Artikel "Utama" Terkini
10,000 Peminat Skuter 'Gegar' Terengganu
10,000 peminat skuter dari seluruh negara memeriahkan program Scooterian Mega Gathering 2.0 yang berlangsung di Taman Tasik Bandar Al-Wathiqu Billah, Kuala Nerus.
27 Feb 24
113
Laluan Berbasikal Kini Dibuka Kepada Orang Ramai
KUALA TERENGGANU, 27 Februari - Laluan basikal pertama di Terengganu yang bernilai kira-kira RM4 juta sepanjang 18.6 kilometer dua hala mula dibuka kepada orang ramai bermula hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata laluan basikal tersebut turut mempunyai empat mercu tanda bermula daripada Bulatan Teluk Ketapang dan tamat di Belakang Sekolah Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin (SMAASZA) (Mercu Tanda 4).
"Laluan basikal yang mempunyai panjang 9.3 kilometer sehala ini juga merangkumi pembinaan trek basikal, perabot jalan, pagar, lampu jalan dan papan tanda.
"Dengan adanya kemudahan tersebut diharap akan membudayakan aktiviti berbasikal dan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat, serta melahirkan lebih ramat atlet berprestasi tinggi dari Terengganu," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan & Perasmian Cadangan Penyediaan Laluan Basikal Dari Kuala Ibai Daerah Kuala Terengganu ke Teluk Ketapang bertempat di Dataran Batu Buruk di sini hari ini.
Tambah beliau, penyediaan laluan basikal itu turut dilihat salah satu usaha daya tarikan pelancong.
"MBKT atau pengusaha hotel yang berdekatan boleh mewujudkan basikal untuk disewa atau dibuat pakej-pakej hotel yang merangkumi sewaan basikal disamping menikmati pemandangan di sepanjang laluan pantai," katanya lagi.
Sementara itu, Datuk Bandar MBKT, Rosli Latif ketika diminta mengulas tentang penyalahgunaan laluan basikal oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, beliau memandang serius tentang perkara tersebut serta akan mengambil tindakan yang sewajarnya.
"Kita akan memasang papan tanda amaran termasuk meletakkan batu penghadang bagi menghalang kenderaan bermotor menggunakannya selain mengenakan tindakan undang-undang setelah diwartakan.
"Orang ramai juga diminta bersikap sewajarnya sebelum melakukan perkara yang boleh merosakkan laluan basikal tersebut," katanya.
27 Feb 24
1662
Kerjasama Baik Antara Agensi Persekutuan, Negeri Perlu Diteruskan
MARANG, 26 Februari- Kerjasama erat antara agensi kerajaan persekutuan dan negeri yang sedia terjalin sebelum ini perlu diteruskan demi kepentingan rakyat keseluruhannya.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, pengukuhan hubungan antara kedua-duanya bukan hanya dapat memberi manfaat kepada rakyat malah dapat memudahkan urusan agensi terlibat.
“Sedikit sebanyak halangan kita akan cari jalan yang terbaik untuk mengharmonikan dan akhirnya rakyat dapat manfaat.
“Walau siapa yang memerintah di persekutuan dan kerajaan mana yang mentadbir di peringkat negeri, kita semua hendak berkhidmat kepada rakyat.
“Dan Terengganu salah sebuah negeri yang berada dalam Malaysia, kita bergerak seiring jangan ada pemisah, tidak akan berjaya mana-mana program yang terpisah antara negeri dan persekutuan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan amanat sempena Perhimpunan Bulanan Anggota Bagi Bulan Februari Tahun 2024 Lembaga Pertubuhan Peladang Negeri Terengganu di Pertubuhan Peladang Kawasan Bukit Payong, hari ini.
Turut hadir, Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang Negeri Terengganu, Hasmila Abas.
Menurut beliau, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Negeri Terengganu antara agensi kerajaan persekutuan yang memberikan kerjasama baik kepada kerajaan negeri.
“Antaranya, LPP Negeri Terengganu telah menguruskan Skim Bantuan Modal Tani kita sejak daripada 2019 lagi dengan peruntukan memcecah RM5 juta setahun.
“Kita ada senarai usahawan Skim bantuan Modal tani yang berjaya di seluruh negeri, sentiasa kita turun padang untuk melihat perkembangan projek-projek yang dilaksanakan samada projek perikanan, penternakan dan pertanian.
“LPP juga sentiasa menerajui Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Terengganu sebagai urusetia dan sangat banyak kolaborasi yang telah kita jalankan bersama,” ujarnya.
26 Feb 24
212
Hijab Bukan Sekadar Sehelai Kain
Hijab bukan sekadar sehelai kain tetapi merupakan maruah kaum wanita.
26 Feb 24
86
Ahad Diangkat Sebagai Hari Batik Terengganu
Kerajaan Negeri mengisytiharkan bahawa Ahad akan dikenali sebagai hari batik di negeri ini.
26 Feb 24
122
10,000 Peminat Skuter 'Gegar' Terengganu
KUALA NERUS, 25 Februari - 10,000 peminat skuter dari seluruh negara memeriahkan program Scooterian Mega Gathering 2.0 yang berlangsung di Taman Tasik Bandar Al-Wathiqu Billah, di sini, semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, program yang sudah memasuki penganjuran kedua itu telah memberi limpahan ekonomi kepada rakyat negeri ini.
"Membabitkan pengusaha rumah inap, kedai makan dan pelbagai pihak yang terlibat dalam industri pelancongan di negeri ini semuanya merasai kesan serta impak kedatangan pelancong, antara porgram yang diadakan pada SGM kali ini ialah aktiviti santai ke destinasi wajib singgah di Terengganu.
"Dengan pelbagai program dan karnival yang terus diadakan di negeri ini telah menjadikan Terengganu kini menerima kunjungan hampir satu juta pelancong hanya dalam masa dua bulan," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program SGM2.0.
Mengulas lebih lanjut, Razali berkata pihak kerajaan negeri tidak ada masalah untuk terus membantu pihak penganjur mengadakan program itu pada setiap tahun.
"Kita dapat lihat program pada kali ini memang betul-betul meriah dengan disedikana hadiah cabutan bertuah dengan hadiah utamanya ialah pakej mengerjakan umrah dan tiga buah skuter," katanya.
Dalam pada itu pengarah program, Wan Mohd. Zulhafeeza Wan Mohd Yusof berkata, program selama dua hari itu terus diadakan kerana kejayaan edisi pertama lalu yang menerima sambutan luar biasa.
"Pada kali ini program ini telah mendapat kerjasama daripada Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT), serta telah mendapat penyertaan bukan hanya peserta dari dalam negara bahkan luar negara yang datang dari Thailand dan Singapura," ujarnya.
25 Feb 24
2922
Ambil Kesempatan Hasilkan Patung Penyu Sendiri
KUALA TERENGGANU, 25 Februari - Rakyat digesa merebut peluang menghasilkan patung penyu sendiri bagi menambah pendapatan dengan menjadikannya sebagai cenderahati.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, adalah satu kerugiaan jika tidak ramai rakyat yang berusaha menghasilkannya kerana akan menyebabkan berlaku lambakan patung penyu dari luar termasuk dari Thailand.
"Jadi usahawan, para pengusaha kena ambil inisiatif hasilkan patung penyu sendiri.
"Kita dah angkat penyu sebagai ikon, jadi berusahalah bagi memastikan patung penyu yang dibeli oleh pelancong adalah dihasilkan sendiri oleh rakyat negeri ini," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media, selepas merasmikan Karnival Beutiful Terengganu Malaysia (KBTM), di Dataran Shahbandar, di sini, kelmarin.
Mengulas lebih lanjut Razali berkata kerajaan negeri melalui Yaysan Pembangunan Usahawan (YPU) sudah tentu akan membantu sehabis daya mana-mana rakyat yang ingin menceburkan diri dalam bidang perniagaan menghasilkan penyu sendiri.
"Rebut peluang kerana keadaani Terenganu sekarang ini 'dok rilek' memang sibuk dengan pelbagai karnival.
"Saya yakin dan percaya, angka sasaran 4.5 juta pengunjung akan dapat dicapai lebih awal tidak akan sampai setahun kehadirang orang ramai masuk ke Terengganu,' ujarnya.
25 Feb 24
509
KBTM Sasar 150,000 Pengunjung
KUALA TERENGGANU, 24 Februari - Karnival Beautiful Terengganu Malaysia (KBTM) yang diadakan selama empat hari bermula 22 hingga 25 Februari di Dataran Shahbandari dijangka dihadiri lebih 150,000 pengunjung tempatan dan luar Terengganu.
KBTM yang dianjurkan Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) itu menyajikan puluhan aktiviti antaranya jualan pakej pelancongan, persembahan silat, dikir barat, demontrasi anyaman kercut, wayang kulit, cabutan bertuah dan pelbagai lagi acara.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata rekod tiga tahun sebelum ini sangat cemerlang kerana ia dihadiri lautan manusia.
"Penganjuran ini adalah salah satu usaha kerajaan negeri untuk mempergiatkan lagi kempen promosi sektor pelancongan negeri di samping dapat memperkenalkan seni budaya dan warisan yang terdapat di Terengganu.
"Karnival ini juga menjadi platform bagi memperkenalkan dan memasarkan pakej serta perkhidmatan berkaitan pelancongan yang disediakan oleh para pemain industri kepada pengunjung karnival," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan, KBTM 2024, di Dataran Shahbandar, di sini, semalam.
Mengulas lebih lanjut, Razali berkata peluang penganjuran KBTM ini perlu diambil kesempatan oleh semua pengusaha dan penggiat pelancongan.
"Platform inu sebagai inisiatif yang digerakkan oleh kerajaan negeri dan sekali gus menjadikan KBTN ini sebagai satu peluang untuk memasarkan dan menjual produk, pakej dan perkhidmatan yang ditawarkan," katanya.
Dalam pada itu Pengarah Jabatan Pelancongan negeri, Ahmad Ridzwan Abdul Rahman berkata jumlah pengunjung yang disasarkan akan dapat dicapai kerana diadakan sempena cuti sekolah dan turut dimeriahkan dengan 'Havoc Food Festival 2024'.
"Dengan penganjuran KBTM ini diharap dapat menjadi sebahagian daripada penyumbang dalam meningkatkan jumlah kemasukan pelancong.
"Daripada 3.6 juta pada tahun lalu kepada penetapan sasaran baharu kerajaan pada tahun ini iaitu seramai 4.5 juta pelancong," ujarnya.
24 Feb 24
351
Ahad Diangkat Sebagai Hari Batik Terengganu
KUALA TERENGGANU, 24 Februari - Kerajaan Negeri mengisytiharkan bahawa Ahad akan dikenali sebagai hari batik di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, untuk fasa pertama pihaknya mengalakkan penjawat awam, pekerja swasta, usahawan dan mereka yang bekerja sendiri untuk memakai batik.
Katanya, ia merupakan inisiatif bagi memajukan kembali industri Batik Terengganu.
"Bagi mengangkat kembali Batik Terengganu yang saya fikir industrinya kini malap kerana kemasukan batik dari Pakistan, India dan sebagainya.
"Fasa pertama ini kita galakkan dahulu rakyat Terengganu pakai batik, untuk fasa kedua kita tengok bagaiamana nanti," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas hadir merasmikan Majlis Perasmian Karnival Beautiful Terengganu Malaysia (KBTM), di Dataran Shahbandar, di sini, semalam.
Mengulas lebih lanjut, Razali berkata adalah diharapkan dengan menjadikan hari Ahad sebagai hari batik ia menjadi medium promosi kepada penghasilan Batik Terengganu yang selama ini merupakan salah satu produk bermutu tinggi dan berkualiti.
"Kita pilih Ahad kerana ia merupakan hari cuti bagi pelancong dari luar Terengganu, jadi apabila mereka hadir melihat rakyat negeri ini ramai memakai batik jadi dengan sendirinya tertarik dan ada keinginan untuk membelinya," ujarnya.
Jelasnya lagi, pihaknya akan berbincang dengan pihak Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) negeri untuk membantu pengusaha.
"Kita sarankan kepada pengusaha buat yang 'simple sahaja' tidak payah buat semak-semak (banyak corak) supaya dapat dijual dengan murah dan dapat dimiliki oleh semua orang termasuk golongan B40," ujarnya.
Dalam pada itu katanya, dengan memperkenalkan Ahad sebagai hari batik di negeri ini tidak akan mengubah arahan Kerajaan Malaysia mengenai kewajipan memakai batik pada setiap Khamis sepertimana yang telah diarahkan.
24 Feb 24
913
Awang Nelang, Mek Ara Jadi Maskot Penyu Terengganu
KUALA TERENGGANU, 24 Februari - Maskot Terengganu iaitu penyu jantan dan betina kini telah memiliki nama iaitu Awang Nelang dan Mek Ara.
Melalui Pertandingan Mencipta Nama Maskot Penyu, dua nama tersebut telah dipilih dan Norasyikin Sulong, 32, dari Kemaman serta Suraya Hanum Zarudin, 34, dari Selangor telah dinobatkan sebagai juara sekali gus membawa pulang wang tunai RM500 beserta pakej pelancongan di Primula Beach Resort.
Norasyikin berkata, dia tidak menyangka pemilihan nama Awang Nelang kepada penyu jantan telah membawa tuah kepadanya.
"Tertarik dengan nama Awang kerana ia sinonim dengan panggilan untuk orang lelaki Terengganu, saya percaya nama itu juga menjadi pilihan kepada peserta yang lain kerana nama itu dekat dengan masyarakat di negeri ini.
"Manakala meletakkan 'Nelang' di belakangnya kerana ia membawa maksud berani atau gagah, bagi mengekalkan identiti 'Terengganu' Awang Nelang dijadikan pilihan saya kepada penyu jantan ini," ujarnya.
Dia berkata demikian ketika ditemui Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas dinobatkan sebagai juara pertandingan tersebut di Karnival Beautiful Terengganu Malaysia (KBTM), di sini, semalam.
Sementara itu bagi pemenang Pertandingan Mencipta Nama Maskot kategori penyu betina, Suraya berkata dia mengetahui pertandingan berkenaan melalui Facebook dengan syarat yang begitu mudah dan terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia.
"Mendapat ilham menamakan penyu betina sebagai 'Mek Ara' melalui pencarian dan bacaan daripada artikel di internet berkaitan Penyu Karah di Terengganu yang jarang dapat dilihat," katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata pada asasnya pihaknya sendiri ingin memberikan nama kepada maskot penyu itu namun akhirnya dibuka kepada orang ramai dengan lebih 1,300 menghantar penyertaan.
"Maskot ini kita akan bawa ke setiap daerah melalui untuk perkenalkan kepada seluruh pelancong dimana penyu ini telah menjadi ikon sejak dahulu.
"Bila disebut sahaja Terengganu pastinya orang akan ingat dan tahu mengenai penyu yang begitu sinonim dengan negeri ini," ujarnya.
24 Feb 24
2068