuju Terengganu Naikkan Papan Tanda Amaran LGBT
KUALA TERENGGANU, 4 Jun - Usaha kerajaan negeri menaikkan papan tanda amaran homoseksual disokong oleh Rektor Kolej Universiti TATI (UC TATI), Prof. Ir. Dr. Hairul Azhar Abdul Rashid bagi menimbulkan kesedaran serta rasa benci terhadap perbuatan terkutuk dan ditegah keras dalam ajaran Islam. Katanya, papan iklan seumpama itu yang memaparkan maklumat penerangan dan kesedaran awam terhadap perbuatan itu sangat baik. "Bahkan elok sekiranya diperluaskan ke seluruh pelusuk negeri dinaikkan di hadapan universiti awam sebagaimana dipasang  di hadapan Universiti Malaysia Terengganu (UMT). "Juga kita mengalu-alukan agar ia turut dinaikkan  di hadapan UC TATI sebagai usaha pencegahan," ujarnya ketika dihubungi, di sini, hari ini. Jelas beliau, usaha yang dilakukan kerajaan Terengganu ini bagi memperkasakan syariah merupakan satu usaha yang sangat baik bagi memastikan negeri ini terus maju, berkat dan sejahtera. "Khususnya untuk kebaikan sosial dan sudah tentu akan mengundang keredaan daripada Allah SWT. "Menunjukkan komitmen kerajaan negeri dalam pengukuhan peranan Islam selari dengan sistem perundangan negara," ujarnya. Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata kerajaan menaikkan papan tanda yang dipasang di laluan utama berhampiran Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melarang perlakukan homoseksual adalah sebahagian daripada pendekatan dakwah berteraskan prinsip 'amar makruh nahi mungkar'.  
04 Jun 25
164
Transformasi Reban Ayam Tertutup Dilaksana di Terengganu
Transformasi Reban Ayam Tertutup Dilaksana di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 4 Jun - Kerajaan negeri kini menggalakkan bakal penternak ayam komersial untuk menggunakan sistem reban tertutup sebagai langkah memodenkan industri penternakan ayam di Terengganu. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi, Dato' Dr. Azman Ibrahim berkata, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada transformasi sektor ternakan ayam di negeri itu. "Antara kelebihan reban tertutup ialah kawalan persekitaran yang sihat tanpa pencemaran bau dan lalat berbanding dengan sistem reban terbuka.  "Proses tumbesaran ayam juga lebih cepat," katanya dalam satu kenyataan yang telah dikeluarkan melalui hantaran media sosialnya baru-baru ini. Beliau turut memaklumkan bahawa pembinaan reban ayam baharu menggunakan sistem terbuka tidak lagi akan diberikan kelulusan, dan kerajaan negeri menggalakkan para pengusaha sedia ada untuk beralih kepada sistem reban tertutup. "Adapun bagi reban terbuka sedia ada, kerajaan negeri menggalakkan para pengusaha melakukan transformasi kepada sistem reban tertutup secara berperingkat.  "Kita belum menetapkan suatu tempoh masa untuk perubahan ini dilakukan kerana memahami bahawa proses transformasi reban terbuka kepada reban tertutup akan melibatkan kos yang besar," ujarnya. Dalam pada itu, pihaknya juga mempunyai perancangan untuk membina beberapa lagi fasiliti ternakan tertutup untuk diserahkan kepada pengusaha tempatan yang memenuhi syarat-syarat kelayakan yang telah ditetapkan. Mengikuti perkembangan berkaitan, reban ayam Jabatan Veterinar Terengganu berkonsepkan reban tertutup di Baruh Masin, Besut dengan kos baik pulih sebanyak RM700 ribu kini telah mula beroperasi sepenuhnya sejak bulan lepas dan dijangkakan penuaian hasil pertama pada pertengahan bulan ini.
04 Jun 25
707