lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

PHB Nyata Hasrat Untuk Terus Melabur Di Terengganu
PHB Nyata Hasrat Untuk Terus Melabur Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 22 Jun - Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) mengesahkan komitmen jangka panjangnya untuk melabur di pantai timur, khususnya di Terengganu. Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PHB, Mohamad Damshal Awang Damit berkata kenyataan itu adalah sorotan daripada pembukaan Mayang mall, bakal menjadi pemangkin kepada perkembangan portfolio hartanah syarikat di negeri-negeri lain seperti Kelantan dan Pahang. Menurutnya, Mayang Mall dengan jumlah pelaburan melebihi RM400 juta bukan sekadar pusat beli-belah, malah simbol kepada pembukaan peluang pelaburan strategik PHB di wilayah pantai timur. "Bukan hanya tertumpu kepada pusat beli-belah, kita akan tengok pendidikan dan juga 'healthcare' di Terengganu. Sebab kami melihat Terengganu ini banyak potensi terutamanya dari segi pendidikan dan 'healthcare'. "Memang ada kami telah membuat perbincangan secara formal dengan beberapa institusi korporat dan pendidikan di Terengganu. Tetapi ianya masih di tahap perbincangan.  "Tapi insya-Allah kami yakin ia akan membuahkan hasil perkongsian perniagaan yang berdaya maju dan kolaborasi yang lebih berjangka panjang," katanya. Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pelaburan Hartanah Berhad, Mohamad Damshal Awang Damit Sebagai syarikat pengurus amanah hartanah untuk Amanah Hartanah Bumiputera (AHB), PHB juga optimis pelaburan di Terengganu akan memberikan pulangan jangka panjang kepada para pelabur, khususnya rakyat negeri itu yang melabur dalam AHB. "Istimewanya, kami bukan sahaja menawarkan unit 'trust' AHB, tetapi kami akan berusaha keras untuk dapatkan pelaburan di Terengganu. "Rakyat Terengganu yang melabur dalam AHB akan dapat merasai hasil daripada pembangunan aset di negeri mereka sendiri.  "Meskipun ia mengambil masa, usaha ke arah pelaburan tersebut telah pun dimulakan. Beliau yang juga merupakan mantan Pengarah Eksekutif (Pelaburan) LembagaTabung Haji (TH) berkata demikian kepada pemberita dalam satu sidang media yang bertempat di Mayang Mall, di sini, hari ini. Dalam pada itu, Damshal turut menjelaskan bahawa pihaknya hanya akan menumpukan fokus kepada hartanah komersial seperti pembangunan kediaman. "Kami tidak masuk dalam industri perhotelan, kami lebih kepada 'commercial property' tetapi dari segi 'living quarters' yang berkaitan dengan penempatan, kemungkinan kita juga boleh masuk dalam kuarters pekerja ataupun penginapan pelajar.  "Tetapi bukan hotel," ujarnya.
22 Jun 25
1752
Fatwa SIS : Semua Negeri Mesti Bersatu – Dr. Khalil
Fatwa SIS : Semua Negeri Mesti Bersatu – Dr. Khalil
KUALA TERENGGANU, 22 Jun – Kerajaan Terengganu menggesa semua negeri di Malaysia bersatu mempertahankan akidah umat Islam susulan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Sisters In Islam (SIS) Forum Malaysia yang dilihat membuka ruang kepada penyebaran fahaman sesat melalui institusi yang berselindung atas nama Islam.  Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi menyifatkan keputusan tersebut sebagai cabaran besar kepada usaha negeri dalam mengekang ideologi liberalisme dan pluralisme agama. Beliau turut menyambut baik keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan fatwa terhadap fahaman liberalisme dan pluralisme agama.  "Kami menyambut baik keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan status fatwa bahawa fahaman liberalisme dan pluralisme agama adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam. "Ia juga mengesahkan bahawa ia sah dari sudut perlembagaan dalam konteks kuasa negeri seperti termaktub dalam Senarai II Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan,” kata beliau dalam satu kenyataan media di laman sosial rasmi beliau hari ini. Namun, beliau turut menzahirkan kebimbangan apabila mahkamah memutuskan bahawa fatwa itu hanya terpakai ke atas individu dan bukan terhadap pertubuhan seperti SIS Forum Malaysia.  "Kerajaan Negeri Terengganu berkongsi rasa dukacita sebagaimana dizahirkan oleh DYMM Sultan Selangor dan Majlis Agama Islam Selangor. "Keputusan ini boleh mengundang kekeliruan kepada masyarakat awam terhadap apa yang dikira sebagai benar dan sah menurut ajaran Islam," ujarnya. Tambah beliau, penyebaran fahaman songsang melalui pertubuhan berdaftar yang membawa nama Islam amat berbahaya dan mesti ditangani dengan tegas.  "Perkataan ‘Islam’ tidak wajar disalah guna dalam nama syarikat atau pertubuhan yang membawa agenda bertentangan dengan prinsip syariah. "Sebarang entiti sama ada individu, pertubuhan mahupun syarikat yang mengangkat fahaman ini perlu dihadapkan tindakan," tambah beliau lagi. Dr. Khalil turut menyokong pandangan penghakiman bertentangan (dissenting judgment) oleh YA Hakim Dato’ Abu Bakar Jais.  "Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa untuk menilai dan memutuskan isu sebegini. "Pertubuhan yang ditadbir oleh individu Muslim tidak boleh dikecualikan daripada fatwa berkaitan," jelasnya. Beliau menyeru Majlis Agama Islam Negeri-Negeri, Kerajaan Persekutuan dan semua pihak berkepentingan untuk memperkukuh undang-undang serta mekanisme penguatkuasaan.  "Ini penting untuk membanteras penyebaran fahaman sesat melalui medium bukan individu. "Kerajaan Terengganu komited memartabatkan syariah Islam serta mengukuhkan dakwah dan pendidikan akidah kepada masyarakat,” tegasnya.
22 Jun 25
87
Sultan Terengganu Rasmi Mayang Mall
Sultan Terengganu Rasmi Mayang Mall
KUALA TERENGGANU, 21 Jun - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat merasmikan kompleks beli-belah Mayang Mall bertempat di Dewan Bankuet Aras 5, Mayang Mall, pagi tadi. Berangkat sama, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku  Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin serta paduka-paduka anakanda. Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Pengerusi Pelaburan Hartanah Berhad (PHB), Yang Mulia Raja Tan Sri Dato' Seri Arshad Raja Tun Uda. Usai majlis, Sultan Mizan bersama Sultanah Nur Zahirah, Raja Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail serta paduka-paduka anakanda berkenan untuk meninjau sekitar kompleks beli-belah itu. Bangunan yang mampu memuatkan 308 lot kedai dengan berkeluasan sebanyak 1.66 juta kaki persegi itu merupakan pusat beli-belah kedua terbesar di Terengganu, menjadi mercu tanda pembangunan yang semakin pesat di negeri tersebut. Dato' Seri Arshad berkata,  perasmian pada hari ini merupakan tanda pelaksanaan strategik PHB di Terengganu. "Kuala Terengganu dipilih sebagai destinasi pertama PHB di Pantai Timur berdasarkan potensi besarnya dalam sektor pelancongan, perdagangan dan perkhidmatan. "Kedudukan geografinya yang strategik, kemudahan infrastruktur yang serba lengkap serta bekalan modal insan yang kukuh, Kuala Terengganu mampu menjadi hab ekonomi baharu Pantai Timur. Beliau berkata demikian ketika sembah ucapan pada majlis perasmian kompleks berkenaan, di sini, hari ini. Tambah beliau, Mayang Mall merupakan pelaburan pemangkin utama oleh PHB di Terengganu menerusi kerjasama erat dengan Kerajaan Negeri dan rakan strategik tempatan. Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin (Kanan) berkenan menyempurnakan gimik perasmian diiringi Pengerusi Pelaburan Hartanah Berhad (PHB), Yang Mulia Raja Tan Sri Dato' Seri Arshad Raja Tun Uda (Kiri) "Hasil hubungan baik bersama Kerajaan Negeri dan rakan strategik tempatan, PHB kini sedang meneroka peluang pelaburan pembangunan hartanah baharu di negeri ini, khususnya dalam sektor kesihatan dan pendidikan. "Lebih membanggakan, Mayang Mall menjadi lokasi cawangan keempat SOGO di Malaysia dan yang pertama di Pantai Timur. Cawangan ini telah memulakan operasinya di sini sejak Disember 2024. "Kehadiran SOGO, diikuti jenama-jenama terkemuka antarabangsa dan tempatan yang kami bawa khas untuk kepelbagaian pilihan serta pengalaman membeli-belah yang lancar buat para pengunjung Mayang Mall," jelasnya. Dalam pada itu, Pengerusi PHB juga menekankan potensi Mayang Mall untuk menjadi pengganda ekonomi yang akan memberi manfaat kepada masyarakat negeri tersebut. "Ia termasuk dari segi mewujudkan peluang pekerjaan dan penawaran platform kepada usahawan tempatan untuk mengembangkan pasaran mereka di dalam Mayang Mall itu sendiri," ujarnya.  
21 Jun 25
967
Sawit TDM Diiktiraf Antarabangsa
Sawit TDM Diiktiraf Antarabangsa
KUALA TERENGGANU, 19 Jun – TDM Berhad terus memperkukuh kedudukannya sebagai pelopor industri sawit mampan negara apabila anak syarikatnya, TDM Plantation Sdn. Bhd. (TDMP) berjaya meraih pengiktirafan tempatan dan antarabangsa atas komitmennya terhadap kelestarian alam dan pematuhan etika industri. Pengerusi TDM Berhad, Tengku Seri Bijaya Raja menyatakan bahawa pensijilan yang diterima membuktikan pendekatan TDM bukan sahaja selari dengan dasar hijau negara, bahkan membuka akses pasaran yang lebih luas dan bernilai tinggi. "TDMP telah diiktiraf menerusi pensijilan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO) dan Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO), yang melibatkan pengeluaran Minyak Sawit Mampan Diperakui (CSPO) dan Isirung Sawit Mampan Diperakui (CSPK)," kata beliau. Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-60 di KMI Kuala Terengganu Medical Centre, di sini, semalam. Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM Berhad, Najman Kamaruddin; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Incorporated, Dato’ Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun Beliau menyifatkan pencapaian ini sebagai manifestasi usaha konsisten dalam mematuhi garis panduan ketat yang ditetapkan industri, dengan menekankan aspek kelestarian, hak pekerja, pemeliharaan biodiversiti dan integriti rantaian bekalan. "Ini adalah pengiktirafan terhadap amalan ladang yang bertanggungjawab, dan sekaligus meletakkan TDM sebagai peneraju industri sawit yang beretika dan berpandangan jauh," ujarnya. TDMP turut melaksanakan transformasi ladang secara menyeluruh, melibatkan sistem pemantauan berasaskan data seperti Estate Block Analytical System (E-BAS), penggunaan teknologi GPS dan GIS, serta mekanisasi penuaian bagi meningkatkan hasil secara mampan. Menurut beliau lagi, pensijilan ini akan meningkatkan daya saing syarikat di peringkat antarabangsa, khususnya di pasaran Eropah dan Asia Timur yang amat menitikberatkan sumber sawit yang beretika dan mapan.
19 Jun 25
235
Pusat Rawatan Kanser Swasta TDM Pertama di Pantai Timur
Pusat Rawatan Kanser Swasta TDM Pertama di Pantai Timur
KUALA TERENGGANU, 18 Jun – Satu lagi sejarah bakal dilakar apabila TDM Berhad melalui anak syarikatnya, Kumpulan Medic Iman (KMI Healthcare), akan membina pusat rawatan kanser swasta pertama di Pantai Timur. Projek bernilai RM70 juta itu bakal didirikan di KMI Kuantan Medical Centre (KMC) dan dijangka siap menjelang suku ketiga tahun 2027, menjadikan ia antara pusat onkologi swasta paling lengkap di rantau ini. Pengerusi TDM Berhad, Tengku Seri Bijaya Raja berkata, pembinaan ini adalah sebahagian daripada komitmen berterusan kumpulan dalam memperkukuh sektor penjagaan kesihatan swasta yang lebih inklusif dan pakar. "Pusat Onkologi ini akan dilengkapi fasiliti menyeluruh termasuk rawatan kemoterapi, radioterapi dan perubatan nuklear. "Ketika ini, kemoterapi sudah pun bermula di KMC dengan kehadiran pakar onkologi, Dr. Hadi Ab Jalil.  "Tapi pembangunan pusat khusus ini akan menambah baik kemudahan sedia ada termasuk rawatan radioterapi yang perlukan peralatan khas berasaskan bahan radioaktif," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-60 TDM Berhad yang berlangsung di KMI Kuala Terengganu Medical Centre, semalam. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM Berhad, Najman Kamaruddin; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Incorporated, Dato’ Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun Tambah beliau, kehadiran pusat ini amat dinanti kerana sebelum ini pesakit kanser dari Pantai Timur terpaksa bergantung kepada Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) di Kubang Kerian untuk mendapatkan rawatan lanjutan. "Dengan adanya pusat onkologi ini, pesakit dari Kuantan, Kemaman, Dungun dan kawasan sekitar yang ada perlindungan insurans atau mahukan rawatan swasta kini ada pilihan lebih dekat dan selesa," katanya. Mengulas lanjut, beliau turut mendedahkan bahawa satu lagi pusat rawatan kanser bakal dibina di Terengganu. "Kita belum umum secara rasmi, tetapi memang dalam perancangan jangka panjang untuk bina pusat onkologi di KMI Kuala Terengganu," ujarnya.  
19 Jun 25
923
TDM Pacu Agenda Sifar Karbon, Tenaga Hijau Jadi Keutamaan
TDM Pacu Agenda Sifar Karbon, Tenaga Hijau Jadi Keutamaan
KUALA TERENGGANU, 18 Jun – TDM Berhad melangkah berani ke hadapan dengan komitmen jangka panjang untuk mencapai sifar bersih pelepasan karbon menjelang tahun 2050, seiring hasrat menjadi peneraju kelestarian dalam sektor strategik negara. Pengerusi TDM Berhad, Tengku Seri Bijaya Raja menjelaskan bahawa syarikat telah menyusun pelan halatuju jelas bagi menangani isu perubahan iklim secara berkesan. "Kami menyasarkan pengurangan intensiti pelepasan gas rumah hijau (GHG) sebanyak 30 peratus menjelang 2030, dan akhirnya mencapai pelepasan karbon sifar bersih pada tahun 2050," katanya ketika sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-60 di KMI Kuala Terengganu Medical Centre, di sini, kelmarin.  Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM Berhad, Najman Kamaruddin, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Incorporated, Dato’ Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun.  Menurutnya, TDM telah melaksanakan pelbagai pendekatan hijau bagi memastikan matlamat itu bukan sekadar retorik, malah realiti yang boleh diukur dan dikekalkan. "Antara usaha utama termasuk pemasangan panel solar, sistem pendingin HVAC cekap tenaga, pelaksanaan dandang hijau di kilang sawit, serta inisiatif program kredit karbon yang menyokong imbangan pelepasan," jelasnya. Beliau turut menyifatkan keberkesanan strategi itu dapat dilihat menerusi peningkatan prestasi dua loji biogas milik TDM di Sungai Tong dan Kemaman yang mula beroperasi sepenuhnya sejak 2022. "Pada tahun 2024 sahaja, loji-loji ini berjaya menjana lebih 18.8 juta kilowatt jam tenaga boleh diperbaharui, meningkat lima peratus berbanding tahun sebelumnya," tambahnya lagi. Menurut beliau, lonjakan ini membuktikan keupayaan TDM dalam memanfaatkan teknologi hijau bukan sahaja demi kelangsungan alam sekitar, bahkan menjana pulangan operasional yang mampan.
19 Jun 25
88
Loji Biogas TDM Sumbang Tenaga Hijau
Loji Biogas TDM Sumbang Tenaga Hijau
KUALA TERENGGANU, 18 Jun – TDM Berhad memperkukuh langkahnya ke arah tenaga mampan apabila dua loji biogas miliknya berjaya menjana hampir 19 juta kWh tenaga hijau sepanjang tahun 2024, sekaligus menyumbang kepada grid nasional dan menyokong agenda sifar karbon negara. Pengerusi TDM Berhad, Tengku Seri Bijaya Raja berkata, pencapaian ini adalah bukti nyata bahawa pelaburan TDM dalam teknologi tenaga boleh diperbaharui bukan hanya bersifat simbolik, malah memberi impak sebenar kepada alam sekitar dan ekonomi negara. "Sepanjang tahun 2024, sejumlah 18,868,173 kilowatt-jam (kWh) tenaga boleh diperbaharui berjaya dijana dan disalurkan ke grid nasional,” katanya ketika sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-60 di KMI Kuala Terengganu Medical Centre, di sini, semalam. Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM Berhad, Najman Kamaruddin; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Incorporated, Dato’ Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun Beliau turut menjelaskan bahawa peningkatan sebanyak 5 peratus berbanding tahun sebelumnya merupakan petunjuk jelas terhadap kecekapan operasi dan keupayaan loji tersebut dalam memenuhi sasaran kelestarian jangka panjang syarikat. "Kita sedang memacu perubahan, daripada loji yang dulu hanya memproses sisa, kini menjadi sumber tenaga hijau yang menyumbang kepada sistem tenaga negara," jelasnya. Tambah beliau, loji biogas TDM yang beroperasi di Sungai Tong dan Kemaman dibangunkan sebagai sebahagian daripada strategi hijau TDM yang turut merangkumi penggunaan panel solar, sistem HVAC cekap tenaga dan projek dandang hijau (green boiler). Kejayaan ini sekaligus menyokong sasaran TDM untuk mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah hijau (GHG) sebanyak 30 peratus menjelang 2030 serta mencapai sifar bersih pelepasan karbon menjelang 2050. Menurut beliau, TDM akan terus meningkatkan kapasiti tenaga bersih dengan pelaburan tambahan dalam teknologi hijau dan memperluaskan skop tenaga boleh diperbaharui di ladang-ladang miliknya.
18 Jun 25
183
Syarikat Terengganu Raih Pendapatan Tertinggi, Untung Lima Tahun Berturut-Turut
Syarikat Terengganu Raih Pendapatan Tertinggi, Untung Lima Tahun Berturut-Turut
Anak Syarikat kerajaan negeri, TDM Berhad mencatat pencapaian cemerlang apabila merekodkan pendapatan sebanyak RM645.6 juta bagi tahun 2024 menjadikan ia tertinggi dalam sejarah, seterusnya mengekalkan keuntungan lima tahun berturut-turut. 
18 Jun 25
487
Hospital Mesra Ibadah Jadi Identiti KMI Healthcare
Hospital Mesra Ibadah Jadi Identiti KMI Healthcare
KUALA TERENGGANU, 18 Jun – Konsep Hospital Mesra Ibadah yang diperkenalkan Kumpulan Medic Iman Sdn. Bhd. (KMI Healthcare) di bawah TDM Berhad kini menjadi pembeza utama dalam landskap penjagaan kesihatan swasta di negara ini, mendekatkan rawatan perubatan dengan nilai spiritual dan ketenangan jiwa. Pengerusi TDM Berhad, Tengku Seri Bijaya Raja menegaskan bahawa nilai ini bukan sekadar pelengkap, tetapi menjadi tunjang kepada pendekatan holistik KMI dalam menjaga kesihatan fizikal dan rohani pesakit. "Inisiatif Hospital Mesra Ibadah ini memberi nilai tambah yang besar dan menjadi identiti tersendiri buat KMI Healthcare di pasaran," kata beliau kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-60 di KMI Kuala Terengganu Medical Centre, di sini, semalam. Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM Berhad, Najman Kamaruddin; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Incorporated, Dato’ Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun Beliau menjelaskan, setiap hospital KMI menampilkan fasiliti dan pegawai syariah khusus bagi membimbing pesakit dalam soal ibadat, selain menyediakan persekitaran rawatan yang menghormati keperluan spiritual pesakit. "Kami pastikan setiap pesakit yang datang ke hospital KMI, terutamanya yang Muslim, diberi perhatian dari sudut ibadah,  ada yang bertanya waktu solat, cara berwuduk, rukhsah ketika sakit, dan semuanya dijawab oleh pegawai syariah yang terlatih," ujarnya. Tambah beliau, antara elemen eksklusif yang ditawarkan ialah bilik rawatan seratus peratus berkonsep ‘single bedded’, sesuatu yang jarang ditawarkan hospital swasta lain dengan harga kompetitif. "Hospital swasta biasanya ada empat katil sebilik atau berkongsi, tetapi di hospital KMI, semuanya bilik seorang. Ini beri privasi penuh, dan sebenarnya inilah yang ramai pesakit cari," tambahnya. Beliau turut menyatakan bahawa pesakit dari luar kawasan, termasuk dari Dungun, Kemaman dan Kelantan memilih hospital KMI kerana konsep ini memberi rasa lebih dihargai, tenang dan berperikemanusiaan.
18 Jun 25
129
Prestasi PAS Kini Terbaik, Mengapa Nak Tukar Presiden?
Prestasi PAS Kini Terbaik, Mengapa Nak Tukar Presiden?
"Prestasi PAS sekarang adalah antara yang terbaik, kenapa perlu tukar Presiden," itu lontaran suara Naib Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS), Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar ketika ditanya tentang kewajaran Tan Sri Abdul Hadi Awang berundur dari jawatan presiden parti berkenaan berikutan keadaan kesihatannya.
18 Jun 25
110