Artikel "Pertanian" Terkini
Hulu Terengganu Terima RM16.1 Juta Menuju Gedung Makanan Kedua
KUALA TERENGGANU, 20 April – Komitmen kerajaan negeri terhadap kemajuan sektor makanan negeri semakin terbukti apabila Hulu Terengganu menerima peruntukan keseluruhan sebanyak RM16.1 juta sejak 2018, sekaligus meletakkan daerah itu dalam radar sebagai Gedung Pengeluaran Makanan Terengganu (GPMT) kedua selepas Setiu.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dr. Azman Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak pernah mengabaikan Hulu Terengganu dalam dasar dan pelaksanaan pembangunan sektor pertanian.
"Pelbagai isu pertanian di Hulu Terengganu dibangkitkan oleh ADUN Telemong.
"Peruntukan yang kita salurkan kepada Hulu Terengganu sentiasa meningkat daripada setahun ke setahun, dalam pelbagai sektor, sama ada sektor pertanian, penternakan, perikanan dan pengairan dan saliran Daerah Hulu Terengganu, dan yang paling besar dapat manfaat ialah sektor akuakultur," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Mohd Zawawi Ismail, dalam sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Kelima Belas yang berlangsung di Wisma Darul Iman, baru-baru ini.
Beliau menjelaskan secara terperinci bahawa pada tahun 2018 sebanyak RM433 ribu telah disalurkan, diikuti RM530 ribu pada 2019, RM1.04 juta pada 2020, RM2.14 juta pada 2021, RM1.3 juta pada 2022, RM2.18 juta pada 2023, dan RM5.4 juta pada tahun 2024.
"Jika campur jumlah keseluruhan termasuk dengan bantuan akuakultur dalam tempoh 2018 sehingga 2024, kita telah salurkan jumlah keseluruhan RM16.1 juta kepada daerah Hulu Terengganu," jelasnya.
Beliau tidak menolak kemungkinan Hulu Terengganu akan diangkat sebagai daerah Gedung Pengeluaran Makanan Terengganu yang kedua selepas Setiu, berdasarkan keupayaan serta pelaburan berterusan yang diterima.
"Saya tak menolak kemungkinan untuk Daerah Hulu Terengganu bakal diwartakan sebagai GPMT yang kedua selepas Daerah Setiu," kata beliau.
Beliau turut menyeru penduduk daerah itu agar bersedia menyahut cabaran dan bekerjasama dengan kerajaan dalam menjayakan misi keterjaminan makanan negeri.
"Jadi orang Hulu Terengganu perlu bersedia untuk bekerja kuat bagi sama-sama kita berkolaborasi memajukan sektor keterjaminan makanan negeri kita," ujarnya.
20 Apr 25
2222
Wujudkan Skim Bantuan Petani Khusus Gangguan Haiwan Liar
KUALA TERENGGANU, 16 April - Kerajaan negeri dicadang supaya mewujudkan satu skim bantuan khas kepada petani di Hulu Terengganu, bagi menangani kemerosotan sektor pertanian akibat gangguan haiwan liar dan kekurangan sokongan infrastruktur.
Cadangan itu dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Mohd Zawawi Ismail, yang menyuarakan kebimbangan terhadap kemerosotan ketara aktiviti pertanian di daerah berkenaan, walaupun kawasan itu dahulunya terkenal sebagai antara pusat pertanian utama di negeri itu.
"Pada hari ini saya mencadangkan kepada kerajaan supaya memikirkan satu kaedah kerana antara salah satu sebab pertanian di Hulu Terengganu ini tidak maju selain daripada banjir ialah musuh-musuh tanaman seperti kera dan gajah.
"Bayangkan ada ladang sawit lima ekar yang sudah diusahakan selama lima tahun tiba-tiba musnah dalam satu malam sahaja kerana angkara gajah. Bayangkanlah betapa hibanya, sedihnya rasa.
"Jadi saya mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan satu skim sepertimana nelayan laut dan darat, ada skim elaun sara hidup.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan titah DYMM Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin sempena Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga DUN ke-15 di Wisma Darul Iman, hari ini.
Menurut beliau, ancaman daripada haiwan liar seperti kera dan gajah antara faktor utama petani tidak lagi mampu meneruskan usaha mereka. Kawasan tanaman jagung misalnya, semakin berkurang kerana petani terpaksa menjaga ladang siang dan malam untuk mengelak serangan kera.
"Dulu kalau jagung, di Kampung Gaung. Kampung Langgar dan Kampung Buluh, sangat banyak. Tapi sekarang sudah tiada.
"Dimana lagi mahu tanam jagung? Sebab orang kampung sudah tidak boleh tanam jagung. Sebab gangguan kera. Jagung terpaksa ditunggu (dijaga), selagi kera tidak tidur, kena tunggu
"Kalau orang perempuan yang jaga kebun, memang dia (kera) tidak akan takut," tambahnya.
ADUN Kuala Berang, Mamad Puteh, turut bersetuju dan menyokong kenyataan tersebut, menyatakan bahawa kawasan seperti Kuala Berang yang pernah terkenal dengan tanaman padi juga kini kelihatan terbiar.
"Saya sokong," katanya ringkas, mengakui kawasan pertanian di Kuala Berang turut mengalami nasib yang sama.
Wakil Telemong itu turut membandingkan keluasan Hulu Terengganu yang mencecah 387,000 hektar, hampir tiga kali ganda berbanding Setiu, namun pembangunan pertanian di kawasan itu jauh ketinggalan.
Beliau berharap kerajaan negeri mengaktifkan semula pelan induk pertanian dengan pendekatan yang lebih menyeluruh dan berkesan.
Dalam masa sama, beliau mengucapkan terima kasih kepada ADUN Kijal, Datuk Razali Idris, yang telah mengambil inisiatif menubuhkan Basung Rangers untuk membantu mengawal pergerakan gajah di kawasan terjejas.
16 Apr 25
127
Tarik Anak Muda ke Sektor Pertanian
KUALA TERENGGANU, 15 April - Kerajaan negeri digesa untuk memperkukuhkan sektor pertanian negeri dengan memberi fokus kepada penglibatan generasi muda.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahimi Zulkifli, berkata usaha itu penting dalam memastikan pertanian kekal sebagai sektor yang mampan serta mampu menyumbang kepada kemakmuran ekonomi negeri dalam jangka masa panjang.
"Kita mengharapkan agar lebih ramai anak muda yang akan turut menceburi industri pertanian ini dengan menyediakan lebih banyak latihan dan kursus kepada anak-anak muda agar mereka lebih tertarik untuk berada dibidang pertanian.
“Saya percaya kerajaan negeri ada mengerakkan langkah strategik seperti pembangunan teknologi dan inovasi yang lebih baik untuk perkembangan pertanian di negeri ini.
"Kita mengharapkan agar lebih ramai anak muda yang akan turut menceburi industri pertanian ini dengan menyediakan lebih banyak Latihan dan kursus kepada anak-anak muda agar mereka lebih tertarik untuk berada di bidang pertanian.
"Skim insentif seperti geran untuk usahawan tani boleh dikembangkan bagi menarik lebih ramai peserta," katanya ketika membahaskan titah DYMM Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin sempena istiadat Pembukaan Penggal ketiga DUN ke-15 di Wisma Darul Iman, hari ini.
Mohd Fadhli turut menegaskan pendekatan menyeluruh perlu diambil bagi mengurangkan kebergantungan kepada import makanan serta mengukuhkan daya tahan ekonomi negeri dalam sektor agro makanan.
"Realiti Semasa, Sektor pertanian menyumbang dalam peratusan yang kecil kepada KDNK negara, dan kita masih bergantung pada import makanan seperti beras dan sayuran dari luar.
"Langkah yang dibawa oleh Kerajaan negeri ketika ini amat mengujakan rakyat diluar sana apabila Terengganu mula mengeluarkan makanan sendiri," jelasnya.
Beliau turut menekankan bahawa langkah memperkasakan infrastruktur pertanian seperti Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) dan penyediaan teknologi moden dapat membuka lebih banyak peluang kepada usahawan muda untuk meneroka bidang tersebut.
Difahamkan, terdapat lima lokasi TKPM yang telah dikenal pasti di Terengganu sebagai pusat pengeluaran berasaskan teknologi tinggi dan skala komersial. Projek ini juga merupakan sebahagian daripada pelaksanaan strategi di bawah Dasar Pertanian Negara Ketiga (DPN3).
"Projek ini dicadangkan sebagai satu strategi di bawah Dasar Pertanian Negara Ketiga (DPN3) untuk menggalakkan pelaksanaan projek pertanian secara berskala besar, komersil dan berteknologi tinggi oleh usahawan termasuk sektor swasta.
"Saya mengucapkan tahniah diatas usaha Kerajaan negeri dalam membangunkan modal insan dan infrastruktur bersepadu yang saya kira bakal mengurangkan import dan meningkatkan eksport agro makanan di negeri ini," tambahnya.
15 Apr 25
143
Pertanian Terengganu Tumbuh Positif, Raih Pujian Sultan Mizan
Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menzahirkan penghargaan atas usaha berterusan dilaksanakan Kerajaan Negeri bagi memastikan sektor pertanian kembali mencatat pertumbuhan positif pada tahun 2023, setelah mengalami penguncupan selama tiga tahun sebelumnya.
15 Apr 25
69
PSPT 2024-2030: Terengganu Janjikan Transformasi Besar
KUALA TERENGGANU, 24 Februari – Terengganu kini memasuki era baharu dalam revolusi pertanian menerusi Pelan Strategik Pertanian Negeri Terengganu (PSPT) 2024-2030, yang menjanjikan transformasi besar bagi sektor ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dr. Azman Ibrahim, menegaskan bahawa kejayaan PSPT 2019-2023 menjadi pemangkin kepada perancangan strategi yang lebih berkesan untuk tahun-tahun mendatang.
"Tanggungjawab besar digalas oleh keluarga besar Pertanian Terengganu untuk memastikan 27 peratus teras strategi dan 56 program utama PSPT 2024-2030, merangkumi Kluster Padi, Kluster Tanaman Makanan, Kluster Penternakan, Kluster Perikanan dan Kluster Industri Asas Tani, dapat dipacu ke tahap lebih tinggi dan mampan.
"Pelan ini bukan sekadar perancangan di atas kertas, tetapi satu ikhtiar besar bagi meningkatkan keterjaminan makanan dan kesejahteraan rakyat.
"Kita tidak mahu hanya merancang tanpa tindakan, setiap langkah yang diambil mesti memberikan impak segera kepada rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelancaran PSPT 2024-2030 yang berlangsung di Dewan Besar Wisma Darul Iman, di sini baru-baru ini.
Majlis berprestij itu turut diserikan dengan keberangkatan Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin, yang berkenan mencemar duli menyaksikan majlis perasmian tersebut.
Hadir sama, Menteri Besar Terengganu; Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Pegawai Kewangan Negeri; Dato' Mohd Azmi Mohamad Daham.
Menurut Azman, antara fokus utama pelan ini termasuk meningkatkan pengeluaran buah-buahan premium seperti Musang King dan Mangga King Terengganu, menaik taraf Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM), memperkasa industri penternakan ayam pedaging, lembu pedaging dan kambing tenusu, serta memperkayakan sumber perikanan marin dan darat.
"Kita juga akan memperhebat pembangunan Padang Ragut dan Zon Industri Akuakultur (ZIA) bagi menjamin kesinambungan industri pertanian negeri.
"Pelaksanaan PSPT 2024-2030 akan memberi keutamaan kepada Program Imersif Tinggi (HIP) yang dipilih berdasarkan ciri-ciri ‘quick win’ dan ‘low hanging fruit’ agar manfaatnya dapat dinikmati dalam tempoh singkat dengan kos yang minimum," jelas beliau.
Beliau turut menegaskan bahawa analisis kelemahan dan kekuatan daripada PSPT 2019-2023 menjadi asas penting dalam perancangan baharu ini.
"Kita belajar daripada pengalaman. Apa yang kurang kita perbaiki, dan apa yang sudah baik kita tingkatkan lagi," tegasnya.
Tambah Dr. Azman, PSPT 2024-2030 bukan sekadar satu strategi tetapi satu gerakan menyeluruh bagi memastikan pertumbuhan sektor pertanian lebih kukuh dan berdaya saing.
"Kita mahu semua pihak mendapat manfaat tanpa ada yang tercicir.
"Pelabur besar dialu-alukan, manakala rakyat biasa juga diberi perhatian.
"Pelan ini milik kita semua. Kita rangka bersama, kita laksanakan bersama," ujarnya.
24 Feb 25
886
Pertanian Terengganu Fokus Lima Teras Utama
Pelan Strategik Pertanian Terengganu (PSPT) 2024-2030 menjadi mercu tanda baharu dalam landskap sektor pertanian negeri ini.
23 Feb 25
101
Sektor Pertanian Sasar Sumbang KDNK 12 Peratus
Kerajaan Terengganu menyasarkan sektor pertanian menyumbang 12 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) menerusi Pelan Strategik Pertanian Terengganu (PSPT) 2024-2030.
23 Feb 25
28
Terengganu-Putrajaya Perkukuh Kerjasama Sektor Pertanian
KUALA TERENGGANU, 20 Februari – Kerajaan Terengganu terus memperkukuh hubungan strategik dengan Kerajaan Persekutuan dalam usaha memperkasa sektor pertanian negeri agar berkembang pesat dan mampan.
Kerjasama erat ITU diyakini mampu memberi manfaat maksimum kepada rakyat, khususnya golongan petani dan pengusaha industri asas tani.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr. Azman Ibrahim, menegaskan bahawa kerajaan negeri komited dalam memperkukuh hubungan dua hala antara Wisma Darul Iman (WDI) dan Putrajaya.
Beliau menyatakan bahawa kedua-dua pihak berkongsi visi dan misi yang seiring menerusi Pelan Strategik Pertanian Terengganu (PSPT) 2019-2023 serta Dasar Agro Makanan Negara (DAN) yang mula diperkenalkan sejak tahun 2000.
"Hasil daripada kerjasama erat yang bersifat simbiosis ini, kedua-dua pihak saling melengkapi dan memanfaatkan antara satu sama lain.
"Prinsip kami jelas, Terengganu datang bukan untuk meminta, tetapi untuk bekerjasama," tegasnya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelancaran PSPT 2024-2030 yang berlangsung di Dewan Besar Wisma Darul Iman, di sini semalam.
Majlis berprestij itu turut diserikan dengan keberangkatan Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin, yang berkenan mencemar duli menyaksikan majlis perasmian tersebut.
Turut hadir, Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Mohd Azmi Mohamad Daham.
Menurut Azman, sektor pertanian bergantung kepada dua elemen utama, iaitu tanah dan air, di mana kedua-dua elemen penting itu berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
"Oleh itu, sinergi antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan akan memastikan pengurusan sumber ini dilakukan secara optimum, sekali gus memberikan impak positif kepada kesejahteraan rakyat," jelasnya.
21 Feb 25
156
Makin Ramai Anak Muda Terengganu Pilih Pertanian Sebagai Kerjaya
KUALA TERENGGANU, 20 Februari – Sangkaan bahawa anak muda tidak berminat dalam bidang pertanian ternyata meleset selepas semakin ramai golongan muda di Terengganu memilih pertanian sebagai kerjaya utama mereka.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr. Azman Ibrahim mendedahkan bahawa sebahagian besar penerima bantuan pertanian di Terengganu adalah anak muda.
"Penternak lembu sado? 80 peratus anak muda! Peserta fertigasi? Terengganu nombor satu di Malaysia dengan 700 peserta.
"Ini membuktikan bahawa pertanian bukan lagi profesion lapuk, tetapi industri masa depan yang menjanjikan pulangan lumayan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelancaran PSPT 2024-2030 di Dewan Besar Wisma Darul Iman (WDI) di sini semalam.
Turut berkenan mencemar duli berangkat menyaksikan Majlis Perasmian PPST 2024-2030, Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin.
Hadir sama Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Pegawai Kewangan negeri, Dato' Mohd Azmi Mohamad Daham.
Menurut beliau, kejayaan PSPT 2019-2023 telah membuka mata ramai belia terhadap potensi dalam sektor ini.
"Melalui sesi libat urus dan dialog di seluruh negeri, kami dapati majoriti peserta adalah anak muda yang berkelulusan tinggi dan berhasrat menjadikan pertanian sebagai kerjaya mereka," jelasnya.
Menyedari trend ini, Azman turut menambah bahawa PSPT 2024-2030 akan memberi lebih banyak peluang kepada golongan muda.
"Kami mahu mereka bukan sekadar bekerja dalam industri ini, tetapi menjadi usahawan pertanian yang berjaya.
"Oleh itu, lebih banyak bantuan, latihan, dan akses kepada teknologi moden akan disediakan," ujarnya.
20 Feb 25
511
Sektor Pertanian Sasar Sumbang KDNK 12 Peratus
KUALA TERENGGANU, 20 Februari – Kerajaan Terengganu menyasarkan sektor pertanian menyumbang 12 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) menerusi Pelan Strategik Pertanian Terengganu (PSPT) 2024-2030.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr. Azman Ibrahim menegaskan target itu bukan sekadar angka, tetapi realistik berdasarkan kejayaan pelaksanaan PSPT 2019-2023.
"Pada 2018, sektor pertanian negeri berada di tahap negatif dengan KDNK -2.5 peratus, Sektor pertanian bukan setakat tidak mampu menyumbang malah menjadi beban kepada negeri serta tiada perancangan hala tuju yang jelas.
"Tahun 2019 iaitu tahun pertama perlaksanan PSPT 2019-2023, KDNK Pertanian meningkat kepada 6 peratus dan menyumbang 8.4 peratus kepada KDNK negeri.
"Ia bukan suatu kejayaan yang besar, tetapi kita telah menukar kegagalan menjadi sedikit kejayaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelancaran PSPT 2024-2030 di Dewan Besar Wisma Darul Iman (WDI) di sini semalam.
Menurut beliau, meskipun Terengganu tidak mempunyai ‘exit and entry point’ untuk eksport produk pertanian, tetapi hasil buah-buahan tempatan serta hasil laut telah menembusi pasaran antarabangsa.
"Sebenarnya hasil pertanian negeri kita seperti Melon Manis Terengganu, tembikai, nenas, hasil laut dan hasil akuakultur seperti kerapu hibrid dan siakap memasuki pasaran eksport.
"Cuma ia dieksport melalui pelabuhan dan lapangan terbang antarabangsa yang berada di negeri lain, maka angka KDNK dapatlah kepada negeri-negeri tersebut," jelasnya.
Menurut Azman, sebanyak 56 daripada 58 program dalam PSPT 2019-2023 telah berjaya dilaksanakan dengan kadar kejayaan 96.5 peratus.
"Sejak pelaksanaannya, KDNK pertanian meningkat kepada 6 peratus pada 2019 dan mencapai 7.4 peratus pada 2023, walaupun berdepan cabaran seperti pandemik COVID-19 dan banjir besar.
"Dengan pencapaian ini, kerajaan negeri yakin sasaran 12 peratus dalam PSPT 2024-2030 mampu direalisasikan, sekali gus memperkukuh sektor pertanian sebagai pemacu ekonomi Terengganu," ujarnya.
20 Feb 25
169