lightning-solid
Berita :

Artikel "Pendidikan" Terkini

Azam Kunci Capai 11A SPM
Azam Kunci Capai 11A SPM
Oleh : Akid Hafriz KUALA TERENGGANU, 21 Jun- "Hanya perlukan keazaman yang tinggi," kongsi pelajar cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Abdul Malek, Sarah Syazana Ali, 18, akan rahsia kejayaannya memperoleh gred A dalam keseluruhan mata pelajaran pada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) lalu. Jelasnya, azam yang kuat dapat mengatasi kemalasan ketika mengulang kaji pelajaran terutama untuk menghadapi peperiksaan penting sekali gus membantu diri lebih fokus dalam melakukan sesuatu. "Kadang-kadang kita memang ada rasa culas ketika mengulang kaji, tapi ia boleh diatasi apabila kita tanya diri kita kenapa kita nak berjaya? Dan kenapa kita nak 'straight A'. "Sekiranya kita gagal dalam mata pelajaran tertentu, kita perlu berusaha bersungguh-sungguh hingga berjaya," katanya berharap dapat mencapai cita-citanya menjadi seorang doktor agar dapat berbakti kepada masyarakat tanpa mengira agama dan bangsa. Beliau berkata ketika Program Ziarah Pelajar Cemerlang oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Mohd Noor di sekitar Dun Batu Buruk ke kediamannya, baru-baru ini. Program yang turut dihadiri oleh isteri ADUN Batu Buruk, Dr. Farhaana Husainy Hasbullah dan pihak Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Batu Buruk itu telah menngunjungi sembilan buah rumah pelajar cemerlang bagi menyampaikan hadiah cenderahati kepada mereka. Lawatan itu merupakan sebahagian penghargaan kerajaan negeri kepada para pelajar berkenaan dan sebagai pembakar semangat generasi muda Terengganu untuk terus mencipta kejayaan.
02 Jul 20
615
Guru SMK Pengkalan Berangan Cipta Pemicit Cecair Nyah Kuman Tanpa Sentuh
Guru SMK Pengkalan Berangan Cipta Pemicit Cecair Nyah Kuman Tanpa Sentuh
Oleh: Aziz Hambali MARANG, 14 Jun - Menyedari kepentingan mencegah ancaman COVID-19 memberi ilham kepada guru dan kakitangan Sekolah Menengah Kebangsaan Pengkalan Berangan (SMKPB) mencipta pemicit cecair nyah kuman tanpa sentuhan. Pengetua SMKPB, Kamarulzaman Ismail, 48, berkata, pihak sekolah membuat persiapan yang terbaik bagi menyambut kedatangan  pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 24 Jun. "Cetusan idea alat ini dicipta adalah bertujuan menjaga kesihatan pelajar dengan kaedah picit penutup menggunakan kaki. "Usaha ini adalah jaminan pihak kami khusus buat ibu bapa yang masih lagi risau akan keselamatan kesihatan anak-anak mereka apabila sekolah dibuka dalam masa beberapa hari sahaja lagi,” katanya. Katanya lagi, apa yang dicipta itu bukan sahaja dinikmati warga SMKPB malah juga diserahkan kepada sekolah-sekolah terpilih sebagai persediaan sebelum sekolah kembali dibuka. "Sehingga kini, hasil projek yang kami jalankan ini telah pun mencapai sebanyak 60 unit dan telah diedarkan ke seluruh kawasan Marang seperti balai polis, klinik kesihatan, masjid termasuk ke pejabat daerah," katanya ketika dihubungi wartawan UPDI selepas selesai mesyuarat dengan guru dan staf SMKPB sebentar tadi. Tambah beliau, pihaknya bukan sahaja mendapat sokongan daripada Persatuan Ibu Bapa dan Komuniti sekolah berkenaan, tetapi juga sumbangan dana daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong bagi menjayakan projek DIY (Do-IT-Yourself) itu. Dalam pada itu, pengetua yang berasal dari Kampung Losong itu tidak melepaskan peluang untuk memberi kata-kata motivasi kepada para pelajarnya yang sedang bercuti di rumah. "Pada zaman sekarang, kita harus melalui apa jua perubahan yang berlaku. Kerana kita tidak boleh duduk di takuk yang lama," ungkapan itu dilontarkan dengan penuh syahdu. Untuk rekod, tanggal 24 Jun depan, Malaysia bakal mencipta sejarah yang tersendiri dengan pertama kalinya sekolah dibuka dengan permulaan pelajar Tingkatan 5 dan 6 setelah hampir empat bulan negara kita melawan pandemik COVID-19.
02 Jul 20
663
ADUN Wakaf Mempelam Rai Pelajar Cemerlang Dari Rumah Ke Rumah
ADUN Wakaf Mempelam Rai Pelajar Cemerlang Dari Rumah Ke Rumah
Oleh : Wan Luqman Hakim KUALA TERENGGANU, 14 Jun -  Seramai 67 pelajar SPM, STPM dan STAM yang berjaya mendapat keputusan yang cemerlang tahun lalu, menerima sumbangan sagu hati daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, Wan Sukairi Wan Abdullah. Berdepan kemelut Covid-19 dan demi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), majlis yang biasanya diadakan di dewan ditukar dengan Wan Sukairi memilih untuk menyantuni pelajar terbabit dari rumah ke rumah. Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) berkata, program ini adalah untuk menghargai anak-anak tempatan yang cemerlang di samping memberikan semangat baru kepada mereka untuk melanjutkan pelajaran di peringkat lebih tinggi. “Saya bersama  Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam menyampaikan penghargaan serta ucapan selamat maju jaya kepada mereka dalam apa jua bidang yang mereka ambil sama ada di peringkat matrikulasi, asasi mahu pun diploma. “Mereka ini adalah pelapis yang akan mengantikan pemimpin sedia ada sekali gus menjadi harapan untuk membangunkan negeri dan Negara kita ini,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) sewaktu mengadakan Program Ziarah Pelajar Cemerlang di Kampung Kubang Jambu dan kampung-kampung sekitarnya, semalam.
02 Jul 20
190
Sekolah Dibuka 24 Jun, Libatkan Pelajar Peperiksaan Awam
Sekolah Dibuka 24 Jun, Libatkan Pelajar Peperiksaan Awam
PUTRAJAYA, 10 Jun - Semua sekolah di seluruh negara akan dibuka semula mulai 24 Jun ini namun hanya melibatkan pelajar yang akan menduduki peperiksaan awam dan antarabangsa yang setara pada tahun ini, kata Menteri Kanan (Pendidikan) Dr Mohd Radzi Md Jidin. Beliau berkata  ini membabitkan pelajar yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM),  Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) serta peperiksaan antarabangsa. Katanya Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah telah diedarkan ke sekolah-sekolah pada 4 Jun lepas sebagai panduan agar persiapan rapi dapat dibuat sebelum sesi persekolahan bersambung kembali. - BERNAMA
01 Jul 20
36
151 Taska Di Terengganu Kembali Beroperasi, Utamakan Anak Frontliners
151 Taska Di Terengganu Kembali Beroperasi, Utamakan Anak Frontliners
KUALA TERENGGANU, 9 Jun - Sebanyak 151 buah taman asuhan kanak-kanak (Taska) milik kerajaan negeri dan swasta di Terengganu kembali beroperasi hari ini, selepas ia ditutup sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, ianya melibatkan 64 buah Taska Permata Keluarga dibawah kendalian Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) dan selebihnya milik pengusaha swasta. “Keseluruhan taska YPKT yang dibuka hari ini adalah sebanyak 64 daripada 67 buah dimana bakinya akan dibuka dalam masa terdekat disebabkan masalah teknikal, manakala taska swasta pula sebanyak 87 buah. "Setakat ini yang masih belum dibuka ialah Taska Perpaduan dan juga TASKA Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) yang dijangka dibuka semula 1 Julai ini,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Taska Permata Keluarga Kuala Terengganu di Jalan Sultan Omar, hari ini. Katanya, daripada segi bilangan guru di YPKT pula, terdapat seramai 818 orang termasuk pembantu manakala anak-anak yang berdaftar di YPKT pada tahun ini adalah seramai 4,400 orang daripada 3,561 keluarga. "Bagaimanapun hari ini, hanya 718 kanak-kanak diterima masuk selepas perbincangan bersama ibu bapa dengan keutamaan diberikan kepada ibu bapa yang perlu bekerja secara berpasangan serentak dan tiada penjaga,"ujarnya.. Mengulas lanjut, Hanafiah berkata, bagi mematuhi kehendak prosedur operasi standard (SOP) dan panduan pencegahan penularan COVID-19 pasca Perintah Kawalan Pergerakan bagi keselamatan warga Taska, keutamaan kepada ibu bapa bagi penghantaran anak ke taska diberikan kepada petugas barisan hadapan (frontliners). "Seperti petugas Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Bomba dan penyelamat dan seumpamanya. “Juga kepada ibu bapa penjaga kanak-kanak (dwi kerjaya) yang bekeperluan keluar untuk ke tempat kerja secara serentak,” ujarnya. Katanya, kesemua taska yang beroperasi itu menyediakan beberapa SOP termasuk perlu mengisi borang akujanji serta akuan pengistiharan kesihatan kanak-kanak yang perlu dipatuhi oleh ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke pusat jagaan. “Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan membuat pemantauan setiap hari terhadap taska yang mula beroperasi dimana satu jawatankuasa khas ditubuhkan untuk memastikan pengusaha taska mematuhi SOP ditetapkan,” ujarnya. Justeru, beliau menasihatkan para ibu bapa agar mematuhi segala SOP yang ditetapkan agar anak-anak sentiasa dalam keadaan selamat sepanjang berada di bawah jagaan pihak taska.
01 Jul 20
361
RM5.4 Juta Untuk Sekolah Agama Rakyat, Pondok Dan Tahfiz Di Terengganu
RM5.4 Juta Untuk Sekolah Agama Rakyat, Pondok Dan Tahfiz Di Terengganu
KUALA TERENGGANU,  8 Jun - Kerajaan negeri memperuntukkan RM5.4 juta bagi membantu sekolah pondok dan tahfiz yang terjejas akibat wabak pandemik COVID-19. Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat berkata bantuan geran tahunan diagih lebih awal bagi meringankan beban mereka terjejas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. Katanya, peruntukan itu akan merangsang pihak terbabit untuk terus melaksanakan proses pengajaran bersesuaian sepanjang tempoh pelaksanaan PKP sehingga ia berakhir. "Sehingga kini, terdapat 140 institusi pondok, tahfiz, sekolah-sekolah agama rakyat di Terengganu . "Jadi kita serahkan peruntukan lebih awal untuk pihak mereka gunakan dengan cara  terbaik mengikut kesesuaian Ahli Lembaga Pengarah (ALP) masing-masing," katanya ketika dihubungi Wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman hari ini. Sementara itu, beliau turut memaklumkan bahawa sebanyak RM1 juta telah diperuntukkan bagi  Hadiah Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM); Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM); Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Ijazah Pertama. "Oleh kerana masalah COVID-19, majlis untuk meraikan mereka yang cemerlang tidak dapat dilaksanakan tetapi kita tetap beri hadiah ini secara 'bank in' duit ini ke akaun masing-masing bermula bulan ini," ujarnya. Bagi pelajar Terengganu yang berada masih di luar negara, kerajaan negeri turut memperuntukkan hampir RM400 ribu untuk bantuan COVID-19. "Mereka ini yang masih berada di luar negara seperti Jordan, Turki, Mesir dan sebagainya menerima 100 dollar setiap seorang bagi meringankan beban  menjalani kehidupan mereka di sana," ujar beliau.  
01 Jul 20
382
Taska Permata Patuhi SOP, Jalankan Sanitas
Taska Permata Patuhi SOP, Jalankan Sanitas
KUALA TERENGGANU, 6 Jun -Kebenaran pembukaan semula Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) dan pusat jagaan kanak-kanak tentunya memberi nafas lega kepada ibu bapa yang bekerja. Taman Asuhan Kanak-Kanak TASKA di Terengganu yang bakal beroperasi 9 Jun dilihat mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan. Penolong Pengurus 2 Taska Permata Batu Buruk,  Nor Aidawati Mat Zain, berkata, aspek kebersihan diutamakan sebelum memulakan operasi. Katanya, ini termasuk mengehadkan jumlah kanak-kanak yang dijaga daripada 265 orang kepada hanya 60 orang ketika ini. "Pihak kami juga akan mengambil langkah pencegahan dengan menjalankan sanitasi dua hingga tiga kali sehari, mencuci barang mainan serta mengamalkan penjarakan sosial. "Begitu juga dengan kakitangan yang akan mengamalkan SOP seperti diarahkan," ujarnya kepada wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman ( UPDI) selepas proses sanitasi taska, di sini hari ini. Beliau turut berkata, bilik tidur yang sebelum ini memuatkan 13 kini dihadkan kepada dua hingga empat orang sahaja bergantung keluasan bilik Sementara itu, Ketua Operasi Sanitasi Balai Bomba Kuala Terengganu, PBK11 Ismail A Wahab berkata pihaknya mendapat permohonan daripada pihak taska untuk proses nyahkuman sebelum beroperasi pada hari Selasa ini. "Pihak kami mendapat permohonan daripada pihak taska untuk proses nyahkuman sebelum beroperasi. "Hari ini dengan kekuatan lapan anggota, operasi ini dijalankan selaras dengan arahan bagi memastikan penularan COVID-19 dapat ditamatkan,"ujarnya.
01 Jul 20
323
231 Taska Di Terengganu Mula Beroperasi Selasa Ini
231 Taska Di Terengganu Mula Beroperasi Selasa Ini
KUALA TERENGGANU, 3 Jun - Kerajaan Terengganu membenarkan 231 Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) milik kerajaan negeri dan swasta yang berdaftar beroperasi semula berkuat kuasa Selasa depan. Jumlah itu termasuk 67 Taska Permata Keluarga (TPK) di bawah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu yang akan dibuka mengikut peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, keputusan itu dipersetujui Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dengan mendapat rujukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN). Katanya,  semua pengusaha Taska swasta dan ketua Taska TPK akan dipanggil untuk menghadiri taklimat khas bersama JKM, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan KKM pada hari esok. "Manakala operasi nyah kuman di semua Taska akan dilakukan selama dua hari iaitu pada Sabtu dan Ahad ini, sebelum dibenarkan beroperasi pada Selasa ini," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat mingguan MMKN, di Wisma Darul Iman di sini hari ini. Hanafiah  memberitahu, kebanyakan SOP yang ditetapkan sudah diguna pakai di TPK sebelum ini, walau bagaimanapun ada beberapa  penambahbaikan yang ditetapkan selaras dengan SOP ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). "Antaranya perlu mengambil suhu bayi,  kanak-kanak dan ibu bapa, kerap membasuh tangan, membasuh alatan permainan dan mengamal etika penjarakan sosial. "Perkara itu diaakui agak sukar kerana melibatkan kanak-kanak, namun pihak taska perlu patuh demi nyawa bersama," katanya. Menurutnya, sekiranya gagal tindakan untuk menutup premis taska boleh dikenakan. "JKM akan memantau perkara itu dari masa ke semasa di setiap taska bermula Selasa ini," katanya. Tambahnya, apa yang dimaklumkan, kira- kira 500  daripada 4,000  anak-anak TPK akan dihantar pada Selasa ini. "Jumlah dilihat agak kecil kerana ibu bapa masih mengambil sikap berjaga-jaga," katanya.
01 Jul 20
97
Keanjalan Waktu Pembelajaran OUM Tarik Minat Ahli Parlimen
Keanjalan Waktu Pembelajaran OUM Tarik Minat Ahli Parlimen
Oleh : Adli Mohamad SETIU, 1 Jun - Keanjalan kaedah dan waktu pembelajaran yang ditawarkan di Universiti Terbuka Malaysia (OUM) menarik minat Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir untuk menyambung pengajiannya di dalam bidang Sarjana Pentadbiran Perniagaan. Katanya, mengikuti kursus berkenaan secara separuh masa pastinya tidak menghalang beliau untuk mengimbangi antara tugas rasmi dengan pengajian di universiti berkenaan kerana pengajian adalah di atas talian secara terus mahupun rakaman. "Ilmu yang ditimba nanti memudahkan saya untuk membahaskan beberapa perkara berkaitan ekonomi dan kewangan. "Seperti bajet, Rancangan Malaysia Ke -12 (RMK 12) dan lain-lain, semasa sesi perbahasan sidang parlimen nanti," ujarnya melalui satu kenyataan di laman sosial facebook miliknya, semalam. Walaupun memilih menyambung pengajian di peringkat sarjana, katanya khidmat kepada warga Setiu akan tetap menjadi keutamaan. Kesungguhan dalam menuntut ilmu katanya bertepatan dengan pepatah menyebut di mana ada kemahuan di situ ada jalan.
01 Jul 20
305
PKPB : Keputusan Operasi Taska Di Terengganu Diketahui Rabu ini
PKPB : Keputusan Operasi Taska Di Terengganu Diketahui Rabu ini
KUALA TERENGGANU, 1 Jun - Keputusan berhubung kebenaran operasi Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) milik kerajaan negeri dan swasta di Terengganu semasa fasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan diketahui pada Rabu ini selepas mendapat persetujuan Ahli-Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (AAMKN). Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, pihaknya akan mengadakan Mesyuarat Persediaan Operasi Taska bersama pihak berkepentingan mengenai perkara itu pada hari esok. Katanya, antara pihak yang dijangka hadir ialah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu, Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Pihak Berkuasa Tempatan. “Segala keputusan termasuk berkaitan peraturan, tarikh, bilangan taska yang akan beroperasi, jumlah anak asuhan yang diterima dan sebagainya akan dibawa ke mesyuarat mingguan AAMKN pada Rabu ini. “Apa yang penting segalanya akan berpandukan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat seperti digariskan Majlis Keselamatan Negara (MKN),”katanya ketika dihubungi pemberita Urusetia Penerangan Darul Iman. Hanafiah turut memberitahu kerajaan sedar ramai ibu bapa terutama yang bertugas sebagai barisan hadapan mula bekerja tanpa jadual giliran dan berdepan kesukaran mencari pengasuh. “Bagaimanapun mereka juga perlu sedar di mana kerajaan perlu mengambil kira tanggungjawab dan pelbagai perkara penting sebelum membenarkan taska beroperasi,” katanya. Justeru itu, beliau memohon agar semua pihak bersabar dalam sedikit masa lagi. “Apa-apa pun saya meminta para pengusaha Taska merujuk kepada yang berwajib sebelum membuka Taska. “Saya bimbang jika ada pihak yang ingkar arahan dengan tetap mahu meneruskan operasi tanpa kebenaran tindakan tegas akan diambil, saya tidak mahu ada pihak yang terkesan,” katanya.
30 Jun 20
48