Artikel "Utama" Terkini
TDM Mahu Perkenal Hospital Mesra Ibadah
KUALA TERENGGANU, 20 Jun - Anak syarikat kerajaan negeri, TDM Berhad (TDM) berhasrat untuk memperkenalkan program baharu di masa akan datang sempena Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) iaitu 'Pengenalan Hospital Mesra Ibadah'.
Pengarah Eksekutif TDM Berhad, Najman Kamaruddin berkata, ia akan dilangsungkan di KMI Kuala Terengganu Medical Centre dengan menyasarkan penyertaan seramai 40 pelajar Universiti Zainal Abidin (UniSZA) dalam pengajian perubatan dan kontemporari Islam selain orang awam.
Katanya, pihaknya berkolaborasi dengan HRD Corp mengadakan program NTW bagi memperkasakan kemahiran kalangan dalam rakyat untuk memenuhi keperluan semasa.
"'TDM's Knowledge Sharing Carnival : NTW24's 5 Pillars' merupakan tema yang kami ketengahkan untuk menjayakan lima teras utama iaitu Kemahiran Hidup (Teras 1), Kemahiran Masa Depan (Teras 2), Kreativiti dan Inovasi (Teras 3), Kewangan (Teras 4) dan Pembangunan Mampan (Teras 5).
"Alhamdulillah, program ini mendapat sokongan dan kerjasama daripada pelbagai agensi kerajaan, swasta dan industri yang bersama-sama menggembleng tenaga bersama kami dan HRD Corp," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Karnival NTW 2024 Edisi Pantai Timur, di Dewan Auditorium, Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT), di sini, hari ini.
Majlis perasmian karnival berkenaan telah dirasmikan oleh Timbalan Pengerusi Ekonomi Digital, Pendapatan Baru, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau, Husaimi Hussin.
Mengulas lebih lanjut mengenai program yang diterajui oleh Kementerian Sumber Manusia itu, Najman berkata ia diadakan di seluruh negara dengan menawarkan 25,000 kursus dengan sasaran kemasukan 200,000 peserta.
"Hari ini untuk teras 3, TDM telah membawa 150 pelajar-pelajar sekolah rendah bersama guru pengiring dari ladang kami di Sungai Tong, Bukit Besi dan Kemaman serta jemputan khas dari Sekolah Pendidikan Khas Kuala Terengganu dan Ladang.
"Selain itu dua hari lepas kami mengadakan seminar khas ' Intergrated Pest Management in Oil Palm Plantation' bagi teras 5 bertempat di Akademi TDM, Sungai Tong.
"Seminar perkongsian ilmi ini melibatkan penyertaan seramai lebih 50 orang yang terdiri daripada pelajar-pelajar dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT), pekebun-pekebun kecil dan industri perladangan yang lain sekitar Sungai Tong," ujarnya.
26 Jun 24
343
JKNT Tutup Tiga Premis Makanan Kerana Kotor
KUALA TERENGGANU, 26 Jun - Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) mengarahkan tiga premis makanan ditutup selama tempoh 14 hari di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 kerana beroperasi dalam keadaan tidak bersih.
Pengarah Kesihatan Negeri,
Datuk Dr Kasemani Embong berkata, kesalahan itu dikesan melalui operasi khas Ops Cakna yang dijalankan selama dua hari bermula semalam.
Katanya, penutupan tiga premis makanan tersebut yang terletak di Marang, Kemaman dan Hulu Terengganu dibuat di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 kerana beroperasi dalam keadaan kebersihan yang tidak memuaskan.
"Melalui ops itu juga, sebanyak 13 premis makanan telah dibuat pemeriksaan dan siasatan mengikut Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya.
"Sebanyak 21 notis kesalahan telah dikeluarkan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan (PPKM) 2009 dengan nilai notis RM9,300.
"Tahap kebersihan tiga premis makanan itu pula dikesan tidak memuaskan dan telah diarah ditutup selama tempoh 14 hari," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Operasi Cakna Undang-Undang Kesihatan Awam Siri 3/2024 di Pantai Batu Buruk di sini semalam.
Seramai 120 anggota penguatkuasa dari seluruh Terengganu terlibat dalam operasi tersebut yang dilakukan secara berkala dengan kerjasama agensi penguatkuasaan yang lain.
Dalam masa sama, sebanyak 111 item makanan telah disita manakala empat notis kesalahan telah dikeluarkan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan (PPM) 1985 dengan nilai RM8,000.
"Kita menasihatkan pengendali makanan agar terus mematuhi peraturan kebersihan untuk memastikan keselamatan makanan yang dijual kepada orang ramai," katanya.
Tambahnya, sejak Januari hingga Mei lepas, sebanyak 1,407 notis bagi PPKM 2009 telah dikeluarkan di seluruh Terengganu, meningkat 62 peratus berbanding 870 notis bagi tempoh yang sama tahun 2023.
26 Jun 24
708
TIBW 2024 Tampil Kelainan, Rai Anak Asnaf Di Tapak Program
KUALA TERENGGANU, 26 Jun- Program Terengganu International Bike Week (TIBW) 2024 yang memasuki tahun ke -12 penganjurannya menampilkan beberapa kelainan dalam usaha menjadikan program ini lebih bermakna buat para ‘bikers’ dan juga pengunjung.
Presiden East Coast Motorcycle Club (ECMC), Tengku Seri Temenggong Raja, Datuk Seri Tengku Baharuddin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah berkata, dengan memanjangkan tempoh masa untuk ‘event’ yang dianjurkan, pihaknya yakin program yang turut mendapat kerjasama Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) itu mampu memberi impak besar kepada sektor pelancongan negeri sekali gus merancakkan ekonomi penduduk setempat.
“TIBW 2024 akan bermula pada hari ini (26 Jun) hingga 30 Jun ini dengan pelbagai pengisian menarik.
“Sebelum ini, kita adakan selama tiga hari sahaja, tetapi untuk kali ini kita lanjutkan sehingga lima hari,” ujarnya ketika bersiaran langsung di TV Darul Iman (TVDI), Temubual Selamat Pagi Terengganu (SPT), di sini, hari ini.
Lebih istimewa katanya, semua acara dan aktiviti hanya akan dilaksanakan di tapak program iaitu di Dataran Shah Bandar termasuk acara makan malam dan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).
“Bagi menggantikan program CRS sebelum ini iaitu ‘ride’ santai muhibah, kali ini dengan kerjasama pihak Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) kita akan bawa anak-anak asnaf untuk datang ke tapak program bagi meraikan dan menyampaikan sumbangan.
“Secara tidak langsung, selain mengembirakan mereka, usaha ini membuka peluang dan ruang kepada lebih ramai ‘bikers’ dan juga pengunjung untuk turut sama menghulurkan sumbangan kepada keluarga yang kurang berkemampuan,” ujarnya.
Menurut beliau, TIBW 2024 akan turut diserikan dengan program sembang santai bersama Ustaz Azhar Idrus selepas solat Isyak pada 27 Jun.
"Manakala program Tabligh Akhbar TIBW pula akan menampilkan Ustaz Kamal Hamzah selepas solat mahgrib.
"Dari sudut hadiah cabutan bertuah pula TIBW menyediakan hadiah yang cukup menarik untuk dibawa pulang oleh peserta berdaftar iaitu sebuah motosikal Harley Davidson, sebuah motorsikal RXZ dan sebuah motosikal Yamaha NVX," katanya.
Selain itu katanya, sepanjang program berlangsung, pengunjung turut berpeluang mengunjungi booth jualan dan pameran daripada pihak penaja dan vendor.
"Berkaitan motorsikal berkuasa tinggi dan pelbagai aksesori motorsikal termasuk pameran motor berkuasa tinggi, motor klasik, skuter cantik serta pelbagai lagi.
“Juga terdapat pameran daripada agensi kerajaan dan ada jualan produk IKS Tempatan petandingan mewarna kanak-kanak, persembahan kebudayaan dan lain-lain lagi," katanya.
26 Jun 24
258
Tujuh Lokasi Baharu Zon Bebas Asap Rokok Dikenalpasti
KUALA TERENGGANU, 26 Jun - Tujuh lokasi telah dikenalpasti untuk digazetkan sebagai kawasan Terengganu Bebas Asap Rokok (TBAR) di negeri itu sebelum akhir tahun ini.
Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, apabila siap digajetkan, Terengganu akan memiliki lapan zon TBAR di seluruh negeri bertujuan meningkatkan kesihatan dan kualiti hidup rakyat Terengganu daripada kesan perokok pasif melalui persekitaran yang bebas asap.
Menurutnya, sehingga kini, Terengganu hanya mempunyai satu zon TBAR yang diwartakan pada tahun 2018 iaitu kawasan tumpuan pelancong di Batu Buruk (daerah Kuala Terengganu).
"Kawasan yang dikenal pasti di Kemaman ialah Taman Bandar Chukai, daerah Dungun (Arena Merdeka), Marang (Pantai Pulau Kekabu) dan Hulu Terengganu (Pasar Awam Kuala Berang).
"Selain itu, di Kuala Nerus ialah
Pesisir Pantai Teluk Ketapang, di Setiu pula Kawasan Jeti Pelancongan Merang manakala di Besut ialah kawasan Kota Putera Square," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Operasi Cakna Undang-Undang Kesihatan Awam Siri 3/2024 di Pantai Batu Buruk di sini semalam.
Tambahnya, proses pewartaan itu mengambil masa yang agak lama kerana memerlukan libat urus pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri dan pemegang taruh yang lain.
Sementara itu, sejak 2018, JKNT telah mengeluarkan notis sebanyak 7,800 pelbagai kesalahan merokok di TBAR Batu Buruk.
"Daripada jumlah itu, sebanyak 5,409 telah ditawarkan kompaun dengan nilai sebanyak 1.35 juta.
"Jabatan akan terus mempergiatkan pemantauan dan tahap kesedaran orang ramai agar tidak merokok di kawasan tersebut," katanya.
26 Jun 24
288
Ada Benda Tak Kena, Ranking Daya Saing Malaysia Terburuk
25 Jun 24
77
SUK Terengganu Proaktif Pastikan KPI HRMIS Capai Sasaran
KUALA TERENGGANU, 25 Jun- Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu mengambil langkah proaktif dalam memastikan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia (HRMIS) mencapai tahap 100 peratus sebagaimana sasaran ditetapkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja berkata, antara usaha yang dilakukan termasuk meneliti modul-modul yang terdapat dalam kamus KPI HRMIS ditetapkan kepada pentadbiran negeri sebelum dipanjangkan kepada seluruh anggota perkhidmatan awam.
“Pentadbiran ini sentiasa memantau pencapaian KPI HRMIS secara berkala kepada jabatan/agensi di bawah seliaan Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Terengganu melalui Sistem Analitik Sumber Manusia Sektor Awam (ASSIST) dan naziran kepada jabatan serta mengeluarkan laporan kepada semua agensi.
“Selain itu, Pentadbiran Negeri turut mengeluarkan surat pemakluman berhubung tarikh penting KPI HRMIS dan sekiranya jabatan/agensi gagal mematuhi KPI HRMIS yang ditetapkan, jabatan/agensi perlu mengemukakan surat penjelasan kepada Pentadbiran Negeri agar sebarang permasalahan dapat dibantu dan diselesaikan
“Kita juga sentiasa menjalinkan hubungan baik sesama agensi dan mengadakan program bersama agensi di bawah seliaan seperti mengadakan Klinik HRMIS, Bengkel Pendedahan Kepada Kakitangan Baharu dan juga Program Naziran di jabatan/agensi,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Turun Padang HRMIS Care Zone Timur 2024 di Wisma Darul Iman, hari ini.
Seramai 312 peserta daripada 156 agensi di bawah perkhidmatan awam negeri bagi Zon Timur iaitu Terengganu, Pahang dan Kelantan menyertai program turun padang yang dianjurkan oleh pihak JPA itu.
Mengulas lanjut katanya, pengenalan modul-modul baharu dan peningkatan KPI HRMIS bukanlah sesuatu yang mudah untuk dicapai.
“Justeru, Pentadbiran Negeri berharap pihak Bahagian Digital dan Teknologi Maklumat (BDTM), JPA akan sentiasa membantu dan memberi kerjasama yang teguh kepada negeri dalam usaha memastikan KPI HRMIS dapat dicapai.
“Sentiasa memberi informasi terkini kepada Negeri Terengganu supaya tidak ketinggalan dalam menjayakan program yang dirancang diperingkat Persekutuan.
“Di samping memberikan latihan secara berterusan mengenai penggunaan pelbagai modul dan submodul HRMIS kepada Pentadbir-Pentadbir HRMIS dan Pengurus Sumber Manusia melalui Program Latihan (Training on HRMIS for user),” ujarnya.
Katanya, latihan sebegini akan membantu meningkatkan pemahaman Pentadbir-Pentadbir HRMIS dan Pengurus Sumber Manusia secara ‘hands-on’ dalam mengoptimumkan penggunaan HRMIS.
25 Jun 24
602
Usaha Terengganu Lahirkan Huffaz Teknokrat di Landasan Tepat
KUALA TERENGGANU, 25 Jun - Usaha kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu untuk melahirkan 'teknokrat huffaz' kini berada di landasan yang tepat setelah semua pelajar lepasan Sekolah Menengah IMTIAZ Yayasan Terengganu (SMIYT) telah mencapai kejayaan unggul di dalam peperiksaan awam.
Kesemua pelajar lepasan sekolah tersebut bukan sahaja berjaya mencatatakan keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) tetapi telah berjaya menghafal 30 juzuk al-Quran.
Timbalan Pengarah Pendidikan Yayasan Terengganu (YT), Megat Samsudin Megat Yusof berkata, hari ini pihak YT berbesar hati memberikan insentif sebanyak RM353,000 kepada 353 murid.
"Hari ini kita meraikan seramai 368 graduan pelajar tingkatan 5 dan 14 tingkatan 6 di mana seramai 353 murid telah berjaya khatam 30 juzuk hafalan al-Quran.
"Manakala seramai 105 orang murid telah berjaya khatam al-Quran hanya dalam tempoh tiga tahun yang merupakan pelajar tingkatan satu hingga tingkatan tiga berdasarkan Petunjuk prestasi Utama (KPI) Ko-Kurikulum Hafazan Imtiaz.
"Iaitu menghafal sekurang-kuranya satu muka surat sehari, 10 juzuk setahun dan akhirnya khatam 30 juzuk dalam tempoh tiga tahun," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Graduasi dan Anugerah Hafazan Al-Quran Kali Ke-14, Sekolah-Sekolah Menengah IMTIAZ Yayasan Terengganu, di Dewan Konvesyen Taman Tamadun Islam (TTI), di sini, hari ini.
Majlis berkenaan telah disempurnakan oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato' Mohd Nor Hamzah.
Mengulas lebih lanjut, Megat berkata kejayaan pelajar SMYIT itu merupakan satu kejayaan yang amat membanggakan.
"Walaupun mempunyai rutin belajar (akademik) yang padat sebagai anak soleh pintar namun masih mampu menghafal al-Quran (mengikut) silibus yang telah ditetapkan.
"Statistik ini membuktikan bahawa SMIYT telah merealisasikan matlamat penubuhannya untuk melahirkan huffaz profesional secara langsung ia menjadi pemangkin modal insan dengan mida kelas pertama yang akan menyumbang kemajuan dan kelestarian negeri Terengganu," ujarnya.
Dalam pada itu, Mohd Nor menzahirkan ucapan tahniah kepada YT kerana masih mengekalkan kejayaan dan mengangkat martabat pendidikan tahfiz di negeri Terengganu.
"SMIYT juga masih berada dalam carta 10 sekolah terbaik di peringkat negeri dengan melahirkan seramai 70 orang pelajar mendapat 12A.
"Tidak dilupakan ucapan tahniah dan terima kasih kepada warga pendidik kerana tanpa jemu bertungkus lumus menggembleng tenaga serta masa agar kejayaan pada hari ini terukir," ujarnya.
25 Jun 24
854
INSTEP Latih 27 Asnaf Dalam Bidang Minyak Dan Gas
KUALA NERUS, 24 Jun- Institut Teknologi Petroleum PETRONAS (INSTEP) berjaya melatih 27 orang asnaf terpilih di negeri ini melalui program Latihan Teknikal Zakat Wakalah 2024.
Program pra-pekerjaan yang dilaksanakan dengan kerjasama Yayasan Pendidikan MAIDAM (YPM) itu memberi pendedahan asas kepada pelatih kemahiran TVET di dalam sektor minyak dan gas.
Ketua Pegawai Eksekutif INSTEP, Mohamad Nasir berkata, program latihan itu adalah sebahagian daripada usaha INSTEP menyokong agenda Dasar TVET negara di samping membantu golongan asnaf meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja di dalam bidang minyak dan gas.
“Kami berharap, program ini mampu menarik minat setiap pelatih untuk terlibat di dalam industri ini, seterusnya meningkatkan kemahiran mereka untuk diterima bekerja dengan syarikat penyedia perkhidmatan minyak dan gas," ujarnya pada majlis penyampaian sijil tamat latihan kepada pelatih yang disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pendidikan MAIDAM, Norhana Yaakub di INSTEP, hari ini.
Turut hadir, Pengurus Besar INSTEP, Azhar Ahmad .
Mohamad berkata, MAIDAM melalui inisiatif Zakat Wakalah, melantik entiti yang membayar zakat kepada Pusat Pungutan Zakat berkenaan untuk mengagihkan sendiri sebahagian kutipan zakat kepada asnaf yang layak.
"Sebahagian zakat yang dibayar oleh kakitangan PETRONAS kepada MAIDAM itu dikembalikan kepada Dana As-Syakirin sebagai pemegang amanah yang menguruskan zakat kakitangan PETRONAS.
"Dana As-Syakirin mengagihkan sejumlah dana yang diterima tersebut untuk melatih asnaf di dalam bidang TVET sebagai salah satu usaha meningkatkan taraf hidup mereka melalui penglibatan di dalam sektor minyak dan gas.
"Manakala INSTEP selaku pusat latihan teknikal minyak dan gas, dilantik sebagai ejen pelaksana yang bertanggungjawab menjalankan pembelajaran," ujarnya.
Mengulas lanjut katanya, melalui program sepenuh masa yang dijalankan selama empat bulan ini, pelatih didedahkan dengan pelbagai kemahiran asas di dalam bidang elektrikal dan mekanikal.
"Selain itu pelajar juga dibekalkan dengan program-program pensijilan tambahan seperti Ujian Tanpa Musnah (NDT), Keselamatan Bekerja di Tempat Terkurung (AESP), Pengetahuan Bantuan Cemas, Latihan Keselamatan dan Kesihatan (OGSP), dan Induksi Asas Keselamatan Luar Pesisir dan Latihan Kecemasan (BOSIET).
"Sijil-sijil tersebut merupakan keperluan penting yang melayakkan setiap individu untuk bekerja di dalam industri minyak dan gas," jelas beliau.
Katanya, di dalam usaha meningkatkan nilai tambah program, INSTEP juga turut memperkenalkan modul sampingan seperti subjek Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam dan Kesedaran Kemampanan.
"Selain daripada itu, aspek pembinaan keterampilan diri dan personaliti yang professional juga turut disertakan di dalam program tersebut.
"Pelatih-pelatih juga turut terlibat di dalam pelbagai aktiviti yang dijalankan di dalam kampus, seperti sukan, riadah serta aktiviti pengukuhan pasukan (team building)," ujarnya.
Tambah beliau, sepanjang tempoh program, selain kemudahan penginapan dan makanan, setiap pelatih turut menerima elaun bulanan sebanyak RM500.
24 Jun 24
379
Sanggup Berhenti Kerja Ternak Lembu Sado
MARANG, 24 Jun - Keputusan meninggalkan kerjaya stabil enam tahun lalu demi minat yang mendalam dalam bidang ternakan ternyata berbaloi buat Aiman Asyraf Kamarudin, 33.
Bermula daripada mengusahakan projek ternakan lembu fidlot secara kecil-kecilan pada 2018, kini bekas penyelia projek syarikat swasta itu boleh menarik nafas lega apabila ladang ternakannya, AIDEN Cattle Farm mampu beroperasi secara komersil di Kampung Tok Fakir, Merchang, di mana tumpuan diberi kepada lembu baka Brahman.
Menyingkap kembali pembabitannya dalam bidang ternakan, Aiman berkata, semuanya bermula secara kecil-kecilan setelah mendapat tahu bahawa penternak tempatan hanya mampu membekalkan kira-kira 30 peratus sahaja daripada keperluan bekalan daging negara manakala selebihnya dimport dari pelbagai negara.
“Hasil dorongan keluarga, saya nekad berhenti kerja dan selepas projek yang diusahakan mendapat sambutan, saya mula menternak lembu sado pada 2022 dengan fokus mengeluarkan lembu pedaging baka Charolais dan Limousine,” ujarnya ketika dihubungi pemberita, hari ini.
AIDEN Cattle Farm yang diasaskan oleh Aiman dan tiga adiknya kira-kira enam tahun lalu kini memiliki lapan ekor lembu sado dari baka Charolais dan Limousine serta 35 ekor lembu baka Brahman yang ditempatkan di kandangnya.
Antara keistimewaan ternakan yang dibela di AIDEN Cattle Farm ialah diet ternakan di sini tidak hanya terhad kepada pallet semata-mata tetapi ia juga turut ‘dihidangkan’ dengan jagung yang dihancurkan, rumput segar dan silaj.
“Alhamdulillah maklum balas daripada peserta korban yang menyertai progam pakej ibadah korban bersama AIDEN Cattle Farm, daging korban tersebut tidak berlemak, padat dan lembut,” katanya yang merupakan graduan pengajian pembuatan dari sebuah kolej universiti tempatan.
Anak muda yang berasal dari Wakaf Mempelam, Kuala Terengganu itu berkata, kini AIDEN Cattle Farm telah menjadi antara pembekal lembu korban di negeri ini.
Mereka menjual lembu korban setiap kali musim perayaan Aidil Adha serta mengadakan pakej ibadah korban secara bahagian bagi kemudahan penduduk tempatan yang terdiri daripada baka Brahman dan Charolais.
“Berbanding lembu lain, lembu sado ini perlukan lebih perhatian dan suka dimanjakan,” katanya sambil menjelaskan bahawa setiap aktiviti dan rutin harian di AIDEN Cattle Farm boleh diikuti melalui tik tok @aidencattlefarm dan juga Facebook.
Kegigihan Aiman mengusahakan projek lembu Sado turut mendapat pengiktirafan pihak berkuasa apabila AIDEN Cattle Farm dipilih sebagai ‘Kandang Bimbingan’ Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Terengganu, awal tahun ini.
Lebih membanggakan, beliau turut dicalonkan sebagai Penternak Jaya 2024.
“Saya terkejut apabila dihubungi pegawai Pejabat Veterinar Daerah Marang minggu lepas untuk dicalonkan sebagai Penternak Jaya 2024 di peringkat daerah Marang.
“Saya tidak menaruh harapan besar untuk menang anugerah tersebut kerana ramai lagi penternak ‘otai’ yang turut dicalonkan bagi kategori berkenaan.
“Bagi saya pencalonan ini secara tidak langsung telah membakar semangat untuk saya berusaha lebih gigih dan mencapai kejayaan yang lebih besar di masa depan,” ujarnya.
24 Jun 24
397
Surau Berusia 20 Tahun Dinaik Taraf
Kerajaan negeri melalui anak syarikatnya Eastern Pacific Corporation bhd (Kumpulan EPIC) menaik taraf surau di kawasan Taman Rekreasi Batu Buruk dengan kos RM100,000.
23 Jun 24
5