Artikel "Utama" Terkini
Banjir di Terengganu, Dungun Rekod Mangsa Terjejas Banjir Paling Tinggi
KUALA TERENGGANU, 17 Disember- Jumlah penduduk terjejas banjir di Terengganu meningkat pagi ini dengan pembukaan semula sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Besut, malam tadi.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) negeri, kesemua PPS di Besut ditutup sepenuhnya petang semalam, namun kembali dibuka kira-kira pukul 9.00 malam tadi membabitkan sebuah PPS yang menempatkan lapan penduduk daripada dua keluarga.
Katanya lagi, seramai 2,693 daripada 654 keluarga direkodkan berlindung di 37 PPS bagi enam daerah terjejas, setakat pukul 8.00 pagi tadi.
Ketika ini, daerah Dungun masih merekodkan jumlah tertingi dengan 1,687 penduduk daripada 418 keluarga di 14 PPS, diikuti Setiu dengan 336 penduduk daripada 94 keluarga di lapan PPS.
Sementara itu, Hulu Terengganu mencatatkan seramai 282 penduduk daripada 64 keluarga di tujuh PPS, manakala Kemaman (131) dan Marang (249).
Dalam pada itu, cuaca panas dan sesekali hujan menyebabkan paras air sungai mengalami trend turun naik di beberapa di negeri ini.
17 Dec 23
213
ATM Atur Gerak Pasukan Perubatan Hadapan Ke Lokasi Terjejas Banjir
HULU TERENGGANU, 16 Disember - Batalion Ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja (18 RAMD)(PARA) yang berpangkalan di Kem Sri Pantai Seberang Takir membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memeriksa mangsa-mangsa banjir dari segi aspek kesihatan.
Pegawai Memerintahnya, Leftenan Kolonel Mohd Zaki Jusoh, berkata ia meliputi kawasan tanggungjawab berdasarkan arahan dan juga panduan tentera darat untuk atur gerak operasi murni pada kali ini.
"Pada pagi ini kita telah datang ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di PPS Pengkalan Ajal membawa Forward Medical Team (FMT) yang terdiri daripada 1 Pegawai Perubatan dan 5 anggota Lain- Lain Pangkat.
"Tujuannya adalah bagi melihat dan memeriksa mangsa yang berada di PPS yang mungkin demam disebabkan banjir dan juga penyakit bawaan air yang lain termasuk sakit kronik sekiranya ada...kita boleh bantu sedikit sebagai asas," katanya kepada pemberita ketika ditemui di PPS Pengkalan Ajal disini hari ini.
Katanya, atur gerak pasukan 18 RAMD (PARA)secara keseluruhannya dibawah arahan Appointed Military Commander (AMC) 8 Briged kepada tiga kawasan tanggungjawab iaitu Hulu Terengganu, Marang dan Dungun.
16 Dec 23
241
Tiga PPS DUN Paka Dibuka
DUNGUN, 16 Disember - Tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paka mula dibuka semalam untuk menempatkan mangsa banjir.
Menurut laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Dungun, Ahmad Kamal Hakim Bin Ngah, setakat kemaskini jam 2.00 pagi ini, ketiga-tiga PPS berkenaan ialah PPS SK Tebing Tembah telah dibuka pada Jumaat jam 9.00 malam yang menampung 19 dewasa, 10 kanak-kanak, 1 bayi, dan 1 warga emas, melibatkan 9 keluarga dengan jumlah mangsa sebanyak 34.
"Di samping itu PPS Dewan Sivik Paka turut dibuka pada 10.41 malam, menampung 28 lelaki dewasa, 19 perempuan dewasa, 4 kanak-kanak lelaki, 2 kanak-kanak perempuan, 1 bayi perempuan, serta 1 OKU lelaki dan 1 OKU perempuan. Jumlah keluarga di PPS ini adalah 13, dengan jumlah mangsa sebanyak 54," ujarnya.
Sementara itu, PPS SK Kampung Nyior dibuka pada 11.00 malam, menampung 2 lelaki dewasa, 1 perempuan dewasa, 2 kanak-kanak lelaki, 5 kanak-kanak perempuan, serta 1 OKU lelaki dan 1 OKU perempuan. Jumlah keluarga di PPS ini adalah 2, dengan jumlah mangsa sebanyak 12.
"Cuaca semasa di kawasan tersebut adalah hujan. Trend peningkatan diperhatikan pada jumlah PPS, jumlah keluarga, dan jumlah mangsa. Kami akan terus mengikuti perkembangan dan memberikan maklumat terkini," katanya.
15 Dec 23
209
Kedai Runcit Tetap 'On' Walaupun Banjir
HULU TERENGGANU, 15 Disember - Bukan semua orang sanggup bertahan berendam dalam air banjir tetapi bagi seorang peniaga kedai runcit di Kampung Nibong, Hulu Telemong, dia tetap gigih mencari rezeki.
Engku Hasmah Engku Kamaruzaman, 48, berkata dia tiada pilihan lain memandangkan masih mempunyai tanggungan yang perlu disara di rumah.
Menurutnya, keputusan itu dibuat apabila memikirkan keperluan orang kampung yang yang merupakan pelanggan rasmi di kedainya selain memahami kesukaran di hadapi mereka untuk mencari bekalan memasak di rumah dalam situasi banjir ketika ini.
"Walaupun kami terpaksa berendam kaki dalam air yang keruh dan kesejukan, namun kami tetapkan sediakan bekalan untuk mereka.
"Lagipun tempat kami berniaga dikatakan lokasi yang selamat kerana paras air adalah tidak tinggi aliran air juga tidak deras sekiranya banjir tidak besar," ujarnya yang turut dibantu suaminya Kamaruzaman Othman, 43.
Tambah Engku Hasmah, dia dan suami akan terus membuka kedai mereka bagaimanapun akan menutupnya sekiranya keadaan banjir semakin buruk demi keselamatan bersama.
Sementara itu Kamaruzaman berkata, hadapan kedainya menjadi lokasi pesta air bagi kanak-kanak terutamanya termasuk anak-anak muda.
"Fenomena pesta air berlaku hanya dalam tempoh seminggu lebih sahaja. Jadi saya akan memanfaatkan peluang yang ada dengan sebaik mungkin untuk meraih keuntungan.
"Musim hujan memang kita cepat rasa lapar dan tak banyak gerai dibuka di sini sepanjang banjir," katanya yang memulakan operasi kedainya bermula jam 6 pagi hingga 11 malam.
Terkini, mangsa banjir di Terengganu berkurangan kepada 330 mangsa sehingga jam 4 petang ini.
15 Dec 23
285
Gelombang Kedua Banjir Landa Hulu Terengganu
HULU TERENGGANU, 14 Disember - Gelombang kedua banjir mula melanda negeri ini apabila daerah Hulu Terengganu menjadi daerah pertama yang terjejas akibat bencana tersebut susulan hujan lebat berterusan sejak dua hari lepas.
Menurut, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Terengganu berkata
sehingga kini satu pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah ini susulan banjir di beberapa tempat.
"PPSK Felcra Gunung Menerong mula dibuka pada jam 10.20 pagi menempatkan 17 keluarga yang terdiri dari 85 mangsa," katanya dalam kenyataan tersebut.
Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan peringkat merah atau buruk di Terengganu bermula semalam hingga hari ini.
Sementara itu, portal Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula menunjukkan kebanyakan stesen bacaan di Terengganu menunjukkan trend peningkatan paras air sungai.
Bagi mendapatkan maklumat lanjut, layari ayari laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my dan Facebook @PublicInfoBanjir.
14 Dec 23
752
Padang Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Antara Yang Terbaik
KUALA TERENGGANU, 14 Disember- Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Hishamuddin Abdul Karim menyifatkan Padang Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak antara yang agak baik dalam negara ini.
Walaupun begitu katanya, masih banyak perkara yang perlu diperbaiki dalam memastikan padang tersebut dapat berfungsi ke tahap optimum untuk mana-mana perlawanan.
“Buat masa ini, padang kita masih ada beberapa ‘hot spot’ yang memerlukan pemerhatian khusus pihak penyelenggaraan dalam musim-musim (suasana hujan lebat) seperti ini.
“Saya berharap, satu penyelenggaraan menyeluruh akan dilaksanakan sementara tempoh rehat panjang sebelum bermula liga musim depan,” ujar beliau dalam satu hantaran di laman facebook.
Katanya, berdasarkan laporan Bahagian Infrastruktur Dan Kemudahan, Majlis Sukan Negeri Terengganu memaklumkan, kerja-kerja pemulihan padang akan dilaksanakan segera selepas perlawanan akhir pada 17 Disember ini dan bergantung kepada perkembangan cuaca semasa.
“Antara perkara yang perlu dilaksanakan nanti ialah memasukkan benih baharu, memperbaiki kawasan air bertakung yang berpunca dari sistem pengairan di bawah padang, ‘topdressing’ atau hias permukaan dan juga pengudaraan (aeration),” jelasnya.
Dalam pada itu, Hishamuddin turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pengurusan Kompleks Sukan yang menjaga padang tersebut dengan sebaiknya.
14 Dec 23
221
Beberapa Daerah di Terengganu Berisiko Kembali Banjir
KUALA TERENGGANU, 14 Disember - Beberapa daerah di Terengganu berisiko dilanda gelombang banjir kali kedua hari ini berdasarkan Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) .
PRABN dalam kenyataan memaklumkan, ramalan itu dijangka bermula 8 pagi sehingga jam 2 petang hari ini.
Menurut kenyataan itu, hasil simulasi model Ramalan Trend Aras Air yang meramalkan kejadian banjir akibat limpahan air sungai boleh berlaku di kawasan terbabit sekiranya hujan yang signifikan terus berlaku di Terengganu.
Dua kawasan di daerah Besut yang diramalkan banjir adalah kawasan rendah dalam lingkungan 5 kilometer (km) di sekitar Stesen Sungai Besut di Jambatan Keruak dan di sekitar Kampung La.
Selain itu, PRABN turut mengeluarkan amaran banjir di daerah Hulu Terengganu dengan kenaikan paras air di Sungai Berang berpotensi menyebabkan banjir di kawasan rendah dalam lingkungan 5km di sekitar Stesen Sungai Berang di Kampung Menerong.
Di Kemaman, amaran sama turut dikeluarkan membabitkan kawasan rendah sekitar Stesen Sungai Tebak di Jambatan Tebak.
Dalam pada itu, di Dungun, iaitu penduduk di sekitar kawasan rendah dalam lingkungan 5km di sekitar Stesen Sungai Dungun di Jambatan Jerangau turut diminta berwaspada dengan kemungkinan banjir berlaku jika paras air sungai meningkat.
Kenyataan sama turut memaklumkan, banjir boleh berlaku lebih awal atau lewat dari masa yang dijangkakan.
Amaran berkenaan dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk terutama di kawasan yang dijangka banjir berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa atau agensi pengurusan bencana banjir.
Bagi mendapatkan maklumat lanjut, layari ayari laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my dan Facebook @PublicInfoBanjir.
14 Dec 23
430
TFC Dijangka Kurangkan Pemain Import
KUALA NERUS, 14 Disember - Pasukan Terengganu FC (TFC) mahu mengurangkan pengambilan pemain import dalam mengharungi kancah bola sepak musim hadapan.
Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim berkata, perkara itu diputuskan sebagai langkah penjimatan.
"Tahun ini sembilan, tahun hadapan kita jangka lima (pemain import) sahaja bergantung kepada pandangan jurulatih dan bajet.
"(Mengenai) berapa ramai (pemain) yang akan dikekalkan (nanti). kita tidak boleh memberikan maklum balas lagi untuk masa ini. Insya-Allah kita akan maklum dari semasa ke semasa mengenai pelepasan dan kemasukan pemain," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Exclusive Meet and Greet With World Championship FIM Mini GP 2023, di Litar Permotorang Gong Badak, di sini, semalam.
Dalam pada itu, Hishamuddin berkata tiada rombakan besar akan dilakukan TFC kerana telah memiliki asas yang kukuh.
"Hanya perlu masukkan beberapa pemain import, insya-Allah progresnya sedang berjalan," ujarnya.
Mengenai jurulatih pula katanya, keputusan telah dibuat oleh Ahli Lembaga Pengarah TFC pada 14 November yang lalu bagi mengekalkan Tomislav Steinbruckner sebagai pengendali skuad penyu.
Manakala desas desus mengenai kemasukan Safawi Rashid ke pasukan Terengganu pula, Hishamuddin berkata perkara itu akan terjawab apabila kenyataan rasmi dikeluarkan nanti.
14 Dec 23
1001
Terengganu Salur Insentif Khas RM15,000 Kepada Juara Dunia
KUALA NERUS, 13 Disember - Kerajaan negeri menyerahkan insentif khas wang tunai RM15,000 kepada Qabil Irfan Azlan yang muncul juara dunia MiniGP 2023 di Valencia, Sepanyol baru-baru ini.
Dalam usia 11 tahun, Qabil telah mengecapi kejayaan yang cukup membanggakan apabila melakar kemenangan hatrik pada ketiga-tiga siri perlumbaan yang berlangsung di Litar Kart Ricardo Tarmo baru-baru ini sekali gus menobatkannya sebagai juara keseluruhan perlumbaan 160cc.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, insentif itu adalah galakan kepada pelumba cilik berkenaan supaya terus bersemangat untuk mencapai kejayaan.
"Saya berharap kerja keras dan usaha yang dipamerkan oleh adik Qabil dan pelumba cilik lain menjadi insiprasi kepada anak-anak remaja dan rakyat Terengganu untuk terus mengejar impian dan cita-cita masing-masing.
"Saya juga merasakan anak remaja dan rakyat Terengganu perlu mempunyai minda kelas dunia dalam setiap perkara yang dilakukan.
"Apa yang kita lakukan jangan diletakkan had sekadar dalam kampung kita sahaja, atau sekadar dalam negeri sahaja, sasarlah ia hingga ke peringkat antrabangsa. Sebuah kejayaan besar bermula daripada sekilas angan-angan dan cita-cita," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Exclusive Meet And Greet With World Champions FIM Mini GP 2023 (Inisiatif Qabil Irfan), di Litar Permotoran, Gong Badak, di sini, hari ini.
Mengulas lebih lanjut katanya, meraikan kejayaan Qabil Irfan serta Muhammad Airel Ahmad Marzuki amatlah bermakna dan disambut dengan penuh kesyukuran kerana terpilih mewakili Malaysia ke Kejohanan FIM MiniGP World Series.
Dalam masa yang sama katanya, kerajaan negeri akan sentiasa menyediakan inisiatif khas bagi membantu pelumba-pelumba cilik yang lain untuk turut mengembangkan bakat sehingga ke peringkat antarabangsa.
"Untuk rekod kerajaan negeri membantu membiayai yuran penyertaan mereka di peringkat kebangsaan (RM4 ribu hingga RM5 ribu), kemudian apabila terpilih ke peringkat antarabangsa mereka juga akan dibantu sama ada melalui kerajaan negeri secara terus atau anak syarikat milik kerajaan negeri.
"Kerajaan negeri pada tahun lalu juga telah menyediakan sebuah motosikal dengan harga mencecah RM40 ribu kepada Qabil Irfan sebagai usaha dan persediaan beliau untuk melakukan latihan serta perlumbaan," katanya.
Pada tahun ini pula katanya, kerajaan negeri melalui Terengganu Incorporated Sdn.Bhd. juga telah bersetuju untuk menaja Hakim Danish Ramli yang telah mengharumkan nama Malaysia dan Terengganu khususnya setelah menjadi pelumba Malaysia pertama yang berjaya menjuarai Asia Talent Cup 2022.
"Insya-Allah kerajaan negeri akan terus memberi perhatian dan bantuan kepada pelumba negeri ini untuk terus bersinar di peringkat antrabangsa," katanya.
13 Dec 23
844
Terengganu FC Berdepan Tugas Getir
Terengganu FC berdepan tugas sukar dalam usaha melayakkan diri ke peringkat kalah mati menjelang aksi terakhir Kumpulan G pada saingan Piala AFC.
13 Dec 23
110