Artikel "Utama" Terkini
Liputan Jalur Lebar 4G Di Terengganu Dan Kemaman Meningkat
KUALA LUMPUR, 30 November - Peratusan liputan 4G di kawasan berpenduduk di Terengganu meningkat kepada 94.71 peratus pada suku ketiga tahun ini, berbanding 93.68 peratus sebelum pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) pada suku ketiga 2020.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata secara khususnya di Parlimen Kemaman, peratusan liputan jalur lebar 4G meningkat kepada 94.61 peratus berbanding 84.78 peratus sebelum inisiatif JENDELA.
Beliau berkata setakat Oktober lalu, jumlah struktur pemancar komunikasi di Kemaman adalah 160 yang membabitkan multifungsi sebanyak 35; atas bangunan (29); struktur sementara (enam); menara (89); dan pemancar dinding bangunan (satu); manakala keseluruhan Terengganu adalah 911.
Menurut Zahidi, antara inisiatif bagi menambah baik infrastruktur digital di Kemaman membabitkan penyiapan lapan tapak menara baharu, 148 usaha naik taraf stesen pemancar serta 7,653 premis tersedia gentian optik.
"Secara umumnya, pelaksanaan kesemua inisiatif JENDELA ini bermula sejak September 2020 dan inisiatif yang dalam perancangan akan siap secara berperingkat hingga penghujung 2022," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Che Alias Hamid (PAS-Kemaman) yang ingin tahu jumlah keseluruhan pencawang 4G sedia ada dan perancangan pembinaan pencawang 4G baharu dalam Parlimen Kemaman.
Zahidi berkata JENDELA adalah inisiatif kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia diwujudkan bertujuan menangani isu akses kepada Internet berkualiti bagi perkhidmatan tetap dan mudah alih-BERNAMA
30 Nov 21
1059
Tasik Kenyir Surut, Fenomena Biasa Hadapi Musim Tengkujuh
HULU TERENGGANU, 30 November- Fenomena air surut di Tasik Kenyir merupakan perkara biasa apabila tiba musim tengkujuh kerana proses pembuangan air bagi tadahan baharu telah dilakukan.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Datuk Razali Idris berkata, ketika memasuki musim tengkujuh, air dilepaskan bagi menadah air hujan baharu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Lebih separuh daripada jumlah air di tasik buatan manusia terbesar di rantau Asia itu sudah dilepaskan di Sungai Terengganu ketika ini.
“Tahun lalu, air lambat surut walaupun sudah dilepaskan, tetapi keadaannya berbeza kali ini kerana lebih cepat, tetapi itu semua proses biasa,”ujarnya kepada pemberita.
Justeru itu, orang ramai tidak digalakkan berkunjung ke Tasik Kenyir buat masa ini sehingga proses tadahan selesai dijangka ketika gelombang pertama banjir pada pertengahan bulan Disember
Menurut Razali, antara destinasi menarik di Tasik Kenyir yang ditutup kini susulan musim tengkujuh ialah Santuari Kelah dan Gua Bewah.
Terdahulu. Pengarah Urusan TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco) Datuk Nor Azman Mufti pada satu kenyataan berkata, ketiga-tiga empangan TNB di Tasik Kenyir, Cameron Highlands dan Sungai Perak kini bersedia menakung kapasiti air dari hulu sungai yang dijangka meningkat.
"Proses pelepasan air secara terkawal di empangan hidroelektrik TNB dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan serta agensi berkaitan," katanya.
Menurut Nor Azman, empangan hidroelektrik TNB bukan sahaja untuk menjana elektrik, malah berfungsi sebagai tebatan banjir dengan keupayaan menampung jumlah air hujan yang besar semasa musim tengkujuh.
"Kapasiti empangan TNB menakung air di huluan dapat mengelakkan bencana lebih besar daripada berlaku di kawasan hilir sungai setiap kali musim tengkujuh," katanya.
Beliau berkata, air yang ditakung akan dilepaskan semula secara terkawal ke sungai seterusnya membantu mengawal banjir di hilir empangan TNB.
30 Nov 21
9120
Air Pasang Besar: 37 Kampung Di Terengganu Berdepan Risiko Banjir
KUALA TERENGGANU, 30 November - Penduduk 37 kampung di Terengganu dijangka berdepan risiko banjir berikutan fenomena air pasang besar berserta hujan lebat yang berterusan.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana negeri, Hanafiah Mat berkata, kejadian berkenaan yang diramalkan bermula Jumaat ini dijangka berterusan selama 10 hari hingga 12 Disember ini.
Katanya, ia berdasarkan jadual pasang surut air yang dikeluarkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
"Bagi daerah Besut, lokasi yang dikesan ialah Kampung Pengkalan Atap, Kampung Teluk Budu, Kampung Pantai dan Kampung Nail manakala di Setiu melibatkan Kampung Gong Batu, Kampung Pengkalan Gelap, Kampung Limau Nipis, Kampung Kuala Setiu, Kampung Fikri dan Kampung Telaga Papan.
“Di Kuala Nerus pula membabitkan Kampung Seberang Takir, Kampung Baru Seberang Takir, Kampung Ulu Takir, Kampung Pak Tuyu, Kampung Tanjung Gelam dan Kampung Pulau Rusa diikuti Kampung Kubang Ikan, Kampung Kuala Ibai dan Taman Purnama di Kuala Terengganu serta Kampung Merchang (Marang).
“Bagi daerah Dungun, terdapat 13 kawasan yang terjejas iaitu Kampung Kuala Paka, Kampung Tebing Tembah, Kampung Pinang Merah, Kampung Durian Mentangau, Kampung Sura, Kampung Seberang Pintasan, Kampung Teluk Bidara, Kampung Tanjung Jara, Kampung Che Lijah, Kampung Alur Makbah, Kampung Bijangga, Kampung Sungai Buaya dan Kampung Sungai Udang,” katanya kepada pemberita.
Tambah Hanafiah, di Kemaman, kejadian air laut pasang tinggi turut dikesan di Kampung Baru Kemasik, Pulau Skepeng Kuala Kemaman, Pengkalan Cicar Bukit Kuang dan Kampung Bakau Tinggi.
Justeru itu beliau meminta penduduk yang tinggal di kawasan sungai dan pantai juga supaya lebih berhati-hati dan berwaspada dengan keadaan semasa.
Hanafiah turut mengingat orang ramai supaya tidak berkunjung ke pantai untuk menyaksikan fenomena air pasang demi keselamatan mereka.
"Kita tidak mahu peristiwa menyayat hati kehilangan ahli keluarga akibat fenomena air pasang besar atau ombak besar berulang,” katanya
30 Nov 21
16650
Marang Boleh Dijadikan Pusat 'Edu-Tourism'
Oleh : Rohayati Ripin
MARANG, 30 November - Daerah Marang boleh dijadikan sebagai satu kawasan tarikan pelancongan 'Edu-Tourism' dengan pembangunan Bukit Kor sebagai hub pendidikan.
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato Haji Yahaya Ali menyarankan, pembangunan infrastruktur di kawasan terbabit ditingkatkan bagi memenuhi tujuan berkaitan.
“Saya yakin Pejabat Daerah ada ‘blueprint’ macam mana nak bangunkan daerah Marang ini.
“Bukit kor itu memang kita rancang untuk jadi tarikan utama pendidikan dan pelbagai akan ditempatkan di sana. Kita nak jadikan Marang lebih dikenali sebagai ‘tourism’ dengan pelbagai perincian,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam Lawatan Kerja ke Pejabat Daerah Marang, semalam.
Katanya, daerah Marang merupakan satu kawasan yang kecil berhampiran dengan Kuala Terengganu tetapi agak mundur dari segi pembangunan.
“Dari segi pembangunan daerah Marang kita nak dikenali apa. Sebagai bisnes, nak kenal sebagai kawasan pembangunan dari segi pendidikan umpamanya
“Setakat ini saya masih berkeyakinan dari segi faktor penarik cara kita memikir daripada bagi tanah kosong, kita sendiri menyiapkan infra. Apa yang kita nak bangunkan bangunan di sesuatu tempat katakanlah di Bukit Kor sendiri kita dah sediakan infra orang masuk tu basuh kaki je.
“Infra ini pertama sekali kita kena ada perancangan yang konkritnya. Yang keduanya apa sudah ada perancangan konkrit maknanya kita sudah bincang ni yang saya katakan tadi 'political will' . Perkara yang dilihat dalam kemampuan yang boleh menarik orang melabur tadi,” ujar beliau.
Beliau menambah, katanya, Menteri Besar dan exco kerajaan berkhidmat dan tinggal di kawasan ini yang mana kena diberikan keutamaan dari segi pembangunan.
30 Nov 21
422
2,251 KIR Terima Bantuan Persekolahan Di DUN Kijal
KEMAMAN, 30 November - Seramai 2,251 Ketua Isi Rumah (KIR) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal menerima Bantuan Persekolahan Negeri Terengganu 2021 sebanyak RM100.
Salah seorang penerima bantuan Mohd Azan Abu Bakar, 49, ketika ditemui pemberita bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan kerana bantuan tersebut.
"Alhamdulillah syukur kepada Allah kerana saya terpilih sebagai penerima bantuan persekolahan ini.
Mohd Azan Abu Bakar
"Sekurangnya ia dapat meringankan beban perbelanjaan kami sekeluarga memandang keluarga kami merupakan keluarga yang agak besar," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas penyerahan bantuan ini di Kompleks Paya Lasir, Bandar Baru Kijal semalam.
Sebahagian daripada penerima yang hadir.
Azan merupakan KIR kepada sebelas orang anak dimana dua orang anaknya layak menerima bantuan. Dia bekerja sebagai pembuat pagar besi secara kecilan kini menetap di Taman Rakyat Bestari, Bukit Kuang.
"Harapan saya agar kerajaan meneruskan bantuan seumpama ini agar golongan berpendapatan rendah turut merasa nikmat yang dikurniakan oleh Allah," ujarnya.
29 Nov 21
586
Projek Rusa Nukleus Terengganu Sasar Keluar Hasil 2023
SETIU, 29 November – Kerajaan negeri memperkenalkan Projek Penternakan Rusa Nukleus di Ladang Informasi Veterinar Bari sebagai pusat pembiakaan baka dan mensasarkan pengeluarannya untuk keperluan penternak terutama dalam negeri Terengganu pada tahun 2023.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, projek itu bermula pada tahun 2020 dengan peruntukan RM240 ribu.
Katanya, dana itu digunakan untuk membangunkan kawasan berpagar seluas 20 ekar yang dibahagikan menjadi empat 'paddock'.
“Setiap 'paddock' yang dibangunkan berkeluasan lima ekar bertujuan untuk melakukan penggiliran 'paddock' bagi sumber makanan hijau rusa.
“Kini ia menempatkan 50 ekor rusa betina dan lima ekor jantan dengan kini melahirkan tujuh anak baka Timorensis, sejak September tahun ini.
“Pada tahun 2021, projek ini diteruskan dengan peruntukan pembangunan sebanyak RM485 ribu merangkumi Rumah Gelap untuk pengurusan ternakan rusa, penambahan bim konkrit pada kawasan pagar luar untuk mengelakkan pencerobohan oleh babi hutan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Projek Penternakan Rusa Nukleus di Ladang Informasi Veterinar Bari di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar, Hilmi Harun, Pegawai Daerah Setiu, Rosli Latif serta Pengarah Perkhidmatan Veterinar Negeri Terengganu, Dr. Anun Man.
Menurut Dr Azman, kos sebanyak RM725 ribu turut digunakan bagi pembangunan satu ekar foder baru dan penyelenggaran foder sedia ada seluas enam ekar.
“Manfaat buat rakyat akan diikuti selepas kita menyelesaikan tapak pembiakan yang mencapai sasaran lebih 200 ekor rusa pada satu atau dua tahun hadapan.
“Pembangunan penternakan rusa ini dilaksanakan adalah kerana ia sebagai satu sumber penternakan alternatif dalam menyahut Dasar Jaminan Bekalan Makanan (sumber daging merah) yang mana rusa adalah sangat sesuai kerana telah diperkenalkan,” katanya lagi
Tambah Dr Azman, penternakan rusa tidak lagi asing di dalam negeri dengan lebih 50 penternak terlibat dalam sektor tersebut secara kecil-kecilan.
29 Nov 21
2021
3,200 Sukarelawan Belia Siap Siaga Hadapi Banjir
KUALA TERENGGANU, 29 November- Seramai 3,200 sukarelawan belia di Terengganu telah bersedia untuk digerakkan bagi membantu mangsa yang terjejas dalam kejadian banjir dalam tempoh Monsun Timur Laut pada bila-bila masa.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, sukarelawan ini bersiap siaga untuk menghulurkan bantuan dalam pelbagai bentuk pasca banjir di seluruh kawasan yang terkesan di Terengganu.
“Kira-kira 300 hingga 400 sukarelawan akan berkhidmat di setiap daerah dan membantu mangsa ketika banjir melanda dan selepas bencana termasuk membantu membersihkan kediaman penduduk yang tercemar akibat banjir.
"Setakat ini, semua peralatan termasuk alat komunikasi telah disediakan untuk kegunaan bersama-sama agensi pasukan penyelamat dalam membantu mangsa di kawasan berisiko dilanda banjir serta di pusat pemindahan sementara (PPS),”ujarnya kepada pemberita.
Tambahnya lagi, sekiranya terdapat daerah yang dilanda banjir teruk maka mereka boleh dikerah ke kawasan tersebut bagi memastikan bantuan dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun dan sistematik.
Dalam masa yang sama, pihaknya akan memastikan semua sukarelawan akan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika memberi bantuan untuk mengelak penularan COVID-19 sepanjang musim tengkujuh.
Jabatan Meteorologi Malaysia memaklumkan tempoh Monsun Timur Laut 2021/2022 yang bermula awal November ini akan berlarutan sehingga Mac 2022 dengan empat hingga enam episod hujan lebat yang signifikan dan boleh menyebabkan kejadian banjir sepanjang tempoh berkenaan.
29 Nov 21
341
2,484 Imam, Bilal Terima ‘One Off’ RM200
MARANG, 29 November - Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) memperuntukkan kira-kira RM500,000 untuk bantuan sekali bayaran kepada semua imam dan bilal di negeri ini.
Pengerusinya Datuk Razali Idris berkata, bantuan yang disalurkan melalui skuad Ketengah Ambik Cakne mampu meringankan bebanan dihadapi terutama membeli pelbagai barangan sebagai persiapan menghadapi musim tengkujuh.
“Seramai 2,484 imam dan bilal yang bertugas di masjid seluruh negeri menerima bantuan sebanyak RM200 seorang.
"Ketengah terpanggil untuk memberi bantuan sebagai penghargaan kepada semua imam dan bilal yang berperanan dalam melaksanakan pengimarahan syiar Islam," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan penyampaian bantuan pada program Ketengah Ambik Cakne Iman dan Bilal peringkat daerah Marang di Masjid Sultanah Nur Zahirah, di sini semalam.
Dalam masa yang sama Razali berkata, terdahulu kerajaan Terengganu juga meluluskan peruntukan bantuan sekali bayaran kepada imam dan bilal sebanyak RM150 melalui pembentangan Bajet 2022 oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
"Ini membuktikan bahawa kerajaan pusat dan negeri tidak meminggirkan peranan dan tanggungjawab imam serta bilal,” ujarnya.
Sementara itu, pengagihan bantuan sekali bayaran kepada imam dan bilal di seluruh negeri akan dilakukan secara berperingkat dan dijangka selesai pada bulan depan.
29 Nov 21
387
Gardenia Disaran Tangguh Dulu Naikkan Harga Roti
HULU TERENGGANU, 28 November – Pengeluar produk roti Gardenia, Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd disarankan menangguh terlebih dahulu cadangan menaikkan harga roti di pasaran berkuat kuasa 1 Disember ini.
Timbalan Menteri Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Dato Rosol Wahid berkata pihaknya berharap Gardenia Bakeries prihatin dengan kesempitan hidup masyarakat sekarang.
"Walaupun menaikan 10 sen sahaja, ia tetap memberi kesan khususnya kepada pengguna B40.
"Oleh itu, KPDNHEP menyarankan pihak pengeluar produk roti itu untuk menangguh dahulu cadangan menaikan harga roti di pasaran.
"Pelbagai alasan yang diberikan susulan cadangan kenaikan harga itu termasuk kenaikan harga tepung gandum di pasaran," katanya ketika ditemui pada Kempen Keselamatan Pengguna Kerjasama Petronas dan KPDNHEP di Stesen Minyak Petronas, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Dagangan Berhad, Azrul Osman Rani.
Rosol berkata, pihaknya sudah berbincang dengan Gardenia Bakeries dan memberi cadangan penangguhan kenaikan harga itu.
"Gardenia Bakeries akan memberi jawapan selewat-lewatnya esok sama ada bersetuju membuat penangguhan harga atau sebaliknya.
"Kami akan cari satu jalan terbaik bagi menyelesaikan masalah itu untuk kebaikan Gardenia Bakeries dan pengguna," katanya.
Terdahulu pada 25 November, Gardenia KL menerusi satu kenyataan mengumumkan kenaikan harga produknya bermula 1 Disember ini.
Syarikat itu berkata, peningkatan ketara dalam kos pengeluaran dan bahan yang di luar kawalan meletakkan ia dalam kedudukan sukar tanpa sebarang pilihan kecuali menyemak semula harga.
Dalam perkembangan lain, Rosol berkata, kenaikan harga sayur di pasaran juga menjadi perhatian KPDNHEP.
Beliau berkata, seramai 1,000 pegawai pemantau harga membuat pemantauan harga sayuran setiap hari di 1,500 premis di seluruh negara.
"KPDNHEP menjalankan Ops Pasar dalam menanggani isu kenaikan harga sayur di pasaran.
"Setakat ini, 43 premis dan 131 barangan diperiksa di seluruh negara dengan 43 Notis Pengesahan Maklumat Bertulis dan 40 Notis Bertulis dikeluarkan untuk mendapatkan maklumat harga barangan daripada peniaga.
"Pemilik premis diberikan tempoh dua hingga lima hari untuk menjawab notis," katanya.
28 Nov 21
2339
Marang Monsoon Ride Tarikan Baru Sukan Berbasikal Terengganu
KUALA TERENGGANU, 28 November - Marang Monsoon Ride 2021 anjuran Pejabat Daerah Marang yang berlangsung semalam, mampu menjadi tarikan baru kepada penggemar sukan berbasikal di Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Modal Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, program berkenaan wajar dimasukkan dalam kalendar kayuhan bagi penggemar sukan berbasikal di Terengganu.
Ini kerana, laluan kayuhan sepanjang 25km merentasi keempat-empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Marang itu menyajikan pengalaman hebat sepanjang kayuhan.
"Alhamdulillah Marang Monsoon Ride 2021 berjalan dengan jayanya. Saya juga tidak melepaskan peluang hadir bersama-sama peserta kayuhan tersebut.
"Walaupun pertama kali diadakan program ini berjaya menarik lebih 400 penyertaan.
"Selain aktiviti berbasikal, program kali ini turut dimeriahkan dengan pelbagai hadiah cabutan bertuah yang menarik," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas perasmian semalam.
Turut hadir memeriahkan lagi program berkenaan ialah YBM Tengku Seri Bijaya Raja Setiausaha Kerajaan Terengganu, ADUN Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong dan Yang Dipertua Majlis Daerah Marang (MDM), Azizul Hadi.
Selain itu, mereka turut disertai Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Rozali Salleh, Pegawai Daerah Marang, Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Hulu Terengganu.
Jelasnya, meskipun program itu cuma di peringkat daerah, ia patut diteruskan lagi pada masa akan datang dalam usaha mempromosikan gaya hidup sihat dan keunikan kawasan Marang kepada orang ramai.
28 Nov 21
915