lightning-solid
Berita :

Artikel "Sidang DUN" Terkini

Belanjawan 2024 Terengganu Garis 10 Sasaran Utama
Belanjawan 2024 Terengganu Garis 10 Sasaran Utama
KUALA TERENGGANU, 27 November- Kerajaan negeri menggariskan 10 sasaran dan strategi utama untuk diusahakan dan dicapai menerusi peruntukan belanjawan 2024. Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, dalam situasi pertumbuhan global dan nasional diunjur menyederhana pada tahun 2023 dan 2024, KDNK Terengganu harus kekal mengembang antara 3.5 hingga 4.1 peratus. "Subsektor perdagangan borong dan runcit mesti diperkukuh dengan pelbagai inisiatif pengupayaan perniagaan dan pembangunan usahawan," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2024 sempena Menyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Terengganu Ke-15 (Bajet) di Wisma Darul Iman, hari ini. Menurut beliau, kerajaan negeri turut mensasarkan untuk melahirkan lebih ramai usahawan baharu yang berjaya. "Sekurang-kurangnya 80 orang menerusi pemerkasaan program pembangunan usahawan dengan hasil jualan berjumlah sehingga RM4. 2 juta sekali gus menyediakan lebih 200 peluang pekerjaan. " Selain peluang dan penempatan pekerjaan perlu diselia dengan lebih bersepadu supaya kadar penganguran di negeri ini berada di paras sekitar 3.3 peratus hingga 3.6 peratus sahaja," ujarnya. Dalam pada itu katanya, industri pelancongan juga perlu diperkasa dengan kepelbagaian produk, ketersediaan kemudahan dan pemuliharaan bermacam-macam sumber untuk menarik 13.2 juta pelawat domestik termasuk 4.5 juta pelancong, iaitu 20 hingga 30 peratus lebih ramai berbanding tahun lalu. Katanya, rancangan dan usaha bagi menambah baik infrastruktur dan logistik di kesemua 28 kawasan perindustrian serta meneroka dan mengeksploitasi kelebihan di kawasan sempadan negeri dan stesen-stesen ECRL mesti dipergiatkan bagi merancakkan industri berorientasikan eksport dan domestik. “Hal ini penting supaya jumlah dan imbangan dagangan dapat ditingkatkan antara lima hingga tujuh peratus berbanding pada tahun 2022 untuk mencipta lebih banyak peluang pekerjaan dan menyediakan ekosistem pelaburan yang lebih kompetitif,” jelasnya. Mengulas lanjut katanya, projek-projek kecil DUN perlu dilaksanakan mengikut senarai dan keutamaannya, spesifikasi dan jadual yang telah ditetapkan bagi memenuhi keperluan penduduk, menangani impak bencana dan memangkin pertumbuhan sosioekonomi setempat.  “Peruntukan yang disediakan mesti dioptimumkan sepenuhnya. Kemajuan projek- projek perumahan mampu milik juga mesti dipantau dan dikawal dengan lebih tegas supaya dapat disiapkan dan diagihkan pada waktu yang sepatutnya,” ujarnya. Sementara itu katanya, institusi keluarga mesti terus diperkukuh kerana ia adalah nadi kesejahteraan masyarakat.  “Usaha untuk meredakan kadar perceraian di bawah paras 1.5 bagi setiap 1,000 penduduk perlu lebih aktif, terutamanya melibatkan pasangan berumur antara 32 hingga 40 tahun.  “Selari dengan itu, ikhtiar untuk mengurangkan bilangan penyalahguna dan penagih dadah, bilangan kes jenayah indeks dan jenayah syariah juga mesti dipergiatkan menerusi program kesedaran, aktiviti penguatkuasaan dan tindakan undang-undang,” jelasnya lagi. Tambah beliau, menjelang Ogos tahun hadapan, atlet-atlet Terengganu mesti dipersiapkan fizikal, mental dan moral mereka ke tahap yang terbaik supaya dapat kembali merampas gelaran juara keseluruhan pada temasya SUKMA 2024 nanti.  Disamping itu, jelas beliau, rencana untuk menambah hasil cukai dan hasil bukan cukai sebanyak 10 peratus setahun mesti dilaksanakan dengan lebih strategik, agresif dan bersepadu.  Manakala katanya, semua jabatan dan agensi, badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan perlu mencapai tahap kepuasan pelanggan melebihi 90 peratus dan 90 peratus aduan yang dikemukakan juga mesti diselesaikan dalam tempoh 15 hari bekerja. Katanya, semua sasaran dan strategi yang digariskan itu tidak terhad hanya untuk portfolio atau jabatan dan agensi tertentu sahaja. "Sebaliknya, pelbagai pihak mesti saling bekerjasama untuk menjayakannya termasuklah menggerakkan sepenuhnya potensi empat negeri iaitu Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis menerusi gugusan SG4," ujarnya.
27 Nov 23
454
Mesin 'Asher' Selesai Isu Sisa Pepejal di Pulau Redang
Mesin 'Asher' Selesai Isu Sisa Pepejal di Pulau Redang
KUALA TERENGGANU, 27 November - Satu unit mesin asher  ditempatkan di Pulau Redang bagi menyelesaikan masalah sistem pengurusan sisa domestik dan pepejal yang telah membelenggu pulau peranginan itu sejak sekian lama. Pengerusi Jawatankuasa kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pemasangan pengoperasian dan penyelenggaran mesin berkenaan dilaksanakan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu. Ujarnya, mesin berkenaan membantu mengurangkan kapasiti sisa pepejal yang dikumpulkan di pulau tersebut kemudian dibawa balik ke daratan melalui kaedah sedia ada menggunakan pengangkutan kapal ataupun bot. "Selain itu, antara inisiatif yang dilakukan adalah pembinaan pusat pengurusan sisa pepejal bersepadu di Pulau Redang yang menempatkan mesin kompos ataupun kitar semula. "Mengagihkan tong sampah awam serta aktiviti pembina keupayaan bersama dengan komuniti setempat bersama pengusaha-pengusaha resort dan chalet seperti pelaksanaan program gotong royong, ceramah serta juga penerangan berkaitan dengan pengasingan sisa pepejal, demontrasi teknik dan sebagainya," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh, Dr Ridhuan Mohd Nor pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 (Bajet) di Wisma Darul Iman, di sini hari ini. Mengulas lebih lanjut katanya, projek 'Integrated Island The Waste Management' (IIWM) turut dilaksanakan di pulau utama. "Seperti Pulau Redang, Pulau Lang Tengah, Pulau Perhentian Kecil, Pulau Perhentian dan juga Pulau Kapas dengan kerjasama Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Majlis Daerah Besut dan juga Majlis Daerah Marang," katanya. Tambahnya, di antara usaha yang dijalankan kerajaan bagi menangani masalah sisa pepejal dengan membantu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melalui pembiayaan peruntukan bagi tujuan perkhidmatan kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam di pulau-pulau pelancongan utama.
27 Nov 23
330
Tiga Identiti Digariskan Menuju Era Baharu Terengganu
Tiga Identiti Digariskan Menuju Era Baharu Terengganu
KUALA TERENGGANU, 27 November - Kerajaan negeri menggariskan tiga identiti bagi memperkukuhkan keberkesanan kerajaan dalam menuju era baharu Terengganu. Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata ketiga-tiganya(identiti) mesti dimiliki oleh kerajaan, para pemimpin, pegawai dan penjawat awam serta seluruh rakyat. Katanya, kerajaan negeri perlu menjadi sebuah kerajaan yang lebih berkesan dengan memberi perhatian dan prihatin serta meringkaskan pelbagai prosedur; selain menerima guna teknologi dalam banyak perkara. "Semua pemimpin, pegawai-pegawai kerajaan bermula saya sendiri mesti menjadi inspirasi kepada para kakitangan kerajaan dan seluruh rakyat melalui pelaksanaan intergriti, 'walk to talk' dan berhubungan baik dengan semua. "Manakala kakitangan kerajaan juga diingatkan supaya lebih kreatif dan inovatif dalam melaksanakan tanggungjawab agar perkhidmatan dapat disampaikan dengan lebih cekap dan cepat kepada rakyat. "Selain itu, rakyat juga harus diperkasakan yang mana rakyat mesti bermaklumat, mengambil bahagian dalam isu-isu dan aktiviti kemasyarakatan serta menjadi lebih berdikari dengan keupayaan sendiri," ujarnya.  Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Terengganu 2024 pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 (Bajet) di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini. Menurut Ahmad Samsuri lagi, era baharu Terengganu membolehkan sumber kekayaan dinikmati oleh semua melalui pengagihan yang saksama dan pengurusan lestari. Tambahnya, pembangunan fizikal dan sosial perlu berjalan seiring dan seimbang untuk memenuhi keperluan semasa termasuk tuntutan masa hadapan. "Mudahnya, Terengganu menjadi contoh 'negeri yang diredhai Tuhan dan disegani orang' ; adil, prihatin dan berkebajikan," ujar beliau.
27 Nov 23
236
DUN Terengganu Zahir Kebersamaan Rakyat Palestin
DUN Terengganu Zahir Kebersamaan Rakyat Palestin
KUALA TERENGGANU, 27 November - Isu Palestin turut disentuh pada awal pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu hari ini sebagai solidariti terhadap nasib umat Islam yang diuji di negara tersebut dengan peperangan yang dahsyat di bumi Gaza. Yang Dipertua DUN Terengganu, Dato' Mohd Nor Hamzah berkata, sehingga kini dilaporkan peperangan yang berlaku telah mengorbankan puluhan ribu nyawa dalam serangan tidak berperikemanusiaan angkara rejim zionis Israel. "Daripada jumlah itu, lebih 5,000 mangsa terdiri daripada golongan kanak-kanak yang tidak bersalah, menurut sumber dari Kementerian Kesihatan Gaza, Palestin. "Siri serangan kali ini dilihat sangat dahsyat. Setiap detik berlakunya peperangan, dari situ jugalah kita menyaksikan setiap nyawa umat Islam di Palestin akan terus terkorban,"ujarnya. Mengulas lanjut katanya, episod duka, luka dan darah umat Islam di Palestin itu berterusan sehingga hari ini perlu diberikan perhatian. "Sesunguhnya apa yang berlaku ini adalah permasalahan yang amat sukar untuk diselesaikan ditambah pula dengan perancangan 'menidurkan ummah' sedang dan masih giat berjalan samada dalam keadaan kita sedar ataupun tidak. "Saat kita leka, musuh-musuh begitu lahap cuba meratah sehingga menjadikan kita berada pada tahap lemah yang amat ketara dan dipandang hina kerana tidak mempunyai sebarang kekuatan," ujarnya.  
27 Nov 23
77
Kerajaan Negeri Peruntuk RM300 Ribu Naik Taraf Imej Pelancongan di Terengganu
Kerajaan Negeri Peruntuk RM300 Ribu Naik Taraf Imej Pelancongan di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 27 November -Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM300,000 bagi menaik taraf fasiliti untuk meningkatkan imej pelancongan di Terengganu. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata ia bertujuan bagi penawaran perkhidmatan pelancongan yang lebih berkesan dan interaktif kepada pengunjung dan pelancong. Katanya, usaha tersebut akan diteruskan pada tahun 2024, dengan penumpuan diberikan kepada penambahbaikan dan pembaikian infra pelancongan sedia ada di setiap daerah. “Ia bagi mengekalkan keindahan dan kemudahan pelancongan sedia ada. “Kerajaan negeri juga telah memperuntukkan RM50,000 bagi membaik pulih kaunter hadapan di Pusat Penerangan Pemuliharaan Penyu (TTIC) di Rantau Abang,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahimi Zulkifli di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu (Belanjawan 2024) di Wisma Darul Iman hari ini. Tambah Razali, dari sudut promosi pelancongan pula, usaha telah dijalankan bagi menjenamakan Pantai Rantau Abang sebagai destinasi pelancongan yang sinonim dengan pendaratan penyu. “Promosi itu berkaitan kempen pelancongan Penyu Terengganu di bawah jenama 'Terengganu Turtle Tourism' di pelbagai platform seperti media massa, cetak, elektronik dan media sosial. “Manakala, Pantai Batu Pelanduk telah dikenal pasti sebagai antara Geotapak yang berpotensi dalam usaha pemuliharaan sumber geologi dan landskap," katanya. Di samping katanya, ia bagi membolehkan orang ramai memahami kepentingan sumber warisan geologi. Tambahnya, antara usaha promosi yang turut dilaksanakan adalah seperti dengan mengetengahkan Rantau Abang, Pantai Batu Pelanduk, Pantai Teluk Bidara dalam 'fun map' pelancongan negeri Terengganu. "Ia  bertujuan menonjolkan lagi destinasi tersebut kepada pelancong, atau dalam erti lain 'product visibility'. "Sekali gus, mempromosikan pantai-pantai tersebut melalui penghasilan video pendek sebagai jajaran 'scenic drive'. "Insha-Allah, kita akan pastikan semua pantai selamat untuk mandi dan beriadah mengikut musim dan sop pelancongan kepada pelancong dan mempertahankan papan tanda," ujarnya.                                
27 Nov 23
215
MB Terengganu Komited Pacu Pentadbiran Lebih Ke Hadapan
MB Terengganu Komited Pacu Pentadbiran Lebih Ke Hadapan
KUALA TERENGGANU, 27 November - Persidangan Dewan Undangan Negerin(DUN) Terengganu pada kali ini sangat penting kerana ia melibatkan masa hadapan negeri selaras komitmen Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dalam memacu pentadbiran negeri lebih ke hadapan. Yang Dipertua DUN, Dato'Mohd Nor Hamzah meyakini, ia merupakan belanjawan yang terbaik dan konklusif  serta berharap 32 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berperanan serta bertanggungjawab meneliti setiap butiran bajet tersebut. "Sudah semestinya, tumpuan akan diberikan kepada aspek pembangunan dan kemampanan ekonomi negeri dapat tercapai. "Kelestarian pembangunan ekonomi sudah semestinya akan bergerak seiring dengan limpahan kemakmurannya yang akan dapat dinikmati oleh rakyat secara keseluruhannya. "Secara tidak langsung, rakyat boleh menilai bahawa waima apa jua perancangan dan belanjawan yang dibentangkan, kebajikan dan kemakmuran rakyat tetap dijadikan fokus keutamaan oleh kerajaan negeri," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pembukaan di Persidangan DUN Terengganu (Belanjawan 2024) di Wisma Darul Iman, di sini hari ini. Dalam pada itu, Mohd Nor turut berkongsi perkembangan dan perjalanan DUN Terengganu melalui Jawatankuasa Tetap yang baru dilantik pada persidangan lepas selepas mesyuarat kali pertama diadakan, baru-baru ini. "Jawatankuasa Pengurusan Dewan, Jawatankuasa Peraturan Tetap Dewan, Jawatankuasa Hak dan Kebebasan serta Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri (PAC) telah selesai menjalankan mesyuarat kali pertama, masing-masing pada awal Oktober yang lalu. "Saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua Yang Berhomat Ahli Jawatankuasa berkenaan atas kesungguhan dan komitmen yang diberikan dalam jawatankuasa masing-masing, semoga akan memberi tambah nilai yang lebih inklusif kepada perjalanan persidangan DUN ini. "Kita juga terbuka untuk menerima sebarang cadangan dan idea yang segar dalam membantu perjalanan dan perkembangan DUN kita ini agar misi untuk 'Memacu Pembedayaan Badan Legistatif Yang Efektif, Inklusif dan Progresif' dapat tercapai ke arah menjadikan DUN Terengganu sebagai badan legistatif terunggul," ujarnya.
27 Nov 23
88
Terengganu Belanja RM704 Ribu Selenggara Kemudahan Sukan
Terengganu Belanja RM704 Ribu Selenggara Kemudahan Sukan
KUALA TERENGGANU, 4 Oktober- Kerajaan negeri membelanjakan sebanyak RM704,000 bagi tujuan penyelenggaraan kemudahan sukan melibatkan pembaikian padang bola sepak, futsal serta kemudahan sukan yang lain tahun ini. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, kerajaan negeri juga akan terus komited untuk menambah baik serta membaik pulih kemudahan sukan yang mengalami kerosakan pada tahun mendatang bagi memastikan golongan belia dan remaja di negeri ini kekal cergas. “Selain itu, Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu juga telah melaksanakan enam projek selenggara dan baik pulih iaitu Kompleks Rakan Muda dan KSK Jertih, Besut, Velodrom Dungun, Kompleks Sukan Telemong, Hulu Terengganu, Kompleks Rakan Muda, Kemaman dan Gelanggang Futsal KOMBES,” ujarnya. Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-15, di Wisma Darul Iman, hari ini. Menurut beliau, buat masa ini, kerajaan negeri mengambil inisiatif untuk fokus kepada penyelenggaraan serta baik pulih kemudahan sukan sedia ada berbanding menambah fasiliti sukan tambahan bagi memastikan keperluan dan keselamatan golongan belia terjamin semasa bersukan. “Kerajaan negeri juga amat menggalakkan pelaburan daripada badan swasta dalam menyediakan fasiliti sukan dalam Negeri Terengganu seperti dibuat di Dungun yang kini telah mempunyai dua padang sintetik yang dibangunkan oleh syarikat swasta dengan kerjasama Majlis Perbandaran Dungun.  “Kedua-dua gelanggang ini iaitu Padang Bola Sintetik GD SOCCER yang dioperasikan oleh GD SOCCER ENTERPRISE di DUN Sura dan Padang Bola Sintetik Prestige Way Resources, Batu Tujuh, yang dioperasikan oleh syarikat Prestige Way Resources SDN.BHD di Dun Paka telahpun beroperasi dan mendapat sambutan menggalakkan daripada golongan belia sebagai alternatif sukan dan rekreasi kerana padang sintetik ini dibina mengikut standard FIFA,” jelasnya. Justeru, beliau berharap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) lain dalam Negeri Terengganu turut mengambil pendekatan sama dalam membantu merancakkan sektor sukan seterusnya dapat meningkatkan ekonomi negeri.  
04 Oct 23
275
Pasarnita Tanjung Bakal Kembali Dengan Konsep Baharu
Pasarnita Tanjung Bakal Kembali Dengan Konsep Baharu
KUALA TERENGGANU, 4 Oktober - Selepas dilihat kurang berjaya menarik pengunjung sejak dibuka pada 2016, Pasarnita Tanjung bakal tampil dengan identiti dan tarikan tersendiri tidak lama lagi. Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat berkata Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) ada menerima beberapa proposal untuk menguruskan Pasar Nita. "Kita dimaklumkan suasana Pasarnita  suram dan sepi kerana ketiadaan operator untuk menyeragamkan dan memperkemas konsep niaga di situ.   "Kini pihak MBKT dalam proses menilai proposal yang dihantar dan akan dibentangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa kewangan dan pelaburan untuk melantik operator yang berkelayakan bagi menguruskannya "Insya Allah dalam tempoh dua bulan lagi Pasarnita akan kembali berseri dalam membentuk identiti dan tarikan tersendiri," ujarnya. Beliau berkata demikian di sesi penggulungan di Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-15, di sini, hari ini. Pasarnita Tanjung yang dibuka sejak November 2016 mensasarkan peniaga wanita bertujuan menjana transformasi ekonomi golongan itu di negeri ini dengan pelbagai jenis jualan antaranya makanan, kraftangan, pakaian, produk kecantikan dan cenderahati. Sementara itu, kerajaan negeri kini dalam usaha mengkaji cadangan penyediaan perkhidmatan bas elektrik berhenti-henti bagi mengantikan bas lama milik Cas Ligas Sdn. Bhd. Hanafiah berkata cadangan itu bagi mengurangkan jurang jaringan perhubungan antara kawasan bandar dan luar bandar,  kerana bas lama milik Cas Ligas telah berusia melebihi 15 tahun.  "Cas Ligas Sdn. Bhd. dalam proses mengemukakan kertas cadangan pembelian melalui kaedah sewa beli untuk penilaian kerajaan negeri," ujarnya.
04 Oct 23
1892
Peningkatan Pelaburan Perlu Lonjak Pendapatan Negeri
Peningkatan Pelaburan Perlu Lonjak Pendapatan Negeri
KUALA TERENGGANU, 3 Oktober - Peningkatan pelaburan di Terengganu diharap dapat memberi pulangan serta hasil yang baik bagi meningkatkan pendapatan negeri ini. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Hilmi Harun berkata, keadaan demikian sewajarnya menjadi faktor bertambahnya pendapatan di negeri ini. "Kita sebenarnya sangat mengalu-alukan pelaburan dari luar untuk tujuan penambahan hasil bagi kerajaan negeri. "Walau bagaimanapun kita melihat ia tidak besar sebagaimana pelaburan yang berlaku, mungkin hasil diperolehi hanya daripada premium tanah dan hasil-hasil cukai yang tidak besar. "Oleh itu kita mengharapkan kontrak-kontrak yang dijalankan dengan pelabur asing ini memberi pulangan yang lebih besar kepada negeri kita," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Sesi Perbahasan Ke Atas Menjunjung Kasih Titah Ucapan Tuanku Sultan Mizan di Mesyuarat Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15, di sini, hari ini. Mengulas lebih lanjut katanya, dengan meningkatnya pelabur ke negeri ini kerajaan negeri perlu mengambil kesempatan bagi menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat. "Apabila bertemu dengan mereka yang menyatakan minat untuk melabur antara perkara yang dibangkitkan ialah adakah kerajaan Terengganu boleh menyediakan tenaga kerja untuk keperluan industri mereka," katanya. Dalam pada itu katanya, DUN Telemong yang selama ini merupakan tempat yang paling kecil berlaku pelaburan berupaya untuk dijadikan sebahagian 'free trade zone' "Kerana itu kita mengharapkan agar berlakunya sambungan lebuhraya antara Kuala Telemong dengan Jeneris supaya memberi suatu nilai impak yang lebih besar kepada industri di Hulu Terengganu agar ia selari dengan keperluan pertanian bagi membolehkan rakyat mengecapi kemajuan ini, insya-Allah," ujar beliau.
03 Oct 23
167
Kerajaan Perlu Fokus Majukan 'Lidah Terengganu'
Kerajaan Perlu Fokus Majukan 'Lidah Terengganu'
KUALA TERENGGANU, 3 Oktober - Pulau Duyong yang dikenali sebagai 'Lidah Terengganu' perlu diberikan tumpuan untuk dimajukan serta diterokai sepenuhnya. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal, Sr Zaharuddin Zahid berkata dengan keistimewaan yang dimiliki di Pulau Duyong itu ia mampu menjadikannya sebagai destinasi pilihan popular bagi merancakkan lagi sektor pelancongan di negeri ini. "Diharap kerajaan negeri dapat meneliti dan melihat kembali Pulau Duyong ini dengan keunikan serta kepelbagaian aset yang telah ada seperti menjadi tempat pembuatan replika bot serta Kota Lama Duyong. "Saya difahamkan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) satu masa dahulu dengan kerjasama Taman Tamadun Islam pernah mejadikannya sebagai salah satu tempat persinggahan 'river cruise'. "Adalah menjadi harapan agar lokasi ini, juga kampung Seberang Bukit Tumbuh dan Jeti Lama Seberang Takir dapat dijadikan semula sebagai suatu destinasi persinggahan 'river cruise'," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap semasa sesi Perbahasan Titah Diraja pada Mesyuarat Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15, di sini, hari ini. Mengulas lanjut katanya, pihaknya kini juga sedang berusaha bagi menarik pengunjung ke Pulau Duyong itu dengan mewujudkan pelbagai aktiviti sukan air termasuk kayak. "Semua perancangan ini tidak akan berjaya tanpa kerjasama semua pihak, justeru amat diharpakan agar mendapat kerjasama pihak pelancongan dan juga agensi terlibat untuk memajukan Pulau Duyong ini sekali gus membawa limpahan ekonomi kepada penduduk setempat," ujarnya.
03 Oct 23
658