lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Hati Nafuzi Masih Untuk Terengganu FC
Hati Nafuzi Masih Untuk Terengganu FC
KUALA TERENGGANU, 27 November - Nafuzi Zain menyatakan keutamaannya masih kepada Terengganu FC meskipun kontraknya bersama pasukan itu bakal tamat 30 November ini. "Saya masih menunggu tawaran Terengganu FC sebelum membuat sebarang perancangan. "Jika ada kelab yang sudi berunding, saya terbuka untuk berbincang tetapi keutamaan saya masih untuk Terengganu FC kerana sepanjang dua tahun bersama, saya rasa ada misi yang belum tercapai," katanya. Beliau berkata demikian ketika diminta pemberita mengulas statusnya bersama Terengganu FC, selepas perlawanan semalam. Jelasnya, masih ramai pemain yang perlu bimbingan dan memerlukan lebih masa untuk matang menjadi pemain lebih baik. "Pandangan dalam bola sepak ini berbeza antara individu, mungkin ada yang rasakan saya bagus, ada yang tidak. "Namun, secara peribadi saya berpuas hati dengan persembahan pemain, saya bangga kerana ramai pemain muda tempatan mendapat peluang untuk bermain di peringkat tertinggi," katanya.
27 Nov 21
2926
Bantuan Persekolahan Terima Reaksi Positif Ibu Bapa
Bantuan Persekolahan Terima Reaksi Positif Ibu Bapa
KUALA TERENGGANU, 27 November – Hasil tinjauan sebahagian penerima Bantuan Persekolahan Tahun 2021 Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk rata-rata menunjukkan respon yang amat positif terutamanya daripada golongan ibu bapa. Kebanyakkan menyifatkan sumbangan tersebut mampu meringankan beban dalam membuat persiapan persekolahan anak-anak mereka. “Saya ada empat orang anak yang masih bersekolah dan dana ini membolehkan saya untuk membeli pakaian dan alatan persekolahan anak-anak, tanpa perlu risau kos seperti sebelum ini” kata Roslan Ali, 42, ketika ditemu bual pemberita.   Sementara itu, ibu kepada dua orang anak, Liza Ali, 39, merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak kerajaan atas sumbangan permulaan persekolahan tersebut yang juga diberikan setiap tahun. “Alhamdulillah, setiap tahun kami sekeluarga menerima dana ini, wang tunai sebanyak RM100 akan dimanfaatkan untuk perkakasan sekolah pada sesi baharu ini. “Justeru, saya mengucapkan banyak-banyak terima kasih kepada pihak kerajaan atas bantuan yang diberikan ini,” kata Liza. Seramai 2212 orang penerima telah menerima Bantuan Persekolahan Tahun 2021 Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk semalam dalam satu majlis yang dirasmikan oleh ADUN Batu Buruk, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi.  Jumlah penerima tersebut merupakan yang tertinggi dalam Parlimen Kuala Terengganu.
27 Nov 21
560
Paras Air Sungai Di Terengganu Meningkat
Paras Air Sungai Di Terengganu Meningkat
KUALA TERENGGANU, 26 November - Bacaan paras air di beberapa sungai terutama Sungai Nerus mula menunjukkan trend meningkat berikutan hujan sederhana lebat sejak pagi hari ini. Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana negeri, Hanafiah Mat berkata sehingga jam 2 petang tadi, Sungai Nerus di Kampung (kg) Langkap, Setiu yang merekodkan bacaan 17.54 meter (m) melepasi paras normal 17.00 m. "Sungai Nerus di Kg Bukit juga menunjukkan trend menaik dari paras normal 6.00 m ke 7.83 m. "Dua sungai di Setiu yang melepasi paras normal adalah Sungai Nerus di Kampung Besut dengan bacaan 14.83m dan Sungai Setiu di Jambatan Permaisuri yang berada pada paras 6.03 m," katanya ketika dihubungi. Tambah beliau, di Kemaman, Sungai Kemaman di Air Putih dan Paya Raman turut merekodkan bacaan menaik dari paras normal. Sementara itu katanya, lima lagi sungai kini direkodkan melepasi paras normal membabitkan tiga sungai di Dungun dan dua di Hulu Terengganu. Justeru itu, Hanafiah berharap semua jawatankuasa bencana peringkat negeri dan daerah sudah berada dalam kesiapsiagaan serta bersedia menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya berlaku banjir pada bila bila masa. "Sekiranya berlaku kenaikan air yang mendadak, kita minta supaya semua penduduk jangan panik dan bersiap sedia untuk keluar mendaftar di pusat pemindahan sementara. "Jangan tunggu air tinggi dulu baru nak pindah, jaga keselamatan keluarga kita," ujar beliau. - Gambar fail.      
26 Nov 21
1337
Amaran Cuaca : Penduduk Kawasan Rendah Empat Daerah Diminta Waspada
Amaran Cuaca : Penduduk Kawasan Rendah Empat Daerah Diminta Waspada
KUALA TERENGGANU, 26 November - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menasihati penduduk kawasan rendah berwaspada dengan kemungkinan banjir menurut amaran cuaca waspada peringkat kuning bagi empat daerah di Terengganu yang dijangka berkuatkuasa sehingga esok. Menerusi laporan cuaca rasminya, antara kawasan terbabit adalah Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Setiu dan Besut disebabkan oleh pengaruh angin dari arah Timur Laut. “Sepanjang tempoh ini, kawasan terbabit masih berpotensi menerima hujan lebat secara berterusan, oleh itu, orang awam kawasan terbabit lebih berhati-hati terutamanya di kawasan berkedudukan rendah dan kerap dilanda banjir. “Kelompok awam aktif masih lagi tertumpu melibatkan timur semenanjung, agak tebal, menunjukkan keadaan hujan masih berterusan pada tempoh lama. “Terdahulu, hujan berterusan tersebut telah berlaku sejak lewat malam tadi dengan keadaan angin ketika ini dipengaruhi dari arah timur laut, dengan terdapat kawasan penumpuan angin di Kelantan dan Terengganu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. Menurutnya lagi, keadaan tersebut boleh memberikan potensi keadaan cuaca lembap di kawasan tersebut serta keadaan angin bertiup kencang dengan kelajuan boleh mencapai sehingga 60 km/j.
26 Nov 21
3083
Tayangan TFC Vs JDT Di 'Big Screen' Stadium Malam Esok
Tayangan TFC Vs JDT Di 'Big Screen' Stadium Malam Esok
MARANG, 25 November – Kerajaan Negeri menerusi Urusetia Belia, Sukan dan NGO Terengganu Sejahtera (UBSNT) akan membawa suasana dan ‘feel’ saingan separuh akhir kedua Piala Malaysia dalam tayangan skrin besar di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pada malam esok. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, acara tersebut adalah bagi membawa kehangatan perlawanan antara Terengganu FC (TFC) menentang Johor Darul Ta'zim buat penyokong dalam negeri. “Selain itu, untuk daerah lain juga ada menganjurkan tayangan ‘big screen’ di Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing. “Di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), hanya 500 kerusi disediakan buat peminat daripada Terengganu, TFC juga menyediakan tawaran istimewa melalui pakej penerbangan bersama pemain dan pihak pengurusan dengan 70 tempat terhad. “Manakala pelbagai kelab penyokong daripada daerah lain mengambil inisiatif mereka menggunakan bas bagi membawa penyokong di sana,” katanya selepas Majlis Penyampaian Sijil Tamat Latihan Graduan IKBN Wakaf Tapai 2020/2021, pagi tadi. Tambahnya, beliau mengharapkan TFC membawa kejutan dalam perlawanan tersebut kerana ia adalah perkara tidak mustahil memandangkan kelab tersebut pernah mengalahkan Johor di laman sendiri. Menurut penganjur, majlis bermula pada Jumaat malam akan dimulakan dengan Solat Isyak berjemaah pada jam 8.00 malam dengan tayangan bermula pada jam 9 malam, Terdahulu, keputusan kekal 1-1 dan Terengganu FC akan bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Jumaat ini dalam aksi timbal balik dengan juara Liga Super 2021 itu memiliki kelebihan gol di tempat lawan.
25 Nov 21
1570
Permintaan Lepasan IKBN Terengganu Seperti 'Goreng Pisang'
Permintaan Lepasan IKBN Terengganu Seperti 'Goreng Pisang'
Marang, 25 November – Kadar kebolehpasaran Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di Terengganu diibaratkan seperti pisang goreng dengan peningkatan peratusan sehingga 90 peratus dan permintaan pasaran yang masih luas. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, Laporan Pencapaian KPI Utama Kementerian Belia dan Sukan menunjukkan kadar kebolehpasaran Graduan ILKBS telah meningkat daripada 80% pada tahun 2013 kepada 90.94% pada tahun 2020 dengan gaji purata RM1,711 sebulan. “Kebanyakkan lepasan graduan telah ‘dicop’ atau ditempah daripada pemain industry yang memerlukan kepakaran mereka dalam pelbagai bidang kemahiran. “Pertama sekali saya ingin mengucapkan tahniah kepada IKBN Wakaf Tapai di atas penganjuran majlis ini bagi meraikan kejayaan para graduan, para pendidik serta pengorbanan ibu bapa yang telah membentuk insan intelek masa depan yang murni sahsiahnya. “Diharapkan IKBN Wakaf Tapai terus melahirkan graduan yang berkemahiran tinggi yang dapat memberi sumbangan kembali kepada keluarga, kerajaan Negeri Terengganu dan negara,” katanya. Beliau berkata demikian semasa Majlis Penyampaian Sijil Tamat Latihan Graduan IKBN Wakaf Tapai 2020/2021, pagi tadi. Sementara itu, Pengarah IKBN Wakaf Tapai, Zaini Abd Aziz berkongsi, antara pemain industri yang sering berhubung dengan pihaknya bagi mendapatkan kepakaran pelajarnya seperti industri minyak dan gas di Paka (bidang kimpalan) serta kedai jahitan sekitar Kuala Terengganu. “Ini kerana mereka mempunyai skil yang diperlukan pasaran seperti Noor Arfa Batek dan jahitan t-shirt. Walaupun lepasan kita tidak ramai, namun permintaan industry sentiasa luas,” jelasnya. Menurut penganjur, seramai 273 orang graduan telah tamat latihan 2020/2021 iaitu seramai 176 orang bagi lepasan tamat latihan sesi 2020 dan 97 orang bagi lepasan tamat latihan sesi 2021, dengan 100 orang hadir pada majlis penyampaian hari ini.    
25 Nov 21
1442
Terengganu Perluas Dakwah Banteras Kesalahan Zina
Terengganu Perluas Dakwah Banteras Kesalahan Zina
MARANG, 25 November - Golongan yang mempunyai niat untuk melakukan maksiat Zina di Terengganu khususnya sekitar daerah ini perlu membatalkan hasrat mereka kerana aktiviti membanteras kesalahan syariah itu kini sedang giat dijalankan. Satu program memasang bunting kempen 'Jauhi Maksiat Zina' telah diadakan di beberapa premis seperti chalet, hotel, dan resort bagi memberi kesedaran kepada masyarakat akan kesalahan zina yang membawa kepada dosa besar dalam agama islam. Ketua Pertubuhan Amal Maaruf Nahi Mungkar Marang (SKUAD AMAR), Nasaruddin Samsudeng berkata, pihaknya telah mengeluarkan satu bunting untuk dipasang di hadapan kaunter setiap premis sebagai isyarat bahawa mereka telah diberi amaran berkaitan kesalahan tersebut. "Kami telah memberikan kesedaran melalui penerangan dan amaran, malah operasi ke premis-premis juga sering dibuat dan diadakan bagi membanteras perkara yang merosakkan masyarakat khususnya golongan muda ini. "Menurut statistik tangkapan di daerah ini, sebenarnya kebanyakannya mereka yang ditangkap bukan berasal daripada Terengganu dan merupakan pelancong luar yang datang menginap di sini,"ujarnya. Beliau berkata demikian ketika Program Serahan Roll Up Bunting Jenayah Syariah Kesalahan Maksiat di Pejabat Agama Daerah Marang yang dirasmikan oleh Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Wahad Osman. Menurutnya lagi, program seperti itu juga akan diteruskan ke peringkat belia atau pelajar sekolah pada masa akan datang bagi memberikan kesedaran kepada anak muda akan bahaya dan dosa zina. "Kita mendapat kerjasama yang baik daripada DUAT, Pejabat Agama Daerah Marang, Majlis Daerah Marang dan Dewan Pemuda PAS Kawasan Marang di atas cadangan yang akan dibawa kepada pihak sekolah serta pihak bertanggungjawab. "Hal ini perlu diberikan keutamaan kerana masalah yang berlaku dikalangan anak muda dan pelajar tidak boleh dipandang ringan kerana mereka adalah penyambung generasi kita pada masa akan datang," katanya lagi. Tambah beliau, Skuad AMAR berperanan besar dalam memberikan sumbangan tenaga sukarelawan, disamping orang-orang luar serta masyarakat yang turut membantu pihak penguatkuasa. "Sebelum ini, NGO dakwah ini telah mengadakan kempen pencegahan berkaitan kesalahan syariah seperti tidak berpuasa, tidak menunaikan solat jumaat, dan perbuatan tidak sopan ditempat awam," katanya.  
25 Nov 21
1351
2,212 Pelajar Di Batu Buruk Terima Bantuan Persekolahan
2,212 Pelajar Di Batu Buruk Terima Bantuan Persekolahan
KUALA TERENGGANU, 25 November – Seramai 2,212 pelajar di Dewan Undangan Negeri Batu Buruk menerima Bantuan Persekolahan Tahun 2021. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, jumlah tersebut merupakan yang tertinggi dalam Parlimen Kuala Terengganu. “Alhamdulillah, bantuan persekolahan ini diteruskan lagi oleh kerajaan negeri pada tahun ini sebagai satu usaha dalam memberikan kebajikan kepada rakyat. “Bantuan yang kita sampaikan ini menunjukkan keprihatinan kerajaan kepada rakyat supaya hasil kerajaan negeri dapat kembali kepada rakyat dalam pelbagai bentuk dan sektor seperti sektor pendidikan, kebajikan, dakwah, pelaksanaan syariah, ekonomi, pertanian dan sebagainya. “Di samping itu juga, saya berpesan kepada semua untuk sama-sama kita menjaga diri dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) terutama dalam kalangan anak-anak yang hadir ke sekolah,” katanya dalam majlis penyerahan bantuan itu. Majlis yang diadakan di Dewan Dato’ Haji Wan Abdul Muttalib, Kuala Ibai itu berjalan dengan lancar mengikut SOP yang telah ditetapkan.  
25 Nov 21
392
Covid-19: 74 Kematian Dalam Tempoh 14 Hari Di Terengganu
Covid-19: 74 Kematian Dalam Tempoh 14 Hari Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 24 November - Terengganu merekodkan 74 kes kematian akibat Covid-19 sejak dua minggu lepas. Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, trend peningkatan itu agak membimbangkan dengan lapan kematian direkodkan pada 18 November, sembilan kematian pada 15 November dan 17 November, manakala kematian tertinggi dilaporkan pada 20 November iaitu sebanyak 12 kes. Katanya, peningkatan kes kematian ini berkemungkinan disebabkan oleh beberapa faktor. "Antaranya seperti kelewatan mendapatkan rawatan, pesakit yang mempunyai faktor komorbid berganda (melebihi dua), belum mendapatkan vaksinasi dan pesakit berumur lebih 50 tahun. "Contoh komorbid adalah seperti diabetes, penyakit jantung, obesiti dan tekanan darah tinggi yang meningkatkan risiko seseorang itu mudah dijangkiti dan mendapat gejala serius," katanya kepada pemberita. Tambahnya, jumlah kumulatif kematian Covid-19 di Terengganu hingga Selasa ialah 558 kes, manakala jumlah kumulatif kes Covid-19 pula sebanyak 75,051. Manakala kematian tertinggi direkodkan di daerah Kuala Terengganu dengan 118 kes, diikuti Besut (105), Kemaman (92), Dungun (91), Marang (54), Kuala Nerus (52), Setiu (27) dan Hulu Terengganu (19) sejak bermula pandemik Covid-19. Sehingga kini, terdapat 4,297 kes aktif di seluruh Terengganu. Justeru itu, Kasemani menasihatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan. 
24 Nov 21
3016
Kes Denggi Di Terengganu Turun 90.1 Peratus
Kes Denggi Di Terengganu Turun 90.1 Peratus
KUALA TERENGGANU, 24 November -Jumlah kumulatif kes demam denggi di negeri ini menurun kepada hanya 37 kes sepanjang 11 bulan pertama tahun ini berbanding 374 kes dalam tempoh sama, tahun sebelumnya. Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Kasemani Embong berkata, pengurangan sebanyak 90.1 peratus itu turut menyaksikan tiada kes jangkitan kematian akibat denggi dilaporkan di negeri ini, setakat Sabtu lalu. Katanya,  daripada jumlah itu, Kuala Terengganu mencatatkan bilangan kes tertinggi sebanyak 12 kes manakala masing-masing lima kes di Hulu Terengganu, Marang dan Kuala Nerus di samping Besut dan Dungun pula tiga kes, namun sifar di Setiu. “Selain itu, hanya dua episod wabak didaftarkan iaitu di Kuala Nerus dan Hulu Terengganu berbanding 23 episod dalam tempoh masa pada tahun lalu. “Bagaimanapun, memasuki musim monsun, terdapat beberapa kawasan yang berkemungkinan dilanda banjir dan berisiko menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes seperti lopak-lopak air, longkang dan sebagainya, jadi saya minta penduduk setempat mengambil langkah wajar bagi memastikan persekitaran rumah sentiasa bersih,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. Sehubungan itu, Kasemani menyarankan orang ramai agar meluangkan masa sekurang-kurangnya 10 minit setiap minggu untuk aktiviti mengesan dan memusnahkan tempat pembiakan aedes di dalam mahu pun luar rumah di samping lokasi tempat kerja. Katanya, semburan aerosol di kediaman perlu dijalankan di samping mengurangkan aktiviti di luar rumah semasa awal pagi dan lewat petang bagi mengelakkan gigitan nyamuk. -UTUSAN ONLINE  
24 Nov 21
211