Artikel "Utama" Terkini
Ahli Parlimen Bukan Golongan 'Untouchables' - Johari
KUALA TERENGGANU, 12 Ogos - Ahli Parlimen digesa menyedari bahawa mereka bukan golongan 'Untouchables' sehingga besar kepala dan tidak boleh ditegur serta menerima kritikan rakyat.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, sebaliknya mereka yang memegang amanah sebagai ahli parlimen perlu menyedari bahawa mereka datangnya daripada rakyat yang memilih.
"Kerana Parlimen itu sendiri adalah untuk rakyat dan hendak tahu apa yang berlaku di Parlimen kerana itu orang yang dipanggil wakil rakyat itu merupakan hak rakyat, bukan milik dewa.
"Mereka rakyat biasa yang boleh ditegur jadi jangan ada sifat kerana aku wakil rakyat maka tidak boleh ditegur," ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang medianya sempena Program Jelajah Yang Dipertua Dewan Rakyat Ke Dewan Undangan Negeri di Semenanjung, di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Turut hadir, Yang Dipertua DUN Terengganu, Dato' Mohd Nor Hamzah dan Timbalannya, Khazan Che Mat.
Dalam pada itu, Johari berkata lawatan ke DUN Terengganu itu bertujuan memperkukuhkan kerjasama dan hubungan di antara Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri.
"Terengganu merupakan negeri kesembilan dan selepas ini kami akan ke Pahang dan Selangor sebelum semua speaker-speaker berkumpul di Sarawak pada 11 hingga 14 September tahun ini.
"Tujuan jelajah ini adalah untuk berkenalan mesra dengan semua sepaker dan setiausaha dewan dalam masa yang sama banyak benda yang kita telah bincang dan perhalusi melalui soal jawab yang kita perlu diperkemaskan.
"Insya-Allah semua ini akan kita jadikan panduan dan ada perkara dijadikan resolusi untuk dibawa ke persidangan speaker-speaker pada September nanti," katanya.
12 Aug 24
418
Terengganu Menuju Negeri Industri Berteknologi Tinggi
KEMAMAN, 12 Ogos - Kerajaan negeri telah mengatur beberapa strategi dalam usaha menjadikan Terengganu sebagai sebuah negeri Industri Berteknologi Tinggi selari dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat berkata, Terengganu akan mengutamakan pembangunan mapan, mengimbangi pertumbuhan ekonomi dengan pertimbangan alam sekitar dan sosial.
Katanya, kerajaan negeri juga sedang menggubal satu dasar baharu iaitu Dasar Pembangunan Pelaburan Perindustrian Negeri Terengganu 2023-2030.
“Dasar ini selari dengan perkembangan revolusi industri 4.0 yang memberi penekanan kepada Internet of Thing (IOT) sebagai iltizam Negeri Terengganu membentuk pertumbuhan ekonomi yang mampan melalui pelaburan perindustrian dalam pelbagai sektor perindustrian selaras dengan Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS 2030),
“Selain itu, kerajaan negeri akan membangunkan modal insan dengan melabur dalam program pendidikan dan latihan untuk melengkapkan pekerja dengan kemahiran yang diperlukan untuk industri teknologi tinggi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan upacara penutup bagi Pembukaan Kilang Kemaman Liquid Mud Plant (KLMP) yang berlangsung di Pengkalan Bekalan Kemaman di sini hari ini.
KLMP merupakan kilang penyimpanan serta pemprosesan bahan kimia untuk dihantar ke pelantar-pelantar minyak bagi kegunaan kerja-kerja penggerudian minyak.
Hanafiah berkata, kilang kLMP itu adalah salah satu perkhidmatan yang amat penting bagi melengkapkan struktur perkhidmatan dalam sesebuah pengkalan bekalan.
"Saya difahamkan bahawa kilang KLMP ini adalah salah satu kilang terbaik di rantau ini dan telah mendapat piawaian ISO mengikut standard keperluan syarikat-syarikat antarabangsa.
"Ini menunjukkan komitmen KLMP terhadap kecemerlangan, keselamatan dan kualiti dalam setiap aspek operasinya," ujarnya yang juga merupakan Pengerusi Pengkalan Bekalan Kemaman.
Tambah beliau, kilang tersebut bukan sahaja menyumbang kepada ekonomi tempatan tetapi juga memainkan peranan penting dalam memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai 'hab industry' minyak dan gas yang kompetitif di peringkat global.
"Dengan teknologi terkini dan amalan terbaik yang diterapkan, KLMP telah menunjukkan bahawa kita mampu bersaing di peringkat antarabangsa," ujarnya.
12 Aug 24
1081
Permai Hotel Rangkul Anugerah 'Hotel Bandar Terbaik' 2024
KUALA TERENGGANU, 12 Ogos - Permai Hotel Kuala Terengganu sekali lagi mencipta nama di peringkat antarabangsa apabila dipilih sebagai pemenang bagi kategori “Best City Hotel” di Tourism Industry Awards 2024 (TIA 2024), baru-baru ini.
Pengurus Besarnya, Noralizan Abd Rahman berkata kejayaan tersebut menandakan satu pencapaian hebat bagi Permai Hotel Kuala Terengganu, sekaligus memperkukuhkan kedudukannya sebagai salah satu pilihan utama penginapan di bandar Kuala Terengganu.
Menurutnya, anugerah itu merupakan satu tanda aras penting untuk menjadi lebih baik dan lebih banyak akan dilakukan bagi memastikan kepuasan tetamu yang menginap di hotel terjaga.
"Tahun ini, kami akan mulakan pengubahsuaian bagi 80 bilik bagi keselesaan pengunjung.
"Permai Hotel juga telah melakukan beberapa pengubahsuaian bilik, penggantian karpet Ballroom, dan renovasi restoran," ujarnya ketika ditemui pemberita.
Majlis anugerah yang dianjurkan oleh Malaysia International Tourism Development Association (MITDA) Tourism Industry Awards 2024 (TIA 2024) diadakan di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur dan dirasmikan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Majlis tersebut turut mempertandingkan lebih 60 kategori termasuk ejen pelancongan, perhotelan, seni dan budaya, perkhidmatan makanan dan banyak lagi.
Noralizan juga berkata beliau yakin anugerah itu juga akan menjadi antara faktor para pelanggan menjadikan hotel tersebut sebagai destinasi pilihan penginapan utama apabila bercuti serta berkunjung ke Kuala Terengganu.
"Anugerah ini akan menjadi pemangkin untuk terus mencapai lebih banyak kejayaan dan mengekalkan kecemerlangan dalam industri pelancongan di Terengganu khususnya," ujarnya.
12 Aug 24
1671
Surau Pantai Batu Buruk Berwajah Baru
Surau di Taman Rekreasi Pantai Batu Buruk yang telah siap diperbaiki, diserahkan oleh EPIC Berhad dan Konsortium Pelabuhan Kemaman yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Muhtar Suhaili kepada Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk, hari ini.
08 Aug 24
229
18,600 Benih Spesis Ikan Asli Dilepaskan ke Sungai Dusun
HULU TERENGGANU, 8 Ogos - Jabatan Perikanan Negeri Terengganu (JPNT) melepaskan 18,600 ekor pelbagai spesis benih ikan asli di perairan umum Sungai Terengganu, di Kampung Dusun, Telemong hari ini.
Pengerusi Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata jumlah benih ikan yang dilepaskan pada pagi itu terdiri daripada benih ikan baung sebanyak 3,500 ekor, Lampam Sungai berjumlah 15,000 ekor manakala Kelah pula sebanyak 100 ekor.
Katanya, program tersebut bertujuan untuk meningkatkan stok ikan bagi menjamin bekalan protein dari sumber ikan sentiasa mencukupi kepada rakyat.
"Selain itu, menjadi tarikan baru pelancongan kepada golongan kaki pancing untuk mengunjungi kawasan Kampung Dusun dan kampung-kampung lain yang terdapat di sepanjang jajaran sungai ini.
"inisiatif tersebut turut memberi impak dan manfaat kepada nelayan dan golongan sasar yang terdiri daripada masyarakat luar bandar, pulau serta pedalaman bagi mendapatkan sumber protein murah dan meningkatkan pendapatan juga sosioekonomi," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman selepas program berkenaan.
Maliaman berkata, program tersebut diharapkan dapat terus melestarikan sumber perikanan sungai dalam memenuhi ruang sebagai salah satu sumber ekonomi bagi nelayan darat di samping dapat memulihara ekosistem.
“Saya harapkan kita semua akan terus menjaga persekitaran daripada tercemar akibat perbuatan tangan-tangan manusia yang tidak menjaga kesejahteraan sungai.
"Disini juga kawasan utama pembiakan Tuntung. Sebelum ini kita sudah kehilangan salah satu daya tarikan negeri kita iaitu penyu yang sudah kurang mendarat di Rantau Abang," ujarnya.
Untuk Rekod pada tahun 2024, Jabatan Perikanan Negeri Terengganu menerima RM135,000.00 peruntukan bagi perolehan benih ikan. RM85,000.00 adalah dari Kerajaan Negeri manakala RM50,000.00 dari Kerajaan Persekutuan.
08 Aug 24
226
Beri Perkhidmatan Dengan Penuh Profesional dan Berintegriti
Warga kerja Yayasan Terengganu diseru agar terus memberi perkhidmatan yang mengutamakan rakyat dengan penuh profesional, progresif dan berintegriti.
07 Aug 24
69
UMT Lancar Kempen Kibar Jalur Gemilang
KUALA TERENGGANU, 7 Ogos- Universiti Malaysia Terengganu (UMT) meneruskan program semarak kibar jalur gemilang di kampus universiti itu bersempena sambutan bulan kemerdekaan Malaysia ke-69.
Acara tahunan sejak lebih sedekad itu merupakan manifestasi warga kampus dalam menyemarakkan sambutan bulan kebangsaan serta sambutan Hari Malaysia.
Naib Canselor UMT, Prof. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim berkata, pihaknya telah merangka pelbagai program sebagai pengisian menyambut bulan kebangsaan.
“Alhamdulillah, kita telah berjaya mengadakan program kibar Jalur Gemilang dan menyempurnakan simbolik pelepasan kenderaan rasmi UMT.
“Pelbagai program pengisian sepanjang sambutan bulan kemerdekaan akan dilaksanakan UMT bagi menyemarakkan lagi kempen kibar Jalur Gemilang dalam menghayati pengertian kemerdekaan selain menyemai semangat patriotik di kalangan warga kampus khususnya mahasiswa," ujarnya.
Katanya, selaras dengan kempen kibar Jalur Gemilang yang dilancarkan pihak kerajaan bertemakan Malaysia Madani : Jiwa Merdeka Julai lalu, kira-kira 500 Jalur Gemilang pelbagai saiz berjaya diedarkan UMT kepada semua kenderaan yang masuk ke kampus sepanjang program Kibar Jalur Gemilang yang diadakan di pintu masuk utama kampus.
Sementara itu, wakil barisan Majlis Perwakilan Pelajar UMT, Nur Sabrina Afiqah Md Sukor menyeru mahasiswa untuk bersama-sama menyemarakkan lagi semangat cintakan negara.
“Kami di barisan Majlis Perwakilan Pelajar mengalu-alukan warga pelajar UMT untuk bersama-sama menyertai program berkaitan bulan kebangsaan bagi menyemarakkan lagi sambutan kemerdekaan serta menyemai semangat patriotik terhadap negara Malaysia yang tercinta ini, " katanya.
07 Aug 24
172
92 Ribu Kediaman Terlibat Banci Pertanian Terengganu
Sebanyak 92,000 tempat kediaman dan 480 pertubuhan di negeri Terengganu yang telah dikenal pasti terlibat dalam aktiviti pertanian akan melalui proses Banci Pertanian 2024.
06 Aug 24
78
Terengganu Sokong Kedah Pertahan Dasar Sifar Judi
ALOR SETAR, 6 Ogos - Kerajaan Kedah tidak bersendirian dalam perjuangan mempertahankan prinsip sifar judi di negeri terbabit selepas Terengganu menyatakan sokongan terhadap usaha negeri terbabit.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, dasar yang menjadi polisi negeri SG4 itu akan dipertahankan bersama.
Ujarnya, walaupun ada pihak yang menentang usaha itu sehingga berlaku semakan kehakiman oleh Mahkamah Tinggi Alor Setar pada 20 Jun lalu, pihaknya bersama Kerajaan dan rakyat Kedah.
"Ia penting untuk kita terus berpegang kepada prinsip yang telah diputuskan bersama oleh negeri SG4 melalui bidang kuasa kerajaan negeri, kita tidak akan benarkan sama sekali.
*Kita hendak memastikan rakyat kita bebas daripada amalan judi yang mempunyai mudarat besar hingga boleh meruntuhkan institusi kekeluargaan dan mewujudkan suasana tidak aman dalam masyarakat," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) semasa mewakili delegasi Kerajaan Terengganu mengadakan kunjungan hormat Kerajaan Negeri Kedah, di Bilik Gerakan Negeri Kedah, Wisma Darul Aman, semalam.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri Terengganu, Rizuan Hashim dan Ketua Hakim Syarie Terengganu Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu, YAA. Dato' Haji Wan Mohd Zakri Wan Mohd.
Delegasi Kerajaan Negeri Terengganu telah mengadakan kunjungan hormat kepada Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan Negeri Kedah, Dato' Mohd Azam Abd Samad.
Dalam pada itu, Muhammad Khalil berkata Terengganu mengambil langkah persediaan seandainya ada pihak yang akan melakukan perkara sama menentang penutupan pusat judi.
"Kita bersedia melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengikut bidang kuasa kita sendiri, insya-Allah apa yang penting kita mempertahankan prinsip yang diputuskan dengan polisi yang telah kita persetujui bagi menjaga kepentingan rakyat secara umum," ujarnya.
Dalam pada itu, Azam berkata kerajaan Kedah kini melalui Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Mohd Nor sedang berusaha bagi mempertahankan dasar sifar judi.
"Ia disambut oleh pihak PBT yang menegaskan tidak akan meluluskan lesen premis judi di Kedah walaupun telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.
"Di peringkat Kerajaan Negeri Kedah akan terus membuat rayuan di Mahkamah Rayuan supaya apa yang telah dilaksanakan bagi membendung aktiviti judi dapat diteruskan dan ini juga merupakan hasrat rakyat Kedah bagu memastikan 'sifar judi' dapat dipertahankan," tegasnya.
06 Aug 24
365
Yayasan Terengganu Rai Kakitangan Cemerlang
KUALA TERENGGANU, 6 Ogos- Seramai 31 kakitangan Yayasan Terengganu yang menunjukkan prestasi cemerlang pada tahun lalu menerima anugerah perkhidmatan cemerlang (APC) masing-masing pada Majlis Apresiasi Dan Jasamu Dikenang Yayasan Terengganu Tahun 2024 yang berlangsung di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam, di sini hari ini.
Turut dirai enam orang pengetua cemerlang Sekolah Menengah IMTIAZ Yayasan Terengganu serta 19 orang warga kerja yang telah dan akan bersara pada tahun ini.
Pengarahnya, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham berkata, penganjuran program itu merupakan medan pengiktirafan terhadap kecemerlangan warga kerja Yayasan Terengganu yang telah menunjukkan dedikasi, kesungguhan dan komitmen yang tidak berbelah bahagi dalam melaksanakan setiap tugasan diamanahkan.
“Semoga pengiktirafan ini akan menyuntik semangat untuk bekerja dengan lebih tekun dan cemerlang serta menjadi inspirasi kepada rakan sekerja yang lain,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Apresiasi Dan Jasamu Dikenang Yayasan Terengganu Tahun 2024 yang telah disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, sebagai penjawat awam, kakitangan Yayasan Terengganu merupakan tonggak utama kepada pembangunan negeri khususnya dalam bidang pendidikan.
“Pelbagai kejayaan serta kecemerlangan dilakar telah menjadikan ekspektasi rakyat dan pemegang taruh terhadap Yayasan Terengganu kini semakin tinggi.
“Keadaan ini memerlukan kita sentiasa peka terhadap tuntutan perubahan semasa, melaksanakan tugas dengan cekap serta membuat pembaharuan yang berterusan bagi memastikan sentiasa kekal relevan dan responsif,” ujarnya.
Justeru katanya, warga kerja Yayasan Terengganu diingatkan agar menjauhi elemen negatif yang boleh merosakkan nama baik serta kredibiliti organisasi yang telah dibina sekian lama sebaliknya terus berusaha mengharumkan nama sehingga ke mata dunia.
06 Aug 24
121