lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

RXZ Members, Takafulgo Jalin Kerjasama Lindungi 100,000 Peserta
RXZ Members, Takafulgo Jalin Kerjasama Lindungi 100,000 Peserta
KUALA TERENGGANU, 15 Jun – Buat julung kalinya, RXZ Members menjalin kerjasama strategik bersama Takafulgo Venture dalam menyediakan perlindungan takaful kepada 100,000 peserta yang dijangka hadir ke Program RXZ Members 7.0. Kerjasama ini dimeterai melalui satu Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani di Duyong Marina & Resort petang tadi. Langkah tersebut merupakan satu inisiatif inovatif ke arah meningkatkan kesedaran dan akses terhadap perlindungan takaful dalam kalangan komuniti permotoran, khususnya pemilik motosikal Yamaha RXZ di seluruh Malaysia. Penganjur program, Mohamad Faizal Mat Ali berkata, penawaran skim takaful itu merupakan satu penambahbaikan penting dalam usaha menjadikan acara permotoran terbesar itu lebih selamat dan bertanggungjawab. "Peserta datang dari seluruh negara, dari Johor, Melaka, malah ada yang sanggup hadir dari Sabah dan Sarawak.  "Kita sentiasa mengharapkan semuanya berjalan lancar tanpa sebarang insiden, namun hakikatnya kejadian tidak diingini boleh berlaku. Justeru, dengan adanya perlindungan takaful ini, sekurang-kurangnya peserta akan dilindungi jika berlaku sesuatu yang tidak diingini," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media, selepas menghadiri majlis tersebut, di sini, hari ini.  Beliau berharap agar para peserta mengambil peluang untuk mencarum dalam skim yang ditawarkan agar keselamatan dan kebajikan mereka lebih terjamin sepanjang program berlangsung. "Sebagai penganjur program ini, saya sarankan ambillah takaful ini di samping itu saya nasihatkan agar masing-masing menjaga keselamatan dengan memastikan rehat yang cukup, jaga kesihatan dan pastikan motor dalam keadaan baik serta mengikut undang-undang apabila memulakan perjalanan untuk ke program nanti,"ujarnya, Dalam pada itu, Pengarah Takafulgo Venture, Irwan Ima Mahmud berkata, skim takaful yang ditawarkan serendah RM70 sahaja setahun meliputi perlindungan harian sepanjang 24 jam setiap hari tanpa mengira di mana peserta itu berada.  "Sekiranya berlaku kematian kita akan lindungi sehingga RM50,000, disampaikan buat orang tersayang kerana kita tahu rata-rata peserta yang datang dan pemilik RXZ ini merupakan mereka yang sudah berkeluarga. "Peserta juga akan kita lindungi apabila berlakunya hilang upaya akibat kemalangan, biasanya apabila ini berlaku ada yang terjejas kehidupan kerana tidak boleh bekerja seperti biasa," ujar beliau. Tambah beliau, permohonan bagi mendapatkan skim takaful itu amat mudah, hanya melalui atas talian serta tidak perlu melalui ujian kesihatan. Untuk maklumat lanjut peserta boleh layari website www.takafulgoo.com  
15 Jun 25
191
80 JPKK Setiu Terima Watikah Pelantikan
80 JPKK Setiu Terima Watikah Pelantikan
SETIU, 15 Jun - Sebanyak 80 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) daerah Setiu menerima watikah pelantikan dalam satu majlis yang berlangsung di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Setiu (MDS), Sungai Tarom. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata JPKK seharusnya memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat di bawah lebih-lebih lagi mereka yang memerlukan dan juga sebagai pemudah cara. "Di negeri Terengganu sebanyak 1,050 JPKK, dan kita semua adalah sebahagian daripada itu, cari titik persamaan dalam semua perkara dan menyelesaikan dengan kebijaksanan. Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Penyerahan Watikah Pelantikan JPKK Daerah Setiu. JPKK daerah Setiu melibatkan Dewan Undangan Negeri kawasan Langkap dan Permaisuri masing-masing terdiri sebanyak 34 dan 46. Terdahulu disampaikan taklimat daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Terengganu. "Saya ingin berkongsi beberapa tips dan panduan bekerja dalam JPKK, kita hendaklah biasakan menyenarai kerja yang nak dibuat supaya semuanya teratur, tingkatkan disiplin dalam organisasi dan menilai daripada segi keutamaan dalam membuat keputusan,"ujarnya lagi.  
15 Jun 25
46
Penerangan Isu Semasa Bantu Rakyat Fahami Perkembangan Terkini
Penerangan Isu Semasa Bantu Rakyat Fahami Perkembangan Terkini
HULU TERENGGANU , 15 Jun – Ceramah menjadi wadah penting bagi memperjelaskan perkembangan pasca Sidang DUN serta membincangkan pelbagai isu semasa yang melibatkan pentadbiran negeri dan perjuangan rakyat di peringkat nasional.  Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Dato’ Rosol Wahid berkata, program seumpama itu penting bagi memberi pencerahan kepada rakyat tentang isu-isu semasa di peringkat negeri dan negara. “Penerangan seperti ini sangat penting supaya kita sama-sama faham apa yang sedang berlaku dan tidak mudah terpengaruh dengan maklumat yang tidak tepat,” katanya kertika berucap di Ceramah Isu Semasa Pasca Sidang DUN yang diadakan di Balairaya Kampung Langgar semalam. Menurutnya, kehadiran orang ramai walaupun pada waktu malam menunjukkan semangat dan keprihatinan mereka terhadap isu semasa. Program tersebut merupakan sebahagian daripada usaha pemimpin untuk terus mendekati rakyat serta menjelaskan halatuju dan dasar kerajaan kepada masyarakat.
13 Jun 25
95
Ahmad Amzad Desak Siasatan Khas Kes Yusoff Rawther
Ahmad Amzad Desak Siasatan Khas Kes Yusoff Rawther
KUALA TERENGGANU, 13 Jun – Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Dato' Ahmad Amzad Hashim menggesa kerajaan menubuhkan satu badan siasatan khas dan bebas bagi menyiasat sepenuhnya kes pendakwaan terhadap Muhammed Yusoff Rawther yang didakwa menjadi mangsa konspirasi terancang. Gesaan ini dibuat susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam yang membebaskan Yusoff daripada pertuduhan mengedar 305 gram kanabis dan memiliki dua pistol tiruan, tanpa perlu membela diri. Pertuduhan yang membawa hukuman mati mandatori itu kini terbukti tidak berasas selepas mahkamah mendapati tiada bukti sahih yang mengaitkannya dengan barang-barang kes. “Pembebasan ini menunjukkan bahawa Yusoff adalah mangsa konspirasi jahat yang dirancang dengan licik. Penahanan, pendakwaan dan pemenjaraan selama sembilan bulan sepuluh hari adalah hasil daripada manipulasi kuasa oleh pihak yang sanggup memperalat sistem keadilan untuk mencapai agenda tersembunyi,” tegas beliau dalam satu kenyataan, hari ini. Ahmad Amzad mempersoalkan motif sebenar di sebalik pendakwaan tersebut dan menuntut agar dalang serta pihak yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan. “Persoalannya sekarang, siapakah yang merancang tuduhan ini? Apa kepentingan yang cuba dilindungi? Dan kenapa sanggup mengorbankan masa depan serta nyawa seorang individu tidak bersalah?," soalnya. Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap keyakinan rakyat kepada sistem keadilan negara yang boleh terjejas jika insiden sebegini tidak disiasat secara menyeluruh. “Kejadian ini membuka ruang kepada kebimbangan wujudnya penyalahgunaan kuasa dan campur tangan dalam sistem keadilan jenayah. Ia menggugat asas kepercayaan rakyat terhadap integriti dan kebebasan institusi perundangan negara,” katanya. Justeru, beliau mendesak agar kerajaan segera menubuhkan sebuah badan siasatan bebas dan telus yang diberi kuasa menyeluruh untuk meneliti setiap aspek kes, termasuk proses siasatan, keputusan pendakwaan, serta kemungkinan wujudnya unsur manipulasi atau pengaruh luar. "Pembebasan ini bukan penamat, sebaliknya menjadi titik permulaan kepada pencarian keadilan yang lebih besar. Rakyat berhak mengetahui kebenaran,” tegas beliau.  
13 Jun 25
138
Terengganu Tuan Rumah Persidangan Tenaga Bersih Bertaraf Kebangsaan
Terengganu Tuan Rumah Persidangan Tenaga Bersih Bertaraf Kebangsaan
KUALA TERENGGANU, 10 Jun - Terengganu bakal mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju tenaga bersih negara apabila menjadi tuan rumah East Coast Energy (ECE) 2025. Program itu merupakan sebuah persidangan dan pameran peralihan tenaga utama yang akan berlangsung pada 23 sehingga 24 Jun 2025 di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI), Kuala Terengganu. Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Dr. Ts. Muhtar Suhaili berkata, program itu melibatkan kerjasama pelbagai pihak dari sektor awam dan swasta. "Ia adalah persidangan dan pameran yang melibatkan delegasi-delegasi bukan sahaja daripada Malaysia malah dari luar negara. "Kita ada beberapa rakan-rakan strategik yang banyak memebantu bagi menjayakan program ini. Antaranya ialah Terengganu Inc. selaku rakan strategik utama dan EPIC Berhad sebagai rakan korporat.  "Yang paling penting, kita juga mendapat sokongan dan dorongan yang penuh daripada Petronas selaku rakan ilmu atau rakan kepakaran," katanya. Dr. Muhtar berkata demikian dalam satu sesi wawancara Bicara Khas TV Darul Iman, semalam. Turut hadir, Ahli Jawatankuasa Pemandu Program ECE 2025, Mohd Zamri Abdul Ghani yang juga merupakan Ketua Kualiti dan Jaminan (Kualiti Perusahaan), Penyampaian Projek dan Teknologi, PETRONAS Carigali Sdn. Bhd. Beliau yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kerja bagi program ECE 2025 menjelaskan bahawa penganjuran itu diusahakan oleh kerajaan negeri dan Terengganu Petroleum Council (TPC) dengan kerjasama bersama Informa Markets. "Informa Markets terkenal dengan penganjuran-penganjuran persidangan minyak dan gas termasuklah program utama di Malaysia yang dipanggil sebagai OGA atau 'Oil And Gas Asia'. "Penganjuran bersama ini untuk memastikan perlaksanaan program dapat dilaksanakan secara profesional dan dapat dianjurkan dengan baik," tambahnya. Dr. Ts. Muhtar Suhaili (Kiri) dan Mohd Zamri Abdul Ghani (Kanan) Selain itu jelasnya, beberapa pertubuhan lain turut terlibat, bertindak sebagai organisasi sokongan bagi membantu melaksanakan program tersebut.  "Antaranya, Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Malaysian Petroleum Resources Council (MPRC) satu agensi di bawah Kementerian Ekonomi, Terengganu Oil And Gas Council (TOGC). "Dan ini juga termasuk beberapa lagi persatuan utama minyak dan gas serta tenaga boleh diperbaharui di Malaysia," katanya. Menurutnya lagi, program yang sedemikian merupakan kali pertama bagi negeri Terengganu walaupun telah biasa dijalankan di negeri-negeri lain seperti Sabah dan Sarawak. Ujar beliau, di bawah tema 'Inovasi Tenaga, Memacu Pantai Timur', program yang telah bermula perancangannya dari tahun lepas itu turut telah berjaya mencuri perhatian delegasi-delegasi daripada luar serta dalam negara dengan bilangan penyertaan yang amat menggalakkan. "Penyertaan saya dimaklumkan setakat mesyuarat yang lepas, kita sudah ada sekitar 700 orang delegasi dan mungkin akan lebih lagi menjelang 23 dan 24 Jun nanti," ujarnya.    
12 Jun 25
647
Dr Sam Dilantik Sebagai Yang Dipertua Majlis Pengakap Terengganu
Dr Sam Dilantik Sebagai Yang Dipertua Majlis Pengakap Terengganu
Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, hari ini secara rasmi dilantik sebagai Yang Dipertua Majlis Pengakap Negeri Terengganu setelah menerima sijil pelantikan dalam satu majlis khas yang diadakan di Dewan Jamuan, Tingkat 18, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu.
12 Jun 25
502
Raja Muda Berkenan Menyantuni 15 Keluarga Mangsa Nahas UPSI
Raja Muda Berkenan Menyantuni 15 Keluarga Mangsa Nahas UPSI
Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli berangkat menyantuni 15 keluarga arwah pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris  (UPSI) yang telah terlibat kemalangan bas di Jalan Lebuh raya Timur Barat (JRTB) baru-baru ini.
12 Jun 25
634
"Terima Kasih Semua Pihak Bawa Pulang Jenazah" - Exco
"Terima Kasih Semua Pihak Bawa Pulang Jenazah" - Exco
KUALA TERENGGANU, 12 Jun - Kerajaan Terengganu merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menguruskan tragedi kemalangan bas membabitkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang mengorbankan 15 nyawa pada Isnin lalu. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata, penghargaan tidak terhingga ditujukan kepada petugas perubatan di Hospital Gerik, Hospital Raja Permaisuri Bainun dan Hospital Taiping yang bertungkus-lumus memberi rawatan terbaik kepada mangsa. Katanya, kerajaan negeri juga menzahirkan penghargaan kepada pasukan barisan hadapan termasuk Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Sukarelawan Rakyat serta semua anggota penyelamat yang bertindak pantas demi keselamatan dan kesejahteraan mangsa. “Di samping itu, terima kasih kepada kerajaan negeri Perak terutamanya Pejabat Daerah Gerik, Majlis Bandaraya Ipoh, jabatan-jabatan kerajaan dan agensi-agensi berkaitan yang memainkan peranan penting dalam menyelaras tindakan serta memberi sokongan logistik kepada waris dan keluarga mangsa. “Terima kasih juga kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung khususnya Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terlibat kerana membantu mengurus dan membawa pulang jenazah. “Alhamdulillah, proses membawa pulang kesemua jenazah ke Terengganu mengikut perancangan tanpa sebarang masalah,” ujarnya ketika dihubungi pemberita, hari ini. Maliaman berkata, kerajaan negeri amat menghargai keprihatinan semua pihak yang tampil menghulurkan bantuan. “Terima kasih semua yang prihatin dan terus memberi sokongan kepada mangsa yang masih hidup dan ahli keluarga mangsa yang meninggal.  “Semoga semua mangsa yang cedera dikurniakan kesembuhan dan keluarga yang kehilangan insan tersayang terus diberikan kekuatan serta ketabahan dalam menghadapi saat-saat duka ini,” katanya.
12 Jun 25
207
Terengganu Adakan Bacaan Yasin, Tahlil Buat Arwah Pelajar UPSI
Terengganu Adakan Bacaan Yasin, Tahlil Buat Arwah Pelajar UPSI
KUALA TERENGGANU, 11 Jun – Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) mengarahkan semua masjid di seluruh negeri untuk mengadakan majlis bacaan Yasin dan tahlil bagi menghormati pemergian 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam kemalangan tragis di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Gerik, Perak, Isnin lalu. Ketua Penolong Pesuruhjaya (Pengurusan Masjid) JHEAT, Engku Omar Amiruddin Engku Ali memaklumkan, majlis bacaan Yasin dan tahlil akan dilaksanakan secara serentak selepas solat Maghrib pada Khamis (12 Jun) di seluruh masjid kariah Negeri Terengganu. “Pihak JHEAT memohon kerjasama semua pengerusi jawatankuasa masjid untuk menghebahkan perkara ini kepada ahli kariah masing-masing dan memastikan pelaksanaannya berjalan lancar,” ujarnya dalam satu kenyataan. Sebanyak 15 nyawa pelajar telah terkorban dalam kemalangan ngeri yang berlaku berhampiran Tasik Banding, Perak, yang turut mencetuskan gelombang kesedihan di seluruh negara. JHEAT turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang memberi kerjasama dan menyeru umat Islam di negeri ini untuk turut sama menzahirkan solidariti dalam bentuk doa dan keprihatinan.
12 Jun 25
331
Raja Muda Berkenan Menyantuni 15 Keluarga Mangsa Nahas UPSI
Raja Muda Berkenan Menyantuni 15 Keluarga Mangsa Nahas UPSI
BESUT, 11 Jun - Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli berangkat menyantuni 15 keluarga arwah pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris  (UPSI) yang telah terlibat kemalangan bas di Jalan Lebuh raya Timur Barat (JRTB) baru-baru ini. Keberangkatan baginda tepat pada jam 8.30 pagi dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud ke daerah Besut dan Setiu turut diiringi oleh Yang Amat Mulia Tengku Puteri Utama Raja serta Tengku Puteri Daulath Raja. Perjalanan ziarah penuh makna itu bermula di kediaman keluarga salah seorang mangsa di Kampung Rahmat, Setiu, sebelum diteruskan merentas waktu selama lima jam ke 14 lagi lokasi berbeza di daerah Besut. Setiap persinggahan sarat dengan emosi dan kasih yang tidak berbelah bahagi. Kunjungan penuh empati itu adalah bertujuan bagi menzahirkan rasa dukacita baginda terhadap tragedi yang telah menimpa semua mangsa yang terkorban.  Dalam pada itu, kehadiran baginda bukan sekadar memberikan kata-kata semangat, tetapi turut disertai dengan doa dan tanda solidariti yang mendalam terhadap rakyat, khususnya buat keluarga mangsa yang sedang menempuh detik paling mencabar dalam kehidupan mereka. Yang Di-Pertuan Muda Terengganu turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada keluarga mangsa sebagai tanda kasih dan sokongan, dengan harapan bantuan itu mampu meringankan beban yang ditanggung serta memberi sedikit kelegaan di tengah-tengah kesedihan yang melanda. Bagi memberkati setiap kunjungan baginda, ziarah itu juga telah disertakan dengan doa yang diketuai oleh Pegawai Agama Istana 2, Mohd Faiz Azuan Mazuki, di sini, hari ini. Menambah makna dalam kunjungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin turut hadir di dua lokasi terakhir kunjungan itu yang berada dalam kawasan naungannya sebagai tanda sokongan dan solidariti bersama keluarga mangsa yang sedang meniti saat-saat sukar. Terdahulu, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah telah menzahirkan rasa dukacita dan ucapan takziah baginda berdua kepada seluruh keluarga mangsa. Difahamkan, tragedi yang meruntun hati seluruh negara itu berlaku sewaktu para pelajar dalam perjalanan kembali ke kampus selepas menikmati cuti Aidiladha terakhir bersama keluarga tercinta.  
11 Jun 25
3906