Artikel "Pertanian" Terkini
Pekebun Rugi Angkara Gajah
DUNGUN, 9 Ogos - Pekebun di Taman Abadi Al-Muktafi Billah Shah (AMBS) mengalami kerugian angkara gajah yang merosakkan tanaman mereka.
Kebanyakkan mereka mengusahakan tanaman seperti lada hitam, nanas, mata kucing, petai, serta pelbagai lagi dan dibelenggu masalah ini sejak sekian lama.
Pekebun, Raimah Hashim, 47, berkata kerana kesungguhan dan semangat untuk mengusahakan pertanian, dia bersama suami Mohamad Awang Besar, 56 tetap meneruskan usaha itu walaupun kes terbaru iaitu pada Aidiladha lalu tanaman turut dimusnahkan haiwan berkenaaan.
"Yang mana pada tahun sebelum ini, tanaman pisang yang saya usahakan juga turut dimusnahkan gajah ini. Ada buat pagar elektrik dengan menggunakan belanja sendiri namun tetap dimasuki haiwan besar ini.
"Diantara tanaman saya yang dirosakkan pada kebun seluas lima ekar ini ialah 100 pokok lada hitam, manakala nanas pula 20,000 pokok. Memang sangat sedihlah diatas penat lelah kita selama ini, boleh dikatakan semuanya kita usahakan secara berdikari tanpa ada mana-mana bantuan, kecuali tanaman lada hitam mendapat bantuan daripada Lembaga Lada Hitam Malaysia yang memberikan anak pokok dan sering melakukan tinjauan," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan daripada Pegawai Penyelaras DUN Bukit Besi, disini, baru-baru ini.
Raimah berterima kasih diatas perhatian yang diberikan Ghazali selepas buntu tidak tahu ke mana hendak diadukan perkara berkenaan.
Sementara itu, Nor Azura Halib berkata, ketika melihat kebunnya musnah tidak tahu samada hendak menangis ataupun menjerit.
"Sedih setelah melihat 200 anak pokok lada hitam musnah begitu sahaja, ingat nak tunggu besar sedikit dan hendak tanam lebih banyak lagi namun dimusnahkan Gajah
"Ketika awal kejadian, memang dapat dilihatlah kesan dimasuki binatang besar ini, dengan mana jalan-jalan dipenuhi dengan buah nanas, dengan tompokan najis gajah, dan kesan-kesan yang dilalui," ujarnya.
Sementara itu, Ghazali melahirkan perasaan simpati diatas nasib yang berlaku ke atas pekebun-pekebun berkenaan.
"Memang dapat dilihat kesan yang dialami, dimana masih ada lagi kelihatan tompokan najis gajah yang telah pun kering menunjukkan berkemungkinan telah seminggu dimasuki gajah, memang banyaklah kerosakan yang dialami.
"Kita telah beri penerangan kepada mereka mengenai agensi-agensi mahupun jabatan yang boleh mereka dapatkan bantuan, termasuklah Tabung Darul Iman (TDI) selain daripada Jabatan Pertanian sendiri, paling utama laporkan terlebih dahulu di balai polis, supaya laporan dapat dikeluarkan beserta nilai kerugian bagi memudahkan proses mendapatkan bantuan," ujarnya,
09 Aug 20
876
Pekebun Berkelompok Terima Bantuan Alatan Pertanian
Oleh: Mohd Haniff Abas
KUALA NERUS, 27 Julai - Seramai lapan pekebun berkelompok menerima bantuan alatan pertanian berupa kereta sorong dan juga pam penyembur racun, hasil sumbangan Pusat Khidmat Masyarakat ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Buluh Gading, baru-baru ini.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Ridzuan Hashim berkata, kerajaan negeri menghulurkan sumbangan kepada mereka atas inisiatif yang disifatkannya sebagai sesuatu yang hebat.
“Syabas dan tahniah kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Tanjung Sabtu kerana mengambil inisiatif yang hebat ini, menukarkan kawasan semak samun kepada kebun tanaman pisang.
“Ianya bukan suatu yang mudah memandangkan kawasan yang diusahakan sangat luas iaitu kira-kira lapan ekar, dan setiap pekebun mengusahan satu ekar seorang," ujar beliau lagi.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi penyampaian alatan bantuan berkenaan di kawasan kebun pisang yang diusahakan di Kampung Tanjung Sabtu.
Ridzuan turut mengharapkan agar warga belia khususnya melibatkan diri dalam bidang pertanian sebegini agar dapat mengurangkan pergantungan kepada warga asing di samping dapat menambahkan pendapatan seharian.
“Semoga usaha begini dapat diikuti dan menjadi contoh kepada MPKK lain agar dapat memanfaatkan tanah terbiar sekali gus menambahkan pendapatan," katanya.
27 Jul 20
1409
Lesen Nelayan Kelas A Dibuka Semula, 800 terima Manfaat
Foto oleh : Hidayah Azlin
DUNGUN, 26 Julai - Seramai 800 nelayan aktif dan tulen di negeri ini bakal menerima manfaat apabila Kementerian Pertanian Dan Industri Makanan (MAFI) Malaysia melalui Jabatan Perikanan Malaysia akan membuka semula Lesen Nelayan Sampan Zon A (kategori pesisir pantai) dalam masa terdekat.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, pemberian lesen vesel nelayan kelas A itu bertujuan memudahkan urusan perlindungan insurans dan elaun sara hidup kerana ramai nelayan terpaksa turun ke laut dengan risiko sendiri.
“Kita melihat bahawa ramai nelayan tulen bukan sahaja di Terengganu tetapi di negeri lain yang tidak mempunyai lesen dan terdapat juga dalam kalangan mereka yang berlesen bukan nelayan tulen.
“Justeru, dalam proses melesenkan nelayan tulen, pihak Jabatan Perikanan Malaysia juga akan melalukan pemutihan terhadap pemegang lesen yang ada sekarang ini.
“Kita akan mewujudkan satu ‘database’ zon A yang melibatkan pemutihan dan pemberian lesen dimana di Negeri Terengganu sendiri lebih 800 nelayan sampan akan menerima manfaatnya,” ujar beliau sempena sesi ‘walkabout’ dan ramah mesra bersama nelayan di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Dungun, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim.
Sementara itu, Dr Azman berkata, kerajaan negeri merakamkan ucapan terima kasih kepada MAFI yang memberi perhatian terhadap masalah yang membelenggu nelayan negeri ini.
“Saya berterima kasih kepada pihak MAFI khususnya Jabatan Perikanan Malaysia di atas respon yang sangat positif untuk menyelesaikan isu yang dihadapi nelayan kita yang mana didapati sebagaian besar daripada mereka ada yang ke laut sejak muda sampai ke tua tetapi tidak berlesen.
“Di pihak kerajaan negeri kita melihat isu nelayan sampan atau nelayan zon A yang tiada lesen ini sebagai isu lapuk yang perlu diselesaikan,” ujarnya.
Justeru katanya, kerajaan negeri telah menubuhkan ‘task force’ bersama jabatan berautoriti dan berkaitan termasuk Jabatan Perikanan Malaysia Negeri Terengganu, LKIM Negeri Terengganu dan juga persatuan-persatuan nelayan yang diurusetiakan oleh kerajaan negeri bagi mengatasi masalah ini.
“Sebelum ini, kita telah buat dua kali mesyuarat dan proses pemutihan di peringkat negeri dan selepas pemutihan akhirnya kita keluarkan sekitar 800 lebih nelayan sampan yang tidak berlesen dan telah diangkat permohonan kepada pihak kementerian,”ujarnya.
Katanya, nelayan yang tidak berlesen terdedah kepada pelbagai risiko diantaranya jika terlibat dengan kemalangan atau bencana di laut tidak ada suatu pelindungan yang boleh melindungi mereka.
“Mereka juga tidak dapat faedah seperti elaun sara hidup nelayan, subsidi minyak dan sebagainya dan yang merugikan negeri kita ialah bila tangkapan dibuat oleh nelayan tidak berlesen bermakna hasil tangkapan mereka tidak direkodkan,” ujarnya.
Katanya, beliau turut dimaklumkan oleh pihak kementerian bahawa Terengganu adalah negeri pertama yang ambil langkah ‘bottom to top’ dengan mengambil inisiatif sendiri cuba menyelesaikan isu ini dengan membawanya kepada peringkat kementerian.
Disamping itu katanya, kerajaan negeri turut menekankan kepada program memperkaya sumber perikanan seiring pemberian lesen kepada nelayan.
Dalam usaha menambahkan bilangan nelayan yang mempunyai lesen, dalam masa yang sama sumber perikanan turut diberi perhatian melalui program melabuhkan tukun dan unjam,” ujarnya.
26 Jul 20
1360
Terengganu Sasar Bina Mini ‘Slipway’ Di Setiap Daerah
Oleh : Hidayah Azlin
SETIU, 22 Julai – Kerajaan Terengganu mensasarkan untuk membina mini ‘slipway’ di setiap daerah bagi memudahkan pembaikian kerosakan kecil bot nelayan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, perkara itu merupakan satu keperluan yang sangat kritikal untuk nelayan menyelenggara bot tanpa melalui jarak yang jauh.
"Saya melihat keperluan ini perlu bagi setiap daerah supaya kerosakan-kerosakan kecil tidak mengambil masa yang lama. Contohnya kerosakan kipas, ia hanya memerlukan pembaikian dalam beberapa hari sahaja.
"Besut, Setiu, Dungun dan Kemaman akan menjadi fokus kita khususnya di daerah-daerah yang sebahagian besar terdiri daripada nelayan bot kelas A dan B yang memerlukan khidmat setempat," jelasnya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman selepas meninjau projek pembinaan rumah sejuk beku dan mini 'slipway' di jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Marang, semalam.
Dr Azman (tengah) melihat keadaan semasa rumah sejuk beku.
Mengulas tentang mini 'slipway' di Jeti LKIM yang menelan kos kira-kira RM50,000 itu, beliau memaklumkan binaan telah siap hampir 90 peratus dan dianggarkan mampu menampung bot dalam lingkungan 30 tan.
"Hanya tinggal untuk pasang ‘wings’ untuk menarik bot, kebanyakkan daripada nelayan Marang sama ada nelayan sampan atau fiber, bot kelas A dan B kecil itu sahaja. Maka, dengan saiz ini kita kira sudah memadai.
"Insya-Allah selepas ini, sasaran kita ialah untuk membina sebuah kilang air batu di sini.
"Sebahagian lagi usaha untuk mempertingkatkan lagi pengeluaran sektor perikanan kita dalam masa yang sama kita tangani isu-isu yang timbul dari semasa ke semasa," jelasnya.
Tambahnya lagi, projek pembinaan rumah sejuk beku dan mini 'slipway' itu merupakan projek yang pertama dibiayai oleh kerajaan negeri di Malaysia.
Malah, satu-satunya ‘slipway’ yang berada di bawah kerajaan negeri dan ada di daerah Marang kerana di tempat lain dibina oleh pihak swasta.
"Alhamdulillah projek bilik sejuk yang telah dimulakan pembinaannya di sekitar bulan Oktober tahun lepas siap dibina. Ujian operasi telah dibuat dan ia beroperasi dengan baik.
"Ia akan dimanfaatkan oleh nelayan-nelayan Marang dalam kapasiti simpanan kira-kira 10 tan ikan atau hasil laut dalam satu-satu masa," katanya.
22 Jul 20
3986
TDM Mulakan Penanaman Pertama Di Ladang Pelung Terengganu
KUALA TERENGGANU, 22 Julai - Kumpulan TDM Berhad mengumumkan bahawa anak syarikat milik penuhnya, TDM Plantation Sdn. Bhd. (TDMP) akan memulakan penanaman pertama secara rasmi tahun ini di Ladang Pelung, di sini.
Pengerusi TDM Berhad, YM Raja Dato’ Idris Raja Kamarudin berkata, selepas Ladang Pelung, program penanaman semula yang seterusnya adalah di Ladang Fikri, Jerangau, Pinang Emas, Pelantoh, Tebak dan Jernih dengan jumlah keluasan 1,440 hektar.
"TDM optimis dan akan terus memberi tumpuan dalam meningkatkan produktiviti dan kualiti yang disokong oleh asas-asas jangka panjang.
"Kami amat komited di mana kemampanan dan persijilan Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) dan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) telah membolehkan kami menikmati premium yang lebih baik daripada penjualan Minyak Kelapa Sawit Lestari Disahkan (CSPO) dan Minyak Tempurung Sawit Lestari Diperakui (CSPK) kami," katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Pada majlis tersebut, beliau telah menandatangani plak sebagai tanda penanaman pertama untuk tahun 2020 menggunakan teknik Sistem Informasi Geografi (GIS) dan Kenderaan Udara tanpa Pemandu (UAV).
Hadir sama, Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Zainal Abidin Hussin, Ahli Lembaga Pengarah TDM Berhad, Mohd Kamaruzaman A Wahab, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM Behad, Zainal Abidin Shariff, Ketua Pegawai Eksekutif TDM Plantation Sdn. Bhd., Mohd Ghozali Yahaya dan juga pengurusan dari bahagian perladangan.
Jelasnya, inisiatif itu adalah tindak balas dari Rancangan Penciptaan Nilai (VCP) yang sedang berjalan di bahagian perladangan TDM.
"Industri sekarang secara keseluruhan menghadapi cabaran besar seperti kenaikan kos bekalan dan kekurangan tenaga kerja. Kumpulan menyedari cabaran dan berusaha untuk menangani masalah tersebut.
"Inovasi ini adalah sebahagian daripada inisiatif kami untuk mengurus kos operasi, mengurangkan kebergantungan pekerja secara manual dan mematuhi amalan dan prosedur pertanian yang baik," ujarnya.
Untuk rekod, TDM Berhad diperbadankan pada tahun 1965 yang mana tanaman pertama adalah di Ladang Air Putih, Kemaman. Ladang TDM telah memasuki pusingan penanaman ketiga pada tahun 2012.
22 Jul 20
2293
Libatkan Diri Dalam Pertanian
Oleh: Rohayati Ripin
KUALA TERENGGANU, 19 Julai - Kerajaan negeri menyeru semua lapisan masyarakat khususnya kalangan Badan Bukan Kerajaan (NGO) melihat sektor pertanian sebagai sektor penting sama ada mereka yang terlibat secara sara diri ataupun komersial.
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, mereka hendaklah membuat satu perubahan dan menjadikan bidang ini diberi perhatian khusus.
“Kerajaan sedang bergerak cergas untuk memajukan sektor pertanian sebagai salah satu sektor penting dalam Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) yang berakhir pada 2030.
“Dalam titah ucapan Diraja dalam sidang DUN yang lepas, Tuanku Sultan Mizan juga telah mengisytiharkan tahun 2021 sebagai tahun pertanian negeri Terengganu," jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Kursus Pertanian Bandar yang dianjurkan oleh NGO Muafakat Sejahtera bersama Pejabat Pertanian Negeri di Pertanian Bandar, baru-baru ini.
Menurutnya, dari segi komersial sebagai sumber pendapatan, manakala secara sara diri bagi menggalakkan makanan berkhasiat dari rumah serta mengelakkan makanan yang menggunakan bahan kimia dan membahayakan kesihatan.
"Apa yang kita mahukan hasil daripada kursus ini adalah kesedaran dalam kalangan peserta mempraktikkan ilmu yang diperoleh dengan mulakan bercucuk tanam di rumah contohnya dengan kaedah teknologi moden tanpa memerlukan tanah yang luas.
"Dalam pertanian kita hanya perlu memahami dari segi teknologinya seterusnya manfaatkan barang yang ada di seliling rumah untuk bercucuk tanam," tambah Yahaya.
19 Jul 20
282
Sediakan Kemudahan Infrastruktur Untuk Petani
Oleh : Adli Mohamad
DUNGUN, 9 Julai - Pihak Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) diminta menyediakan kemudahan infrastruktur terlebih dahulu terutama memagari tanah pertanian di Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Selesa, Al-Muktafi Billah Shah agar tanaman yang diusahakan penduduk terhindar daripada sebarang ancaman.
Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, perkara tersebut pernah dijanji oleh KETENGAH kepada kelab KRT Taman Selesa sebelum ini dalam usaha membantu projek ekonomi yang diusahakan penduduk di taman berkenaan.
“KETENGAH diharap dapat menunaikan janji dengan menyediakan insfrastruktur yang sepatutnya termasuk memagari kawasan pertanian agar dapat menambahkan semangat para peserta untuk meneruskan projek.
“Kegigihan dan penat lelah 60 peserta kelab berkenaan yang sekian lama mengusahakan tanah di kawasan terbabit dengan tanaman seperti nanas, betik, pisang serta sayur-sayuran perlu diberi perhatian sewajarnya.
“Sudah tentu janji yang ditunaikan akan membuahkan kegembiraan kepada mereka dan ianya antara perkara yang saya nampak perlu diberikan sokongan kerana berupaya menjadi sumber ekonomi bagi mengubah nasib penduduk disini.
“Tambahan pula mereka berusaha tanpa sebarang bantuan daripada mana-mana jabatan dan agensi yang sepatutnya selain daripada janji pihak KETENGAH itu,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas meninjau projek dilakukan KRT Taman Selesa, hari ini.
Kata Ghazali, beliau juga akan berhubung dengan Jabatan Pertanian Negeri Terengganu dalam membantu para peserta memenuhi keperluan mereka.
“Diharapkan tanaman diusahakan para peserta dapat dikekalkan melalui bantuan disalurkan pihak berkaitan sekali gus meningkatkan ekonomi kelab berkenaan,”ujarnya.
13 Jul 20
786
Pusat Pengumpulan Hasil Tani Kini Jadi Pasar Borong Setiu
Foto Oleh: Hidayah Azlin
SETIU, 5 Julai - Anak syarikat kerajaan negeri, Terengganu Agrotech Development Corporation (TADC) terus mengambil langkah proaktif dengan menjadikan Pusat Pengumpulan Hasil Tani, atau Distribution Center (D.C) miliknya sebagai Pasar Borong Setiu bermula awal Julai lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, bangunan D.C yang terletak di Kampung Telaga Papan, dibina pada asalnya untuk dijadikan sebagai pusat pengumpulan dan penggredan hasil tani sebelum dipasarkan kepada pemborong.
Katanya, setelah tidak beroperasi secara aktif bermula 2018, D.C kembali memainkan peranan penting dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekitar Mac lalu disebabkan pandemik COVID-19.
“Ketika itu, D.C mula berperanan sebagai pusat penerimaan hasil lambakan daripada petani untuk membantu mereka memasarkan hasil pertanian terutamanya tembikai kerana Kampung Telaga Papan adalah pengeluar utama tembikal di Negeri Terengganu.
“Di D.C TADC inilah tembikai dikumpulkan sebelum diagihkan kepada kira-kira 40 outlet jualannya di seluruh negeri dalam tempoh PKP dan alhamdulillah usaha tersebut terbukti berkesan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pembukaan Pasar Borong Dan Runcit Telaga Papan, Setiu Dan Pengagihan kiosk Kepada Peserta Pembangunan Desa di sini hari ini.
Turut hadir, Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir, Pegawai Daerah Setiu, Mohd Sophian Abu Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif PMINT, Wan Adnan Wan Derahman serta Pengurus Besar TADC, Azhar@Wahab Jusoh.
Menurut beliau, setakat ini seramai 18 peniaga borong dan 20 peruncit menjalankan urus niaga di pusat borong itu dan jumlah tersebut boleh dipertingkatkan lagi dengan adanya pelbagai kemudahan termasuk kapasiti keluasan premis yang mencukupi, tiada kesesakan trafik di kawasan terbabit dan sebagainya.
“Justeru, saya menyeru dan mengajak semua peniaga, pemborong, peruncit manfaatkan sepenuhnya kemudahan yang ada di pasar borong ini sebagai satu medan interaksi perniagaan.
“Kebetulan daerah Setiu sendiri tiada lagi pasar borong seperti ini, memang selayaknya kawasan ini dihidupkan dengan pasar borong dan runcit.
“Diharapkan D.C TADC akan berjaya menjadi satu lagi pemain dalam industri pemasaran hasil pertanian, perikanan dan penternakan yang memberikan kebaikan kepada rakyat khususnya,” ujarnya.
Katanya, matlamat TADC bukanlah meraih keuntungan semata, tetapi lebih kepada menunaikan tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada masyarakat.
“Apabila TADC berperanan sebagai orang tengah dan tidak mengambil margin keuntungan yang terlalu tinggi, jadi pengeluar sama ada petani penternak ataupun mereka yang terlibat dengan industri akuakultur dapat memasarkan barangan dengan harga yang berpatutan dan dalam masa yang sama penguna dapat membelinya dengan harga yang lebih rendah disebabkan peranan orang tengah berjaya diminimakan.
“Untuk memastikan kelangsungan pasar borong ini terus beroperasi, pihak pengurusan TADC akan bekerjasama dengan jabatan dan agensi dibawah portfolio jawatankuasa pertanian negeri untuk menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa,” ujarnya.
06 Jul 20
876
Pusat Pengumpulan Hasil Tani Kini Jadi Pasar Borong Setiu
Anak syarikat kerajaan negeri, Terengganu Agrotech Development Corporation Sdn Bhd (TADC) yang dilantik sebagai ejen bagi memasarkan hasil pertanian keluaran petani, penternak dan nelayan negeri ini terus mengambil langkah proaktif dengan menjadikan Pusat Pengumpulan Hasil Tani, atau Distribution Center (D.C) miliknya sebagai Pasar Borong Setiu bermula awal Julai lalu.
06 Jul 20
197
Kebun Cili Khairunnisa' Mula Keluarkan Hasil
Oleh: Daing Siti Norbaity
SETIU, 29 Mei - Projek penanaman cili secara fertigasi yang diusahakan Persatuan Isteri Wakil Rakyat dan Isteri Bekas Wakil Rakyat Terengganu (Khairunnisa') di atas tanah seluas dua ekar di Kampung Mengabang Lekor, di sini mula mengeluarkan hasil.
Pengerusi Khairunnisa', To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman yang mesra dengan panggilan Kak Zah berkata, tuaian pertama cili pada bulan Ramadan lalu mencecah hampir 110 kilogram.
"Hasil tuaian tersebut telah dijual kepada pemborong sayur-sayuran.
"Kak Zah ingin buktikan dan mengajak rakyat Terengganu untuk memanfaatkan kawasan tanah terbiar dengan dijadikan kebun komuniti.
"Bermula dari laman kecil, jika bersungguh-sungguh usaha ini boleh mendatangkan manfaat jika kita tekun dan berazam untuk berjaya," ujarnya kepada pemberita kelmarin.
Turut hadir ke kebun cili Khairunnisa' beberapa hari lalu ialah Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah & Kesejahteraan Pentadbiran Negeri, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar, Pengerusi Jawatankuasa Dakwah, Pembangunan Insan dan Penerangan, Mohd Nor Hamzah serta Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja Negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman.
Tidak memadai dengan laman kediaman rasmi yang dipenuhi pelbagai tanaman sayur-sayuran dan bunga, Kak Zah yang juga isteri Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar terus mengorak langkah 'mempromosikan' pertanian bandar secara lebih kormesial.
Jelas terbukti, usaha beliau dan ahli Khairunnisa' telah berjaya menukarkan kawasan semak samun dan manfaatkan tanah terbiar milik Khairunnisa' seluas dua ekar itu kepada kebun cili.
Sementara itu menurut Kak Zah, suaminya turut mengagumi inisiatif Khairunnisa' yang mengusahakan tanah terbiar untuk projek yang bermanfaat.
"Sebagai tanda sokongan dan penghargaan, Dr. Sam juga turun ke kebun bagi memetik hasil cili yang lebat.
"Dr Sam suka sangat kalau diajak ke kebun ni, dia pun puas hati tengok hasil usaha daripada 'zero'. Dah dua tiga kali turun membantu, antara terapi beliau juga," jelas Kak Zah.
06 Jul 20
298