Artikel "Utama" Terkini
Sembilan Pasukan Sertai Pertandingan Gamelan Tradisional
KUALA TERENGGANU, 27 September- Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Terengganu (JKKN) melalui Kelab Kebajikan & Rekreasi Kampung Manir telah menganjurkan Pertandingan Gamelan Melayu Tradisional (Tarian) bertempat di Auditorium JKKN Terengganu, Kuala Ibai, di sini , hari ini.
Sebanyak sembilan buah sekolah mengambil bahagian dengan penyertaan 88 orang pelajar.
Ia terdiri daripada pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Ikan, SK. Tengku Ampuan Intan, SK. Sultan Sulaiman 1, SK. Gong Pasir, SK. Tanjung Gelam, SK. (Perempuan) Methodist Kuantan, SK. Tok Jembal, SK. Wakaf Tapai dan SK. Seberang Takir.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu (Pembangunan), Dato’ Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata, sambutan pada tahun ini di luar jangka dengan penyertaan sebanyak sembilan pasukan berbanding lima pasukan pada tahun lalu.
"Mutu gerak tari asas bagi gerak tari Melayu semua peserta pada hari ini dilihat sangat menyerlah.
"Penyertaan pada tahun ini semestinya memberi saingan yang hebat dan membuat juri yang menilai sukar untuk menentukan para pemenang," ujarnya kepada pemberita selepas pertandingan tersebut.
Turut hadir, Penolong Setiausaha Kanan (Dasar Kebudayaan MOTAC), Salida Ibrahim, Pengarah JKKN, Samsuring Meli serta Pengarah JPNT, Ahmad Ridzwan Abd Rahman.
Katanya, penganjuran tahun ini memberi penanda aras baharu dalam segmen tarian gamelan Melayu tradisional di Terengganu.
27 Sep 24
383
Media Sosial Jadi Ancaman Besar 'Ulat Buku'
KUALA TERENGGANU, 27 September - Kecanggihan teknologi masa kini boleh memudarkan minat masyarakat terhadap amalan membaca dan menuntut ilmu.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Perpaduan Nasional Negeri, Maliaman Kassim menzahirkan kebimbangan terhadap situasi yang berlaku dalam kalangan masyarakat terutama bagi golongan pelajar.
“Saya melihat media sosial menjadi punca utama menyebabkan pelajar kurang minat membaca buku atau kitab, dibimbanginya bakal jadi hiasan dalam almari sahaja suatu hari nanti.
”Kita perlu terapkan minat pelajar bermula dengan peranan ibu bapa di rumah dengan pelbagai cara seperti beli bahan bacaan atau bawanya ke pesta buku agar dapat memupuk minat terhadap media cetak tersebut, serta mengawal anak supaya tidak terlalu terikat dengan media sosial,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Perasmian Pesta Buku @ PPAT 2024 di Dewan Teater, Perpustakaan Awam Negeri Terengganu di sini semalam.
Turut hadir, Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu;l, Ridzuan Hashim, Ketua Penolong Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Syed Ab Rahman Hilmi Syed Zain, dan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu, Norliza Ismail.
Tambah Maliaman, beliau memuji usaha dibuat pelbagai pihak untuk menambah minat membaca dalam masyarakat serta mengekalkan suasana keilmuan melalui penulisan dan media cetak.
“Program seperti ini sangat penting supaya jalinan tradisi keilmuan kekal dengan penulisan tradisional atau media cetak dan sebagainya, kerana pembelajaran melalui kitab dapat menjamin keselamatan ilmu dan ketulenan sumber.
“Kita juga berharap setiap bacaan dapat diterjemahkan secara ‘amali’ dalam semua aspek kehidupan, ramai baca Al-Quran, tapi terlalu sedikit beramal dengan isi kandungannya.
“Dengan ilmu mampu merubah dan hasilkan masyarakat bijak pandai, sama ada cara minda berfikir atau bertindak, seterusnya dapat menjadikan masyarakat yang bermutu tinggi,” ujarnya.
27 Sep 24
162
Terengganu Sasar Lebih 500 Pemilikan Pensijilan Halal Menjelang 2025
KUALA NERUS, 26 September – Kerajaan negeri menyasarkan lebih 500 syarikat dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang beroperasi di negeri ini memperoleh pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menjelang 2025.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, berdasarkan statistik yang diperoleh seramai 300 pemegang sijil halal di Terengganu sehingga kini yang berdaftar dengan JAKIM.
Justeru itu, pihaknya menyasarkan peningkatan usaha persijilan halal terutama bagi produk makanan di negeri ini supaya dapat mempertingkatkan pasaran eksport negeri membabitkan kluster makanan dan minuman.
“Terengganu agak ketinggalan dalam isu sijil halal ini kerana ada yang beranggapan apabila Terengganu 99 peratus adalah muslim, jadi peniaga-peniaga produk merasakan tidak perlu persijilan hala.
“Contohnya peniaga keropok, yang merasakan tidak perlu sijil halal tersebut kerana mereka kata produk yang dihasilkan sudah halal, bersih dan orang melayu di Terengganu pula tidak timbul isu halal ketika membeli produk keropok,”ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan East Coast Halal Business Opportunities Seminar di Raia Hotel & Convention Centre, Gong Badak, di sini hari ini.
Tambahnya, usaha untuk memberi kesedaran kepada usawan tentang kepentingan persijilan halal menjadi satu cabaran kepada kerajaan negeri kerana kesedaran berhubung sijil dan logo halal JAKIM dalam kalangan uasahawan di negeri itu masih rendah.
Katanya perakuan sijil halal terhadap sesuatu produk amat penting sekiranya para pengusaha mahu melebarkan sayap produknya ke luar negara terutama ke negara-negara Islam.
“Sekiranya usahawan tiada sijil halal, mereka akan sukar untuk memasarkan produk mereka, terutama jika mahu menembusi pasaran ke negara-negara Islam.
“Kita kena tambahkan usaha kita untuk persijilan halal ini kerana ianya telah menjadi satu tarikan untuk mana-mana negara di dunia ini yang memerlukan sijil halal tersebut untuk bahan makanan, jadi kita merasakan bahawa mungkin pelanggan-pelanggan akan merasa lebih terjamin daripada segi kebersihannya dan negara kita tidak terkecuali daripada segi ini,”ujarnya lagi.
Jelas Ariffin, pihaknya melaksanakan beberapa langkah untuk menarik lebih ramai usahawan Terengganu memohon pensijilan halal daripada badan itu dengan mengadakan program kesedaran, bengkel, khidmat nasihat (pemudah cara) dan lain-lain lagi.
“Antara tindakan segera yang perlu diambil oleh Kerajaan Negeri sebagai projek perintis (pioneer project) ialah dengan menubuhkan Majlis Halal Terengganu (MHT) yang akan dipengerusikan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
“MHT akan membantu memperkasa penyelarasan pensijilan Halal Malaysia bersama antara JAKIM dengan JHEAT selaku badan berautoriti utama dalam pengurusan halal negeri termasuk menjadi pusat rujukan, pengiktirafan, penarafan dan khidmat nasihat berkaitan pensijilan halal,”katanya.
26 Sep 24
337
Tertarik Dengan Tawaran Antara Punca Terpedaya Penipuan 'Scammer'
KUALA TERENGGANU, 26 September - Akibat mudah terpengaruh dengan sesuatu yang ditawarkan antara punca seseorang individu itu menjadi mangsa jenayah penipuan (scam).
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, pihaknya menerima purata lima hingga enam laporan setiap hari membabitkan jenayah 'scammer' di daerah ini.
"Ia merupakan aktiviti jenayah terancang dan merupakan satu ancaman teruk terutamanya dalam daerah ini.
"Disebabkan itu, kita sentiasa mengadakan perbincangan, perjumpaan dan mengadakan kobalorasi dengan pelbagai pihak dan masukkan slot berkaitan dengan ' scammer' pada setiap program yang dianjurkan bagi memberi kesedaran kepada masyarakat tentang ancaman 'scammer'," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Tanggungjawab Sosial Amanah Raya Berhad Dan PDRM Bersama Nelayan Kawasan Kuala Terengganu Utara & Selatan di Dewan Akademi Perikanan, Chendering di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan Amanah Raya Berhad, Ahmad Feizal Sulaiman Khan.
Mengulas lanjut katanya, bentuk penipuan paling tinggi di daerah Kuala Terengganu adalah melibatkan pelaburan tidak wujud.
"Walaupun kesedaran orang ramai semakin meningkat tetapi seperti yang kita sedia maklum penggunaan media sosial bukan setakat kanak-kanak sahaja tetapi turut popular di kalangan orang dewasa seperti Telegram, Tiktok dan sebagainya.
"Mereka mempunyai perasaan ingin mencuba dan melihat apa yang ditawarkan menyebabkan mereka mudah terperangkap dengan aktiviti 'scammer'," ujarnya.
Katanya, walaupun telah diberi amaran, peringatan tetapi masih ada lagi yang menjadi mangsa dan mereka bukan hanya dalam kalangan masyarakat biasa, malah penjawat awam turut terjerat.
26 Sep 24
225
Karnival Indahnya Hidup Bersyariat Diperluas ke 32 DUN
KUALA TERENGGANU, 26 September - Program Indahnya Hidup Bersyariat bakal dilaksanakan di 32 Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula tahun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, program-program tersebut menterjemahkan usaha pihak kerajaan negeri yang tidak pernah berhenti meninggikan syiar Islam di bumi Darul Iman ke peringkat akar umbi.
Menurutnya, satu bajet telah diluluskan dalam mesyuarat Exco bagi melaksanakan program tersebut dalam bentuk karnival dengan pelbagai pengisian dakwah dan islamiah.
"Jadi dalam program ini kita akan 'highlight' bahawa syariat dalam islam ini satu syariat yang indah, bukan sahaja tentang hudud dan qisas tapi merangkumi semua aspek termasuk keluarga, pendidikan anak-anak, hiburan mengikut cara Islam dan lain-lain lagi.
“Garapan dan impak daripada ‘Indahnya Hidup Bersyariat’ diharapkan bakal menterjemahkan suasana beragama dan penghayatan undang- undang Islam dalam setiap golongan dan lapisan masyarakat," katanya ketika ditemui pemberita di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Tambahnya lagi, program berkenaan diadakan untuk menzahirkan manifestasi kerajaan negeri bagi menonjolkan usaha membangun serta membentuk modal insan kalangan rakyat secara holistik dan komprehensif.
26 Sep 24
267
Imtiaz Terengganu Sasar Saingi Pelajar Antarabangsa
KUALA NERUS, 25 September - Sekolah Menengah IMTIAZ Yayasan Terengganu menyimpan hasrat dan sasaran yang besar untuk bersaing dan duduk setaraf dengan pelajar antarabangsa dalam bidang akademik.
Pengarah Yayasan Terengganu, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham percaya dengan kualiti para pelajar Imtiaz dan yakin bakal setaraf dengan mahasiswa antarabangsa dalam beberapa tahun lagi.
“Saya agak terkejut dan kagum dengan kemampuan dan kebolehan pelajar tingkatan 1, jika 6 bulan perkembangan seumpama ini, kita yakin dalam masa 4 tahun setengah lagi, mampu bersaing dengan mereka di peringkat antarabangsa, itulah objektif sebenar penubuhan sejak 20 tahun lepas.
“Kita nak para pelajar di sini bukan hanya mampu menghafal Al-Quran, bahkan mahu mereka cemerlang dalam bidang akademik, supaya dapat bersaing dan duduk semeja dengan pelajar dari Universiti hebat dunia seperti Oxford, Cambridge Universiti atau setarafnya,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Majlis Penutupan Program Khas Asasi Ulul Albab, Sekolah-sekolah Menengah IMTIAZ Yayasan Terengganu tahun 2024, di Dewan Jubli Perak, Kompleks Pentadbiran Bandar Al-Wathiqu Billah, di sini semalam
Tambah Mohd Azmi, beliau yakin dengan kemampuan para guru untuk melatih dan mendidik pelajar dengan sistem ciptaan sendiri supaya menepati kejayaan yang disasarkan.
“Yakin dengan modul sendiri yang mampu memperkuatkan pelajar, permulaan 6 bulan pertama ini, kita berikan asas bagaimana untuk menjadi pelajar cemerlang.
“Semasa mula penubuhan dahulu, banyak sekolah luar datang untuk belajar dari Imtiaz, sekarang ada antara mereka mampu bersaing dan melebihi kita, itu tidak menjadi masalah, harapan Imtiaz supaya tidak ketinggalan dan sentiasa maju ke hadapan," katanya.
“Jika perlu adakan lawatan untuk tujuan pembelajaran dan tambah nilai pada Imtiaz, perlulah pergi ke Universiti yang lebih hebat supaya boleh belajar dari mereka. Jika nak jadi cerdik, mesti berkawan dengan orang cerdik, pemilihan kawan sangat penting untuk mencapai tujuan kejayaan.
“Sama-samalah kita berganding bahu supaya melahirkan teknokrat yang mampu menguasai pengetahuan arus perdana berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah untuk kesejahteraan Negeri Terengganu di masa akan datang," katanya.
26 Sep 24
668
Khidmat Malaysia Terengganu Hantar 150 Sukarelawan Bantu Mangsa Banjir di Kedah
KUALA TERENGGANU, 26 September - PAS Terengganu menerusi badan Khidmat Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) akan menghantar 150 sukarelawan bagi membantu mangsa-mangsa banjir di Kedah.
Pengerusi Khidmat Malaysia negeri, Hanafiah Mat berkata, kesemua sukarelawan itu dijadualkan berbakti selama tiga hari di negeri jiran iaitu di kawasan Pokok Sena yang paling terjejas akibat banjir bermula hari ini.
Katanya, ini termasuk sumbangan kewangan sebanyak RM50,000 kepada PAS Kedah bagi melancarkan proses bantuan kepada mangsa banjir.
"Saat bencana seperti ini, bantuan tenaga kerja amat diperlukan bagi membersihkan rumah mangsa banjir yang terjejas di samping menyampaikan sumbangan keperluan asas.
"Mereka (sukarelawan) akan menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir termasuk membersihkan rumah-rumah, membaiki kembali rumah yang rosak dan menukar minyak silinder," katanya kepada pemberita.
Tambah Hanafiah, pihaknya juga akan membawa barang keperluan asas seperti toto (200), selimut (200 helai) dan bantal (200 biji) yang bernilai RM16,000 bagi keperluan mangsa banjir.
Menurutnya, ia merupakan hasrat Terengganu bagi mengurangkan bebanan kerajaan negeri yang terlibat dalam mendepani musibah banjir yang tidak dijangka itu.
26 Sep 24
228
Seluruh Jeti Dibaik Pulih Sebagai Persediaan Tahun Melawat Terengganu 2027
Kerajaan negeri mengambil langkah membaik pulih jeti serta memperbaiki segala kerosakan sebagai persediaan awal bagi menyambut tahun melawat Terengganu 2027.
26 Sep 24
257
Penganjur Jangan Anjur Aktiviti 'Tersembunyi'
Mana-mana penganjur sebarang program termasuk yang ingin mengadakan aktiviti membabitkan himpunan diingatkan agar tidak menyembunyikan acara tertentu daripada pengetahuan pihak kerajaan.
26 Sep 24
178
Lebih RM4.2 Juta Diperuntukkan Hadapi Banjir di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 26 September - Lebih RM4.2 juta diperuntukkan oleh kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri bagi persediaan menghadapi banjir di Terengganu pada tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar (Pengurusan Bencana), Hanafiah Mat berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM2.2 juta ialah daripada kerajaan Persekutuan manakala RM2.038 juta lagi dari kerajaan negeri.
“Peruntukan berkenaan bagi pembelian bahan mentah dan makanan serta keperluan lain seperti tikar, toto, selimut, tuala, kain batik dan kain pelikat kepada mangsa banjir.
"Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menempatkan bekalan bencana di Depoh Simpanan Keperluan Bencana (DSKB) di Marang, 10 mini depoh dan 152 pangkalan hadapan yang terdapat di seluruh negeri mulai awal bulan depan.
“Keutamaan akan diberikan di kawasan yang berisiko terputus hubungan seperti Pulau Redang, Kuala Nerus dan Pulau Perhentian, Besut,”ujarnya kepada pemberita ketika ditemui di Wisma Darul Iman di sini.
Katanya, JKM menyediakan sebanyak 590 pusat pemindahan sementara (PPS) yang boleh menampung seramai 147,590 mangsa banjir tahun ini.
Hanafiah yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana negeri berkata, pihaknya sudah membuat latihan dan persiapan rapi untuk menghadapi fenomena musim monsun timur laut berikutan ramalan musim tengkujuh akan berlaku lebih awal kali ini.
"Saya difahamkan semua agensi di bawah Jawatankuasa Bencana Negeri sudah melakukan persiapan menghadapi banjir bagi memastikan operasi menyelamat dan memindahkan mangsa yang terjejas berjalan lancar.
"Antara persiapan awal dilakukan adalah mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Bencana Daerah dan latihan simulasi banjir di peringkat daerah masing-masing telahpun dilaksanakan baru-baru ini,"ujar beliau.
26 Sep 24
708