Artikel "Utama" Terkini
Universiti Tunisia dan Algeria Tempatkan Pelajar Terengganu kini Mendapat Pengiktirafan
KUALA TERENGGANU, 29 November - usaha kerajaan Terengganu mengorak langkah menghantar pelajar ke Algeria dan Tunisia membuahkan hasil apabila kesemua pengajian di universiti yang menempatkan pelajar dari negeri ini mendapat pengiktirafan Agensi Kelayakan Malaysia.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat berkata, hasil yang diusahakan oleh kerajaan negeri melalui Jabatan Pendidikan Islam bermula tahun lalu dengan seramai 38 pelajar telah dihantar di kedua negara berkenaan di Peringkat Sarjana Muda.
Ujarnya, dengan berita baik itu diharap dapat menjawab spekulasi yang mendakwa bahawa kerajaan negeri ini hanya sekadar menghantar pelajar tanpa mengambil peduli samada diiktiraf ataupun tidak.
"Di Algiers 1 University dan Emir Abdelkader University Of Islamic Sciences (Algeria) membabitkan empat pengajian Sarjana Muda Pengajian Islam iaitu Usuluddin ; Bahasa Arab ;Ketamadunan Islam dan Syariah.
"Manakala di Ez-Zitouna Universrity (Tunisia) membabitkan empat pengajian Sarjana Muda peradaban Islam iaitu Akidah dan Ilmu Kalam; Al-Quran dan Hadi; Feqh dan usul serta Peradaban Islam.
"Kesemuanya ini telah mendapat pengiktirafan MQA," ujarnya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Caption
Sehubungan itu, Satiful berharap agar dengan kesemua pengajian di universiti berkenaan telah mendapat pengiktirafan akan melegakan semua pihak.
"Semoga memberikan ketenangan buat ibu bapa, agensi terlibat serta para pelajar yang baru berangkat serta yang telah belajar di sana bermula tahun lalu," katanya.
29 Nov 23
715
Lebih RM1.3 Juta Diperuntuk Baikpulih Kawasan Pelancongan Hulu Besut
KUALA TERENGGANU, 29 November - Kerajaan negeri memperuntuk lebih RM1.3 juta bagi menambah baik dan menaiktaraf infrastruktur pelancongan di kawasan Hulu Besut.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris, berkata ia melibatkan peruntukan sebahagian besar dari kerajaan negeri dan selebihnya dari kerajaan persekutuan.
"Sebanyak RM940,000 diperuntuk bagi cadangan projek baikpulih, menaiktaraf kemudahan pelancongan serta kerja-kerja berkaitan di La Hot Spring.
"Ini termasuk cadangan membina dan menyiapkan chalet tambahan serta kerja-kerja berkaitan di La Hot Spring melibatkan peruntukan RM391,029 yang kedua-duanya dari kerajaan negeri," ujarnya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin dalam Mesyuarat Kedua Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri (DUN), Kelima Belas(Bajet) di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Tambahnya, di bawah peruntukan kerajaan persekutuan melalui MOTAC negeri, pembinaan dan menyiapkan 'Arca Entrance Signage' dibawah menaiktaraf kemudahan pelancongan dan kerja berkaitan di La Hot Spring.
Selain itu katanya, dua kawasan rekreasi yang berada di dalam kawasan hutan simpanan kekal di Hulu Besut iaitu Taman Eko-Rimba (TER) Lata Tembakah dan Lata Kolam Air Deru Ecopark turut diberi perhatian oleh kerajaan negeri.
"TER Lata Tembakah diletakkan di bawah pengurusan Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu (JPNT).
"JPNT sentiasa menaiktaraf dan membaiki kemudahan di TER Lata Tembakah secara berperingkat bergantung kepada sumber peruntukan di bawah Kumpulan Wang Amanah Pembangunan Hutan (KWPAH) untuk keselesaan pengunjung," jelas beliau.
Menurutnya lagi, bagi kawasan Lata Kolam Air Deru, permit penggunaan diberikan kepada syarikat Big Scope Event And Travel Sdn. Bhd. untuk penambahbaikan dan penyelenggaraan infrastruktur.
29 Nov 23
135
Dasar Baharu Dijangka Tarik Pelaburan Berimpak Tinggi
KUALA TERENGGANU, 29 November - Kerajaan Negeri sedang melakukan penambahbaikan Garis Panduan Pembangunan lndustri Negeri Terenganu 2004-2008 kepada satu Dasar Pembangunan Pelaburan Perindustrian Negeri Terengganu 2024-2030 yang akan mengikut keadaan ekonomi semasa dan akan datang.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, dasar tersebut dirangka bagi menarik pelaburan berimpak tinggi selaras dengan PITAS 2030 dan Dasar Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) dalam RMK Ke-12.
“Matlamat Dasar Pembangunan Pelaburan Perindustrian Negeri Terengganu Baharu akan menfokuskan kepada meningkatkan pelaburan domestik dan pelaburan asing ke negeri ini.
“Selain menawarkan peluang dan ruang kepada pelabur yang berpotensi bagi semua perindustrian berkonsepkan mesra pelabur (investor friendly) selain penerokaan perindustrian baru,” ujarnya pada Menyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Terengganu Ke-15 (Bajet) di Wisma Darul Iman, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang berkata demikian ketika menjawab soalan lisan ADUN Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili yang ingin tahu mengenai apakah polisi dan insentif yang ditawarkan oleh Kerajaan Negeri di samping MIDA dalam mengalu-alukan dan menarik minat pelabur untuk memilih Negeri Terengganu.
Mengulas lanjut beliau berkata, Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Memajukan lktisad Negeri Terengganu, Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) dan Terengganu Incorporated Sdn Bhd sebagai agensi dilantik untuk menguruskan kawasan perindustrian negeri akan menawarkan beberapa insentif kepada pelabur.
“Antaranya, pemberian harga diskaun berdasarkan penilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) dan bergantung kepada keadaan tapak industri yang ditawarkan.
“Pembayaran pajakan tanah secara berjadual bagi membantu pelabur untuk merancang dan dapat merealisasikan pelaburan yang dicadangkan dengan lebih lancar.
“Selain, penyediaan infrastruktur asas yang diperlukan atau pengurangan daripada tawaran harga pajakan bagi meringankan pelabur,”jelasnya.
Sementara itu, menjawab soalan tambahan Ir Saiful Azmi yang bertanyakan mengenai kaedah yang dilaksanakan kerajaan untuk memastikan proses permohonan, penilaian dan kelulusan setiap pelaburan yang ingin masuk ke Terengganu lebih mesra pelabur, katanya pelaksanaan proses penilaian dan kelulusan akan dibantu supaya turut memberi jaringan alternatif supaya sesuatu projek dapat dilaksanakan.
“Jadi bukan setakat kita memberi jawapan ‘Yes or No’ kepada pelabur. Tetapi, kita cuba guide, bantu, tunjuk ajar untuk memastikan projek itu dapat dilaksanakan,” ujarnya.
Katanya, tidak dinafikan bahawa memang wujud keperluan bagi memproses, menilai dan membuat keputusan terhadap setiap cadangan pelaburan itu dengan penuh cermat dan teliti untuk membezakan di antara pelabur yang sebenar dan pelabur yang hanya menjadi broker ataupun di atas tujuan lain.
“Kerap kali juga, apa yang berlaku ialah kelewatan berpunca daripada kelemahan pihak pelabur yang tidak dapat menyediakan maklumat sokongan yang diperlukan dan tidak memenuhi keperluan atau lampiran tidak lengkap, isi borang tak lengkap, lampiran pun tak lengkap, ada sesetengah itu dana pun belum ada lagi. Tertakluk kepada pihak berkuasa kerajaan, baru nak cari dana atas sebab-sebab yang lain.
“Dan kita juga tak nafikan bahawa terdapat kelemahan dari pihak kerajaan, agensi-agensi pelaksana dan ini sedang diuruskan oleh kerajaan secara proaktif di mana kita telah menubuhkan Pasukan Khas atau Special Task Force (fast lane) bagi membantu para pelabur sebagai pemudahcara permohonan tanah atau kelulusan dengan agensi teknikal yang lain,” ujarnya.
29 Nov 23
207
Tambah Kawasan Industri, Kurangkan Kebergantungan Hasil Petroleum
KUALA TERENGGANU, 29 November- Kerajaan negeri disarankan menambah kawasan industri di Terengganu, agar pertumbuhan ekonomi semakin rancak dan kebergantungan pada hasil minyak dapat dikurangkan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata jika itu berlaku peluang pekerjaan bertambah dan pendapatan rakyat dipertingkatkan.
Katanya, sehingga kini Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebahagian besarnya masih lagi bergantung kepada industri minyak dan gas.
“Kebergantungan kepada hasil minyak adalah sesuatu perkara yang merisaukan kita dan mampu memberi kesan buruk dalam tempoh jangka masa panjang.Bayangkan jika hasil bayaran Royalti Petroleum ini tidak dibuat bayaran kelak dan kita mengalami keadaan ini dengan hampir RM1 bilion masih belum kita perolehi
“Tidak pergi jauh, kali ini, kita terpaksa mengambil Caruman Kepada Kumpulan Wang Pembangunan dan ada bantuan-bantuan sebelum ini tidak akan dapat dinikmati oleh rakyat,”ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan Terengganu 2024 pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 (Bajet) di Wisma Darul Iman, di sini, semalam.
Justeru itu katanya, mempelbagaikan sumber kekayaan perlu diambil kira bagi menjamin kestabilan kedudukan kewangan negeri dengan memastikan bahawa pelaksanaan yang dibuat tidak membebankan rakyat dan adil kepada semua.
Tambah beliau, daerah Dungun dan Kemaman adalah dua kawasan di dalam negeri ini yang berpotensi mempunyai isi sumber mineral emas selepas posisinya berada di Jalur Emas ke-4.
“Oleh itu, Pembangunan industri mineral memerlukan suatu anjakan agar kita tidak hanya menumpukan kepada proses pengektrakan bahan mentah semata-mata.
“Dasar dan polisi komprehensif berkaitan mineral negara perlu diperkemas dan disesuaikan dengan potensi ekonomi dan kelestarian alam sekitar semasa,”katanya lagi.
Dalam masa sama, Ghazali berkata, integrasi pemegang taruh dan pakar-pakar berkaitan seperti agensi-agensi pusat dan negeri, industri, institusi pengajian tinggi dan penyelidikan, pertubuhan akademi perlu diperhebat serta dikongsi dengan umum.
“Kerajaan negeri juga dicadangkan agar menubuhkan Akademi yang memainkan peranan dalam industri mineral, perlombongan dan galian sepertimana adanya Akademi Sains Malaysia (ASM),” ujar beliau.
29 Nov 23
198
LTdL Jana Pendapatan Lebih RM3.5 Juta di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 28 November - Penganjuran acara sukan bertaraf antarabangsa Le Tour De Langkawi (LTDL) 2023 di Terengganu berjaya menjana pendapatan pelancongan secara efek berganda lebih RM3.5 juta yang menyumbang kepada ekonomi negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata acara sukan antarabangsa yang pada kebiasaannya mendapat liputan meluas daripada media asing serta tempatan, secara tidak langsung berjaya mempromosikan Terengganu sebagai destinasi pelancongan yang menarik.
"LTDL telah membuka peluang penjanaan dan limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat, pengusaha pelancongan, pengusaha kedai makan, peniaga-peniaga menerusi jualan-jualan produk termasuk penginapan" ujarnya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Tepuh berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Air Putih, Mohd Hafiz Adam dalam Mesyuarat Kedua Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri (DUN), Kelima Belas(Bajet) di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Tambahnya, kejohanan LTDL juga menjadi platform kerajaan negeri yang terkenal dengan jolokan 'Land of Cyclists’ menunjukkan keupayaan Terengganu dalam bidang tersebut.
"Penyertaan pelumba bertaraf antarabangsa dalam kejohanan LTDL merupakan langkah terbaik bagi menonjolkan pencapaian atlet dalam sukan dan berkongsi kejayaan atlet dengan semua pihak,"katanya.
LTDL 2023 yang berlangsung baru-baru ini melibatkan 11 negeri di Semenanjung Malaysia dengan jarak perlumbaan sejauh 1,280 kilometer.
29 Nov 23
414
UniSZA Bangunkan Aplikasi Semak Ketulenan Melon Manis Terengganu
KUALA TERENGGANU, 29 November – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) membangunkan sebuah applikasi yang memboleh pengguna menyemak ketulenan pada Melon Manis Terengganu (MMT)
Pensyarah Fakulti Informatik dan Komputeran, Dr. Mohd Kamir Yusof, berkata aplikasi yang diberi nama MMT-UniSZA itu dibangunkan dengan menggunakan teknologi Near Field Communication (NFC) bagi mengatasi masalah ketulenan sesuatu produk.
Tambahnya lagi, aplikasi itu turut mensasarkan penggunaan bagi pengusahaan buah-buahan premium lain seperti harum manis dan musang king dengan anggaran kos berjumlah RM 5,000 sehingga RM 10,000.
“NFC berperanan menyimpan data atau maklumat dan secara terus berinteraksi dengan Cloud Sever melalui peranti mudah alih.
“Melalui teknologi dan aplikasi MMT-UniSZA itu, ketulenan sesuatu produk dapat di ketahui hanya dalam beberapa saat dengan menyentuh peranti mudah alih pada tag NFC tersebut.
“Data yang di simpan di dalam NFC tag telah ditukar ke dalam bentuk encryption yang menggunakan Symmetric Encryption (Blowfish) bagi tujuan keselamatan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Program Pembangunan Agropreneur Graduan (Projek Melon Manis Terengganu) antara Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM) dan UniSZA.
Dr. Mohd Kamir berkata, Symmetric Encryption (Blowfish) bertujuan untuk memastikan data tersebut tidak boleh disalin atau diubahsuai oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Data di dalam NFC tag ini akan dipadankan dengan data di dalam Cloud Server dengan menggunakan peranti mudah alih sebagai perantara. Ianya bertujuan untuk memastikan data yang di simpan di dalam NFC tag adalah sama sepertimana data yang di simpan di dalam Cloud Server.
“Di dalam proses ini, data di dalam NFC tag perlu terlebih dahulu melalui proses decryption menggunakan kekunci rahsia dan hanya aplikasi MMT-UniSZA sahaja boleh melakukan proses berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, dengan adanya aplikasi dan teknologi itu, produktiviti Melon di Ladang Agroprenuer, Kampus Besut adalah terjamin dari keaslian dan mampu untuk menembusi pasaran luar negara pada masa akan datang.
29 Nov 23
115
Projek Lambaian Bayu Kejutan Baru Pelancongan Terengganu
KUALA TERENGGANU, 29 November – Projek Lambaian Bayu yang bermula dari Teluk Ketapang sehingga ke Pantai Pandak, Chendering bakal menjadi tumpuan sektor pelancongan Terengganu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor berkata, projek tersebut mempunyai jarak keseluruhan lebih kurang 16 kilometer.
“Projek yang bernilai RM200 juta itu sedang diusahakan oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).
"Ia membabitkan pembangunan enam zon secara berperingkat iaitu Zon Pesisir Payang, Zon Pesisir Takir, Zon Pemecah Ombak, Zon Primula Batu Burok, Zon Muara Ibai dan Zon Pantai Pandak," jelasnya.
Beliau berkata demikian Ketika Sesi Perbahasan ke Atas Enakmen Pebekalan 2024 di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Tambah Zuraida, Kuala Terengganu adalah sebuah bandar yang mempunyai pemandangan yang cukup indah sesuai dengan imejnya sebagai Bandaraya Warisan Pesisir Air.
Tambahnya lagi, projek ini merupakan satu inisiatif dalam memperkasa pengisian bandar bertemakan warisan pesisir air.
Katanya, melalui pembangunan produk-produk pelancongan baharu selain memberi nilai tambah pada kawasan pelancongan sedia ada.
Beliau berkata, ini menepati sasaran ke empat yang terkandung dalam ucapan belanjawan yang telah dibentangkan iaitu Industri Pelancongan yang perlu diperkasakan dengan kepelbagaian produk, ketersediaan kemudahan dan pemuliharaan pelbagai sumber.
Oleh itu, Projek Lambaian Bayu ini diberi perlu diberi perhatian sebagai penggerak ekonomi melalui inisiatif pembangunan produk-produk pelancongan baharu.
“Projek ini semestinya akan menjadi tumpuan pelancong sekali gus menyumbang peningkatan ekonomi rakyat menyediakan peluang pekerjaan dan menjana pendapatan para usahawan.
“Apa yang mustahak adalah aspek penjagaan ekosistem juga perlu dititikberatkan demi kelangsungan hidup generasi akan datang,” ujarnya.
29 Nov 23
3027
Ibu Tunggal Terharu Dapat Pembelaan
MARANG, 29 November - Seorang ibu tunggal di Kampung Kubu, Azizah Samirah Setapa yang tinggal dalam keadaan ketakutan terharu apabila mendapat pembelaan sewajarnya daripada wakil rakyat.
Azizah berkata, rumahnya ditimpa pokok getah menyebabkan dia keluarga bimbang dengan keselamatan diri.
Namun dia bersyukur kerana tindakan pantas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong menyebabkan mereka berasa lega.
"Insiden tragis ini berlaku di kawasan tersebut, mengakibatkan kerosakan terhadap atap rumah saya.
"Saya yang tinggal bersama beberapa anaknya yang lain, masih terkejut dengan kejadian yang menyebabkan keresahan dan kebimbangan dalam keluarganya," katanya ketika ditemui pemberita baru-baru ini.
Menurut Azizah, kerosakan atap rumahnya tidak hanya menyebabkan mereka terdedah kepada cuaca, tetapi juga menimbulkan ketakutan dan kegelisahan dalam diri Azizah dan anak-anaknya.
Namun, jelasnya, Sulaiman Sulong telah memberi perhatian segera terhadap kejadian ini.
Ujar Sulaiman, pihaknya terus mengambil mengambil tindakan segera untuk memastikan bantuan diberikan dengan secepat yang mungkin kepada Azizah dan keluarganya yang terkesan.
"Diharap bantuan ini memberikan sedikit kelegaan kepada Azizah dan keluarganya yang sedang berhadapan dengan cabaran ini," katanya.
29 Nov 23
145
'PAS Letak Dr Sam Untuk Jadi PM' - KJ
KUALA TERENGGANU, 29 November - Langkah PAS meletakkan Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bukan semata-mata kerana ingin memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman, tetapi merupakan usaha meletakkan Menteri Besar Terengganu itu sebagai Perdana Menteri Malaysia yang berkaliber pada masa akan datang.
Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata ia juga merupakan satu agenda memperkenalkan kepada negara bahawa PAS memiliki calon teknokrat yang sangat layak.
Ujarnya, dengan penampilan sulung sebagai Ahli Parlimen nanti akan memberikan keyakinan kepada rakyat dalam negara ini melalui kewibawaannya.
"Apabila dia masuk Parlimen nanti diharapkan (dapat mematikan) segala kritikan terhadap PAS, Perikatan Nasional (PN) tidak reti cakap tentang polisi, teknikal, mengenai sains, soal infrastruktur dan sebagainya.
"(Di mana) dia akan menampilkan perbahasan yang menyebabkan orang kata (melihat), eh, boleh terimalah dia (Dr Sam) sebagai Perdana Menteri," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika bersiaran melalui podcast 'Keluar Sekejap', semalam.
Mengulas lebih lanjut, Khairy berpadangan bahawa langkah meletakkan Dr Ahmad Samsuri bukan langkah sembarangan sebaliknya PAS mahu membuktikan ada agenda besar untuk negara.
"Sebab itu langkah mencaturkan Dr Ahmad Samsuri adalah sesuatu yang sangat signifikan dan jangan kita ingat bahawa PAS letak Dr Sam kerana semata-matang hendak menang PRK Kemaman.
"Ini adalah satu langkah jangka masa panjang , suatu kenyataan (menzahirkan) hasrat untuk meletakkan calon Perdana Menteri daripada PAS," katanya.
29 Nov 23
779
Terengganu Berpotensi Terima Pelancong Lebih Ramai
KUALA TERENGGANU, 28 November- Terengganu berpotensi menerima lebih ramai pelancong dalam tempoh Monsun Timur Laut (MTL) melalui pengecualian visa selama 30 hari kepada pelancong dari China dan India bermula 1 Disember ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Dato' Razali Idris berkata, pengumuman itu disambut baik dan Terengganu bersedia menerima peningkatan jumlah pelancong ke negeri ini pada bila-bila masa.
"Ia dilihat berupaya mengubah persepsi pelancong yang sebelum ini melihat Terengganu tidak sesuai dikunjungi pada musim tengkujuh.
"Disebabkan bulan Disember musim tengkujuh di Terengganu dan persepsi pengunjung tidak sesuai untuk mereka ke sini pada waktu ini. Namun sebenarnya, kedatangan pelancong ke Terengganu sangat diperlukan ketika ini.
"Jadi, kita minta kerajaan persekutuan untuk promosikan juga musim tengkujuh dan (MTL) di Terengganu untuk dikunjungi oleh pelancong, " katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Menyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Terengganu Ke-15 (Bajet) di Wisma Darul Iman, hari ini.
Katanya, kebanyakan pengusaha resort di pulau-pulau memutuskan untuk tidak beroperasi musim ini atas faktor keselamatan.
Bagaimanapun, katanya, terdapat pelbagai lagi destinasi menarik yang boleh dikunjungi oleh pelancong di Terengganu.
"Musim tengkujuh ini di laut sahaja dan di darat kita ada homestay dan macam-macam lagi untuk ditawarkan kepada pelancong seperti di Tasik Kenyir dan Setiu Wetland.
"Setiu Wetland juga ketika ini sedang menawarkan pakej 'Main Hujang' atau mandi hujan sehingga Februari tahun depan khusus untuk pengisian semasa musim monsun ini.
"Kedua-dua destinasi ini adalah amat sesuai untuk dilawati orang luar pada musim tengkujuh. Tasik Kenyir misalnya ada houseboat dan ia sesuai untuk pencinta dunia memancing sebab ketika ini ikan-ikan di sana 'galak' dan saya pasti ianya amat mengujakan para pemancing," katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim ketika ucapan penggulungan pada Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2023 di Putrajaya mengumumkan pengecualian visa buat pelancong dari China dan India ke Malaysia.
Sebelum ini, negara-negara teluk seperti Arab Saudi, Bahrain, Kuwait dan Oman serta lapan lagi negara ASEAN turut dibenarkan lawatan bagi tujuan sosial, melancong dan perniagaan sehingga 30 hari.
28 Nov 23
216