lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Terokai Potensi Baharu Dalam Industri Pelancongan- Sultan Mizan
Terokai Potensi Baharu Dalam Industri Pelancongan- Sultan Mizan
KUALA TERENGGANU, 1 Oktober – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah supaya kerajaan negeri memberi penekanan terhadap penjenamaan produk dengan mengenal pasti Unique Selling Point (USP) yang ditawarkan untuk menarik minat pelancong. Titah Baginda, kerajaan negeri perlu meneroka potensi baharu dalam industri pelancongan bagi memberi nilai tambah kepada aset-aset pelancongan sedia ada seperti menjenamakan Terengganu sebagai destinasi pelancongan marin terkemuka dalam negara. “Kepelbagaian dan keunikan sumber alam semula jadi, bermula dari jajaran pantai sepanjang dua ratus empat puluh empat (244) kilometer, kehijauan hutan hujan tropika, kepelbagaian sumber flora dan fauna, keindahan dasar laut yang memukau sehinggalah ke khazanah seni, budaya dan warisan yang masih terpelihara merupakan anugerah yang tidak terhingga daripada Allah Subhanahuwataala buat seluruh rakyat negeri ini.  “Keunikan tujuh pulau peranginan utama di Terengganu seperti Pulau Perhentian Besar, Perhentian Kecil, Pulau Redang, Pulau Tenggol, Pulau Bidong, Pulau Lang Tengah dan Pulau Kapas berpotensi tinggi untuk dipasarkan ke peringkat global,” titah Baginda. Sultan Mizan bertitah demikian ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Pertama Dewan undangan Negeri Kelima Belas bertempat di Dewan Undangan Negeri, Wisma Darul Iman, hari ini. Dalam pada itu, Baginda turut menitahkan agar kaedah promosi yang lebih strategik bagi melonjakkan aktiviti pelancongan marin Terengganu dilaksanakan. “Penemuan Bidong Shipwreck yang berusia lebih lima ratus (500) tahun di Pulau Bidong membuktikan terdapat banyak lagi khazanah dasar laut yang perlu diterokai.  “Justeru itu, Galeri Arkeologi Maritim Terengganu wajar diwujudkan agar segala penemuan berharga ini dapat disimpan pada suatu tempat yang boleh dijadikan sebagai sumber rujukan dan kajian,”titah Baginda lagi.  Dalam masa yang sama, Sultan Mizan  juga mahu pelancongan marin yang mencakupi aktiviti-aktiviti berkaitan seperti voluntarism dalam program-program konservasi penyu dan hidupan marin, penganjuran pelbagai acara berimpak tinggi di pulau-pulau, serta menonjolkan kebudayaan negeri melalui penglibatan komuniti setempat diperluaskan.  Baginda turut  menzahirkan keprihatinan apabila melihat sektor pelancongan mencatatkan perkembangan baik berdasarkan kemasukan pelancong keTerengganu pada tahun 2022 iaitu seramai 3.7 juta orang yang melepasi sasaran tiga juta sebelumnya.  
01 Oct 23
750
Sultan Mizan Mahu Terengganu Terus Tarik Pelabur
Sultan Mizan Mahu Terengganu Terus Tarik Pelabur
KUALA TERENGGANU, 1 Oktober – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menyeru kerajaan negeri untuk terus meningkatkan aliran pelaburan ke Terengganu sekali gus memastikan negeri ini kekal sebagai destinasi utama pelabur. Baginda bertitah, justeru itu pihak kerajaan perlu menggandakan usaha-usaha  untuk menarik dan mempergiatkan aktiviti penggalakan pelaburan bagi memastikan kedudukan Terengganu kekal kompetitif termasuk memudahcara urusan pelabur melalui pengenalan inisiatif dan fasiliti pelaburan yang berkesan. “Menaik taraf infrastruktur di kawasan perindustrian adalah penting untuk penyelenggaraan kemudahan-kemudahan sedia ada bagi menarik pelabur dan meningkatkan daya saing negeri.  “Beta yakin bahawa peningkatan ekonomi bagi sesebuah negeri dapat direalisasikan melalui kemasukan pelabur-pelabur asing dengan mewujudkan peluang pekerjaan, membangunkan tenaga kerja yang mahir dan memupuk pertumbuhan syarikat-syarikat tempatan,”titah Baginda. Sultan Mizan bertitah demikian ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Pertama Dewan undangan Negeri Kelima Belas bertempat di Dewan Undangan Negeri, Wisma Darul Iman, hari ini. Dalam pada itu, Sultan Mizan dalam titahnya juga mahu supaya kerajaan memberi fokus kepada kluster-kluster yang telah dikenal pasti antaranya Carbon Capture, Utilisation and Storage (CCUS), Downstream Manufacturing of Minerals dan Specialty Chemical and Petrochemical agar seiring dengan matlamat Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030). “Penekanan ini bertujuan untuk mencipta sumber kekayaan baharu negara dengan meningkatkan kompleksiti ekonomi, memacu pertumbuhan ekonomi lestari, menyediakan peluang pekerjaan berkualiti sekali gus meningkatkan taraf kehidupan rakyat yang lebih sejahtera,” titah Baginda.
01 Oct 23
329
Sultan Mizan Harap Wakil Rakyat Laksana Tugas Dengan Ikhlas
Sultan Mizan Harap Wakil Rakyat Laksana Tugas Dengan Ikhlas
KUALA TERENGGANU, 1 Oktober – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berharap semua wakil rakyat yang dipilih pada Pilihan Raya Umum Ke-15, dapat melaksanakan tanggungjawab dengan ikhlas untuk membela nasib rakyat. Baginda juga yakin semua wakil rakyat yang dipilih mampu menggalas tugas menjaga kebajikan rakyat pelbagai kaum tanpa mengira parti. “Ia merupakan suatu amanah yang perlu dipikul untuk berkhidmat, berbakti dan membela nasib rakyat Beta. “Marilah kita bersama berlapang dada dengan hati yang terbuka untuk menerima dan menghormati keputusan pilihanraya ini,” titah Sultan Mizan. Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Pertama Dewan undangan Negeri Kelima Belas bertempat di Dewan Undangan Negeri, Wisma Darul Iman, hari ini. Dalam masa sama, Sultan Mizan menyeru semua wakil rakyat yang terpilih agar tidak bersikap menilik balas dan menanti pujian. “Jagalah nama baik dan kehormatan dewan yang mulia ini dengan melaksanakan khidmat bakti yang tulus ikhlas sebagai wakil rakyat dengan meletakkan kepentingan rakyat Beta dan masa depan negeri ini di dalam hati dan minda Ahli-ahli Yang Berhormat,” titah Baginda.  Dalam pada itu, Sultan Mizan menitahkan kerajaan negeri  agar menggiatkan lagi inisiatif bagi membantu golongan miskin tegar agar mereka ini keluar dari kitaran kemiskinan. Baginda bertitah, seramai 6,330 ketua isi rumah (KIR) miskin tegar telah direkodkan di negeri ini. 
01 Oct 23
166
Sultan Mizan Puji Kerajaan Pacu Kejayaan Pendidikan
Sultan Mizan Puji Kerajaan Pacu Kejayaan Pendidikan
KUALA TERENGGANU, 1 Oktober – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menzahirkan penghargaan kepada kerajaan negeri dalam memacu kelestarian bidang pendidikan dengan peruntukan sebahagian besar dalam Belanjawan 2023. “Hasilnya, rakyat Beta mengecapi pelbagai kejayaan di dalam bidang pendidikan di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).  “Kejayaan ini tidak dapat dikecapi tanpa usaha dan komitmen daripada semua pihak terutamanya para guru, ibu bapa dan agensi-agensi kerajaan yang sentiasa berganding bahu dalam memastikan pendidikan di negeri Terengganu kekal berada pada tahap yang terbaik serta cemerlang,” titah Baginda. Sultan Mizan bertitah demikian ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Pertama Dewan undangan Negeri Kelima Belas bertempat di Dewan Undangan Negeri, Wisma Darul Iman, hari ini. Dalam masa sama, Baginda turut menyeru ahli-ahli Dewan Undangan Negeri supaya memperkasakan institusi-institusi pendidikan dan kemahiran yang sedia ada di negeri ini selaras hasrat asal penubuhannya.  Baginda bertitah, program-program pengajian yang ditawarkan perlu mengambil kira perkembangan dan keperluan dalam bidang industri semasa dan akan datang.  “Penerokaan dalam bidang sains dan teknologi menjadikan ianya lebih sempurna apabila digabungkan dengan kurikulum agama berpandukan Al-Quran dan Hadis yang saling berkait dan melengkapi antara satu sama lain.  “Justeru, adalah menjadi tanggungjawab Ahli-ahli Yang Berhormat dan para ahli akademik merangka pelan pendidikan yang lebih komprehensif bagi menjadikan negeri Terengganu sebagai negeri contoh dalam bidang pendidikan yang ditawarkan,” titah Baginda lagi. Sementara itu, Sultan Mizan turut menyeru kepada agensi-agensi berkaitan pendidikan termasuk Yayasan Terengganu, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Terengganu (MAIDAM) dan tidak terkecuali syarikat- syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri Terengganu meneruskan penajaan program-program pendidikan mahupun kerjasama dalam penyediaan peluang pekerjaan kepada rakyat  terutamanya dalam bidang-bidang pengajian yang kritikal serta menepati keperluan semasa industri.  
01 Oct 23
350
Sultan Mizan Berkenan Sempurnakan Istiadat Pembukaan Sidang DUN Ke-15
Sultan Mizan Berkenan Sempurnakan Istiadat Pembukaan Sidang DUN Ke-15
KUALA TERENGGANU, 1 Oktober-  Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat menyempurnakan Istiadat Pembukaan Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 di Wisma Darul Iman, hari ini. Ketibaan baginda disambut Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Speaker DUN Terengganu, Dato' Mohd Nor Hamzah dan Timbalan Speaker, Khazan Che Mat. Persidangan DUN Ke-15 mencipta sejarah berikutan kemenangan Perikatan Nasional (PN) yang memenangi kesemua 32 kerusi yang dipertandingkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN), Ogos lalu. Ia sekali gus menyaksikan tiada wakil pembangkang dalam DUN bagi penggal kali ini.  
01 Oct 23
524
Permohonan Rumah Untuk Nelayan Dibuka
Permohonan Rumah Untuk Nelayan Dibuka
KUALA TERENGGANU, 1 Oktober - Kerajaan negeri kini membuka permohonan rumah untuk para nelayan di Terengganu memiliki rumah.  Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, Projek Perumahan Semula Nelayan (PSN) di dua daerah iaitu di Beting Lintang, Besut dan Pulau Sekepeng, Kemaman itu hampir siap seoenuhnya. "Harga kos hampir RM150,000 tapi kerajaan bagi kepada rakyat (nelayan) dengan harga RM54,000 sahaja. Bakinya kerajaan atau subsidi. "Projek dengan biaya kerajaan negeri hampir RM20 juta dan dibantu kerajaan Persekutuan RM13 juta tidak termasuk kos tanah yang diberi percuma oleh kerajaan negeri," ujarnya melalui hantaran di facebook rasminya baru-baru ini. Justeru katanya, bagi mana-mana nelayan yang berminat untuk memiliki rumah tersebut boleh mendapatkan borang permohonan melalui Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) di tempat masing-masing. "Antara syaratnya ialah rakyat Terengganu berusia 21 tahun ke atas, mempunyai kad nelayan dari Jabatan Perikanan, menjadi ahli PNK. "Belum pernah memiliki rumah kediaman atau rumah terlalu uzur dan belum pernah memiliki tanah pemberian kerajaan," ujarnya. Katanya, pojek itu telah dipecah tanah oleh Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Menteri Pertanian, Dr Ronald Kiande kira-kira dua tahun lepas.
01 Oct 23
2454
59 Bayi Permata Maulidur Rasul Lahir di Terengganu
59 Bayi Permata Maulidur Rasul Lahir di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 28 September - Seramai 59 bayi Maulidur Rasul dilahirkan di negeri ini, membabitkan masing-masing 32 bayi lelaki dan 27 perempuan dengan kelahiran pertama bayi perempuan seberat 3.4 kilogram pada jam 7.13 semalam. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim, berkata Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) mencatat kelahiran tertinggi iaitu 38 bayi, 10 di Hospital Kemaman, enam di Besut, tiga di Dungun dan dua  di Hulu Terengganu sehingga jam 4 petang tadi. "Pada hari ini, kita turut menyampaikan sumbangan berupa hamper bernilai RM50 dan bantuan tunai RM100 melalui program Permata Maulidur Rasul yang telah pun bermula sejak tahun 2013. "Semoga semua sumbangan ini akan menceriakan lagi keluarga bayi bertuah Maulidur Rasul dan berharap semua bayi ini akan menjadi anak yang soleh dan solehah kepada ibu bapa mereka," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Permata Maulidur Rasul Sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Terengganu Tahun 1445H/2023M bertempat di Pusat Rawatan Ibu & Bayi (PRIBA), Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini hari ini. Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja; Pegawai Kewangan negeri, Dato' Nara Setia, Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Kasemani Embong dan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad  Hashim.   Seorang ibu, Mimi Azuani Mohd Lazim, 36, berkata, dia amat bersyukur selepas anak ketiganya lahir pada hari Maulidur Rasul. "Mengikut perkiraan doktor, bayi saya sepatutnya dilahirkan pada 3 Oktober depan tetapi ketika dalam perjalanan balik ke kampung halaman di Bachok, Kelantan... saya mula mengalami sakit seperti ingin buang air besar. "Pada mulanya kami mencari tandas di hentian rehat dan rawat berdekatan tapi sakitnya belum hilang menyebabkan saya mula rasa ia tanda hendak bersalin. "Sebaik sahaja saya memaklumkan kepada suami, dia terus memandu menuju ke HSNZ dan tiba pada 6.50 petang, terus dimasukkan ke bilik bersalin..Alhamdulillah semua selamat," katanya.
28 Sep 23
501
Sultan Terengganu Titah Rakyat Bersatu Bangunkan Negeri
Sultan Terengganu Titah Rakyat Bersatu Bangunkan Negeri
KUALA NERUS, 28 September – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menyeru seluruh rakyat supaya bersatu hati untuk membangunkan negeri dan mempertingkatkan perpaduan. Sultan Mizan bertitah, sirah Baginda dan para sahabat perlu dijadikan panduan dalam mengamalkan segala ajaran Islam. “Terdapat banyak contoh teladan yang boleh diikuti daripada sirah Rasulullah, terutama berkaitan akhlak Baginda. “Sebagaimana Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam surah al-Ahzab, ayat 21. “Baginda seorang yang amat menjaga keharmonian di kalangan masyarakat yang berbilang bangsa, kaum dan agama. “Justeru itu, kasih sayang dan sikap toleransi seharusnya dipupuk dan disemai di kalangan kita di samping memangkin usaha memperkuatkan peribadi masyarakat dengan keluhuran akhlak yang mulia dan adab yang tinggi,” titahnya. Sultan Mizan bertitah demikian ketika merasmikan Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Terengganu bagi tahun 1445 Hijrah bersamaan 2023 Masihi di Stadium Tertutup Gong Badak, di sini hari ini. Keberangkatan Tuanku diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin dan Tengku Puteri Daulath Raja, Tengku Fatimatuz Zahra. Ketibaan tiba baginda disambut Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bersama Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri. Terdahulu, Ahmad Samsuri bersama 2,208 peserta membabitkan 69 kontinjen berarak dari padang bola Tok Jiring ke Stadium Tertutup Gong Badak.  
28 Sep 23
436
LTDL : Terengganu Jadi Tumpuan Dunia
LTDL : Terengganu Jadi Tumpuan Dunia
  Terengganu menjadi tumpuan dunia setelah menjadi tuan rumah perlumbaan Petronas Le Tour De Langkawi (LTDL) 2023 pada pusingan pertama dan kedua.
27 Sep 23
144
Ustaz Azhar Dapat Tauliah Mengajar
Ustaz Azhar Dapat Tauliah Mengajar
KUALA TERENGGANU, 27 September - Penceramah terkenal, Ustaz Azhar Idrus disahkan telah menerima tauliah mengajar daripada Majlis Agama dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM). Tauliah yang dikurniakan oleh MAIDAM itu sah untuk tempoh lima tahun bermula 1 Julai 2023 sehingga 30 Jun 2028 untuk menyampaikan kuliah agama secara berkitab serta ceramah umum. Pada Mei lalu, Ustaz Azhar Idrus merupakan antara 10 penceramah agama yang menghadiri temuduga untuk mendapatkan tauliah bagi menyampaikan ceramah dan kuliah agama di masjid serta surau di negeri ini. Proses temu duga itu telah dibuat oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) diketuai Mufti Terengganu, Dr Mohamad Sabri Harun. Ustaz Azhar pernah menerima Anugerah Tokoh Media Bepengaruh dalam Majlis Apresiasi Media Terengganu yang dianjurkan kerajaan negeri pada tahun lalu. Anak jati kampung Ladang itu yang dikenali sebagai 'daie sejuta umat' itu selama ini sangat aktif dalam menyampaikan kuliahnya juga sering terlibat dalam program keagamaan yang dianjurkan oleh kerajaan negeri antaranya ialah 'Himpunan Bicara Murabbi Ummah', 'karnival penghayatan Islam', 'Daie Nusantara' dan sebagainya. Setiap kali diadakan program bersamanya pasti akan mengundang ribuan rakyat Terengganu yang hadir dan sentiasa mencuit hati apabila seringkali tampil bergandingan dengan Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), Kamaruzaman Abdullah. Pada Ogos yang lalu, Ustaz Azhar Idrus juga telah tampil dalam 'Program Murabbi Nok jupe : Chat With Me 3.0' di Dataran Jambatan Angkat bersama Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.  
27 Sep 23
3821