lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Drawbridge Tawar Pakej Berbuka Puasa Di 'Puncak Awan'
Drawbridge Tawar Pakej Berbuka Puasa Di 'Puncak Awan'
KUALA TERENGGANU, 31 Mac - Pengalaman unik menyaksikan keindahan senja pada ketinggian 106 meter sambil menikmati juadah berbuka puasa di lantai kaca di  tingkat 15, Kuala Terengganu Drawbridge sememangnya menakjubkan. Pengurus Pemasaran TI Properties Sdn Bhd, Farhana Adila Muhamad Yunus berkata dengan bertemakan Singgah Selatan Di Timur bukan sahaja menawarkan sajian yang sangat menyelerakan, malahan pengalaman dan pemandangan yang terbaik dari atas menara jambatan angkat yang pertama di Asia Tenggara “Hidangan istimewa di sini adalah Sup Kambing Rempah Asli Muar, Gulai Kawah Daging Tetel, Pengat Pisang D’Muara dan pelbagai pilihan mi dari Selatan Tanah Air.  Tidak lupa juga kepelbagaian hidangan menyelerakan dari negeri Terengganu turut disajikan.  “Dari tingkap kaca di menara, tetamu boleh menyaksikan keindahan panorama indah Laut Cina Selatan dan Pulau Duyong sambil menikmati hidangan bersama keluarga dan rakan-rakan mereka,”ujarnya ketika ditemui di menara Drawbridge semalam.   Tambah beliau, galeri menara selatan dan Elysium menara utara mampu memuatkan sehingga 240 pengunjung dalam satu masa manakala lantai kaca pula dari lapan hingga sepuluh orang. Menurut Farhana lagi, pihaknya menawarkan sebanyak 100 jenis menu untuk dinikmati oleh para tetamu termasuk kemudahan seperti parkir valet, surau, ruangan parkir yang dilengkapi lif turut disediakan. “Harga bagi orang dewasa adalah RM75.00, kanak-kanak RM45.00 dan warga emas RM60.00.  Yang menariknya, setiap pembelian bufet dewasa diberi satu keping tiket percuma masuk ke ruangan galeri pada kunjungan akan datang,”ujarnya. Untuk tempahan, mereka yang berminat boleh mehubungi talian 016-843 4470 atau 09-622 2438.
31 Mar 23
2704
250 Rakyat Bukit Besi Terima Geran Tanah
250 Rakyat Bukit Besi Terima Geran Tanah
DUNGUN, 30 Mac - Seramai 250 orang peserta daripada enam Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) di Bukit Besi menerima dokumen hak milik tanah hari ini. Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, usaha yang cuba dilaksanakan oleh pihaknya untuk menyegerakan pemilikan tanah akhirnya menatijahkan kejayaan. "Kita cuba permudahkan apa yang seharusnya dimiliki oleh rakyat. Prosedur ini memakan masa yang lama melibatkan pelbagai agensi. "Dalam melancarkan lagi proese kelulusan RTB, di bulan Ramadan Kali ini, kita menerimanya," ujarnya melalui Facebook rasminya. Mengulas lanjut katanya, pihaknya akan sentiasa komited untuk menyelesaikan isu berkait dengan tanah bagi memastikan rakyat mendapat hak sebagaimana yang dijanjikan. "Syukur ke hasrat ilahi dapat juga kita sempurnakan majlis ini dan Insya-Allah sambungan dari semasa ke semasa akan diteruskan mengikut proses yang ditetapkan," ujarnya.
30 Mar 23
734
Rokiah Jual 5,000 Nekbat Sehari
Rokiah Jual 5,000 Nekbat Sehari
KUALA TERENGGANU, 30 Mac- Pengusaha kuih nekbat dari Kampung Padang Jerat, Jalan Pulau Musang di daerah ini mampu menjual kira-kira 5,000 biji kuih itu setiap hari ketika bulan Ramadan. Rokiah Deraman, 58, yang terlibat dengan pembuatan nekbat sejak lebih 15 tahun lalu berkata, permintaan manisan tradisional pencuci mulut negeri Pantai Timur itu masih laris sehingga kini. Katanya, resipi membuat kuih nekbat dipelajari daripada arwah ibu mertuanya dan kini diperturunkan kepada anak-anaknya yang turut membantu dalam proses menyiapkan tempahan nekbat pelanggan. “Kuih nekbat yang saya jual menggunakan dua bahan asas sahaja iaitu telur serta tepung beras dan hanya perlu dibakar dalam acuan dengan tempoh kira-kira sepuluh minit. “Kami hanya menghasilkan kuih ini pada bulan Ramadan kerana hari biasa saya berniaga pisang goreng walaupun ada permintaan tinggi ketika bukan bulan puasa,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya, semalam. Katanya, sebanyak 1,000 biji telur digunakan untuk menghasilkan 5,000 biji kuih nekbat. “Setiap hari seawal pukul 9 pagi, ahli keluarga kami akan berkumpul dan mula membuat adunan kuih nekbat sehingga dibakar di dalam acuan sebelum dibungkus di dalam plastik untuk dijual kepada pemborong. “Untuk tahun ini, kuih nekbat yang mentah dijual kepada peraih pada harga RM32 bagi 100 biji memandangkan harga barangan semakin meningkat ,” ujarnya. Menurut Rokiah, anaknya turut membantu mempromosikan kuih nekbat yang mereka usahakan di laman Facebook serta menyediakan perkhidmatan penghantaran secara tunai dan pos. “Disebabkan rindu akan kuih tradisi yang biasanya muncul setiap kali Ramadan, ramai anak-anak Terengganu yang tinggal diluar membeli nekbat secara ‘online’ dari kami. “Bagi menjaga kualiti, kuih nekbat ini akan dijemur dan dikeringkan terlebih daluhu sebelum diposkan kepada pelanggan,” ujar ibu kepada tujuh anak itu.
30 Mar 23
313
'Madinah Ramadan' Untukmu Wanita Terindah
'Madinah Ramadan' Untukmu Wanita Terindah
KUALA TERENGGANU, 29 Mac - 'Madinah Ramadan' yang akan diadakan di Dataran Jambatan Angkat pada Ramadan kali ini akan turut menampilkan tiga program khas untuk kaum wanita. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, bertemakan 'Untuk Wanita Terindah' tiga program khas yang akan diadakan itu dimulakan dengan 'Healing With Qur'an' pada 5 April (14) Ramadan. Selain itu, Himpunan Wanita Muda Terengganu akan diadakan pada 8 April (17 Ramadan) dan 'Baiti Jannati' pada 16 April (25 Ramadan). "Madinah Ramadan Terengganu kali ini menampilkan tiga program khas untukmu wanita Terengganu.  "Mari bersama luangkan masa bersama keluarga tercinta di tapak Madinah Ramadan (mengikuti) pengisian jiwa yang menarik serta jangan lepaskan peluang beramah mesra bersama artis-artis jemputan,"ujarnya menghebahkan program tersebut, di facebooknya, di sini, hari ini. Program yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Terengganu itu akan bermula pada 30 Mac (8 Ramadan) ituakan turut menyediakan jamuan berbuka puasa dan moreh secara percuma. Justeru semua rakyat di negeri ini dejmput hadir lebih awal bagi memeriahkan Madinah Ramadan Terengganu pada kali ini.    
29 Mar 23
426
Iftar ‘Nasi Tenong’ Atas Bot Susur Sungai Terengganu
Iftar ‘Nasi Tenong’ Atas Bot Susur Sungai Terengganu
 KUALA TERENGGANU, 29 Mac - Payang Water Taxi River Cruise (PWTRC) kini mempunyai satu lagi tarikan terbaharu iaitu berbuka puasa dengan Nasi Tenong di atas bot sambil menyusuri Sungai Terengganu. Pengerusi Cas Ligas Sdn Bhd, Zakaria Dagang berkata pihaknya memperkenalkan inisiatif ini bagi membolehkan pengunjung menikmati keunikkan ataupun mengimbas kenangan berbuka puasa menggunakan bekas tenong yang pernah popular pada suatu masa dahulu. Katanya, harga hidangan nasi tenong ini bermula serendah RM35/seorang. Harga jualan ini sudah termasuk pakej menyusuri sungai Kuala Terengganu bersama bot Payang Water Taxi. “Pakej nasi tenong ini terbahagi kepada beberapa jenis lauk pauk tradisional Terengganu sebagai juadah berbuka puasa seperti  ikan baung masak tempoyak beserta ulam-ulaman dan buah-buahan.  “Selain itu, pengunjung juga boleh memilih juadah lain seperti nasi berlauk sayur lemak dan kami juga turut menyediakan juadah istimewa iaitu Nasi Arab,” ujarnya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa dan memperkenalkan pakej Nasi Tenong di sini, semalam. Jelas beliau, pengunjung juga boleh membawa juadah sendiri untuk pakej berbuka puasa bersama bot Payang Water Taxi.  “Pakej ini dikenakan caj sebanyak RM15.00 untuk dewasa dan RM10.00 untuk kanak-kanak,” katanya lagi. Sementara itu Payang Water Taxi turut mengadakan promosi diskaun sebanyak 50 peratus bagi perkhidmatan river cruise iaitu hanya RM10 bagi dewasa dan kanak-kanak.  
29 Mar 23
739
MB Ajak Perantau Terengganu Berbuka Puasa Bersama
MB Ajak Perantau Terengganu Berbuka Puasa Bersama
KUALA TERENGGANU, 29 Mac - Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengajak seluruh perantau Terengganu untuk berbuka puasa bersama sempena Majlis Berbuka Puasa bersama anak-anak Terengganu yang berada di Perantauan Sabtu ini. Katanya, majlis itu akan diadakan di Dewan A Maeps, Serdang, Selangor. "Insya-Allah saya akan hadir ke majlis berbuka puasa bersama anak-anak perantau Terengganu pada 1 April nanti. "Dijemput semua anak-anak perantau untuk hadir sekali gus memeriahkan lagi majlis ini," ujarnya melalui facebooknya, semalam. Majlis yang akan diadakan bermula dari jam 4 petang hingga 8 malam itu akan turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah. Dalam pada itu, mereka yang akan hadir dikehendaki membawa bersama sejadah, juga disarankan dalam keadaan sentiasa berwuduk bagi memudahkan urusan solat berjemaah. Bagi memberi ruang kepada Solat Maghrib berjemaah didirikan dahulu, majlis berbuka itu nanti akan dimulakan dengan air dan kurma.
29 Mar 23
805
Prihatin Ramadan Bersama MB Kukuh Hubungan Rakyat, Pemimpin
Prihatin Ramadan Bersama MB Kukuh Hubungan Rakyat, Pemimpin
KUALA TERENGGANU, 28 Mac - Program Prihatin Ramadan Bersama MB Terengganu yang bermula esok bakal mengukuhkan hubungan antara rakyat dan pemimpin. Masjid Sentul Patah, Marang dipilih menjadi tuan rumah sebagai permulaan sebelum ia diteruskan di semua daerah sepanjang bulan puasa. Difahamkan program terbabit bermula sekitar jam 5 petang dengan aktiviti ziarah serta sumbangan di beberapa rumah keluarga terpilih. Program berkenaan seterusnya disambung di masjid, Menteri Besar (MB), Dato'Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar akan mengagihkan sumbangan khas Ramadan sebelum berbuka puasa bersama rakyat setempat. Program berkenaan dilaksanakam bertujuan untuk mengimarahkan bulan Ramadan dan mendekati golongan asnaf serta yang kurang berkemampuan Di samping mengajak rakyat negeri ini khususnya rakyat setempat untuk berbuka puasa bersama-sama, mengerjakan solat Maghrib dan Isyak berjemaah serta solat tarawih selain turut dijangka akan diadakan tazkirah sebagai pengisian rohani.    
28 Mar 23
297
Harga Makanan Mahal, Kuasa Memilih di Tangan Pembeli
Harga Makanan Mahal, Kuasa Memilih di Tangan Pembeli
KUALA TERENGGANU, 28 Mac - Sejak awal Ramadan, ramai orang mengeluh harga makanan dan minuman di bazar-bazar Ramadan seolah-olah ‘cekik darah’ kerana semakin mahal. Ramai juga berkongsi rasa tidak puas hati di media sosial dengan mendakwa makanan dijual pada harga tidak masuk akal. Bukan itu sahaja, sikap penjaja menjual makanan yang saiz dan kualitinya tidak sepadan dengan harga, malah ada yang telah rosak, juga hangat diperkatakan. Hasil tinjauan juga mendapati makanan serta minuman yang dijual di bazar Ramadan di beberapa daerah di sini mengalami peningkatan harga berbanding tahun lalu dipercayai berikutan kenaikan kos bahan mentah. Seorang peniaga kuih muih  di bazar Ramadan Gong Badak, Ros Abdullah, 56, berkata, jika tidak menaikkan harga jualan maka mereka tidak dapat menampung modal berniaga yang dikeluarkan. Katanya, kualiti dan kuantiti makanan yang dijual akan dikekalkan tetapi harga mungkin dinaikkan pada kadar 50 sen ke 80 sen bagi setiap jualan. Namun katanya, kadar kenaikan harga makanan bagaimanapun tidak melampau batas dan mampu dibeli pengunjung. "Tahun ini kami terpaksa menaikkan harga sedikit kerana kos bahan mentah di pasaran seperti gula, gandum, telur dan barang-barang lain meningkat. “Tetapi tak sampai hati nak naikkan harga sehingga pembeli terbeban.. jadi Kak Ros cuma naikkan antara 50 sen sehingga RM1 bagi setiap bekas kuih,” katanya yang sudah berniaga hampir 15 tahun. Bagi Mohd Shahidan Shaari, 35, berkata dia terpaksa menaikkan harga sedikit kerana kos bahan mentah di pasaran seperti telur ayam, bawang, kelapa, ayam dan daging yang melambung. “Tahun lepas sebungkus Nasi Minyak berlaukkan ayam dijual RM5 sebungkus tetapi tahun ini terpaksa jual RM6 manakala Nasi Beriani dari RM7 kepada RM8 satu bekas dengan kadar kenaikkan RM1 sahaja. “Kita sebagai peniaga pun tidak boleh jual terlalu mahal kerana keadaan ekonomi juga masih belum pulih, kasihan kepada pembeli. “Harap kerajaan turun pantau dan bantu kami. Dari dulu lagi bila masuk bulan puasa memang pembekal naik harga, jadi kami pun terpaksa jual mahal dan untung pun sedikit bila pembeli berkurangan,” katanya. Sementara itu, rata-rata peniaga yang ditemui berkata kawalan harga dan stok bahan mentah merupakan perkara paling utama yang perlu diberikan perhatian oleh kerajaan jika  mahu memastikan peniaga tidak menaikkan harga jualan di bazar Ramadan.  
28 Mar 23
366
366 Penguatkuasa JKNT Pantau 61 Lokasi Bazar Ramadan
366 Penguatkuasa JKNT Pantau 61 Lokasi Bazar Ramadan
KUALA NERUS, 27 Mac - Sebanyak 106 pasukan terdiri daripada 366 anggota penguat kuasa telah digerakkan bagi pemantauan dan penguatkuasaan di semua bazar Ramadan sepanjang Ramadan kali ini. Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Dato Dr Kasemani Embong berkata kesemuanya akan memantau 7,914 pengendali makanan di 3,941 petak niaga  di 61 lokasi di lapan daerah yang berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT). Katanya, terdahulu hasil pemeriksaan 53 tapak bazar Ramadan di seluruh negeri sejak Khamis, tujuh  kompaun  telah dikeluarkan. "Kesemua kompaun bernilai RM1,100 itu dikeluarkan di Dungun membabitkan menggaji pengendali tiada latihan dan suntikan anti tifoid, pengendali makanan tiada suntikan dan tiada latihan pengendali makanan. “Kita harap semua peniaga dapat mematuhi peraturan ditetapkan dan memastikan setiap makanan yang sampai kepada pengguna memenuhi keperluan keselamatan makanan di setiap peringkat rantaian termasuk penyediaan dan pemprosesannya,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pelancaran Ops Keselamatan Makanan Sempena Ramadan 1444H/2023M Peringkat Negeri Terengganu di Bazar Ramadan Gong Badak di sini semalam. Dr Kasemani juga berkata, pihaknya juga akan menjalankan pemeriksaan di pasaraya, kedai runcit dan lain-lain pembekal bahan mentah bagi memastikan bahan mentah yang dibekalkan adalah bersih serta selamat sebelum sampai ke tangan pengguna. Sementara itu, beliau memaklumkan JKNT turut mewujudkan dua jenis kod imbasan QR bagi tujuan hebahan informasi keselamatan makanan serta bagi mengumpul maklum balas tentang tahap kebersihan premis makanan sepanjang bulan Ramadan. "Orang ramai boleh mengimbas QR kod di bunting-bunting yang terdapat di bazar Ramadan atau laman facebook JKNT untuk menyalurkan maklumat tersebut bagi meningkatkan mutu kerja dan perkhidmatan kami,"katanya lagi. Dr Kasemani turut menyeru pengguna agar sentiasa  amalkan konsep lihat, hidu dan rasa supaya risiko keracunan makanan dapat dielak termasuk memilih gerai yang bersih dan pengendali makanan yang beretika.    
27 Mar 23
255
Terengganu Dahului Perkembangan JENDELA
Terengganu Dahului Perkembangan JENDELA
Terengganu menjadi negeri terawal berbanding negeri lain di seluruh negara yang melepasi perkembangan positif inisiatif JENDELA sejak dimulakan pada tahun 2020.
26 Mar 23
101