lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Naiktaraf Jambatan Manir Antara Keutamaan Kerajaan Negeri
Naiktaraf Jambatan Manir Antara Keutamaan Kerajaan Negeri
KUALA TERENGGANU, 4 Oktober - Jambatan Manir perlu dinaiktaraf bagi menjamin keselamatan dan keselesaan pengguna. Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat berkata berdasarkan kajian dan penelitian yang telah dibuat, jambatan tersebut sudah terlalu lama dan menjadi antara punca kesesakan teruk di jalan tersebut. "Ini kerana Jalan dari Durian Burung ke Pulau Rusa telah di naik taraf kepada 'double carriage way' (jalan raya berkembar) dan menyebabkan berlakunya 'bottleneck' (kesesakan) di jambatan Manir kerana laluan di jambatan masih 'single carriageway' (selorong bagi sehala).  "Sehubungan dengan itu, Projek Menaik Taraf Jalan, Jejambat dan Jambatan di Laluan Jalan FT003: Dari Kg. Pulau Rusa Ke Bulatan Batu Enam Ke Persimpangan Laluan FT065 Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu telah mendapat perhatian kerajaan Negeri. Beliau berkata demikian di sesi penggulungan di Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-15, di sini, hari ini. Justeru itu katanya, kerajaan negeri telah meminda senarai keutamaan projek dari senarai ke sepuluh kepada menjadi senarai pertama keutamaan projek bagi Negeri Terengganu di bawah Rolling Plan 4 (RP4) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
04 Oct 23
1332
Pasarnita Tanjung Bakal Kembali Dengan Konsep Baharu
Pasarnita Tanjung Bakal Kembali Dengan Konsep Baharu
KUALA TERENGGANU, 4 Oktober - Selepas dilihat kurang berjaya menarik pengunjung sejak dibuka pada 2016, Pasarnita Tanjung bakal tampil dengan identiti dan tarikan tersendiri tidak lama lagi. Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat berkata Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) ada menerima beberapa proposal untuk menguruskan Pasar Nita. "Kita dimaklumkan suasana Pasarnita  suram dan sepi kerana ketiadaan operator untuk menyeragamkan dan memperkemas konsep niaga di situ.   "Kini pihak MBKT dalam proses menilai proposal yang dihantar dan akan dibentangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa kewangan dan pelaburan untuk melantik operator yang berkelayakan bagi menguruskannya "Insya Allah dalam tempoh dua bulan lagi Pasarnita akan kembali berseri dalam membentuk identiti dan tarikan tersendiri," ujarnya. Beliau berkata demikian di sesi penggulungan di Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-15, di sini, hari ini. Pasarnita Tanjung yang dibuka sejak November 2016 mensasarkan peniaga wanita bertujuan menjana transformasi ekonomi golongan itu di negeri ini dengan pelbagai jenis jualan antaranya makanan, kraftangan, pakaian, produk kecantikan dan cenderahati. Sementara itu, kerajaan negeri kini dalam usaha mengkaji cadangan penyediaan perkhidmatan bas elektrik berhenti-henti bagi mengantikan bas lama milik Cas Ligas Sdn. Bhd. Hanafiah berkata cadangan itu bagi mengurangkan jurang jaringan perhubungan antara kawasan bandar dan luar bandar,  kerana bas lama milik Cas Ligas telah berusia melebihi 15 tahun.  "Cas Ligas Sdn. Bhd. dalam proses mengemukakan kertas cadangan pembelian melalui kaedah sewa beli untuk penilaian kerajaan negeri," ujarnya.
04 Oct 23
1899
Terengganu Peruntuk Lebih RM24 Juta Bantu Usahawan
Terengganu Peruntuk Lebih RM24 Juta Bantu Usahawan
KUALA TERENGGANU, 4 Oktober - Kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) memperuntukkan lebih RM24 juta kepada 4,887 orang usahawan di bawah Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (TUGAS) sejak diperkenalkan pada 2019 sehingga Ogos 2023. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata skim pembiayaan TUGAS itu diwujudkan khas bagi membantu usahawan dalam industri kecil dan sederhana (IKS) untuk melancarkan aliran tunai syarikat mereka. “Pinjaman berbentuk patuh syariah ini tidak akan membebankan usahawan kerana mereka hanya perlu menjelaskan bayaran berdasarkan jumlah pinjaman dan tiada sebarang faedah dikenakan. “TUGAS yang menggabungkan skim-skim sedia ada seperti Skim Pinjaman Peningkatan Perniagaan Terengganu (SP3T), Tabung Siti Khadijah (TSK), Skim Pembiayaan Mudah Usahawan (SPMU) dan lain-lain dilihat sangat tepat bagi memastikan usahawan Terengganu mengembangkan lagi potensi perniagaan dan meningkatkan ekonomi rakyat,” ujarnya. Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan bertulis Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ladang Zuraida Md Noor di Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-15, di sini, hari ini. Tambahnya, YPU turut menawarkan Geran Perniagaan di bawah TUGAS dengan had maksima sehingga RM5,000 tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan. “Antara geran perniagaan yang boleh dipohon adalah Dana Usahawan & Industri Mikro Terengganu (DUIT) dan Dana Prihatin Terengganu-OKU ( D-Hati),”ujar beliau. Ariffin juga berkata YPU dengan kerjasama pejabat Dewan Undangan Negeri(DUN) turut membantu peniaga kecil dan penjaja melalui Dana Khas iaitu Dana PUTERA dengan jumlah bantuan tidak melebihi RM1,500 dalam bentuk tunai atau peralatan.
04 Oct 23
698
Fokus Peluang Kerja Bagi Elak 'Brain Drain'
Fokus Peluang Kerja Bagi Elak 'Brain Drain'
KUALA TERENGGANU, 3 Oktober - Kerajaan negeri memfokuskan dalam membantu rakyat mendapatkan pekerjaan dalam semua bidang berdasarkan tawaran kerja yang ada. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, ia merupakan sebahagian usaha kerajaan negeri untuk menggelakkan 'Brain Drain' daripada berlaku di Terengganu. Katanya, beliau memahami fenomena tersebut yang melibatkan pengaliran keluar tenaga profesional dan berkemahiran tinggi ke luar Terengganu disebabkan mereka lebih tertarik dengan tawaran gaji yang lebih tinggi dan pengalaman kerja yang lebih luas di bandar-bandar besar. "Melalui Urusetia Pekerjaan Negeri Terengganu (UPNT) kerajaan sedang memperkemaskan kolaborasi bagi melihat perkara ini. "Usaha pemadanan pekerjaan secara bersasar sedang dijalankan melalui maklumat yang dibekalkan oleh agensi seperti PERKESO melalui portal MyFuture Jobs dimana kemahiran pencari kerja akan dipadankan dengan tawaran kerja aktif yang ada," ujarnya. Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan bertulis Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Jertih, Dr Riduan Mohamad Nor di Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-15, di sini, hari ini. Menurutnya lagi, promosi peluang kerja ini disampaikan melalui program kerjaya yang diadakan dari semasa ke semasa. Tambah beliau, setakat ini belum ada program khusus bagi menangani masalah "brain drain" secara terperinci. memandangkan fokus pasca Covid lebih menumpukan kepada mendapatkan penempatan kerja bagi semua rakyat tanpa mengira kelulusan. "Namun, dengan pembangunan teknik bersasar yang sedang dijalankan ini diharap dapat membantu pemadanan pekerja berkemahiran tinggi dengan lebih baik," katanya.  
03 Oct 23
185
Peningkatan Pelaburan Perlu Lonjak Pendapatan Negeri
Peningkatan Pelaburan Perlu Lonjak Pendapatan Negeri
KUALA TERENGGANU, 3 Oktober - Peningkatan pelaburan di Terengganu diharap dapat memberi pulangan serta hasil yang baik bagi meningkatkan pendapatan negeri ini. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Hilmi Harun berkata, keadaan demikian sewajarnya menjadi faktor bertambahnya pendapatan di negeri ini. "Kita sebenarnya sangat mengalu-alukan pelaburan dari luar untuk tujuan penambahan hasil bagi kerajaan negeri. "Walau bagaimanapun kita melihat ia tidak besar sebagaimana pelaburan yang berlaku, mungkin hasil diperolehi hanya daripada premium tanah dan hasil-hasil cukai yang tidak besar. "Oleh itu kita mengharapkan kontrak-kontrak yang dijalankan dengan pelabur asing ini memberi pulangan yang lebih besar kepada negeri kita," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Sesi Perbahasan Ke Atas Menjunjung Kasih Titah Ucapan Tuanku Sultan Mizan di Mesyuarat Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15, di sini, hari ini. Mengulas lebih lanjut katanya, dengan meningkatnya pelabur ke negeri ini kerajaan negeri perlu mengambil kesempatan bagi menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat. "Apabila bertemu dengan mereka yang menyatakan minat untuk melabur antara perkara yang dibangkitkan ialah adakah kerajaan Terengganu boleh menyediakan tenaga kerja untuk keperluan industri mereka," katanya. Dalam pada itu katanya, DUN Telemong yang selama ini merupakan tempat yang paling kecil berlaku pelaburan berupaya untuk dijadikan sebahagian 'free trade zone' "Kerana itu kita mengharapkan agar berlakunya sambungan lebuhraya antara Kuala Telemong dengan Jeneris supaya memberi suatu nilai impak yang lebih besar kepada industri di Hulu Terengganu agar ia selari dengan keperluan pertanian bagi membolehkan rakyat mengecapi kemajuan ini, insya-Allah," ujar beliau.
03 Oct 23
175
Kerajaan Negeri Sasar Cukupkan Keperluan Makanan Tempatan
Kerajaan Negeri Sasar Cukupkan Keperluan Makanan Tempatan
KUALA TERENGGANU, 3 Oktober - Kerajaan negeri berusaha mencukupkan keperluan tempatan dengan menaikkan kadar pengeluaran secara berperingkat sebagaimana yang digariskan dalam Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2019-2023. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, antaranya dengan memajukan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM). “Kita juga buat program khusus untuk pembangunan tanah terbiar, bagi bantuan modal kepada rakyat yang berhadapan dengan masalah modal, buat ladang kontrak untuk bantu dari segi pasaran, bantuan dari segi kaedah pemasaran dan banyak lagi. "Kerajaan negeri juga fokuskan kepada tanaman yang menjadi keperluan rakyat,” ujarnya bagi menjawab soalan tambahan Ridzuan Hashim (PAS-Buluh Gading) yang mengemukakan soalan mengenai apakah usaha yang sedang dan akan dilaksanakan oleh kerajaan negeri bagi mengurangkan kebergantungan kepada sumber makanan import ini di Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-15, di sini, hari ini. Terdahulu, menjawab soalan lisan Ridzuan mengenai bagaimana kerajaan menangani isu kemasukan sayur-sayuran dan buah-buahan import yang mengganggu kestabilan pasaran produk tempatan, beliau berkata faktor kawalan dan keseimbangan serta diselaraskan dengan keperluan sangat penting supaya apa yang dibawa masuk akhirnya tidak mengganggu projek tempatan. “Kita akui tidak mampu mengeluarkan produk dengan harga sebagaimana produk import yang lebih murah tetapi dalam masa yang sama rakyat perlu tahu bahawa produk tempatan kita lebih selamat khususnya yang mempunyai pensijilan MyGAP,” ujarnya. Sementara itu katanya, Malaysia telah menandatangani Asean Free Trade Area (AFTA) dimana melalui perjanjian ini, import dan eksport buah-buahan, sayur-sayuran komoditi serta hasil ternakan di antara negara-negara asian adalah bebas.  “Jadi pengusaha Malaysia boleh import dari luar dan boleh eksport ke luar yang mana ada pro dan kontra sebenarnya daripada perjanjian AFTA ini,” ujarnya.
03 Oct 23
163
Empangan Kenyir Masih Selamat, Baikpulih Berterusan Sehingga Kini
Empangan Kenyir Masih Selamat, Baikpulih Berterusan Sehingga Kini
KUALA TERENGGANU, 3 Oktober – Orang ramai khususnya penduduk Terengganu tidak perlu panik dengan kenyataan Empangan Kenyir antara lapan empangan berisiko mendatangkan ancaman keselamatan kepada penduduk dan harta benda sekiranya berlaku kegagalan fungsi serta strukturnya. Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri Terengganu, Hanafiah Mat berkata sehingga kini kerja-kerja pembaikan cerun masih dilakukan di dalam kawasan Tenaga Nasional Berhad (TNB), manakala bagi bukit di luar kawasan TNB usaha baikpulih oleh berbagai pihak sedang dilakukan. Jelasnya, bencana yang berlaku akhir bulan Februari dan pada awal bulan Mac 2022  telah mengakibatkan kerosakan infrastruktur awam di seluruh Negeri Terenganu terutamanya di Daerah Hulu Terengganu termasuklah Stesen Janaelektrik Sultan Mahmud (SJSM) Kenyir. “Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar telah memohon peruntukan melibatkan permohonan pembaikian kerosakan jalan, cerun dan jambatan di seluruh negeri Terengganu di bawah skop Jabatan Kerja Raya (JKR)  berjumlah RM135.642 juta dan pembaikian kerosakan infrastruktur pengairan dan saliran  di bawah skop JPS  berjumlah RM62.705 juta. “Lawatan Tapak dan Mesyuarat Status Kerja Baikpulih Stesen Janaelektrik Sultan Mahmud (SJSM), Kenyir oleh Tan Seri Ketua Setiausaha Negara telah diadakan pada 29 Ogos 2023. “Status terkini adalah peruntukan yang dimohon telah diluluskan. Sebahagian kerja-kerja pembaikian telah disiapkan dan akan diteruskan pembaikian …setakat ini, TNB mengesahkan ia masih selamat,” ujarnya kepada pemberita ketika ditemui selepas Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-15, di sini, hari ini. Tambah Hanafiah, sebelum ini berlaku kerosakan pada Stesen Kenyir  disebabkan kejadian tanah runtuh pada Februari 2022 sehingga operasi stesen terhenti selama 6 bulan. “Operasi penjanaan dan penghantaran telah dapat di pulihkan pada akhir Jun 2022 iaitu tiga bulan awal dari perancangan awal bagi menstabilkan sistem grid nasional dan bekalan untuk negeri Terengganu,” ujarnya. Terdahulu, sejumlah lapan daripada 41 empangan seluruh negara dikenal pasti berisiko mendatangkan ancaman keselamatan kepada penduduk dan harta benda sekiranya berlaku kegagalan fungsi dan strukturnya. SItuasi itu disahkan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim (NRECC) hasil laporan status pemeriksaan keselamatan empangan-empangan itu oleh Pasukan Flying Squad yang dijalankan antara tahun 2021 dan 2022. Lapan empangan itu ialah Empangan Muda dan Ahning di Kedah; Empangan Jor dan Mahang di Perak; Empangan Sultan Abu Bakar di Pahang; Empangan Babagon di Sabah; Empangan Bakun di Sarawak dan Empangan Kenyir di Terengganu.
03 Oct 23
710
Dana Khas Petroleum : 'Yang Didera Adalah Rakyat'
Dana Khas Petroleum : 'Yang Didera Adalah Rakyat'
KUALA TERENGGANU, 3 Oktober - "Haruslah diingat, yang sebenarnya mengalami penderaan adalah rakyat, mereka telah menikmati sejak sekian lama," ujar Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ketika memberi penjelasan berhubung terimaan Dana Khas Petroleum yang berkurang pada tahun ini.  Ahli Dewan Undangan Negeri Ru Rendang itu berkata, Terengganu hanya menerima bayaran dana khas (wang ehsan) berjumlah RM405 juta dari Kerajaan Persekutuan dalam tempoh Disember 2022 hingga September 2023 dengan enam kali pembayaran.   Katanya, jumlah yang diterima itu adalah paling rendah berbanding dengan tahun sebelumnya sejak 2018 hingga 2022. "Terimaan ini jauh daripada anggaran dana khas (wang Ehsan) dalam belanjawan tahun 2023 iaitu sebanyak RM1,524,928,690. "Pembayaran itu dilakukan secara runcit iaitu kali pertama dibuat pada 30 Mac sebanyak RM50 juta, 18 Mei (RM100 juta) dan pada 14 Jun (RM50 juta). "Pada 14 Jun juga, sebanyak RM109 juta diterima bagi tujuan pembayaran Projek Bekalan Air Kuala Terengganu Utara, seterusnya bayaran 1 Ogos (RM41 juta) dan 21 Ogos lalu (RM55 juta)," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Hilmi Harun (PAS-Manir) yang mengemukakan soalan berkaitan berapakah jumlah bayaran dana khas (royalti) yang telah diterima oleh kerajaan negeri dalam tempoh Disember 2022 hingga September 2023 di Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-15, di sini, hari ini. Ahmad Samsuri memberitahu pada tahun 2022, Kerajaan Negeri hanya menerima hasil wang ehsan berjumlah RM1,393,896,335 daripada Kementerian Kewangan Malaysia.  "Jumlah lima peratus hasil petroleum yang sepatutnya dibayar kepada Kerajaan Negeri oleh Petronas telah dibayar terus kepada Kementerian Kewangan Malaysia dan diperakaunkan di bawah Akaun Amanah Dana Khas Kerajaan Persekutuan Seksyen 9 Akta Tatacara Kewangan 1957.  "Akaun amanah tersebut dikawal selia oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan di bawah Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan," katanya menjawab soalan Khazan Che Mat (Bersatu-Seberang Takir) mengenai berapakah jumlah lima peratus hasil petroleum yang diterima oleh kerajaan negeri pada tahun 2022. Sementara itu katanya, Kerajaan Negeri memandang kepada ruang untuk menambah baik dan meminda bayaran di bawah hasil cukai seperti cukai tanah, galian, parit dan tali air, hasil hutan, royalti dan cukai hiburan. “Termasuk bayaran-bayaran di bawah hasil bukan cukai seperti premium tanah, premium perhutanan, lesen dan permit serta denda dan hukuman,” ujarnya. Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ir Saiful Azmi Suhaili (PAS-Kemasik) dan Zaharudin Zaid (PAS-Bukit Tunggal) berkenaan usaha dan perancangan kerajaan negeri dalam menjana pendapatan baharu negeri bagi mengurangkan kebergantungan terhadap royalti petroleum.  
03 Oct 23
1978
Terengganu Peruntuk RM3.45 Juta Persediaan Hadapi Banjir
Terengganu Peruntuk RM3.45 Juta Persediaan Hadapi Banjir
KUALA TERENGGANU, 3 Oktober- Kerajaan Terengganu bersedia menghadapi musim tengkujuh yang dijangka tiba tidak lama lagi dengan peruntukan diluluskan setakat ini berjumlah RM3.45 juta sebagai persediaan banjir tahun ini. Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Terengganu, Hanafiah Mat berkata, peruntukan daripada kerajaan pusat dan negeri itu bagi pembelian bahan mentah dan makanan serta keperluan lain seperti tikar, toto, selimut, tuala, kain batik dan kain pelekat. "Daripada jumlah yang diterima itu, RM1.948 juta ialah daripada kerajaan persekutuan manakala RM1.5 juta lagi dari kerajaan negeri. "Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menempatkan bekalan bencana ini di sebuah Depoh Simpanan Keperluan Bencana (DSKB) yang berkapasiti besar di Marang, 10 mini depoh dan 152 pangkalan hadapan yang terdapat di seluruh negeri," katanya ketika dihubungi pemberita hari ini. Sementara itu bagi bekalan keperluan mangsa bencana pula, Hanafiah berkata agihan akan dibuat bermula minggu hadapan termasuk di kawasan yang berisiko terputus hubungan seperti Pulau Redang dan Pulau Perhentian. Tambah beliau lagi, pada tahun ini, JKM juga telah menyediakan sebanyak 580 pusat pemindahan sementara (PPS) yang boleh menampung seramai 147,600 mangsa banjir seperti tahun sebelumnya. "Latihan simulasi banjir di peringkat daerah juga telah selesai dilakukan dan kita berharap semuanya akan berjalan lancar apabila banjir melanda kelak. "Walaupun banjir telah menjadi 'rutin tahunan' di Terengganu, penduduk masih perlu diingatkan agar bersiap sedia untuk melakukan persiapan rapi terutama jika perlu berpindah ke PPS," katanya. Menurut Hanafiah, pada situasi banjir lepas, kadangkala berlaku kesulitan dalam soal memindahkan penduduk terjejas, kerana ada yang enggan berpindah walaupun sudah diarahkan berbuat demikian oleh pihak berkuasa.  
03 Oct 23
272
Terengganu Sedia RM4 Juta Bantu Maahad Tahfiz, Madrasah dan Pondok Berdaftar
Terengganu Sedia RM4 Juta Bantu Maahad Tahfiz, Madrasah dan Pondok Berdaftar
KUALA TERENGGANU, 3 Oktober - Kerajaan negeri telah memperuntukan sebanyak RM4 juta bagi bantuan per kapita sekolah pondok, sekolah agama rakyat dan pusat pendidikan agama yang berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT). Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat berkata, inisiatif tersebut bertujuan membangunkan prasarana infrastruktur pusat tahfiz yang kini kian mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.  "Bantuan ini juga membantu kos pengurusan dalam meringankan beban kepada pengusaha tahfiz. "Antara keberkesanan inisiatif adalah membangunkan prasarana dan infrastruktur pondok supaya lebih selesa digunakan disamping membantu pengurusan tahfiz membeli bahan bantu mengajar yang diperlukan," ujarnya. Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan bertulis Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Jertih, Dr Riduan Mohamad Nor di Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-15, di sini, hari ini. Tambahnya, bantuan inisiatif itu juga membantu menambahbaik tempat-tempat riadah dan menyelesaikan bil-bil utiliti yang berkaitan pengurusan pondok," ujarnya.  
03 Oct 23
170