lightning-solid
Berita :

Artikel "Sukan" Terkini

THT Teruskan Rentak Kemenangan, Benam UITM 3-1
THT Teruskan Rentak Kemenangan, Benam UITM 3-1
KUALA TERENGGANU, 10 Januari – Pasukan Terengganu Hockey Team (THT) meneruskan rentak kemenangan dalam Liga Hoki Malaysia (MHL) 2025 selepas menewaskan UiTM HA-KPT (UiTM) dengan skor 3-1 dalam perlawanan yang berlangsung hari ini. THT memecahkan kebuntuan pada minit ke-18 melalui jaringan sudut penalti yang disempurnakan oleh Muhammad Arif Syafie. Gol tersebut memberi tonik awal kepada pemain THT untuk terus menyerang meskipun keadaan padang licin akibat hujan. Hasilnya, pada minit ke-32, pemain THT, Mohamad Akhimullah Anuar Esook, berjaya menjaringkan gol kedua hasil gerakan menarik rakan sepasukan.  Jaringan tersebut meningkatkan kedudukan THT kepada 2-0. Bersambung babak kedua, baru empat minit permainan berlangsung, THT menambah jaringan melalui pukulan penalti yang disempurnakan oleh Mohd Fitri Saari. Selesa dengan kedudukan 3-0, Terengganu mengendurkan sedikit serangan dan membolehkan UiTM memberi ancaman bahaya. Akibatnya, pada minit ke-51, UiTM berjaya memecahkan kebuntuan apabila pemain nombor 28, Muhammad Idris Samad, menjaringkan gol pertama pasukan mereka selepas menerima hantaran cantik daripada rakan sepasukan.  Jaringan itu mengubah kedudukan kepada 3-1, tetapi gagal menutup jurang yang besar diperoleh Terengganu. Jurulatih THT, Mohd Harfizi Baharom, mengakui bahawa UiTM memberikan saingan yang sengit pada peringkat awal perlawanan. "Kami akui UiTM menggunakan corak permainan bertahan dalam babak pertama. "Jadi, kami cuba mengubah strategi untuk mendapatkan gol pertama, terutama dalam keadaan cuaca yang tidak menentu. Alhamdulillah, strategi itu berhasil, dan kami berjaya mencapai matlamat kami," katanya dalam sesi temu bual selepas perlawanan di Stadium Hoki MBKT Batu Buruk. THT dijadualkan bertemu pasukan TNB Thunderbolts dalam perlawanan seterusnya pada 12 Januari, jam 4 petang, di Stadium Hoki MBKT Batu Buruk.
10 Jan 25
102
Kampung Cina Street Sport Challenge Dijadikan Acara Tahunan
Kampung Cina Street Sport Challenge Dijadikan Acara Tahunan
Kampung Cina Street Sport Challenge akan dijadikan acara tahunan yang berpusat di Pulau Warisan bermula tahun ini.
07 Jan 25
99
Kerajaan Negeri Memperkasa Sukan Permotoran
Kerajaan Negeri Memperkasa Sukan Permotoran
KUALA TERENGGANU, 6 Januari – Kerajaan negeri memberi komitmen untuk memperkasakan pembangunan sukan permotoran di Terengganu, khususnya melalui Litar Permotoran Gong Badak di Kuala Nerus. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan & NGO Negeri Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim berkata satu mesyuarat telah diadakan bagi membincangkan penyelarasan antara kerajaan negeri, agensi penguatkuasa, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan persatuan permotoran negeri. "Ia berkaitan dengan sukan permotoran yang akan diadakan mengikut lunas undang-undang dan pertimbangan yang bersesuaian. "Pihak kerajaan negeri akan terus memperkasa pembangunan sukan permotoran di negeri ini khususnya di Litar Permotoran Gong Badak, Kuala Nerus," katanya dalam satu hantaran rasmi akaun Facebooknya. Turut hadir dalam mesyuarat tersebut Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu (JBSNT), Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Majlis Sukan Negeri Terengganu, Urus Setia Belia, Sukan dan NGO Terengganu Sejahtera (UBSNT), dan persatuan sukan permotoran. Justeru itu, beliau berharap belia-belia dapat menggunakan litar itu dengan sebaiknya dan meletakkan keselamatan sebagai perkara yang utama.
06 Jan 25
109
Lumba Perahu Panjang Gamit Nostalgia, Hidup Semula Warisan
Lumba Perahu Panjang Gamit Nostalgia, Hidup Semula Warisan
Penganjuran Festival Cabaran Monsun Perahu Panjang Tanjung Sabtu 2024 mampu menghidupkan kembali tradisi yang menjadi sebahagian daripada budaya masyarakat pesisir Sungai Nerus.
30 Dec 24
149
Hafl Al-Takrim Kokurikulum Usaha JPINT Lahir Pelajar Berminda Kelas Pertama
Hafl Al-Takrim Kokurikulum Usaha JPINT Lahir Pelajar Berminda Kelas Pertama
Majlis Hafl Al-Takrim Kokurikulum Sekolah Menengah Agama Negeri Terengganu Kali Ke-2  yang diadakan pada tahun ini merupakan usaha Jabatan pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT) bagi melahirkan pelajar agama yang memiliki minda kelas pertama.
22 Dec 24
98
IGMR2024 Catat Penyertaan Terbesar Acara Berbasikal
IGMR2024 Catat Penyertaan Terbesar Acara Berbasikal
International Golden Monsoon Ride 2024 (IGMR2024) memecahkan rekod penganjuran Terengganu Inc Challenge Series dengan penyertaan tertinggi iaitu sebanyak 1,600 penyertaan.
16 Dec 24
78
Tasik Kenyir Jadi Tumpuan Dunia, 10 Negara Sertai IMCT 2024
Tasik Kenyir Jadi Tumpuan Dunia, 10 Negara Sertai IMCT 2024
Tasik Kenyir sekali lagi menjadi tumpuan apabila acara International Monsoon Casting Tournament (IMCT) 2024 berjaya menarik minat 260 peserta, termasuk 60 peserta antarabangsa dari sembilan negara
15 Dec 24
534
Hafl Al-Takrim Kokurikulum Usaha JPINT Lahir Pelajar Berminda Kelas Pertama
Hafl Al-Takrim Kokurikulum Usaha JPINT Lahir Pelajar Berminda Kelas Pertama
KUALA TERENGGANU, 12 Disember - Majlis Hafl Al-Takrim Kokurikulum Sekolah Menengah Agama Negeri Terengganu Kali Ke-2  yang diadakan pada tahun ini merupakan usaha Jabatan pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT) bagi melahirkan pelajar agama yang memiliki minda kelas pertama. Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Ahmad Shah Muhamed berkata, semua pihak perlu memainkan peranan untuk terus memberikan sokongan bagi memastikan pelajar bergiat aktif dalam bidang kokurikulum. "Sudah tentu ia akan turut membantu pelajar mencipta kecemerlangan dalam bidang kurikulum. "Momentum seperti inilah yang kita perlukan agar anak-anak sentiasa cerdas dan cergas sama ada di sekolah mahupun di rumah, maka akan lahirlah pelajar minda kelas pertama yang sentiasa kita harapkan. "Saya mengucapkan tahniah kepada semua yang terlibat di atas semangat juang tinggi yang telah anak-anak (pelajar) tonjolkan, kalah atau menang bukan ukuran tetapi semangat kesukanan yang kental itu perlu ada dalam setiap jiwa," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hafl Al-Takrim Kokurikulum Sekolah Menengah Agama Negeri Terengganu itu, di Dewan Utama Ar-Riyadah Residence Majlis Sukan Negeri Terengganu, di sini, semalam. Dalam pada itu, Ahmad Shah turut mengucapkan tahniah atas kejayaan kontinjen Terengganu yang telah muncul juara keseluruhan Kejohanan Sukan Sekolah Menengah Agama Malaysia (KESSUMA) dan Mahrajan Memanah Sekolah Menengah Agama Malaysia (MESMA). "Saya percaya kejayaan para pelajar kita ini bukan sahaja terletak pada usaha-usaha mereka sendiri untuk berjaya. "Bahkan usaha-usaha yang luar biasa daripada jurulatih yang cukup komited memberi tunjuk ajar serta semangat kepada pelajar kita sehingga membuahkan hasil kejayaan yang cemerlang. "Saya juga ingin merakamkan ucapan tahniah kepada JPINT kerana berjaya mengadakan majlis gemilang seperti ini saban tahun bagi menghargai pelajar-pelajar dan jurulatih yang berjaya dalam kejohanan yang telah dianjurkan," ujarnya.  
12 Dec 24
151
50 Pasukan Bakal Berentap Rebut Piala YB ADUN Sura
50 Pasukan Bakal Berentap Rebut Piala YB ADUN Sura
DUNGUN, 24 November – Sebanyak 50 pasukan dari seluruh Malaysia bakal bersaing merebut gelaran juara dalam Kejohanan Bola Sepak Pantai Piala YB ADUN Sura 2024 yang berlangsung di Pantai Sura, Dungun pada akhir November ini. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin berkata kejohanan itu merupakan acara tahunan yang telah memasuki edisi kelima tahun ini.  “Ia adalah acara yang sentiasa dinanti-nantikan oleh peminat sukan tempatan dan seluruh negara. "Selain menjadi medan persaingan, kejohanan ini juga bertujuan mempromosikan sukan bola sepak pantai yang semakin mendapat perhatian dan ini merupakan tahun kelima ia dilaksanakan,” ujarnya sewaktu membuat tinjauan persiapan padang. Beliau turut berkata tujuan utama kejohanan ini dilaksanakan adalah untuk menyokong perkembangan 'sport tourism' di Dungun khususnya di Dun Sura. "Kejohanan ini bukan sahaja memberikan peluang kepada para pemain untuk menunjukkan kebolehan mereka, tetapi juga untuk menarik pengunjung dari seluruh Malaysia untuk hadir menyaksikan perlawanan ini. Kehadiran pengunjung pastinya memberikan impak positif terhadap ekonomi setempat. "Selain kejohanan bola sepak pantai, pelbagai aktiviti sampingan turut diadakan seperti jualan gerai makanan, pameran sukan, dan hiburan muzikal, menjadikan suasana di Pantai Sura semakin meriah dan menarik.   
24 Nov 24
203
Terengganu FC IV Raih Naib Juara Piala Belia 2024
Terengganu FC IV Raih Naib Juara Piala Belia 2024
KUALA NERUS, 23 November – Walaupun gagal mencipta keajaiban di halaman sendiri, Terengganu FC IV tetap mampu berbangga dengan pencapaian sebagai naib juara Piala Belia 2024. Pasukan muda itu tewas 3-5 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) FC IV dalam perlawanan akhir kedua di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, menjadikan keputusan agregat 5-7 memihak kepada JDT. Turun dengan kesebelasan terbaik selepas terikat 2-2 pada aksi akhir pertama di Pasir Gudang minggu lalu, pasukan muda Terengganu mendapat sokongan penuh penyokong setia yang memenuhi Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Meskipun bermain di hadapan penyokong sendiri, hujan lebat dan permukaan padang basah menguji ketangkasan kedua-dua pasukan. Namun, pasukan pelawat lebih bijak menyesuaikan diri dengan keadaan sukar ini. Kesilapan pertama berlaku pada minit ke-18 apabila pertahanan Terengganu gagal mengawal asakan pantas JDT, menyebabkan pengadil menghadiahkan sepakan penalti kepada pasukan lawan. Daniesh Amiruddin dengan tenang menjaringkan gol pertama untuk meletakkan JDT FC IV di depan. Malang sekali lagi menimpa tuan rumah apabila penjaga gol mereka, Ariff Safwan, melakukan kesilapan pada minit ke-26. Penalti kedua diberikan, dan Zamir Zairi menyempurnakannya tanpa masalah, menjadikan agregat 4-2 untuk JDT. Namun, Terengganu tidak menyerah kalah, dalam suasana padang yang basah, mereka menemui ruang melalui serangan balas. Che Ku Irfan berjaya memanfaatkan hantaran cantik Zarul Izree untuk menjaringkan gol pertama tuan rumah pada minit ke-35. Semangat pemain muda Terengganu memuncak apabila Iskandar Akmal menyamakan kedudukan 2-2 sebelum tamat separuh masa pertama. Sepakan kencang dari luar kotak penalti, menjadi detik kebangkitan sementara buat pasukan tuan rumah. Namun, kebangkitan Terengganu FC IV tidak bertahan lama. Pada babak kedua, JDT kembali menunjukkan keunggulan mereka, Zamir Zairi sekali lagi mencuri tumpuan apabila rembatan jauhnya pada minit ke-52 menggegarkan jaring Terengganu. JDT semakin selesa di hadapan apabila kapten mereka, Adib Ibrahim, menanduk masuk gol keempat pada minit ke-73 hasil hantaran Lutfil Hadi.  Dalam suasana hujan yang masih tidak berhenti, JDT terus menguasai tempo permainan dengan menggunakan kelebihan fizikal dan kepintaran taktikal. Gol kelima JDT pada minit ke-84 benar-benar memadamkan semangat pasukan tuan rumah. Alauddeen Aliff, dengan larian deras di bahagian sayap, menghantar bola lintang sempurna yang ditanduk mudah oleh Abid Safaraz. Walaupun permainan semakin sukar, Terengganu FC IV tetap tidak berputus asa. Iman Alif berjaya menanduk masuk hantaran kapten pasukan Solihin Hakimi pada masa tambahan, tetapi jaringan itu hanya sekadar penghias keputusan perlawanan. Wisel penamat dibunyikan dengan keputusan 3-5, memuktamadkan kemenangan buat JDT FC IV. Kekalahan ini menyakitkan buat pasukan Terengganu FC IV, tetapi ia juga menjadi pengalaman berharga buat pasukan muda ini.  Dengan hadiah wang tunai RM30,000 sebagai naib johan, masih boleh berbangga dengan usaha dan semangat juang yang ditunjukkan sepanjang kejohanan. Pasukan muda ini membuktikan mereka adalah antara kuasa besar dalam arena bola sepak belia negara. Bagi JDT FC IV, kemenangan ini mengukuhkan reputasi mereka sebagai raja bola sepak negara. Dengan piala kejuaraan dan wang tunai RM60,000, mereka membuktikan bahawa disiplin dan ketahanan mental adalah kunci kejayaan, walaupun beraksi dalam keadaan padang yang serba mencabar.
23 Nov 24
347