lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

1,026 Anggota ATM Digerakkan Bantu Mangsa Banjir Terengganu
1,026 Anggota ATM Digerakkan Bantu Mangsa Banjir Terengganu
KUALA NERUS, 6 Januari – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Terengganu sedia menggerakkan 1,026 anggota ke seluruh negeri Terengganu melalui Operasi Murni (Op Murni) sebagai langkah berjaga-jaga menghadapi kemungkinan banjir. Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, antara skop lain op tersebut ialah membantu melaksanakan kerja pembersihan pasca banjir terutama di kawasan tumpuan seperti kediaman, rumah ibadat, sekolah dan klinik kesihatan. “Ini termasuk kerja-kerja baikpulih jambatan yang terjejas, membantu Kementerian Kesihatan Malaysia melakukan ujian pengesanan COVID-19 terutama terhadap mangsa-mangsa banjir serta bersiap siaga bagi mendepani sebarang kemungkinan gelombang banjir seterusnya. “Biarpun situasi banjir di Terengganu hampir pulih sepenuhnya, komitmen Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk terus bekerjasama rapat dengan Kerajaan Negeri serta setiap agensi berkepentingan tidak berganjak,” katanya. Beliau berkata demikian semasa sidang media khas Op Murni ATM di Terengganu di Batalion ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja, Kem Seri Pantai, Seberang Takir hari ini. Turut hadir, Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat. Menurut Hishamuddin, sebarang keperluan tambahan lain akan ditambah mengikut keperluan dan permintaan kerajaan negeri. “ATM akan bantu apa jua yang terdaya demi keselamatan dan kebajikan rakyat Terengganu,” jelasnya.
06 Jan 22
756
Kerjasama Kerajaan Terengganu, ATM Berkesan Tangani Banjir
Kerjasama Kerajaan Terengganu, ATM Berkesan Tangani Banjir
KUALA NERUS, 6 Januari – Kerjasama antara Kerajaan Terengganu dan Angkatan Tentera Malaysia serta agensi penyelamat lain dalam melaksanakan operasi banjir di negeri ini cukup berkesan. Mengakui perkara itu, Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri turut memaklumkan situasi banjir di Terengganu juga telah hampir pulih sepenuhnya. “Koordinasi di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) peringkat daerah mahupun negeri antara ATM, Polis Diraja Malaysia, Pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta setiap agensi turut berjalan dengan lancar. “Gabungan aset-aset milik ATM dan setiap agensi juga amat membantu bagi memindahkan mangsa banjir ke kawasan selamat khususnya Pusat Pemindahan Sementara (PPS) serta mengagihkan makanan dan barang keperluan ke PPS serta kawasan yang terputus hubungan jalan darat. “Biarpun situasi banjir di Terengganu hampir pulih sepenuhnya, komitmen ATM untuk terus bekerja rapat dengan Kerajaan Negeri serta setiap agensi berkepentingan tidak berganjak,” katanya. Beliau berkata demikian semasa sidang media khas Op Murni ATM di Terengganu di Batalion ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja, Kem Seri Pantai, Seberang Takir hari ini  Jelasnya, kolaborasi antara pemimpin negeri dan agensi penyelamat amat membanggakan dalam mengharungi musim Monsun Timur Laut hasil daripada pengalaman negeri tersebut dalam bencana itu. “Terengganu tiada sebarang masalah dalam perancangan atasi bencana, paling penting bagi kita supaya bantuan dan pembelaan sampai kepada rakyat,” katanya lagi. Tambah Hishammudin, selain Terengganu terdapat sesetengah kawasan di negeri lain banjirnya juga telah surut dan sebahagian sungai mula menunjukkan trend penurunan. "Biarpun ini perkembangan yang diharapkan, namun ATM memahami bahawa cabaran pasca banjir juga besar, sambil terus menumpukan terhadap operasi banjir di kawasan yang masih terjejas. "Fokus ATM yang seterusnya ialah melaksanakan kerja pembersihan pasca banjir berskala besar di negeri-negeri yang terjejas, sama seperti di Terengganu ini," jelasnya.  
06 Jan 22
537
YPK Serius Bentuk Usahawan Ibu Tunggal
YPK Serius Bentuk Usahawan Ibu Tunggal
KUALA TERENGGANU, 6 Januari - Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) serius mahu melahirkan usahawan daripada kalangan ibu tunggal. Timbalan Pengarah YPKT, Kamarulzaman Awang berkata bahawa aspek disiplin sangat dititikberatkan sepanjang peserta armalah (ibu tunggal) menyertai kursus usahawan di bawah kendalian YPKT. "Kami menyediakan sejumlah pinjaman kepada ibu tunggal yang mahu menjalankan perniagaan tetapi dengan syarat, mereka perlu melalui kursus-kursus yang telah kami tetapkan. "Kami akan letakkan peserta-peserta secara berkumpulan, tiga orang satu kumpulan dan dari sini kita akan menilai disiplin mereka, dari segi ketepatan masa, kerjasama. Kemudian kita akan nilai bagaimana prestasi mereka." ujarnya. Kamarulzaman berkata demikian ketika menyampaikan taklimat kepada rombongan Persatuan Isteri Wakil Rakyat dan Isteri Bekas Wakil Rakyat PAS Terengganu (KHAIRUNNISA') dan Urus Setia Wanita Terengganu (USWa) di Kompleks Ibu Tunggal YPKT, kelmarin. Rombongan Kunjungan Hormat daripada KHAIRUNNISA', USWa dan Pejabat ADUN Wanita. Kunjung hormat itu diketuai oleh Timbalan Pengerusi KHAIRUNNISA', Zuraida Md Noor yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu. Turut bersama-sama dalam majlis tersebut ialah Pengarah YPKT, Wan Mohd Zaki Wan Abdullah, Setiausaha Kehormat KHAIRUNNISA' Terengganu, Tuan Roslina Tuan Sulaiman dan Pengarah Urus Setia Wanita Terengganu (USWa), Wan Nur Sakinah Din. Zuraida menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak YPKT yang menerima kunjungan hormat daripada mereka serta berharap agar ada kerjasama yang dapat dibentuk antara pihak yang terlibat dalam program itu. Zuraida ketika menyampaikan ucapan. "Saya sangat tertarik dengan produk-produk YPKT seperti Taska Permata Keluarga, Klinik Kaunseling, Skim Permata Sejahtera, Baitul Urus dan lain-lain, yang saya lihat selari dengan objektif YPKT. "KHAIRUNNISA' dan USWa juga mesti dimanfaatkan untuk menjadi ejen penerangan, berfungsi untuk menyebarkan maklumat dan hebahan mengenai program-program YPKT agar lebih ramai Rakyat Terengganu dapat merasai manfaatnya," tambahnya lagi.    
06 Jan 22
1054
'Hasrat Bina Rumah Sendiri Bersama Isteri Tercapai'
'Hasrat Bina Rumah Sendiri Bersama Isteri Tercapai'
HULU TERENGGANU, 5 Januari - Penantian lebih 170 peserta Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) di daerah ini untuk mendapat geran hak milik tanah akhirnya hampir menjadi kenyataan. Seramai 79 penerima Lot Rumah Generasi Kedua Felcra Bukit Tapah, Padang Ragut Kampung Tapah (79) dan RTB Pertanian Bukit Nyiur (32) di mukim Jenagor amat bersyukur apabila menerima Borang 5A kerana sudah terlalu lama menunggu. Che Safarin Che Kamarudin, 32, berkata, dia amat berterima kasih atas keprihatinan kerajaan negeri. “Sebelum ini saya tinggal bersama keluarga, alhamdulillah dengan dapatnya Borang 5A ini impian saya untuk membina rumah sendiri bersama isteri mungkin tercapai,” ujarnya. Che Safarin yang merupakan salah seorang penerima Lot Rumah Generasi Kedua Felcra Bukit Kepah ditemui wakil media Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas Majlis Penyerahan Borang 5A membabitkan tiga kawasan tersebut yang disempurnakan oleh Pegawai Penyelaras Parlimen Hulu Terengganu, Muhyiddin Abdul Rashid di Dewan Besar Majlis Daerah Hulu Terengganu, semalam. Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kassim serta Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong, Mohd Safari Abu. Bagi Mohd Zulkhari Ismail pula, penyerahan Borang 5A oleh kerajaan negeri itu disifatkan sebagai ‘hadiah’ yang begitu bermakna buat rakyat. “RTB Pertanian Bukit Nyiur ini sudah lama kami terokai secara berkelompok, apabila kerajaan memutuskan untuk menyerahkan Borang 5A ini, kami semua amat bersyukur. “Malah bayaran premium harga tanah yang perlu dijelaskan juga bagi saya tidak membebankan peserta kerana dikira berdasarkan keluasan tanah masing-masing,” katanya. Sementara itu, Samsudin Mohd pula berkata, dia tidak dapat membendung perasaan gembira apabila penantiannya yang berpuluh tahun untuk memiliki tanah bakal menjadi kenyataan.  “Perasaan saya memang gembira sangatlah kerana tanah ini kita telah usahakan lebih 20 tahun lalu.  “Dulu kita dinafikan hak, jadi usaha kerajaan yang ada pada hari ini membuahkan hasil kepada peneroka seperti kami,” ujarnya yang mendapat Borang 5A bagi RTB Pertanian Bukit Nyiur.  
06 Jan 22
1581
Banjir Gelombang Ketiga Di Terengganu Pulih Sepenuhnya
Banjir Gelombang Ketiga Di Terengganu Pulih Sepenuhnya
KUALA TERENGGANU, 5 Januari - Banjir gelombang ketiga yang melanda Terengganu sejak Khamis minggu lalu kini  pulih sepenuhnya hari ini apabila dua pusat pemindahan sementara (PPS)  terakhir di Kemaman ditutup secara rasmi pada 12 tengah hari. Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri berkata, PPS pertama ditutup ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Geliga pada 8.30 pagi tadi diikuti PPS terakhir iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Lembah Jabor. “Walaupun PPS tidak lagi beroperasi, namun pihak jawatankuasa bencana di setiap daerah masih dalam kesiapsiagaan menghadapi monsun Timur Laut. “Pemantauan akan tetap dilakukan sepanjang Monsun Timur Laut yang berakhir pada Mac ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. Berdasarkan ramalan, Terengganu dijangka menerima tiga hingga empat episod hujan lebat sepanjang Monsun Timur Laut bagi tempoh 2021 hingga 2022. Justeru itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa bersedia terhadap sebarang kemungkinan memandangkan musim tengkujuh masih belum berakhir sepenuhnya.  
05 Jan 22
816
Terengganu Sumbang RM100 Ribu Bantu Perantau Mangsa Banjir
Terengganu Sumbang RM100 Ribu Bantu Perantau Mangsa Banjir
Kerajaan Terengganu menyumbang sebanyak RM100,000 bagi membantu meringankan beban anak-anak negeri berkenaan di perantauan yang ditimpa bencana banjir.
05 Jan 22
329
Atlet Wanita Pertama Negara Sertai Kelab Eropah
Atlet Wanita Pertama Negara Sertai Kelab Eropah
Anak kelahiran Terengganu, Siti Nur Alia Mansor muncul atlet wanita Malaysia pertama menyertai pasukan berbasikal berstatus pro di Eropah.
05 Jan 22
486
Bayar Awal Premium Tanah, Cepat Dapat Hak Milik
Bayar Awal Premium Tanah, Cepat Dapat Hak Milik
HULU TERENGGANU, 5 Januari - Kerajaan negeri mengingatkan penerima Borang 5A supaya menjelaskan bayaran premium harga tanah dalam tempoh tiga bulan seperti yang ditetapkan supaya tidak merugikan mereka. Pegawai Penyelaras Parlimen Hulu Terengganu, Muhyiddin Abdul Rashid berkata, bagaimanapun kelonggaran diberikan kepada rakyat berpendapatan rendah yang memperolehi tanah kerajaan. "Selepas menerima Borang 5A, penerima perlu membuat bayaran premium harga tanah dalam tempoh tiga bulan, bagi yang kurang berkemampuan tempoh bayaran dilanjutkan sehingga tiga bulan lagi. Sebaik selesai membuat pembayaran premium harga tanah, barulah kerajaan akan menyerahkan surat hak milik tanah. "Premium tanah akan dikira berdasarkan 10 peratus daripada harga nilaian sebenar tanah yang dipohon dan diluluskan kerajaan," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyerahan Borang 5A Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) membabitkan Lot Rumah Generasi Kedua Felcra Bukit Kepah kepada 79 penerima, Padang Ragut Kampung Tapah (79) dan RTB Pertanian Bukit Nyiur (32), Mukim Jenagor di Dewan Besar Majlis Daerah Hulu Terengganu, hari ini. Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kassim serta Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong, Mohd Safari Abu. Beliau yang juga merangkap Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Terengganu, berkata, pemilikan tanah bukan sesuatu yang mudah diperoleh malah prosesnya turut mengambil masa sehingga ada yang terpaksa menunggu puluhan tahun. “Ini adalah komitmen berterusan kerajaan negeri untuk menyelesaikan isu berkaitan hak milik tanah dan fokus utama kita adalah untuk menyelesaikan masalah pemilik tanah RTB yang diambil tanah mereka pada 2004 dan ke atas selepas berlakunya perubahan pentadbiran kerajaan negeri ketika itu. "Pada masa sama kita juga cuba menyelesaikan isu-isu pemberian hak milik tanah yang lain," ujarnya.  
05 Jan 22
2824
Sukarelawan 'Hero' Dalam Mengangkat Mesej Perpaduan - Ir Saiful
Sukarelawan 'Hero' Dalam Mengangkat Mesej Perpaduan - Ir Saiful
KUALA TERENGGANU, 5 Januari-Rakyat di negara ini yang menyertai sukarelawan dalam menjayakan misi kemanusian serta menghulurkan pelbagai bantuan ketika bencana banjir yang berlaku  boleh dianggap sebagai 'hero' dalam mengangkat mesej perpaduan. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili berkata kesemua mereka telah bersatu hati dalam menyampaikan sumbangan dan bantuan serta mengenepikan segala perbezaan tanpa mengira bangsa, budaya serta fahaman politik untuk sama-sama menyertai aktiviti kemanusian dalam meringankan beban dialami mereka yang terkesan. "Ini merupakan suatu perkara yang sangat positif ,  mereka semua bolehlah dianggap sebagai wira. "Walaupun tidak dibayar dan diberikan upah mahupun ganjaran namun kesemua mereka gigih membantu membersihkan rumah-rumah, masjid dan sebagainya," ujarnya kepada pemberita, di sini, baru-baru ini. Katanya, seruan kerajaan melalui Operasi Bantuan Banjir Terengganu ke Pahang telah menjadi platform yang baik untuk rakyat di negeri ini tampil membantu sedaya upaya bukan hanya mengikuti info serta perkembangan semata-mata bahkan telah turut turun padang. "Kita mengharapkan agar selepas ini akan lebih ramai lagi terutamanya belia dan beliawanis dari negeri ini yang akan tampil bagi menyertai kegiatan kemanusiaan ini. "Saya yakin serta percaya dengan jumlah yang lebih ramai kita akan bersedia untuk menjayakan misi bantuan ke mana-mana sahaja bukan hanya bertumpu dalam negeri semata-mata. Tambahnya, secara tidak langsung misi tersebut berjaya merealisasikan bahawa gagasan Keluarga Malaysia yang diperkenalkan oleh kerajaan malaysia bukan hanya retorik semata-mata.          
05 Jan 22
415
Jalan Cengal Besar Kuala Loh Seksyen 3.7 Ditutup Bermula 3 Januari
Jalan Cengal Besar Kuala Loh Seksyen 3.7 Ditutup Bermula 3 Januari
KUALA TERENGGANU, 5 Januari - Jalan Cengal Besar / Kuala Loh Seksyen 3.7 berhampiran campsite Sungai Kelemin ditutup kepada semua kenderaan bermula 3 Januari 2022 ( Isnin ) sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian. Jabatan Kerja Raya ( JKR ) dalam satu kenyataan berkata penutupan sementara laluan ini bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya susulan cerun runtuh (down slope) di lokasi terbabit. Menurut JKR, pemasangan papan tanda amaran dan pemberitahuan telah dipasang di laluan yang terlibat termasuk peta lokasi untuk panduan kepada pengguna jalan raya. Sehubungan dengan itu, JKR berharap semua pengguna jalan raya mematuhi papan tanda arahdan papan tanda keselamatan yang disediakan.   
05 Jan 22
999