Artikel "Pertanian" Terkini
Sawit TDM Diiktiraf Antarabangsa
KUALA TERENGGANU, 19 Jun – TDM Berhad terus memperkukuh kedudukannya sebagai pelopor industri sawit mampan negara apabila anak syarikatnya, TDM Plantation Sdn. Bhd. (TDMP) berjaya meraih pengiktirafan tempatan dan antarabangsa atas komitmennya terhadap kelestarian alam dan pematuhan etika industri.
Pengerusi TDM Berhad, Tengku Seri Bijaya Raja menyatakan bahawa pensijilan yang diterima membuktikan pendekatan TDM bukan sahaja selari dengan dasar hijau negara, bahkan membuka akses pasaran yang lebih luas dan bernilai tinggi.
"TDMP telah diiktiraf menerusi pensijilan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO) dan Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO), yang melibatkan pengeluaran Minyak Sawit Mampan Diperakui (CSPO) dan Isirung Sawit Mampan Diperakui (CSPK)," kata beliau.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-60 di KMI Kuala Terengganu Medical Centre, di sini, semalam.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM Berhad, Najman Kamaruddin; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Incorporated, Dato’ Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun
Beliau menyifatkan pencapaian ini sebagai manifestasi usaha konsisten dalam mematuhi garis panduan ketat yang ditetapkan industri, dengan menekankan aspek kelestarian, hak pekerja, pemeliharaan biodiversiti dan integriti rantaian bekalan.
"Ini adalah pengiktirafan terhadap amalan ladang yang bertanggungjawab, dan sekaligus meletakkan TDM sebagai peneraju industri sawit yang beretika dan berpandangan jauh," ujarnya.
TDMP turut melaksanakan transformasi ladang secara menyeluruh, melibatkan sistem pemantauan berasaskan data seperti Estate Block Analytical System (E-BAS), penggunaan teknologi GPS dan GIS, serta mekanisasi penuaian bagi meningkatkan hasil secara mampan.
Menurut beliau lagi, pensijilan ini akan meningkatkan daya saing syarikat di peringkat antarabangsa, khususnya di pasaran Eropah dan Asia Timur yang amat menitikberatkan sumber sawit yang beretika dan mapan.
19 Jun 25
230
TDM Pacu Agenda Sifar Karbon, Tenaga Hijau Jadi Keutamaan
KUALA TERENGGANU, 18 Jun – TDM Berhad melangkah berani ke hadapan dengan komitmen jangka panjang untuk mencapai sifar bersih pelepasan karbon menjelang tahun 2050, seiring hasrat menjadi peneraju kelestarian dalam sektor strategik negara.
Pengerusi TDM Berhad, Tengku Seri Bijaya Raja menjelaskan bahawa syarikat telah menyusun pelan halatuju jelas bagi menangani isu perubahan iklim secara berkesan.
"Kami menyasarkan pengurangan intensiti pelepasan gas rumah hijau (GHG) sebanyak 30 peratus menjelang 2030, dan akhirnya mencapai pelepasan karbon sifar bersih pada tahun 2050," katanya ketika sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-60 di KMI Kuala Terengganu Medical Centre, di sini, kelmarin.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM Berhad, Najman Kamaruddin, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Incorporated, Dato’ Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun.
Menurutnya, TDM telah melaksanakan pelbagai pendekatan hijau bagi memastikan matlamat itu bukan sekadar retorik, malah realiti yang boleh diukur dan dikekalkan.
"Antara usaha utama termasuk pemasangan panel solar, sistem pendingin HVAC cekap tenaga, pelaksanaan dandang hijau di kilang sawit, serta inisiatif program kredit karbon yang menyokong imbangan pelepasan," jelasnya.
Beliau turut menyifatkan keberkesanan strategi itu dapat dilihat menerusi peningkatan prestasi dua loji biogas milik TDM di Sungai Tong dan Kemaman yang mula beroperasi sepenuhnya sejak 2022.
"Pada tahun 2024 sahaja, loji-loji ini berjaya menjana lebih 18.8 juta kilowatt jam tenaga boleh diperbaharui, meningkat lima peratus berbanding tahun sebelumnya," tambahnya lagi.
Menurut beliau, lonjakan ini membuktikan keupayaan TDM dalam memanfaatkan teknologi hijau bukan sahaja demi kelangsungan alam sekitar, bahkan menjana pulangan operasional yang mampan.
19 Jun 25
84
Loji Biogas TDM Sumbang Tenaga Hijau
KUALA TERENGGANU, 18 Jun – TDM Berhad memperkukuh langkahnya ke arah tenaga mampan apabila dua loji biogas miliknya berjaya menjana hampir 19 juta kWh tenaga hijau sepanjang tahun 2024, sekaligus menyumbang kepada grid nasional dan menyokong agenda sifar karbon negara.
Pengerusi TDM Berhad, Tengku Seri Bijaya Raja berkata, pencapaian ini adalah bukti nyata bahawa pelaburan TDM dalam teknologi tenaga boleh diperbaharui bukan hanya bersifat simbolik, malah memberi impak sebenar kepada alam sekitar dan ekonomi negara.
"Sepanjang tahun 2024, sejumlah 18,868,173 kilowatt-jam (kWh) tenaga boleh diperbaharui berjaya dijana dan disalurkan ke grid nasional,” katanya ketika sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-60 di KMI Kuala Terengganu Medical Centre, di sini, semalam.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM Berhad, Najman Kamaruddin; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Incorporated, Dato’ Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun
Beliau turut menjelaskan bahawa peningkatan sebanyak 5 peratus berbanding tahun sebelumnya merupakan petunjuk jelas terhadap kecekapan operasi dan keupayaan loji tersebut dalam memenuhi sasaran kelestarian jangka panjang syarikat.
"Kita sedang memacu perubahan, daripada loji yang dulu hanya memproses sisa, kini menjadi sumber tenaga hijau yang menyumbang kepada sistem tenaga negara," jelasnya.
Tambah beliau, loji biogas TDM yang beroperasi di Sungai Tong dan Kemaman dibangunkan sebagai sebahagian daripada strategi hijau TDM yang turut merangkumi penggunaan panel solar, sistem HVAC cekap tenaga dan projek dandang hijau (green boiler).
Kejayaan ini sekaligus menyokong sasaran TDM untuk mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah hijau (GHG) sebanyak 30 peratus menjelang 2030 serta mencapai sifar bersih pelepasan karbon menjelang 2050.
Menurut beliau, TDM akan terus meningkatkan kapasiti tenaga bersih dengan pelaburan tambahan dalam teknologi hijau dan memperluaskan skop tenaga boleh diperbaharui di ladang-ladang miliknya.
18 Jun 25
178
RM100 Juta Diperuntuk Atasi Masalah Pengairan Sawah
KUALA TERENGGANU, 5 Jun – Masalah pengairan di kawasan sawah padi luar jelapang yang telah berlarutan sejak sekian lama bakal menemui titik penyelesaian apabila kerajaan meluluskan dasar peruntukan sebanyak RM100 juta bagi pembinaan tali air utama.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, pelbagai usaha dan rintangan telah dilalui sebelum kelulusan tersebut berjaya diperolehi daripada kerajaan Persekutuan.
“Ketiadaan sumber air daripada empangan menyebabkan petani hanya bergantung kepada parit semula jadi atau tali air Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), yang nyata tidak mencukupi bagi menampung keperluan tanaman,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Status Projek KETARA Fasa 2 yang berlangsung di Tingkat 6, Wisma Darul Iman semalam.
Menurut beliau, pembinaan tali air baharu akan dimulakan dari Empangan Paya Peda di Hulu Besut, dan akan mengalir ke kawasan Skim Pengairan Padi Luar Jelapang seperti Bukit Jeruk, Kepala Gajah, Gong Ubi Keling, Padang Lengkuas, Gong Machang dan Gong Telikong.
Dato’ Dr Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi memaklumkan, ketika ini terdapat 7,000 hektar sawah padi luar jelapang di seluruh Terengganu, berbanding hanya 5,000 hektar dalam kawasan jelapang padi yang berada di bawah pengurusan IADA Ketara.
“Kawasan jelapang padi IADA Ketara merupakan penyumbang utama pengeluaran padi negeri ini kerana lengkap dengan sistem pengairan yang tersusun,” ujarnya.
Tambah beliau, sejak tahun 2018, Kerajaan Negeri telah mengemukakan permohonan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk memasukkan baki 5,000 hektar kawasan luar jelapang tersebut ke dalam Projek IADA Ketara Fasa 2.
Mesyuarat penyelarasan tersebut turut melibatkan agensi dan jabatan berkaitan termasuk JPS Bahagian Pertanian KPKM, Jabatan Pertanian, IADA Ketara, jurutera perunding projek serta Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Terengganu.
“Kita kini berada dalam fasa pengambilan tanah yang sedang dilaksanakan dan dijangka selesai dalam masa terdekat sebelum projek ini ditender,” katanya mengakhiri kenyataan.
05 Jun 25
117
Transformasi Reban Ayam Tertutup Dilaksana di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 4 Jun - Kerajaan negeri kini menggalakkan bakal penternak ayam komersial untuk menggunakan sistem reban tertutup sebagai langkah memodenkan industri penternakan ayam di Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi, Dato' Dr. Azman Ibrahim berkata, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada transformasi sektor ternakan ayam di negeri itu.
"Antara kelebihan reban tertutup ialah kawalan persekitaran yang sihat tanpa pencemaran bau dan lalat berbanding dengan sistem reban terbuka.
"Proses tumbesaran ayam juga lebih cepat," katanya dalam satu kenyataan yang telah dikeluarkan melalui hantaran media sosialnya baru-baru ini.
Beliau turut memaklumkan bahawa pembinaan reban ayam baharu menggunakan sistem terbuka tidak lagi akan diberikan kelulusan, dan kerajaan negeri menggalakkan para pengusaha sedia ada untuk beralih kepada sistem reban tertutup.
"Adapun bagi reban terbuka sedia ada, kerajaan negeri menggalakkan para pengusaha melakukan transformasi kepada sistem reban tertutup secara berperingkat.
"Kita belum menetapkan suatu tempoh masa untuk perubahan ini dilakukan kerana memahami bahawa proses transformasi reban terbuka kepada reban tertutup akan melibatkan kos yang besar," ujarnya.
Dalam pada itu, pihaknya juga mempunyai perancangan untuk membina beberapa lagi fasiliti ternakan tertutup untuk diserahkan kepada pengusaha tempatan yang memenuhi syarat-syarat kelayakan yang telah ditetapkan.
Mengikuti perkembangan berkaitan, reban ayam Jabatan Veterinar Terengganu berkonsepkan reban tertutup di Baruh Masin, Besut dengan kos baik pulih sebanyak RM700 ribu kini telah mula beroperasi sepenuhnya sejak bulan lepas dan dijangkakan penuaian hasil pertama pada pertengahan bulan ini.
04 Jun 25
701
Pengeluaran Padi: Terengganu Kedua Terbaik di Malaysia
KEMAMAN, 13 Mei – Terengganu kini semakin hampir menyaingi kawasan pengeluaran padi tertinggi negara apabila Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Bersepadu Terengganu Utara (IADA) KETARA di Besut berjaya mencapai purata 5.2 tan metrik sehektar, hanya sedikit di bawah rekod tertinggi nasional iaitu 5.6 tan metrik di Pulau Pinang.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata pencapaian ini menunjukkan potensi luar biasa sektor pertanian negeri yang sering dipandang kecil berbanding negeri pengeluar utama lain.
"5.2 ini sebenarnya angka yang tertinggi dalam negara selepas Pulau Pinang.
"Purata pengeluaran per hektar paling tinggi adalah 5.6 sahaja di IADA Pulau Pinang," katanya ketika berucap di Program Ramah Mesra dan Dialog Kelompok Tani & Pesawah Padi, di Rumah Tani Kampung Dadong, di sini baru-baru ini.
Hadir sama, ADUN Air Putih, Mohd Hafiz Adam; Pengarah Jabatan Pertanian Negeri, Dr. Sukati Sakka; dan Pegawai Daerah Kemaman, Ahmad Nazwawi Harun.
Menurutnya, walaupun keluasan sawah di Vietnam dan Thailand jauh lebih luas, masing-masing 7 juta dan 9 juta hektar, serta ditanam tiga kali setahun, pendekatan Terengganu tetap pragmatik demi menjaga kelestarian.
"Kita di sini nak buat Paya Dadong dan Paya Paman daripada satu kali setahun kepada dua kali setahun sahaja.
"Kita tidak berhasrat untuk jadikan tiga kali setahun kerana kita faham dengan risiko bencana banjir yang dihadapi di kawasan ini," tambah beliau lagi.
Beliau menegaskan bahawa musim tengkujuh yang menjadikan sawah “bertukar menjadi laut” adalah faktor utama yang menghalang penanaman sepanjang tahun.
"Apabila monsun datang, semua orang kena berehat, tak boleh menanam," ujarnya.
13 May 25
3381
RM1.5 Juta Dibelanja Naik Taraf, Infrastruktur Sawah
KEMAMAN, 11 Mei – Lebih RM1.5 juta telah dibelanjakan oleh Kerajaan Terengganu sejak 2019 bagi menaik taraf sistem pengairan dan infrastruktur pertanian di Paya Dadong dan Paya Paman, namun hakikatnya, jika tiada beras, tiada siapa dapat menjamah nasi, walaupun wang berbillion di tangan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, keseluruhan jumlah tersebut merangkumi peruntukan dari kerajaan negeri, persekutuan dan pelbagai sumber lain bagi membina pagar, jalan ladang serta sistem pengairan moden.
"Kalau dicampur, sebanyak RM1.576 juta telah kita salurkan di Paya Dadong dalam tempoh enam tahun, dan kalau dibahagi kepada 19 orang peserta, akan jadi RM82 ribu seorang.
"Baik kita bahagi duit, tak payah tanam padi, tapi kalau tiada beras, macam mana kita nak makan nasi?,” katanya, sebagai sindiran kepada pandangan yang menganggap pertanian sebagai beban perbelanjaan.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Program Ramah Mesra dan Dialog Kelompok Tani & Pesawah Padi, di Rumah Tani Kampung Dadong, di sini hari ini.
Turut hadir, ADUN Air Putih, Mohd Hafiz Adam; Pengarah Jabatan Pertanian Negeri, Dr. Sukati Sakka; dan Pegawai Daerah Kemaman, Ahmad Nazwawi Harun.
Menurut beliau, peruntukan tambahan sebanyak RM500 ribu turut disalurkan di kawasan Paya Paman yang hanya mempunyai enam peserta, menjadikan peruntukan per individu lebih tinggi, namun prinsip kerajaan tetap sama, galakkan kerja, bukan beri tunai.
"Kalau kita bahagi kepada enam peserta, setiap orang akan dapat RM83 ribu, tapi kita tak buat begitu sebab kita nak tuan puan terus berusaha," katanya.
Dr. Azman turut mendedahkan pengalaman peribadinya sewaktu mula menjadi Exco pada tahun 2018, apabila didatangi seorang penasihat kanan kepada pemimpin negara mempersoalkan keutamaan kerajaan negeri dalam sektor penanaman padi.
"Dia kata petani tetap miskin, lebih baik beli saja beras dari luar, tak perlu subsidi, tak perlu tali air, tak perlu buat empangan dan jalan ladang," katanya memetik perbualan tersebut.
Namun katanya, realiti dunia menunjukkan bahawa wang semata-mata tidak mampu menyelamatkan negara ketika krisis makanan, apatah lagi jika negara pengeluar menutup pintu eksport.
"Saya kata, kita boleh beli kalau ada orang nak jual, tapi kalau sampai masa kita ada duit tapi tiada siapa nak jual, kita boleh beli tak?" katanya tegas.
Beliau menegaskan, negara seperti Indonesia, Thailand dan Vietnam sendiri pernah menyekat eksport beras sehingga keperluan domestik mereka mencukupi.
"Polisi mana-mana negara mesti mencukupkan makanan untuk rakyat dulu sebelum dibenar eksport," jelasnya.
Azman menyimpulkan bahawa dalam krisis sebenar, kekayaan bukan lagi pada wang, tetapi pada makanan yang cukup untuk rakyat.
"Orang bijak pernah kata, ketika krisis makanan, orang paling kaya ialah orang yang ada makanan," ujarnya.
11 May 25
145
Rakyat Terengganu Diseru Ceburi Pertanian Kontan
Kerajaan negeri menggalakkan rakyat Terengganu terlibat dalam sektor tanaman kontan yang boleh menjana hasil cepat dan memberikan impak tinggi kepada sosial ekonomi rakyat.
20 Apr 25
63
Kelapa : Pekebun Kejar Untung, Santan Negara Terancam
KUALA TERENGGANU, 20 April – Harga kelapa muda yang melonjak tinggi mendorong pekebun memilih jalan pintas untuk meraih keuntungan segera, namun tindakan ini menjejaskan bekalan kelapa tua negara dan mengancam industri santan tempatan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, permintaan terhadap kelapa muda kini begitu tinggi sehingga menyebabkan pengeluaran kelapa tua merosot dengan ketara di pasaran.
"Sebiji kelapa muda boleh dijual sehingga RM4.50, manakala kelapa tua pula sekadar RM2.50 dan semakin murah jika disimpan,” katanya semasa sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih di Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga DUN Kelima Belas di Wisma Darul Iman, baru-bari ini.
Menurut beliau, ketidakseimbangan harga ini telah mendorong pekebun lebih berminat menjual kelapa muda kerana pulangannya jauh lebih lumayan berbanding kelapa tua yang digunakan dalam pemprosesan santan.
"Inilah sebabnya kelapa muda jadi pilihan utama pekebun.
"Mereka kejar untung cepat, tapi kita sedang hadapi kekurangan bahan asas untuk makanan rakyat,” keluhnya.
Jelasnya lagi, keadaan ini diburukkan dengan fenomena perubahan iklim yang menyebabkan ‘kepupusan mayang’, iaitu kegagalan pokok kelapa berbunga antara Jun hingga September tahun lalu.
"Tiada mayang maka tiadalah buah.
"Fenomena ini telah menjejaskan hasil kelapa tua secara drastik,” kata beliau.
ADUN Jabi itu turut mengakui bahawa walaupun Tahap Sara Diri (SSR) bagi kelapa menunjukkan peningkatan dari 53 peratus pada 2019 kepada 74 peratus pada tahun 2023, ia belum cukup untuk menampung permintaan sekiranya trend ini berterusan.
"Cadangan pembukaan ladang kelapa oleh ADUN Kuala Besut adalah satu langkah tepat dan perlu dilaksanakan segera," ujarnya.
20 Apr 25
183
Sawah Tidak Lagi Dikenang Sebagai Punca Rezeki
KUALA TERENGGANU, 20 April – Ladang-ladang padi di Kuala Berang dan Hulu Terengganu yang suatu ketika dahulu menjadi nadi kehidupan masyarakat luar bandar kini semakin sepi dan terbiar, bukan kerana kekurangan infrastruktur, tetapi akibat tiada kesinambungan generasi pelapis untuk mengusahakannya.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dr. Azman Ibrahim menjelaskan bahawa isu sebenar bukan berpunca daripada kegagalan kemudahan asas, sebaliknya hilangnya minat dalam kalangan anak muda untuk menyambung usaha generasi terdahulu.
"Saya ingin menjelaskan sedikit mengenai isu sawah padi yang terbiar di sekitar daerah Kuala Berang dan Hulu Terengganu, keadaannya bukan disebabkan ketiadaan infrastruktur kerana kemudahan itu sebenarnya sudah tersedia.
"Masalah sebenar timbul apabila generasi baharu tidak lagi berminat meneruskan usaha mengusahakan sawah pusaka selepas pemergian ibu bapa mereka.
"Anak-anak hari ini tidak lagi melihat sawah sebagai sumber rezeki, sebaliknya mewarisi tanah tanpa mewarisi semangat dan tanggungjawab untuk mengusahakannya," katanya ketika menjawab persoalan ADUN Telemong dalam sidang DUN di Wisma Darul Iman, baru-baru ini.
Tambah beliau, meskipun terdapat cadangan untuk membuka peluang pelaburan, kekangan struktur geografi menjadikan usaha itu sukar direalisasikan secara komersial.
"Kita nak buka kepada pelabur pun, kawasannya sedikit dan terpisah-pisah dan bukan sesuai dijadikan satu sektor komersial.
"Jadi itu di antara situasi sebenar," ujarnya.
20 Apr 25
77